Thursday, April 30, 2009

Warna-warni Ceria

Apabila aku teringat saat kita bersama
Pelbagai kenangan yang indah menjelma
Kisah suka dan duka kita harungi semua
Mengajar kita erti dewasa

Ketika aku berduka kaulah penawarnya
Saatku perlukanmu kau hulurkan bantuan tanpa dipinta

Pelangi di awan tinggi
Hujan turun membasahi bumi
Bias cahayanya warna-warna ceria

Mulakan hidup gembira
Usahlah kau berduka hilangkan keresahan di jiwa
Lupakan kisah yang lalu
Kita bina hidup baru hadirlah kenangan di kalbu

Friday, April 24, 2009

Pulangkan Segera

Cepatnya masa berlalu. Rasa macam baru semalam menjejak kaki di UMS (‘Universiti Masalah Selalu’. Ops! Universiti Malaysia Sabah) yang tersergam indah ini. Tanpa disedari hanya tinggal dua minggu sahaja saya berada di sini sebelum angkat kaki melangkah pergi. Terlalu banyak peristiwa pahit, manis, masam, masin dan yang sama waktu dengannya hadir menerjah menghiasi perjalanan bergelar mahasiswa. Peluang yang diberikan Allah Ta’ala untuk saya menjadi penggerak dakwah di kampus amat saya syukuri. Apatah lagi saya berpeluang menjadi pimpinan formal dan informal yang menjadi tiket untuk saya menghadapi sepak terajang politik kampus guna mendepani kehidupan realiti di luar sana. Makin bertambah ilmu, makin terasa khilafnya diri selama ini. Seolah-oleh belum cukup lagi ilmu di dada untuk menghadapi karenah masyarakat yang penuh ragam. Saya akan gagahinya. Sepanjang empat tahun menjalankan ukhwah fillah bersama kawan dan lawan terasa banyak terhutang budi dengan kalian. Pada kesempatan ini saya memohon seribu kemaafan atas kedaifan diri. Mohon ihsan kawan dan lawan jika saya pernah terhutang budi, terpinjam barang, termakan dan terminum, agar dihalalkan segera. Allah SWT sahaja yang mampu membalas kebaikan kalian. Hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati. Namun jika ada yang ingin menuntut jangan segan hubungi saya melalui blog ini. Insya Allah jika mampu saya bayar, akan saya lunaskan segera. Khuatir benar hidup berhutang, bimbang syurga akan menendang. Istimewa juga untuk kawan dan lawan yang pernah berhutang dengan saya, insya Allah telah lama saya halalkan, tapi jika berhajat menjelaskan jangan segan untuk menghubungi saya. Bagi yang meminjam, terpinjam, atau terambil (tanpa izin) barang-barang kepunyaan saya seperti baju, buku, CD, DVD, garpu, sudu, dan yang seiringan dengannya – tolonglah pulangkan segera! Saya pula yang aib untuk menagih berulang kali. Ayuh, sama-sama kita baca dan aminkan doa ini.

“Ya Allah, kami berlindung kepada-Mu daripada rasa sedih dan gelisah.

Kami mohon perlindungan kepada-Mu daripada sikap pengecut dan bakhil.

Kami berlindung daripada cengkaman hutang dan penindasan orang. Ameen.”

Thursday, April 23, 2009

Thailand Bergolak Lagi

Bulan Mac terus hangat dengan pergolakan politik di selatan Thailand. Begini ceritanya. Dalam pilihan raya umum yang lalu, kumpulan pro-Thaksin menang. Kalau mengikut undang-undang, mereka berhak menubuhkan kerajaan dan memerintah. Tetapi masalahnya Thasin ditolak di bandar-bandar dan oleh golongan kelas menengah. Ada banyak isu terhadap Thaksin, misalnya kes pengelakan cukai di luar negara dan isu politik wang yang menjejaskan kebersihan Thaksin. Natijahnya, tunjuk perasaan golongan berbaju kuning yang anti-Thaksin membawa kepada rampasan kuasa di Bangkok oleh tentera yang disokong oleh istana. Setelah beberapa lama di bawah tentera, pilihan raya umum diadakan tetapi golongan Thaksin menang semula. Sudah tentu senario ini menimbulkan rasa tidak puas hati oleh penentangnya. Dalam keadaan ini, penentang Thaksin berbaju kuning mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran bagi memaksa pengunduran perdana menteri yang dipilih. Maka akhirnya kerajaan itu tumbang. Setelah berkira-kira sekian lama maka yang muncul di Parlimen ialah seorang perdana menteri di kalangan penentang Thaksin. Giliran Thaksin tidak berpuas hati, maka tunjuk perasaan berlaku secara besar-besaran. Suasana tidak stabil akan terus berlaku.

Justeru, sistem demokrasi mesti dihormati dengan prinsip-prinsipnya dipatuhi. Jika tidak, sebahagian rakyat tidak akan dapat menerimanya yang akan membawa kepada tunjuk perasaan dan suasana tidak stabil seperti yang berlaku di Thailand. Tidak mustahil berlaku di Malaysia. Sememangnya setiap negara mempunyai ciri-ciri tersendiri, memiliki undang-undang yang berbeza berhubung perlembagaan yang akan menurut tradisi dan keadaan masyarakat masing-masing. Namun begitu, prinsip asas demokrasi adalah sama di semua tempat, rakyat diutamakan; seperti slogan retorik PM keenam. Demokrasi adalah pemerintahan rakyat. Sistem monarki diamalkan juga di sebahagian daripada negara-negara demokratik termasuk negara Ibu Segala Parlimen iaitu Britain. Harus diakui sistem Raja Berperlembagaan meletakkan Ketua Kerajaan yang dipilih rakyat sebagai yang memiliki kuasa. Kuasa itu pula datang sebagai mandat daripada kepercayaan majoriti anggota dewan perundangan. Sememangnya ahli-ahli dewan pula memperoleh mandat daripada pengundi. Rakyat pula menyokong seseorang calon atas tiga sebab. Pertama, perwatakannya, mindanya dan latar belakangnya sebagai individu. Kedua, parti yang diwakilinya. Ketiga, gabungan yang disertai oleh partinya.

Jika seseorang wakil rakyat keluar daripada partinya, dari segi prinsip demokrasi, dia patut meletak jawatan dan bertanding semula bagi mendapatkan mandat baru. Hal ini kerana pengundi memilih calon bersama parti dan gabungannya. Begitu juga jika dia dipecat, dia patut meletak jawatan. Jika partinya keluar gabungan, maka wakil rakyat berkenaan patut meletak jawatan juga. Hal ini kerana kita maklum para pengundinya memilih atas gabungan berkenaan. Jika prinsip-prinsip ini tidak diikuti, maka pasti sebahagian rakyat tidak puas hati dan jika keadaan perasaan tidak dapat dikawal, maka mereka akan tunjukkan perasaan mereka melalui perhimpunan-perhimpunan. Hanya keadilan dan mematuhi prinsip demokrasi akan membawa kepada kestabilan. Tunjuk perasaan golongan baju merah yang pro-Thaksin di Thailand menjejaskan bukan saja negara itu tetapi juga ASEAN. Tragedi hitam ini wajar menjadi pengajara untuk rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi hubungannya dengan soal pergolakan politik di Perak. Sudahkah YB Zambry dan Y.A.B Dato’ Nizar Jamaluddin mengambil ibrah daripada pergolakan ini? Saya khuatir dengan krisis politik di negeri yang pernah merakamkan kematian J.W.W Birch itu. Sejarah mungkin berulang.

Saturday, April 18, 2009

Memilih untuk Terpilih


Islam itu sejahtera,
Al-Quran itu sempurna, As-Sunnah itu pusaka
Manusia itu lupa, iman teori semata, apatah lagi takwa

Lalu dimanakah kita?
Imam Hassan Al-Banna sudah merasa

Mampukah kita bersamanya?
Menikmati kebahagiaan di syurga.

Siput Babi mengekori setiap masa
Membantutkan gerak kerja tanpa ada yang memaksa

Namun apakan daya diri hamba
Hanya mampu berdoa dan pasrah segalanya

Wednesday, April 15, 2009

Ampun Tuanku

Ampun Tuanku. Kewujudan sistem Raja Berperlembagaan yang menjadi teras pemerintahan negara hingga ke saat ini merupakan satu keistimewaan yang harus dijaga dan dipelihara agar tidak menjadi sokongan yang membawa rebah. Keturunan Tuanku mempunyai hubungan yang rapat dengan Islam hingga mengubah corak pemerintahan; beralih dari pemerintahan berpaksikan individu kepada pemerintahan berpaksikan undang-undang. Undang-undang Melaka menjelaskan bahawa martabat tinggi seseorang Sultan dinilai dari sudut amal makruf baginda yang berlaku adil. Konsep adil dapat ditafsirkan sebagai menepati semangat perjanjian antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba yang dijadikan 'magna carta' Melayu bertuankan 'Raja adil, Raja disembah'.


Ampun Tuanku. Ingatlah Tuanku, hakikat kedudukan dan kuasa adalah anugerah dan amanah daripada Allah SWT yang menjadi ujian Ilahi di kalangan hambanya yang terpilih. Kedudukan ini tidak sama sekali boleh disalahgunakan dan kuasa yang ada perlu digunakan secara adil untuk menegakkan keadilan. Berpeganglah kepada prinsip, bahawa kuasa yang diamanahkan tidak harus mengatasi kuasa Ilahi. Musyawarah adalah budaya berkerajaan dalam sistem beraja dan budaya bernegara menurut amalan Islam di samping menghormati pilihan rakyat. Ekonomi berpaksikan pengetahuan memberikan satu kemerdekaan baru bersumberkan intelek sekali gus mengurangkan keperluan insan mendapat naungan. Pengetahuan agama menyedarkan marhean bahawa terdapat kuasa yang Maha Agung di atas segala kuasa dan kerajaan di dunia.


Ampun Tuanku. Tuanku perlu memiliki hikmah merangkai yang lama dengan yang baru untuk membawa pembaharuan di samping memelihara tradisi. Tuanku harus bersedia membolehkan berlakunya perubahan dalam rangka kesinambungan budaya dan berkewajipan mengizinkan modenisasi tanpa melupus kekayaan adat yang kekal diwarisi. Biar apa pun sistem Raja itu dilandaskan, peranan Tuanku bukanlah sekadar menjadi simbol untuk melaksanakan tugas-tugas kerajaan dan istiadat semata-mata. Tuanku bukanlah monumen hiasan yang kaku-tanpa nyawa-tanpa jiwa. Tuanku juga bukan alat yang mudah dieksploitasi oleh kerajaan/parti tertentu seperti yang berlaku di Darul Ridzuan. Justeru, hamba bermohon agar Tuanku memperlihatkan watak tegas, bijaksana, adil dan saksama dalam memerintah wilayah

Thursday, April 2, 2009

Lepak Islami

Budaya lepak bukan budaya baru. Rasulullah s.a.w tidak suka mereka yang berada di tepian jalanan. Maka, baginda tegah para sahabat membuat pekerjaan yang sia-sia di tepi jalan itu. Tapi jika kita mahu berlepak-lepak juga, hendaklah kita melaksanakan 'hak-hak jalan' itu. Maka, termasuk dalam hak jalan itu ialah menjawab salam! Dari Abi Sa'id Al-Khudriy r.a Rasulullah s.a.w bersabda: "Jauhilah duduk-duduk di pinggir jalan!" Sahabat berkata, "Ya Rasulullah, kami tidak boleh meninggalkan majlis kami ini dan juga bercakap-cakap dalamnya." Rasulullah berkata, "Kalau enggan meninggalkannya, maka beri hak jalan itu." Sahabat bertanya, "Apakah hak jalan itu ya Rasulullah?" kata Rasulullah, "Tundukkan pandangan, singkirkan gangguan di jalan, jawablah salam dan melakukan amar ma'ruf nahi mungkar." (Muttafaq 'alaih). Perbuatan duduk di tepi jalan atau minum-minum petang di kedai kopi dan berbual-bual itu tergolong dalam istilah budaya lepak dalam masyarakat kita. Rasulullah cuba mengelakkan kita, tapi jika hendak melakukannya, maka hendaklah menunaikan hak jalan dengan mermberi salam. Dakwah perlu bermula di tempat lepak juga misalnya Hassan Al-Banna pun memulakan dakwah di kedai-kedai makan, kedai kopi, tempat berkembangnya budaya lepak dengan begitu berleluasa. Ceramah dan khutbah di masjid saja tidak cukup menyekat arus kemungkaran dalam masyarakat. Lebih ramai massa yang memerlukan seruan dakwah, tetapi mereka sukar menuju ke masjid dengan sebab perawakannya yang menyebabkan mereka sendiri sukar menuju ke masjid. Negara Islam terbina oleh masyarakat Islam bawahan yang perlu diislamkan sepenuhnya. Bagaimana kita mahu mengislamkan orang Islam daripada sudut jiwanya dan pemikirannya. Hal ini kerana masih ramai orang Islam, tetapi sikap mereka seperti Yahudi, pemikiran mereka Nasrani, dan akhlak mereka tidak mengikuti saranan nabi. Sesungguhnya, Islam bermula daripada salah satu 99 nama Allah yang baik, iaitu As-Salaam. Salam perlu disebarluaskan ke seluruh alam, lorong-lorong kecil, tempat mahasiswa yang kering jiwanya akibat sudah lama hidup dibelenggu oleh materialisme. Inilah salah satu metodologi dakwah.

Wednesday, April 1, 2009

Regatta Lepa


Meriah sungguh Reggata Lepa

Temasya di bumi Semporna

Setiap tahun kita rayakan

Mengeratkan perpaduan

Lepa menjadi lambang budaya

Masyarakat kaum di Semporna

Berbagai jenis bentuk rupa

Aneka ukiran warna

Kipas-kipas berkibar gemuruh

Sambu layang juga saling guruh

Menyambut tetamu yang berkunjung

Ucapan selamat datang

Warisan generasi budaya

Kebanggan rakyat jelata

Haruslah kita pertahankan

Khazanah bangsa kenegaraan