Monday, March 30, 2009

Kartun Doraemon

Saya optimis ramai generasi muda hari ini yang seangkatan dengan saya membesar dengan telatah Doraemon dan rakan-rakannya. Cerita asal kartun ini bermula begini, mulanya cucu Nobita pada abad hadapan telah menghantar robot yang bernama Doraemon untuk membantu datuknya semasa kecil. Doraemon asalnya merupakan robot yang berwarna kuning dan ada telinga. Malang menimpa Doraemon apabila ketika sedang tidur, seekor tikus telah menggigit telinga Doraemon sehingga habis. Sebaik sahaja Doraemon tersedar dari tidur, beliau terus ke cermin dan terkejut melihat telinganya yang sudah tiada. Akibat rasa terkejut yang amat sangat, badan Doraemon terus bertukar menjadi biru. Sejak hari itulah Doraemon mula berasa sangat takut terhadap binatang kecil bernama tikus. Nobita pula merupakan watak seorang budak yang pemalas dan agak lembap dalam pelajaran. Meskipun Nobita sedikit lembap dalam pelajaran, namun Nobita terbukti merupakan seorang yang berani, cekal dan cerdik dalam menghadapi beberapa situasi yang menakutkan. Kartun ini turut dimeriahkan dengan watak protagonis (seperti Sizuki dan Doralin, adik Doraemon) dan watak antagonis (seperti Giant dan Suneo/Sinyu). Saya kira pengasas kartun ini, Fujio Fujiko berjaya menarik perhatian seluruh dunia untuk menyaksikan karya beliau yang tersohor ini. Meskipun kebanyakannya fantasi, namun kerana Doraemon ada wawasan seperti menyelamatkan bumi, menghormati orang tua dan muda, semangat setiakawan, melebihkan orang lain, bijak mengawal emosi, dan juga kesetiaan Doraemon terhadap tuannya Nobita mempamerkan satu nilai yang sangat berharga untuk dipungut. Malangnya Doraemon yang kita kenali di UMS tidak berwatak protagonis seperti ini. Abaikan saja! Kaedah penyampaian pengasas cerita doraemon ini sangat kreatif. Sebelum tercetusnya gelombang ke"doraemon"an, mesti Fujio Fujiko resah bagaimana mahu membuat cerita yang mampu diterima oleh masyarakat umum. Demikian juga halnya dalam medan dakwah. Sebelum memulakan sesuatu projek, semestinya kita perlu merancang sesuatu yang boleh membuatkan orang menerima, meminati dan seterusnya menggilai idea kita. Program dakwah tersebut haruslah bersifat kreatif, segar, unik dan yang paling penting diterima oleh sasaran yang signifikan. Sasaran dakwah haruslah berjaya dijadikan peminat fanatik terhadap elemen Islam yang kita dakwahkan. Caranya bagaimana? Sama-sama kita fikirkan.

Friday, March 27, 2009

Rimbawan Sejati


(Salam Wacana Siswa. Puisi balas untuk Rimbawan Sejati. Syukran atas apresiasimu.)

Renjis hatimu menjadi sirna kegelapan

Impianmu setinggi Kinabalu harapan

Membakar jiwa-jiwa insan yang ketandusan

Bembawa seribu kegemilangan laksana mentari penuh keceriaan

Alangkah tenangnya jiwamu, damainya perwatakan hiasan

Walaupun terkadang dirimu menjadi sindiran

Abangmu ini tidak bernawaitu memperkecilkan

Niat di hati untuk dirimu lebih berkepimpinan

Selamilah fungsi dan peranan

Epistemologi ilmu harus menjadi kiblat perhentian

Jangan lagi kau bersifat keanak-anakan

Akrabkan dirimu dengan Tuhan

Titiskan dirimu menjadi embun penyejuk keluarga pilihan

Intimkan dirimu bersama sahabat sefikrah perjuangan

Tuesday, March 24, 2009

Pemilu Indonesia

Pada penghujung bulan April ini, Indonesia yang demokrasinya lebih segar daripada Malaysia bakal mengadakan pilihan raya yang dikenali sebagai pemilihan umum (Pemilu). Diramalkan terdapat 44 buah parti politik yang akan berpencak di medan demokrasi sebenar. Pertandingan jawatan Presiden turut dimeriahkan dengan cabaran daripada Yusuf Kalla (Naib Presiden), Megawati Sukarnoputri dan tokoh-tokoh lain di samping SBY bakal mempertahankan jawatan yang disandangnya kini. Kemeriahan Pemilu tahun ini mendeskripsikan lagi betapa demokrasi di Indonesia semakin bernafas segar apabila pemerintah sedia ada bersikap terbuka terhadap perjalanan kempen. Misalnya, media penyiaran seperti RCTI dan Metro TV menyiarkan wawancara, iklan, dan membuat liputan khas berkaitan parti-parti politik yang bertanding. Pada masa yang sama diadakan diskusi seperti Forum Perdana untuk mengkritik Presiden dan para menteri secara terbuka dan menjawab secara telus tanpa perlu berselindung mengeksploitasi keadaan seperti yang berlaku di Malaysia. Selain itu, para pegawai kerajaan dan jentera milik kerajaan seperti polis (POLRI) dan tentera (TNI) tidak diperkudakan untuk meraih undi paksa sebaliknya mereka bebas dan berkecuali. Bahkan sewaktu Pemilu diadakan terdapat kain rentang yang tertera “POLRI dan TNI berkecuali dalam Pemilu”. Maka saya terfikir betapa Indonesia yang dikatakan sebagai negara yang miskin ini tetapi memiliki rakyat yang kaya jiwa, terbuka, matang dan tidak dieksploitasikan untuk diperas undi dengan nilai RM50 supaya memangkah neraca timbangan yang tidak adil itu. Alangkah bahagianya mereka.

Sunday, March 22, 2009

Hampir Ke Situ

Aku sedar bukan mudah
Untuk mengejar mimpi indah
Pernah suatu ketika dulu ku punya harapan besar
Kini aku tak pasti dapatkah ku miliki

Sudah jauh kita tempuh
Kekalkanlah impian lalu
Mungkin ada hikmah yang akan menunggu di penghujung jalan
Biar nanti kecewa, setidak-tidaknya cuba

Jika halangan menduga perjalanan kita
Janganlah kau putus asa
Kerana aku ada di sisi setia menemani
Andai semangatmu gugur
Genggamlah tanganku kita hampir ke situ

Ada kala ku terasa
Ketabahan tak seteguh
Tetapi apalah gunanya berhenti separuh jalan
Percayalah kepadaku, aku yakin kita mampu

Biar orang katakan, “rapuhnya harapan”
Bukan mereka tentukan
Kau ada aku, aku ada kamu, rakan dan taulan
Akhirnya tetap bersama

Friday, March 20, 2009

A.N.A.K

A – Afiq dan Jass, dua nama yang terakam kemas. Sentiasa bersama persis belangkas. Kehadiran kalian berdua menukarkan hidupku lebih ceria yang daripada suramnya dunia pentas. Aku masih teringat saat perkenalan pertama kita yang berlalu pantas. Konsert Motivasi Bersama Nazrey Raihan menyatukan ukhuwah fillah secara tuntas. Indahnya persaudaraan yang Allah pinjamkan untuk kita jadikan pelengkap kehidupan yang berarus deras.
N – Namun kita terus gagahi langkah ibarat perwira. Melengkapkan ilmu di dada. Memantapkan kefahaman di hati. Mendalamkan iman dan takwa di sanubari. Sebagai bekalan menghadapi hari esok yang belum pasti. Milik kalian milik ku jua, milikku milik kalian jua. Tiada sempadan antara kita. Hatta bezanya usia dan bangsa. Tapi kita matang menghargai nilai sebuah persahabatan yang ikhlas untuk kehidupan di sana. Tabahnya hati kalian menghadapi tohmahan. Daripada insan yang tiada belas kasihan. Si hidung kembang kempis mengeksploitasi kalian. Untuk kepentingan peribadi yang tak berkesudahan.
A – Andainya dapatku putarkan waktu, akan ku pastikan manisnya bersama antara aku dan kamu. Tiada ungkapan memetaforakan hubungan yang tak tentu. Pasang surut ukhuwah kita dicemari oleh kotornya hati mentafsirkan sesuatu. Keraguan beraja di hati, kesangsian menghiasi diri. Egoku terlentur dek ikhlasnya hati yang kalian miliki. Mengeratkan lagi ukhuwah yang lama terbina. Bahagia dalam magfirahnya. Tidak sempurna iman jika bernama insan. Jika ada kekusutan janganlah dibiarkan berterusan. Leburkan syak hulurkan kemaafan. Semoga kita sentosa dalam keredaan-Nya.
K – Kita bagaikan pelangi selepas gerimisnya hujan di lautan. Indah berseri mewarnai alam. Beburung berterbangan riang berkicauan. Tiada lagi mendung semalam. Damainya di hati tatkala terpandang wajah kalian berdua. Manis senyuman menghulurkan salam. Lembut tutur bicara tersusun bahasa. Terhapus sudah titis air mata. Kenangan suka dan duka yang dilalui bersama. Indahnya kenangan yang pernah tercipta. Hindarkan persengkataan, jernihkan kekeruhan. Bara amarahmu jangan dinyalakan. Hiasi ukhuwah ini bersulamkan ketakwaan.

Tuesday, March 17, 2009

Kita Bersaudara

1400 tahun dahulu, Nabi Muhammad SAW telah berwasiat yang bermaksud: Perumpamaan orang yang beriman di dalam berkasih-kasihan sesama mereka, rahmat-merahmati dan sayang menyayangi, adalah seumpama satu jasad. Apabila satu anggota mengeluh, ia memberi kesan kepada seluruh jasad sehingga berjaga dan demam. Kung Fu Tze di dalam Lun Yu Buku ke 4 Bab Yuen Yuen ada menukilkan "si hai zhi nie jie xiong di” yang membawa maksud empat lautan terbentang luas, semua manusia bersaudara. Khalifah Ali Abi Talib apabila ditanya tentang apakah jenis persaudaraan antara orang Islam dengan bukan Islam. Beliau jawab ‘Akhukum fil Insaniah’ – mereka yang bukan Islam, adalah saudara kamu dalam kemanusiaan. Kenyataan ini jelas menggambarkan prinsip persaudaraan tanpa mengambil kira dispariti agama. Ungkapan Khalifah Ali ini adalah senada dan seirama dengan peribahasa Tamil, ‘Ontre Kulam Oruvane Thevan’ (Satu Jiwa Kerana Kemanusiaan). Jika demikian halnya, kenapa kita harus bersengketa hanya kerana perbezaan yang saya nyatakan tadi? Adakah semua ini hanya retorik semata? Lebih menyedihkan apabila saudara seagama sendiri sentiasa curiga-mencurigai dan bermusuhan antara satu sama lain. Lupakah kita dengan janji Allah SWT yang lebih kurang alih bahasanya: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka hendaklah kamu memperelokkan di antara dua saudaramu (Al-Hujurat 49:10). Memutuskan silaturahim dan meninggalkan tuntutan ukhuwah menjadi kekejian yang besar dalam Islam. Sabda Nabi SAW: “Dan janganlah kamu memutuskan (silaturahim), janganlah merancang kejahatan sesama kamu, janganlah benci-membenci dan jangan saling berhasad. Jadilah kamu wahai hamba-hamba Allah bersaudara. Tidak halal bagi seorang muslim meninggalkan saudaranya lebih dari tiga (hari).” Bukan sahaja dalam perhubungan sosial, bahkan ibadah yang zahirnya bersifat peribadi, kita turut dianjurkan melaksanakannya secara berjemaah. Kewajipan mengeluarkan zakat sebagai imbangan ekonomi, solat pengukuh ukhwah, dan banyak lagi cabang ibadah menggambarkan betapa Islam sangat menekankan agar kita hidup bermasyarakat. Dalam keseronokan kita beramal Islami, tanpa disedari mungkin ada yang terasa hati. Justeru, pada kesempatan ini, jari disusun simbolik memohon maaf secara terbuka andai terdapat perbuatan yang menyakitkan hati, bicara mulut yang terlanjur tanpa henti, hatta buah fikiran yang tidak disenangi. Sedarilah, ukhuwahfillah wasilah dakwah dan siasah.

Ketuanan Rakyat

Setelah lima dekad merdeka, terdapat hujahan dangkal di kalangan penguasa yang tamak dengan meniupkan slogan ketuanan kaum. Persepsi negatif ini harus kita depani dengan memberikan nafas baru kepada semangat Perlembagaan yang melakarkan dengan cermat kuasa rakyat. Ketuanan rakyat yang kita maksudkan adalah demokrasi yang matang di bawah naungan raja berperlembagaan, rakyatnya perkasa, jiwanya merdeka, akalnya pintar, tindakannya dipandu oleh prinsip moral dan idealisme. Demokrasi inilah yang kita perjuangkan. Pohon demokrasi ini akan kita suburkan dengan mengajak masyarakat kembali kepada al-Quran dan Sunah. Tidak ada rakyat Malaysia yang sebegitu rendah akal budinya yang mahukan keluhuran perlembagaan dinodai dan kedaulatan undang-undang dicabul oleh gerombolan perasuah dan perompak harta rakyat sehingga sanggup menggunakan bom C4 untuk meletupkan gadis Mongolia. Seharusnya kita memperjuangkan Ketuanan Rakyat yang ditunjangi oleh Islam sebagai agama rasmi. Inilah nada pejuang bangsa tulen, berbeza dengan nasionalis baru yang melalak isu bangsa secara sempit di samping mempertahankan kezaliman dan mengaut keuntungan. Dalam konteks Malaysia, ketuanan rakyat perlu tegak di atas prinsip persaudaraan sesama manusia, tanpa mengira warna kulit, keturunan, agama dan kepercayaan. Malaysia merupakan sebuah negara yang sangat kaya dengan kebudayaan daripada masyarakat berbilang kaum. Mereka yang tidak mengenali sejarah akan terperangkap dalam seribu perbezaan sedangkan Al-Quran menganjurkan konsep li ta’arafu; agar kamu saling kenal-mengenal untuk meraikan persamaan. Kini tibalah masanya kita merebut kembali erti perjuangan kemerdekaan; perjuangan yang bertunjangkan Ketuanan Rakyat. Kita perlu melakukan anjakan paradigma bagi mewujudkan suasana yang kondusif untuk rakyat memacu ekonomi, bersiasah, dan bersosial berlandaskan syariat ‘Islam untuk semua’. Yakinlah, kemenangan Allah SWT semakin hampir menjadi milik kita. Bersedialah menghadapinya.

Sunday, March 15, 2009

Sabah Tanah Airku

Senario politik Sabah sangat menarik untuk dikaji. Bermula dengan permainan politik USNO, diteruskan oleh era BERJAYA (yang kemudiannya bertukar kulit menjadi BERSEKUTU), beralih tangan ke Parti Bersatu Sabah (PBS), diikuti sepak terajang orang Semenanjung melalui UMNO/BN hinggalah ke hari ini, Sabah masih jauh ketinggalan daripada segala segi berbanding negeri-negeri lain hatta jiran terdekat Borneo, Sarawak Bumi Kenyalang. Bapa saya, Amat Kandalang pernah berkata “Kalau nak kejar Mercedes, jangan kejar dengan Morris Minor atau pick-up Datsun, tapi kejarlah dengan Jaguar, Ferrari atau sekurang-kurangnya dengan Mercedes juga supaya tidak terlalu jauh ketinggalan”. Demikian juga halnya dengan perkembangan sosiopolitik dan sosioekonomi Negeri di Bawah Bayu ini. Sebagai rakyat jati Sabah, jika kita ingin setanding dengan tahap pembangunan negeri-negeri lain, kita mesti bersedia menyediakan barisan kepimpinan yang boleh merangka dasar-dasar praktikal yang lebih efektif. Bukan sekadar menjadi follow the followers dengan mengekalkan dasar dan kepimpinan lama yang sudah tidak relevan lagi. Saya tidak menafikan ada juga yang baik dasar-dasar yang lama itu, namun sejauh mana dasar-dasar tersebut terus signifikan dengan tuntutan rakyat Sabah keseluruhannya. Sistem penggiliran Ketua Menteri, penjualan Labuan, penguasaan orang Semenanjung, isu Yayasan Sabah, hasil kayu balak, Perkara 20 dan pelbagai lagi isu harus ditangani oleh pemimpin Sabah dengan sebaiknya melalui pendekatan ibarat “menarik rambut dalam tepung, rambut tidak terputus, tepung tidak berselerak”. Segala 1001 permasalahan yang wujud harus ditangani dengan segera melalui suatu anjakan paradigma sekalipun kita terpaksa menukar kerajaan pada PRU13 yang akan datang. Tatkala saat itu tiba, semoga Pakatan Rakyat bersedia memenuhi aspirasi rakyat berbilang kaum dan agama di bumi bertuah ini. Semoga impian ini menjadi realiti yang pasti. Ayuh, sama-sama kita berdoa.

Friday, March 13, 2009

Kedamaian

Ku rindukan cahaya si kunang-kunang
Pelita rimba hiasan gelap yang malang
Bintang yang bersinar bergemerlapan
Sang Rembulan penerang alam keceriaan

Ku rindukan mandian air di bukit
Kedinginannya menyentuh hati rawan
Burung berkicauan berlagu perit
Di sinilah ku miliki kedamaian

Rindu cahaya Sang Rembulan
Dingin angin rimba menusuk kalbu
Rindu hembusan Sang Kebayuan
Buah-buahan meranup pepohon menghijau

Merdu suara kicau burung dinginnya air terjun
Ku kembali menikmati semula
Keindahan

Ku rindu saat-saat bahagia
Tak akan mungkin pudar segar di dalam ingatanku
Biarku di sini jauh di desa bahagia telah bersemi selamanya

Genap Setahun

Genap setahun sudah penubuhan jawatankuasa penaja Ikatan Sahabat EKSAH (ISEUMS). Saya masih teringat detik manis ini bermula melalui perbincangan informal saya bersama Yang Berbahagia TNC (HEPA) setahun yang lalu. Secara lisan, beliau tiada halangan bahkan menyokong sepenuhnya penubuhan ISEUMS sebagai badan dakwah mahasiswa di kampus Negeri Bawah Bayu ini. Visi dirangka, misi dicakna, objektf dikota, wawasan bukan lagi maya, semuanya diadun menjadi satu, menjadi hala tuju perjuangan ISEUMS yang bukan lesu. Lantas, Pengerusi ISEUMS pada waktu itu, Saudara Muhd. Nadir merangka satu kertas kerja yang telah pun dipersembahkan dan mendapat kelulusan TNC (HEPA). Malangnya, tidak sampai sepenggal ISEUMS bergerak kerja, arahan keramat menyebabkan ISEUMS ‘dipenggal’ seketika. Tatkala itu, impian berkecai ibarat kaca terhempas ke lantai. Sedihnya. Namun demikian kegigihan penggerak jihad ISEUMS merencana gerak kerja sama sekali tidak membantukan usaha dakwah hatta ISEUMS ‘diharamkan’ seketika.

Lantaran itu bersempena ulang tahun pertama kemenangan yang didokongi penggerak jihad ISEUMS, maka sewajarnyalah suatu penilaian dibuat bagi mengukur sejauh manakah kesan perlaksanaan kita terhadap kemenangan yang Allah Ta’ala pinjamkan ini? Sejauh manakah pula tanggungjawab dan amanah ini telah berjaya kita galas dan laksanakan? Hujan atau panas kelangsungan perjuangan kita diukur daripada keupayaan kekal istiqamah di atas landasan yang hakiki. Selain itu apabila beroleh kuasa, apakah kita mampu melebarkan misi perjuangan sehingga menjadi sendi ke atas kehidupan mahasiswa di kampus khususnya, dan masyarakat luar amnya? Berapa ramaikah hati-hati yang telah berjaya kita sentuh untuk kembali beramal dengan kesyumulan Islam? Atau sebaliknya, semakin ramai yang menjauhkan diri dek pendekatan kita yang rigid dalam berdakwah? Nau’zubillah. Pasang atau surut kesetiaan dan sokongan mahasiswa terhadap ISEUMS terletak terhadap metodologi dakwah dan konsep program yang kita rencanakan.

Justeru, kita tidak seharusnya jemu menterjemahkan perjuangan sehingga melahirkan ahli dan pimpinan yang berkualiti, dihormati dan disegani masyarakat. Kualiti ini bukan lahir dari jelmaan peribadi tetapi penghayatan perjuangan di kalangan penggerak jihad ISEUMS. Lantas pengukuran prestasi dalam setahun ini penting bagi memastikan keupayaan kita untuk menguasai medan yang lebih luas pada masa akan datang, ‘yang positif dijadikan teladan, yang negatif dijadikan sempadan’, guna memperbaiki diri yang akrab dengan kedaifan. Saya optimis, mahasiswa UMS meletakkan harapan yang tinggi ke atas kita. Sekalipun kita enggan mengukur pencapaian kita itu, pengukuran dan perhitungan berterusan para malaikat-Nya terus sampai ke singgahsana Allah SWT siang dan malam. Marilah kita insafi bersama tugas dan tanggugjawab kita ini. Realitinya, ISEUMS perlu terus komited berdiri tegak dan kukuh dalam persada siasah kampus atas landasan perjuangannya yang keramat itu. Kita harus kuat dan berani. Ironinya, jika kita longgar dan longlai, segala-gala yang di dalam tangan tidak mustahil akan luluh dan berderai. Perjuangan yang diasaskan oleh mereka yang telah pergi medahului kita ini perlu terus relevan, dan panji-panji Islam ini perlu terus tegak berkibar di dalam gengaman tangan-tangan muttaqun yang jujur dan ikhlas. Selamat bermuhasabah.

Tuesday, March 10, 2009

Muktamar Merah-Putih

Lazimnya istilah ‘muktamar’ ini sinonim dengan label hijau putih, namun dalam wacana kali ini saya ingin meminjam istilah tersebut untuk berkongsi pandangan tentang merah putih. Kita sedia maklum golongan merah putih ini akan mengadakan Perhimpunan Agung (Muktamar) pada hujung bulan Mac ini, sekalipun ada injuksi dipohon oleh dua orang ahli mereka yang memohon Mahkamah Tinggi membatalkan perhimpunan tersebut. Muktamar kali ini dianggap antara yang menarik. Salah satu puncanya adalah kerana Presiden akan menyerahkan kuasa ‘secara rela’ kepada Timbalannya. Pada masa yang sama berlaku perebutan antara dua ‘ibu merah putih’ untuk menjadi Ketua Wanita. Kita mengharapkan agar persaingan tersebut akan berlaku secara sihat. Jangan ulangi sejarah pengharaman 1988 yang sangat menjengkelkan berikutan sikap ‘yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu’. Kewujudan Team A dan Team B harus dijadikan sejarah untuk semua ahli merah putih. Lebih menarik perhatian, apabila tiga jagoan merah putih akan berkokok merebut jawatan Ketua Pemuda. Masing-masing ada kelebihan dan cuba menunjukkan kuasa hero yang sebenarnya plastik. Apa pun yang akan berlaku, semoga muktamar merah putih akan menjadi medan muhasabah memperbaiki parti yang semakin hilang taringnya ini. Selamat bermuktamar duhai kawan dan lawan.

Masa untuk Berubah

Modul demokrasi ala-Malaysia sering dikritik oleh pendokong fahaman sains politik Barat seperti Croach (1971), James C. Scott (1972), David Truman dan sebagainya. Menurut mereka, Malaysia bukanlah sebuah negara demokrasi berikutan banyak dasar yang menunjangi prinsip kenegaraan tidak dipraktikkan di negara kita secara bebas. Misalnya, kewujudan undang-undang rimba (ISA dan AUKU), penguasaan media arus perdana oleh kerajaan, badan kehakiman yang tidak bebas, larangan berdemonstrasi dan seumpamanya (banyak lagi, tapi rasa nak ‘muntah’ nyatakan satu persatu kekejaman itu). Sekalipun kita sedia maklum kesemua itu terjamin ‘halal’ sepenuhnya dalam Perlembagaan Malaysia yang kita junjung selama ini.
Meskipun begitu, seharusnya para pemimpin Melayu yang kita cintai sedar hakikat sesebuah masyarakat perlu bertransformasi mengikut situasi dan masa. Saya yakin kita mampu beradaptasi dengan situasi. Jika dulu, ISA digazetkan untuk melumpuhkan gerakan komunis sekitar tahun 1970-an, kini ramai yang beranggapan ISA tidak relevan lagi. Takkanlah akta itu pula kini sesuai ditalakan kepada para pemimpin pembangkang (dan koncu-koncunya) yang mengkritik dasar negara? Apalah salahnya jika ISA (hatta AUKU) dimansuhkan selaras dengan citra rakyat Malaysia yang semakin matang berpolitik dan bernegara. Jika tidak, kita jangan megah bercakap di arena global kononnya Malaysia sebuah negara demokrasi.
Demikian juga halnya dalam kempen pilihan raya. Sejak tragedi hitam 13 Mei 1969 meninggalkan kita hampir 40 tahun, masanya sudah tiba kita membuka ruang seluasnya kepada ahli politik yang bertanding (khususnya di negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung Malaysia) untuk berkempen secara terbuka. Saya percaya, kalau selama ini dunia Barat mengkritik kita sebagai tidak demokratik kerana menyekat kebebasan berkempen, maka adalah wajar dibuka semula kempen terbuka sewaktu pilihan raya untuk menutup pandangan bias mereka terhadap kita. Tentunya saya optimis, rakyat Malaysia tidak akan bersikap seperti zaman tahun 1960-an dahulu yang mudah bercakap isu sensitif. Jika rakyat membantah PPSMI, maka kembalikanlah kedudukan bahasa Melayu. Kita perlu berubah dan sentiasa sedia untuk berubah!
Begitu juga aspek-aspek yang menjadi bahan kritikan utama dunia terhadap Malaysia seperti media massa dan bidang penyiaran yang dimonopoli oleh kerajaan. Selaras dengan aspirasi rakyat Malaysia yang berbilang kaum, yang semakin matang dan dan hormat-menghormati, maka apa salahnya jika pihak kerajaan melonggarkan sedikit cengkaman diktator terhadap media massa tempatan supaya bersifat lebih bebas. Hal ini penting untuk menampakkan Malaysia lebih demokratik kalau tidak pun benar-benar demokratik. Kalau kita boleh menerima internet dan siaran dari seluruh dunia (hedonisme melampau) hatta PTI yang berjuta jumlahnya (mungkin menjadi pengundi hantu), maka apalah salahnya kalau kita bukakan dasar penyiaran negara supaya tidak dituduh hanya memihak kepada pemerintah sahaja. Jika kita bersedia dengan perubahan ini sudah pasti banyak caranya. Bak kata pepatah “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”. Selamat datang Malaysia Baru.