Tuesday, February 24, 2009

Kaparinya

Orang berinai berhitam kuku
Mandi dijirus si air mawar
Jikalau sampai hasrat hatiku
Racunku minum jadi penawar

Belum tersurat dalam hikayat
Ayam keluar mencari musang
Belum tersirat di dalam adat
Bunga keluar mencari kumbang

Semenjak lembah bertambah dalam
Nampaknya gunung tinggi bertuah
Semenjak sejarah Hawa dan Adam
Alam berkembang berubah-ubah

Hasrat nak beli dulang bertepi
Barulah molek untuk hidangan

Hajat nak cari yang sama sehati
Barulah molek makan sepinggan

Sungguhlah harum si bunga tanjung
Hati nak petik si bunga mawar
Rindu dan dendam tidak tertanggung
Budi setitik jadi penawar

Sungguh melati senang dipetik
Harumnya mahsyur seluruh alam
Sungguhpun budi hanya setitik
Langit dan bumi ada di dalam

Wednesday, February 18, 2009

Dakwah Bersulamkan Siasah

Sejak sekian lamanya blog ini wujud, agak jarang saya menulis tentang pengisian tarbiyah. Mungkin agaknya saya ini lahir dari generasi siasah sebermula mengenal Harimau Malaya di kampus. Para penceramah sering mengingatkan kita, sesungguhnya dakwah Islamiyyah tidak akan terhenti selagi wujudnya aktivis dakwah (du’at) yang bercita-cita melunaskan tuntutan

(1) Syahadatain (maksud: mengajak manusia kepada 2 kalimah syahadah)

(2) Amar makruf nahi mungkar (maksud: menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran)

(3) Mujtama’ as-salim (maksud: masyarakat yang sejahtera)

(4) Khulafah Islamiyyah jadidah (maksud: neo-Khalifah Islamiyyah).

Dalam konteks kemahasiswaan Islam, Ikatan Sahabat Eksah Universiti Malaysia Sabah (ISEUMS) bertanggungjawab untuk melunaskan tuntutan-tuntutan di atas. Matlamat khusus dan pendekatan dakwah Islamiyyah sudah tentu patut mengambil kira kondisi dan lapangan masing-masing. Walau pun demikian, idea perubahan berdasarkan cita-cita Islam selalu tergendala disebabkan cabaran semasa dan sikap kita sendiri dalam melunaskan tuntutan ini. Walaupun dakwah Islamiyyah ini dilaksanakan secara amal jamai’e (bekerja secara istiqamah-munazzhomah), namun kesilapan fardiyyah (individu dai’e) itu acap kali menggagalkan amal jamai’e tersebut. Asal amal jamai’e ada pada tuntutan fardiyyah. Saya teringat dengan pesanan Kak Jannah bahawa penyakit-penyakit fardiyyah inilah seharusnya dicermati, diubati dan ditangani segera (jika ada). Penyakit fardiyyah ini terdiri oleh dua punca utama. Pertama, disebabkan mentaliti sehingga melahirkan pelbagai barah-barah dalam dakwah Islamiyyah dan amal jamai’e. Kedua, disebabkan perlakuan sehingga melahirkan pelbagai penyakit berantai dalam dakwah Islamiyyah dan amal jamai’e. Jika virus ini tidak dirawat dengan segera, maka tidak mustahil akan mengundang wabak sepanjang jalan dakwah dan siasah yang kita tonjolkan melalui platform yang kita kuasai dan bakal kita kuasai kelak. Justeru, saya menyeru agar pendokong gerakan Islam di kampus bersedia bangkit dalam halaqah yang membentuk suatu ketumbukan realistik untuk mengisi kemenangan ini. Jangan sesekali kita bersifat sekular sehingga mengasingkan antara dakwah dan siasah. Hakikatnya kedua-dua wasilah ini seharusnya bergerak bersama mendaulatkan amal Islami di kampus ini.

Thursday, February 12, 2009

Warkah Seorang Lelaki

Telah berdiri seorang lelaki
Hidup berbekal kecekalan diri
Walau menghadapi sejuta cabaran
Terus berpaut pada kebenaran

Berkurun sudah aku merintis jalan
Bertahun sudah hasratku terhalang
Kekal bersemarak api keazaman
Pada keramat doa dan harapan

Aku melangkah bermula dari lembah
Aku mendaki setangga ke setangga
Semakin hampir menjejaki puncak
Semakin sering aku ditikam onak

Namun kerana aku lelaki
Derita dapat diselindungi
Tangisi luruh rahsia di hati

Kesianlah teman yang sejati
Di dalamnya aku mengenal diri
Tenangnya wajah manisnya bicara
Kerana ku menyakini
Tuhanlah Yang Maha Esa

Tuesday, February 10, 2009

Jari Di Tangan

Pelbagai hikmah dan tafsiran yang boleh diandaikan di sebalik jari kita yang lima. Cuba perhatikan perlahan-lahan jari anda. Kemudian, genggam kuat-kuat dan angkatkan ke atas. Laungkan ..."Allahu Akbar" sekuat-kuatnya. Itulah Rukun Islam yang mesti dijunjung. Luruskan jari ke hadapan dalam keadaan terbuka. Renung dalam-dalam. Kewajipan solat lima waktu jangan diabaikan. Kemudian lekapkan jari itu di atas meja, perhatikan. Bermula daripada jari kelingking yang kecil dan kerdil, seperti manusia dan apa sahaja akan bermula daripada kecil kemudian besar dan terus membesar. Itulah fitrah insan dan alam seluruhnya. Apa sahaja yang dilakukan mesti bermula daripada kecil. Bak kata pepatah "melentur buluh biarlah daripada rebungnya". Kegagalan mendidik pada usia ini akan memberi kesan yang besar pada masa hadapan.

Naikkan kepada jari kedua, jari manis namanya. Begitu juga dengan usia remaja. Manisnya seperti jari yang comel mulus ini. Apatah lagi kiranya disarungkan dengan sebentuk cincin bertatahkan berlian, bangga tak terkira. Pada ketika ini alam remaja menjengah diri. Awas!!! Tika usia ini sentiasa dibelenggu dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Hanya iman dan taqwa menunjuk jalan kebenaran. Pastinya, usia ini kita sudah baligh dan mukalaf. Pastinya sudah dipertanggungjawabkan segala amalan di hadapan Rabbul Jalil. Bersediakah kita? Sekarang naik kepada jari ketiga. Jari yang paling tinggi, jari hantu namanya. Zaman remaja ditinggalkan. Alam dewasa kian menjengah. Pada peringkat umur 30-an ini seorang itu telah mempunyai status dan identiti dengan ekonomi yang kukuh serta kerjaya yang teguh. Namun, kita mesti berhati-hati kerana detik ini banyak "hantu-hantu pengacau" yang datang menggoda. Hantu hasad dengki, hantu ego, hantu tamak, hantu iri hati dan seribu macam hantu lagi. Kalau gagal mengawal emosi lantas terus masuk ke jerangkap nafsu dan syaitan. Justeru, amal ibadat mesti dilipatgandakan.

Kita beralih kepada jari telunjuk. Jari inilah yang mengungkap satu dan Esanya Allah SWT ketika solat. Genggamkan kesemua jari dan keluarkan jari ini. Gagahnya ia sebagai penunjuk arah, menjadi contoh dan tauladan. Manusia yang berada di tahap usia ini, hendaklah tampil sebagai model kepada generasi baru dan pembimbing yang kaya dengan idea bernas dan minda yang hebat. Akhir sekali, renung ibu jari. Ia besar dan pendek tetapi menunjukkan kematangan dan kehebatan yang membanggakan. Tugasnya membenarkan sesuatu dan mentafsirkan pelbagai perkara. Bak kata orang Bajau "cap jempol" atau cap jari. Kalau dia ada, semua urusan berjalan lancar. Kepada generasi muda, rujuk dahulu kepada orang tua atau yang berpengalaman. Sekiranya petunjuk mereka anda patuhi, nescaya anda boleh berkata "good" atau "yes" sambil menggengam semua jari dan angkat ibu jari ke atas itulah rahsia kejayaan kita.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada sumber yang tidak dapat dikenal pasti)

Pelajarilah Sejarah

Dengan mempelajari sejarah saya dapat berusaha untuk tidak menzalimi idea dengan membicarakannya tanpa dikaitkan dengan zaman munculnya idea tersebut. Meneliti idea dari pandangan sejarah, menyebabkan saya lebih bertenang dan tidak terlalu cepat memandang buruk kepada idea-idea yang terbit dari Timur mahupun Barat. “Asal sebut sahaja nasionalisma, terus sahaja dilabel sebagai asabiyyah. Asabiyyah, maka terus bukan dari umat Muhammad”, itu rungut hati saya semasa di dalam kelas Sejarah Politik Malaysia pagi Khamis yang lalu. Di tanah air umat Islam, nasionalisma berkembang sebagai cabaran dan reaksi terhadap kolonialisasi Barat. Maka nasionalisma di dalam sejarah umat Islam tidak seharusnya terus dibakulsampahkan sebagai anti agama, dengan meminjam definisi nasionalisma yang kita kutip dari Barat. Kemudian disandarkan segera idea kita tentang nasionalisma itu kepada hadith-hadith Nabi SAW tentang Asabiyyah. Instrumen ini adalah suatu kecelaruan yang buruk. Saya panas telinga dengan kegelojohan sesetengah pendakwah yang melabelkan pejuang seperti Dr.Burhanuddin al-Helmi, Dr.Zulkifli Muhammad dan sebagainya, sebagai nasionalis dan kononnya mereka itu bukan pejuang Islam. Kegelojohan ini juga dengan cepat mahu melabelkan gerakan Islam seperti Hizbul Muslimin dan PAS sebagai parti nasionalis pada hari kelahirannya, kemudian belajar menjadi Islamik! Idea ini suatu tafsiran yang cela terhadap sejarah. Justeru kita perlu menyemak semula Sejarah Kemerdekaan. Cuma kita tidak harus lupa bahawa, cabaran besar kita adalah sikap pihak berkuasa. Alangkah sambutan Hari Kemerdekaan pun nak dipartisankan, memang besar cabarannya. Cumanya, saya yakin usaha menulis kembali bahan sejarah kemerdekaan kita lebih mudah untuk dibawa ke mainstream jika kita menulisnya dengan rujukan-rujukan yang betul dan jelas, serta ditulis dalam bahasa akademik dan bukannya bahasa marah-marah yang penuh emosi. Sebagaimana pihak nasionalis Melayu sekian lama mendakwa kemerdekaan milik mereka, nasionalis Islam lebih mudah ke depan jika tidak menggunakan metadologi yang sama. Tulis dengan tenteram agar tidak kelihatan emosional. Mudah-mudahan dengan itu, Sejarah Kemerdekaan kita akan bersifat akademik tanpa memihak kepada mana-mana parti dan individu berkepentingan. Saya mendambakan objektiviti dalam penulisan Sejarah Politik Malaysia.