Friday, November 28, 2008

Seloka Keluarga Amat


Salam wasilah pembuka bicara
Seloka Keluarga Amat hiburan semata
Keluarga ceria sentiasa bahagia
Berkongsi cerita pedoman bersama

Terlebih dahulu maaf dipinta
Andainya ada yang akan terasa
Hasrat di hati bergurau senda
Menjadi lumrah adat seloka

Kampung Hyundai teratak keluarga
Tempat berteduh sepanjang masa
Solat bejemaah, makan bersama
Jadi amalan kami sekeluarga

Salam ta’aruf daripada ketua keluarga
Amat bin Kandalang bin Haji Mijan orangnya
Mendidik kami sepenuh jiwa
Agar berbakti kepada agama dan nusa

Sadayara Al-Pasain permaisuri keluarga
Menyayangi kami tak kira masa
Kawasan dapur katanya “mak yang berkuasa”
Inginkan menantu yang dekat LD sahaja

Puteri sulung Nurfiah namanya
Lulusan diploma perakuanan dari kolej swasta
Bersifat tegas tetapi baik hati orangnya
Abang Saiful jejaka pilihan hatinya

Anak kedua berlagak ketua
Muslimin Agung gelaran dirinya
Orangnya celupar manis berbicara
Menjadi rebutan si anak dara

Azmi Amat anak ketiga
Ada kemahiran memandu kereta
Ketua Pelajar amanah buatnya
Sentiasa digeruni di kalangan keluarga

Muhd. Azdnan Amat manis orangnya
Rambutnya berdiri seperti wira
Bercita-cita menjadi satria
Semoga menjadi Menteri Pertahanan Malaysia

Orangnya kemas gagah perkasa
Berbadan kurus kacak orangnya
Ingin menjadi Ketua Polis negara
Abdul Asri alias Asbi itulah gerangannya

Puteri bongsu Nurfarina namanya
Siti Nurhaliza artis kegemarannya
Kalau ke sekolah bertudung manis orangnya
Sudah ditempah anak saudara sebapa

Hafizam Amat comel orangnya
Matanya bulat macam bola
Dodot, Dadek, panggilan manja dirinya
Menjadi kesayangan kami sekeluarga

Hidup ini hanya sementara
Senda gurauan hiasan semata
Si Mickey penghibur kami sekeluarga
Sekalipun dia sekadar hamster semata-mata

Kepada ILahi kami panjatkan doa
Moga sentiasa dalam iman dan takwa
Terhindar daripada khianat manusia
Agar sejahtera, aman, sentosa

Sekian dulu seloka hamba
Tidak berniat menunjuk bangga
Sekadar berkongsi cerita keluarga
Buat santapan jiwa dan minda

Wednesday, November 26, 2008

Jihad Mata Pena

“Syabas Agung kerana berani menyatakan pendirian. Jangan takut diugut. Apa ditakut (dengan) gertakan manusia!”, demikian bunyi ayat SMS yang saya terima pagi tadi. “Kalau takut dengan ujian, jangan cakap soal perjuangan!”, komen pejuang reformasi pula. Bahkan ada juga yang berbunyi seperti ini “Sidi, slowkan sikit blog kamu tu”. Hmm...Entahlah, semenjak menulis dengan bahasa yang lebih telus, saya semakin kerap menerima saranan sedemikian rupa. Seolah-olah selama ini saya tidak telus kerana tidak tulus akibat saya takut atau pengecut. Mereka ini tersalah sifir. Saya membuat satu analisa yang kaku, mungkin dibaca daripada buku oleh pemikir yang lesu, bahawa ‘sesuatu yang bernama perjuangan akan berdepan dengan ujian’. Manakala ujian itu pula memang menakutkan. Berhadapan dengan pegawai, kena buang dari universiti, kehilangan kepentingan diri, malah syahid cita-cita yang dicari! Itulah hafalan skema tarbiyyah terhadap ujian perjuangan mahasiswa di kampus. Seolah-olah perjuangan hanya teruji dengan ujian satu warna. Persepsi ini tidaklah salah. Bahkan Allah SWT sendiri sudah mengingatkan: “Demi sesungguhnya! Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar”. [Al-Baqarah 2 : 155]. Segala musibah yang menguji adalah bukti kezaliman kaum durhaka yang dihadapi, dan mengangkat darjat pejuang yang diuji. Sebagai pelajar yang berjuang kita mungkin bimbang digantung biasiswa atau PTPTN, tetapi mungkin kita akan diuji dengan gagal dalam peperiksaan, atau diuji dengan keluarga yang memusuhi Islam. Saya mungkin terlupa bahawa dalam perjuangan bukan hanya berani yang menjadi bekal, malah cerdik dan bijaksana juga sebahagian daripada senjata. Berani membuta tuli, jangan disangka hero kerana di sisi Islam kita mungkin seorang yang dungu dan membinasakan perjuangan dengan keberanian yang semberono. Jika di era turunnya al-Quran jihad itu banyak manifestasinya sewaktu peperangan di medan pertempuran, hari ini musuh mungkin bersarang di dalam kepala dan muncul dalam bentuk yang halus tetapi tetap merbahaya. Maka berkewajipanlah bagi pejuang untuk menganalisa tabiat jalan dakwahnya, agar prinsip amar makruf dan nahi munkar terus berjalan seiringan dengan ujian yang ‘menghiasinya’. Tuntasnya, saya tidak akan berhenti daripada menyatakan kebenaran melalui mata pena (blog) ini kerana saya menyakini ini adalah salah satu marhalah dalam perjuangan yang akan mendapat keredaan-Nya, insya Allah. Pesanan buat diri dan sahabat-sahabat blog sekalian, teruskan membina keberanian. Setelah wujud keberanian, bijaksanalah dalam menekuninya. Maaf andai bahasanya pahit, tetapi dalam pahit itu selalu ada penawarnya. Selamat berkarya wahai para blogger muda!

Monday, November 24, 2008

Percayalah Apa Yang Kita Percaya (Siri 2)

6. Islam itu agama kejayaan dunia dan akhirat. Ramai Muslim telah diterapkan dengan kepercayaan, tinggalkanlah dunia (Sunnah Allah) untuk akhirat (syariat Allah). Ada yang menakutkan anak murid dengan kenyataan tidak mengikut kelasnya tidak akan dapat ke Syurga. Ini terjadi secara berleluasa. Dibacakannya nas-nas panjang berjela, bagi membuktikan kebenarannya. Apa nak fikir lagi, ini nasnya dah terang benderang. Memang mendatangkan ketenangan, tak perlu risau, tak payah nak berfikir lagi, Syurga milik mereka.
7. Keredhaan Allah yang akan memasukkan kita ke Syurga bukan yang lain, termasuk pahala. Berlalu Ramadhan mula berkira dengan Allah, tiada ganjaran, amalan berkurangan. Baca Al-Quran, berkira setiap huruf ada pahala, bukan nak dapat petunjuknya atau panduan yang terkandung di dalamnya. Asal baca dapatlah pahala. Keredhaan Allah di akhirat, boleh diukur dengan keizinan yang kita perolehi semasa di dunia. Yang mendapat keizinan di dunia adalah mereka yang lebih faham dengan carakerja-Nya, iaitu yang lebih hampir dengan-Nya. Begitulah Qadar ketentuan-Nya. Bukan pakai rasa ego hampir dengan-Nya.
8. Kemunduran Muslim adalah tanda kegagalan menghayati Islam sepenuhnya. Ramai yang mendamaikan hati dengan alasan kemunduran di dunia akan mendapat kejayaan di akhirat. Islam itu adalah kejayaan di dunia dan di akhirat. Tidak timbul kejayaan di akhirat tanpa kejayaan di dunia. Tetapi dalam alasan untuk tidak menggunakan akal, atau menyenangkan kerja menyampai, pendakwah mencari jalan singkat dengan menakutkan pendengarnya, yang menggunakan akal itu hanya berjaya di dunia, di akhirat nanti akan merana, yang menjadi pendengarnya pun taklid membuta.
9. Kalau kita tidak lebih dahulu memahami Dia, bagaimana kita mengharapkan Dia akan memahami kita, dan mengizinkan segala yang hendak kita lakukan di dunia. Apabila kita sudah memahami Dia akan mudahlah kita memahami mahluk-Nya, terutamanya manusia. Jadi tidak timbul kita harus memahami manusia dahulu, supaya mereka nanti akan memahami Dia. Memahami manusia dahulu akan menghanyutkan kita di arus perdana, walaupun kita seorang perenang yang berwibawa.
10. Bagaimana kita boleh “memulakan langkah memberanikan diri untuk berdiskusi” dan menggunakan “minda untuk berwacana, lebih dari jari untuk menyumbat telinga” akan menghasilkan sesuatu yang berbeza. Malangnya dengan Islam Popular, itu semua pekara kedua, apa yang penting, apa Pendakwah Popular berkata, kata mereka. Ketenangan atau kebenaran, pilih satu antara dua. Saya percaya ramai akan memilih Pendakwah Popular. Tapi saya akan memilih keredaan ILahi dengan manhaj yang saya anuti - P_S.

Saturday, November 22, 2008

Muhasabah Cinta (ILahi)

Wahai pemilik nyawaku betapa lemah diriku ini
Berat ujian daripada-Mu ku pasrahkan semua pada-Mu
Tuhan baruku sedar indahnya nikmat sihat itu
Tak pandai aku bersyukur kini ku harapkan cinta-Mu
Kata-kata Cinta terucap indah
Mengalir berzikir di kidung doaku
Sakit yang kurasa biar jadi penawar dosaku
Butir-butir cinta airmataku
Teringat semua yang kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya ILahi muhasabah cintaku
Tuhan kuatkan aku
Lindungi aku daripada putus asa
Jika aku harus mati pertemukan aku dengan-Mu

Friday, November 21, 2008

Percayalah Apa Yang Kita Percaya

1. Saya percaya “kita tidak pernah mempersoalkan apa yang kita percaya”. Saya percaya “Ia hanya taklid dalam perjuangan” yang menghasilkan Muslim yang taklid pada hari ini. Saya percaya Muslim telah berqodo’ (memilih) Qadar yang telah membuat Allah memberikan hasil yang melambangkan kemunduran Muslim hari ini. Saya percaya banyak ketentuan Allah telah disalah tafsir oleh pendakwah yang menyebabkan hasil yang tidak sesuai dengan apa yang dirancang. Saya percaya ramai Muslim tidak setuju dengan kenyataan ini.
2. Saya percaya Islam Popular itu sukar ditukar dengan yang tak popular. Dengan tidak mahu mempersoalkan apa yang kita percaya, akan menjadikan kita tidak tahu apa yang kita percaya. Malangnya itulah yang popular dalam perjuangan - ikut, ikut dan ikut. Selagi kita tidak mempositifkan ingin menambah nilai pengetahuan, selagi itu kita tidak akan dapat memperbaiki keadaan sekarang. Lagi ramai yang mahu bertindak mengikut hati emosi, maka akan menjadi popularlah pilihan cara begitu, dari penyampai kepada apa yang disampai dan akhirnya kepada seiapa yang disampai.
3. Golongan yang fikir, ikut, fikir akan menjadi lone ranger. Ditakutkan kemudiannya dengan kenyataan kambing yang bersendirian adalah menu utama serigala. Bagi yang taklid ni selalunya kerana tidak mahu menggunakan akal, disebabkan penggunakan akal itu adalah sesuatu yang susah. Jauh lebih senang mengikut nafsu atau kemahuan diri, ditambah lagi dengan persekitaran yang memang telah membena arus perdana mengikut nafsu atau emosi. Maka kuasa pasaran mahu, akan menghanyutkan yang ingin tahu, walau sekuat mana tahu boleh berenang melawan arus.
4. Saya percaya ramai Muslim mengingkari ayat-ayat Syariat Allah (Kitab Al-Quran), tetapi saya lebih percaya, lebih ramai Muslim mengingkari ayat-ayat Sunnah Allah (Kitab Alam). Saya percaya tidak ramai Muslim percaya adanya dua jenis ayat-ayat berbeza ini. Selagi tiada kesedaran kepada Muslim tentang ini, selagi itu Allah tidak akan memberikan hasil yang lebih baik kepada perancangan Muslim. Allah tidak pernah berlaku tidak adil, dengan membuat ketentuan bahawa orang bukan Muslim lebih maju dari orang Muslim, tetapi Muslim yang rasa ego dengan mengatakan Allah hanya bersama mereka.
5. Muslim diberitahu bahawa bila Al-Quran mengatakan bahawa Allah bersama-sama dengan Sobirin (yang sabar), Solehin (yang soleh), Mukminin (yang percaya), Muslimin (yang menyelamatkan diri) dan sebagainya, seakan-akan Allah tidak langsung tidak bersama-sama dengan yang sebaliknya. Muslim lupa tiada sesuatu berlaku dan tiada kekuatan untuk melakukan sesuatu (oleh sesiapa pun) melainkan dengan ada kehadiran-Nya. Muslim terlalu yakin bertaklid mempercayai, seluruh kuasa dan kehendak Allah adalah untuk mereka, lantas ego berserta sombong dengannya. Maka tidak mahu mempersoalkan apa yang dipercayainya, kerana mereka terasa Syurga sudah menjadi milik mereka secara automatik.

Thursday, November 20, 2008

Hakikat Sebuah Percutian

Saat ini sudah ramai sahabat-sahabat yang berada di kampung halaman menikmati percutian semester yang baru saja bermula. Ada yang pulang ke kampung untuk mengubat kerinduan terhadap keluarga tercinta, ada juga yang berhajat meraikan keberangkatan keluarga menyahut panggilan haji. Bahkan tidak kurang juga yang mungkin akan mendirikan ‘masjid’ sama ada sebagai satu tanda (bertunang) atau terus mengikat janji terpatri di sanubari. Tidak mustahil juga mungkin ada segelintir daripada kita yang tidak ada sebarang perancangan untuk mengisi tempoh percutian ini. Bagi golongan seumpama ini, cukuplah sabda Rasulullah s.a.w menjadi peringatan, yang bermaksud “...jagalah waktu lapangmu, sebelum datang waktu sibukmu...”. Justeru, saya menggesa agar sama-sama kita isi percutian kali ini dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah. Rancang dengan apa yang di tangan, bukan yang kita angan-angankan. Libatkan diri secara aktif dengan aktiviti kemasyarakatan, akrabkan diri dengan usrah, mesrakan diri dengan Pencipta. Manfaatkanlah waktu cuti ini dengan meningkatkan kualiti kita sebagai seorang da’ie (pendakwah). Cukuplah dengan memulakan langkah memberanikan diri untuk berdiskusi. Gunakan minda untuk berwacana, lebih dari jari untuk menyumbat telinga. Ketika musuh yang bersaing dengan Islam begitu aktif mengukuhkan kefahaman mereka terhadap apa yang mereka percaya, gerakan Islam akan hilang siginifikasinya jika didukung oleh da’ie yang fikrahnya seperti istana kaca! Tak salah rasanya memasak menggunakan perencah segera kalau perencah yang sedia ada itu sudah cukup bagus, lagipun kalau nak buat perencah sendiri kena betul-betul pakar memasak. Masakan itu untuk orang ramai, bimbang perencah buatan sendiri tak sedap dek selera tetamu yang berbeza-beza. Lagipun kalau nak masak untuk orang Melayu, kenalah guna perencah Melayu, bukan semua orang Melayu boleh makan mayonnaise. Kalau nak masukkan jugak kenalah masukkan sikit-sikit sebab nanti si pemakan-pemakan tu dah tak datang makan apabila tahu si pemasak ni guna perencah yang mereka tak boleh makan. Siapa yang nak habiskan makanan tu nanti? Bukankah membazir namanya tu? Saya harap anda faham analogi ini. Semoga percutian kali ini akan menemukan kita dengan pencarian hakiki. Selamat bercuti. Sampai bertemu lagi.

Wednesday, November 19, 2008

Takdir Cinta ILahi


Aku tutup mataku dari semua pandanganku
Bila melihat matamu aku yakin ada cinta
Ketulusan hati yang mengalir lembut
Penguasa alam tolonglah pegangi aku
Biar aku tak jatuh pada sumur dosa
Yang terkutuk dan menyesatkan cintaku
Andai akan aku bisa lebih adil
Pada cinta engkau dan dia
Aku bukan nabi yang bisa sempurna
Aku tak luput daripada dosa
Biarlah aku hidup seperti ini
Takdir cinta harus begini
Agar kau dan dia bukan aku yang mahu
Ya ALlah tuntunlah hatiku

Monday, November 17, 2008

Tanzim Bayangan 2020

Presiden / Menteri Mentor : Harun Miqdad Bin Muhammad

Perdana Menteri / Menteri Pertahanan : Umar Abdul Aziz
Timbalan Perdana Menteri / Menteri Kewangan I : Mus’ab Umair

Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Hal Ehwal Ekonomi – Fatih Mujadid
Hal Ehwal Agama Islam – Muhammad Al-Fateh Bin Abdullah
Hal Ehwal Undang-Undang – Faqrul Zaquan
Hal Ehwal Parlimen – Qurrotul Ain Binti Soleh
Hal Ehwal Masyarakat Sabah/Sarawak – Badrul Mukminin

Menteri Dalam Negeri : Luqman Al-Hakim Bin Farhan Naim
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri : Iskandar Zulhisham Bin Yusoff
Menteri Pelajaran : Nuril Binti Fikr
Menteri Luar Negeri : Halwun Syuhada Binti Iqram
Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi : Alya’ Atikah Binti Muhammad
Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan : Hayatul Dina Binti Zakaria
Menteri Pengajian Tinggi : Razi Bin Muhammad
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani : Nurul ‘Alya Fasiha Binti Abdul Aziz
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi : Khairul Azmi Bin Yusof
Menteri Pelancongan : Ainul Mardhiah Binti Abdul Rahman
Menteri Wilayah Persekutuan : Nurun Najah Binti Nur Khair
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar : Ummu Kalthum Binti Abdul Hakim
Menteri Pengangkutan : Abdul Malik Bin Deraman
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat : Ainul Aisyah Binti Ahmad
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi : Ainul Iman Binti Al-Muhaimin
Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi : Farhan Bin Uthman
Menteri Kerja raya : Qassiem Bin Sirajuddin
Menteri Kesihatan : Wardatul Syanqi Binti Norsyam
Menteri Penerangan : Mujadid Bin Ubaidillah
Menteri Sumber Manusia : Izzah Binti Mukhlis
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna : Mohd. Affan Bin Uthman
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah : Hamzah Fanshuri
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan : Saifullah Bin Usman
Menteri Belia dan Sukan : Salman Al-Faroouqi Bin Munib

(Dipetik & diubahsuai daripada Blog Mentafsir Realiti :htpp://anakbulanmoden.blogspot.com)


Sunday, November 16, 2008

Jalan Cinta ILahi


Semua resah hati manusiamu
Untuk membahagi kasih atas nama cinta
Derai air mata di setiap sujudmu
Seperti tak pernah cukup untuk menjagaku
Jangan butakan hati menjadi cinta yang sumur
Kau hembuskan ayat-ayat cinta untukku
Di sebuah doa dalam kepekatan malam yang sunyi
Apa yang kau pinta jalan semua
Keraguan yang telah meliputi jiwamu
Semoga akan membawa cintamu
Pada dirimu dalam jalan dan redha-Nya

Saturday, November 15, 2008

Hitam + Putih = ???


Tahniah kepada bakal Presiden Amerika Syarikat, Bararck Husein Obama yang akan menjadi peneraju ke-44 kuasa ‘polis dunia’ itu. Setelah hampir 200 tahun, akhirnya negara ‘Uncle Sam’ optimis menobatkan seorang lelaki kulit hitam untuk menerajui White House – Rumah Putih yang merupakan entiti utama Amerika Syarikat dalam penentuan segala dasar negara mereka bahkan tidak keterlaluan jika saya katakan di White House juga segala dasar berkaitan global akan direncanakan. Sekalipun dasar AS dikuasai oleh Kongres yang didominasi pelobi Yahudi, namun pada hemat saya Obama lebih demokratik dalam hubungan berkenaan dasar luarnya dan bertoleransi dengan dunia Islam berbanding Bush. Hal ini kerana latar belakang Obama yang pernah menerima pendidikan awal di Indonesia dan susur galur keturunan beliau yang amat akrab dengan masyarakat Muslim. Apatah lagi beliau telah berjanji akan mengeluarkan tenteranya dari bumi Iraq secara berperingkat-peringkat. Hakikatnya, AS telah mula menolak politik perkauman dengan menjadikan Obama sebagai empirikal. Natijahnya, kemenangan Obama ini akan menjadi katalis kepada penduduk dunia untuk menjadi lebih liberal. Kita mendoakan agar AS akan mengulangi sejarah Parsi, kuasa besar dunia yang pernah memusuhi Islam tetapi akhirnya menjadi penaja utama Islam kini. Semoga ada cahaya di penghujung terowong sekalipun ramai meramalkan gabungan hitam (Obama) dan putih (White House) akan menghasilkan ton warna kelabu (senario global) yang pasti akan menyeramkan setiap jiwa yang memandang.

Friday, November 14, 2008

Sepi Itu

Sepi rasa diri ini terpinggir
Di batas waktu yang sepi
Tak sesiapa menemani
Di dalam sepi itu
Kulihat bayangan dirimu
Mencengkam mesra sanubariku
Aku terperangkap dalam diri
Aku terpedaya oleh mimpi
Aku dikejari bayang-bayang
Keterpaksaan meyeksakan
Lama ruang hati kekosongan
Lama aku menangis sendirian
Lama hanyalah hitungan masa
Tak terluntur kenangan indah
Di antara kita

Thursday, November 13, 2008

Tahniah My DoDoT

Salam Wasilah Ukhuwah Fillah...

Alhamdulillah 05 November 2008 yang lalu, anak bongsu dalam Keluarga Amat Kandalang iaitu Hafizam bin Amat atau nama manjanya Dodot telah pun tamat belajar prasekolah. Simbolik pengakhiran itu dimanifestasikan oleh pihak KEMAS melalui Majlis Konvokesyen pada hari tersebut. Seronok saya melihat gelagat anak-anak ini bergaya. Biar pun konvokesyen ini kecil di mata orang yang memegang ijazah kedoktoran falsafah, namun bagi kanak-kanak sebaya Dodot majlis ini adalah peristiwa yang sangat penting bagi masa depan mereka. Itulah kali pertama saya diberi peluang meihat adik kesayangan kami naik pentas siap berjubah menerima sijilnya. Dalam hati terdetik, inilah perasaan setiap ibu yang mengandungkan anak selama 9 bulan rasa, yang dikatakan sebagai “sejuk perut ibu yang mengandung”. Rasa sebak dan gembira melihat ibu tiba-tiba menitiskan air mata kegembiraan. Walaupun hanya graduate tadika, tetapi inilah permulaan kejayaan yang akan datang buat adik kecilku ini. Jom Dodot, sama-sama dengan abang Menuju Puncak. Tunggu abang balik Lahad Datu.

Manusia Lupa

Manusia lupa asal usulnya dia tersangka dialah segala-galanya yang pelupa itulah namanya, dan yang terleka itulah manusia. Ramai manusia tak kenal dirinya, dijadikan-Nya makhluk sempurna, diuji sementara di muka dunia, bertanggung ia pada perlakuannya. Manusia lupa, manusia alpa, manusia prasangka, manusia leka, manusia berlari mengejar mimpi apa yang dicarinya hanya ilusi. Manusia rungsing bila ia prasangka semua sekeliling menjadi musuhnya, manusia fikir mencipta sengketa, moga ia beruntung darinya. Apabila berjaya terdetik rasa bangga, di lubuk hatinya mula ia bicara, bermegah-megah ia berkata, lupa seketika dengan Pencipta-Nya. Ramai manusia inginkan kebendaan, biar pun caranya cara kekerasan. Akhirnya dia tak tentu haluan, apabila ada sahaja yang hasad memandang. Zahirnya tenang tapi batin haru-biru, itu nasibnya manusia yang menipu, biarkan saja aku bersyukur selalu, biarkan si luncai terjun bersama labu-labunya.

Satu lafaz, satu kalimah, satu syahadah, kita terleka, terkelu lidah, terkunci hati, diremote control, rasa gila kuasa, rakus tamak haloba. Orang kita terlau cinta Tuhan mereka mesin berhala, orang kita memuja-muja si kota sakti tidak bernyawa. Wahai penghuni penyewa alam semesta, duhai jiwa tertenung terbuka silau sihir dunia, apakah masih buta tuli di dalam hati, meskikah lagi menipu diri sendiri. Kiblatmu kini menjadi cacamerba mengisi lima dua inci. Takwamu pula si Quran Mewah terhias indah, terkunci rapi di almari kaca. Satukan kehangatan ini hapuskan haloba ini. Nafsu dan mahu terlepas waktu terabaikan-Mu sehingga lidahku terasa kelip nafasmu. Walaupun engkau terasa dekat dengan jantungku tak putus-putus engkau menyeru manakala aku selalu melupakan-Mu. Satu lafaz awal pertama menyambut keagungan semester dengan getir ibadah kepada-Mu.

Wednesday, November 12, 2008

Marilah Me'nyah'kan Mereka

Saya teringat pesanan Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis sahih baginda yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Muslim : “Bandingan orang mukmin dalam kasih sayang dan belas ihsan mereka seperti tubuh yang satu apabila satu anggota mengadu kesakitan menyebabkan seluruh tubuh berjaga malam (tidak boleh tidur) dan sakit”. Demkian analogi yang diwasiatkan oleh Rasulullah s.a.w sejak 1400 tahun yang lalu. Saya mengingat kembali pesanan ini tatkala saya menekuni buku “Tasawur Asasi Gerakan Islam” karya agung daripada Ustaz Fathi Yakan, salah seorang pejuang gerakan Islam, Ikhwanul Muslimin. Pada hemat saya, buku ini wajib menjadi bacaan asas setiap ahli gerakan Islam khususnya dalam menghadapi landskap geopolitik negara yang ‘mengaum’ kuat pasca Pilihan raya Umum ke-12 dan perubahan corak kepimpinan MPPUMS sejak sesi 2007/2008 yang berkesinmabungan sehingga kini. Bagi mengisi kemenangan kurniaan ILahi ini, pesanan baginda tadi seperti air telaga yang sangat jernih dan dingin ditemui oleh para musafir yang dahaga di gurun pasir. Apa lagi yang kita perlukan dalam suasana penuh cabaran ini melainkan nasihat daripada “Insan Agung” seperti baginda. Kita juga sering diingatkan bahawa manusia yang memberi manfaat kepada manusia umumnya adalah mendamaikan mereka yang berselisih faham, cakna dengan isu masyarakat (mahasiswa), mengajak manusia ke jalan ALlah secara hikmah, bahkan bukan menjadi virus kerenggangan persaudaraan antara ahli. Pembawa virus atau elemen kotor ini sama sekali tidak menyebarkan bau harum kepada orang lain bahkan mendatangkan mudarat yang khurafat terhadap sebuah makrifat. Justeru, individu negatif seumpama ini wajar digugurkan sahaja daripada landasan perjuangan yang memerlukan individu Muslim yang profesional. Lembaran sejarah juga telah mencatatkan Rasulullah s.a.w pernah menyingkirkan golongan yang menjadi bebanan dan duri dalam perjuangan dakwah yang dikenali sebagai golongan munafik. Apatah lagi sekarang ini usaha kita mendepani cabaran dan mengisi kemenangan amat menuntut para amilin yang memiliki jiwa yang kental dengan pengisian tarbiyah ruhiyyah yang konsisten. Tanpa perlu bersimpati kepada golongan ini, marilah kita luruskan saf perjuangan dan bersatu hati masa menyaksi untuk me‘nyah’kan virus-virus dalam perjuangan ini. Semoga usaha kita mendapat rahmat dan redha Yang Maha Esa.
Mus'ab bin Umair
Pengerusi JKP

Tuesday, November 11, 2008

Terlalu Cinta

Jangan dekat atau jangan datang kepadaku lagi
Aku semakin terseksa kerana tak memilikimu
Aku cuba jalani hari dengan pengganti dirimu
Tapi hatiku masih berpihak lagi padamu
Mengapa semua ini terjadi kepadaku?
Tuhan
Maafkan diri ini
Yang tak pernah bisa menjauh dari angan tentangnya
Namun
Apalah daya ini
Bila ternyata sesungguhnya aku terlalu cinta dia

Sunday, November 9, 2008

Berakhirnya Sebuah Pemerintahan

Seusai pembentukan kabinet Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2008/2009, maka berakhirlah sudah secara rasmi pemerintahan MPPUMS Sesi 2007/2008 yang diterajui oleh Saudara Hasanal bin Hassan Alban selaku Presiden. Tahniah atas kemenangan ini, dan takziah atas amanah yang bakal digalas. Sepanjang sesi pemerintahan kami yang lalu, saya dan sahabat-sahabat MPP yang lain telah mempelajari banyak perkara yang mendidik jiwa kami agar bersedia menghadapi mehnah dan tribulasi yang mencabar di luar sana. Kami tidak dapat menggambarkan apakah perasaan kami pada saat ini – sama ada gembira, terharu, atau berbaur antara keduanya. Boleh jadi kami gembira kerana galasan amanah bakal berpindah tangan kepada para pemimpin muda yang memiliki idealisme perjuangan yang lebih relevan dengan peredaran zaman. Mungkin juga kami bersedih kerana selepas saja pembubaran MPP ini kami tidak berpeluang lagi menikmati erti hidup sebagai pemimpin pelajar secara formal. Kami tidak dapat bayangkan selepas ini, hari-hari yang kami lalui tanpa memikirkan gerak kerja MPP, manakala malamnya pula sibuk dengan mesyuarat di sana sini tanpa mengira waktu dan ketikanya. Terasa manisnya bergelar pimpinan pelajar selama 10 bulan yang lalu. Pada kesempatan ini, kami merakamkan sejambak kasih sekalung apresiasi kepada semua pihak yang banyak membantu perjuangan kami, MPPUMS Sesi 2007/2008 seperti Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Unit Hal Ehwal Islam dan Masjid, Seksyen Perumahan dan Perkhidmatan Pelajar, para sekretariat, ahli-ahli PMUMS, serta semua pihak yang membantu sama ada secara langsung atau tidak langsung. Kami juga ingin memohon seribu kemaafan atas janji yang tidak tertunai, amanah yang tidak terpatri, dan bicara kata yang tidak dikotai. Kepada pewaris perjuangan “Mahasiswa Peneraju Keunggulan Ummah”, kami ucapkan selamat berjuang di medan yang mencabar ini. Lakukan yang terbaik demi mendaulatkan suara mahasiswa. Ayuh kita himpunkan wacana yang bersifat ilmiah untuk mematikan nafsu pengampu yang tidak sedar diri. Mudah-mudahan di hujung percubaan demi percubaan itu, kita semua akan bertemu dengan keunikan dan keistimewaan diri sebagai gelanggang kita yang cari selama ini. Buat apa sahaja, biar sehabis baik!

MURSIDI BIN AMAT
Alumni Majlis Perwakilan Pelajar (MPPUMS) Sesi 2007/2008
(http://musliminmukhlisin.blogsot.com)

Tuesday, November 4, 2008

DIAlah di Hati

Bisikan sang bayu membawa perkhabaran
Dongengan yang sama dicanang berulang
Mengapakah diri dijadikan sasaran
Sekilas pandangan pelbagai andaian
Sungguh terkilan

Seumpama naskah yang terbuka
Sesungguhnya tiada rahsia
Bacalah kenalilah dengan bijaksana
Siapa aku yang sebenar

Kendati selautan segunung permata
Di kanan dan kiri selagi jantungku berdegup
Hingga tiba saat terhenti
DIAlah di hati

Tiada pilihan kedua
Pertama hingga akhir usia
Hanya DIA

Tiada rahsia lagi
Usah bertanya berteka-teki
Cinta yang abadi cintaku yang suci
Di hati