Thursday, August 27, 2009

Bahaya Fitnah

Fitnah adalah peringatan RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam kepada umatnya. Fitnah disinonimkan dengan dekatnya kejadian kiamat dan kehancuran dunia untuk selama-lamanya dengan kehadiran alam akhirat yang dijanjikan Tuhan. Peperangan dan pembunuhan menjadi mudah kerana gagalnya manusia mengawal bahang fitnah yang sedang menyala dengan rakus sekali. Senario ini menjadi lebih dahsyat apabila fitnah itu meruncing dalam kalangan umat Islam sendiri, seperti yang berlaku di Pakistan, Iraq dan bumi Palestin hari ini. Umat Islam adalah saksi Allah di bumi ini. Itulah peranan yang hilang dalam kehidupan akhir zaman hari ini.

Abdullah bin Ubay lebih bersalah di Madinah saat hidup bersama RasuluLlah. Beliau melakukan kerja fitnah dan kerosakan yang hampir sekali menggugat kestabilan kerajaan pimpinan baginda sendiri. Isteri baginda difitnah lebih dahsyat daripada fitnah yang menimpa DSAI beberapa tahun lepas di Malaysia. Tetapi hukuman berlaku tanpa pertumpahan darah. Kenapa? Sebab, Abdullah bin Ubay adalah seorang muslim walaupun beliau seorang penipu yang diketahui jelas penipuan syahadahnya. Begitulah Islam meletakkan hukuman bagi memastikan keharmonian dalam dunia Islam. Tiada jihad ke atas sesama muslim sehinggalah berlaku pemberontakan yang membakar keharmonian itu. Saat itu, darah pemberontak menjadi halal. Ini dunia Islam. Undang-undang sebuah kerajaan Islam.

Di negara kita dan di negara-negara umat Islam hari ini, walaupun diperintah oleh muslim yang berotak penjajah yang menolak ketuanan Al-Quran sebagai perlembagaan kehidupan dan negara, hukum ini terus berjalan. Pemberontakan atas alasan agama sekali pun adalah salah dan terlarang. Teras hikmahnya adalah mengelak pertumpahan darah dan fitnah yang pasti lebih merosakkan dan menghancurkan kehidupan umat Islam. Ini sehinggalah berlaku dan menjadi nyata dan terang kekufuran pihak pemerintah. Contoh kes seperti pemberontakan Sultan Aurengzeb (digelar Umar Abdul Aziz India) ke atas ayahandanya sendiri, Raja Akbar (pembina Taj Mahal) dengan menangkap, mengurung dan merampas kuasa kerajaan Islam India yang dipenuhi kecemerlangan dan keadilan selepas itu.

Kezaliman wajib ditentang tetapi bukan dengan pertumpahan darah. Hak adalah milik pemerintah sebagaimana juga milik rakyat. Yang dizalimi adalah lindungan Allah manakala penzalim adalah teman syaitan. PAS yang menjadi pembangkang kepada kerajaan pimpinan UMNO sering dituduh sebagai pemberontak di negara umat Islam. PAS menafikan sekeras-kerasnya. PAS mengharamkan penentangan bersenjata di negara sendiri. PAS telah dizalimi dan saatnya yang tertentu, ahlinya ditembak dan dibunuh, lalu tidak diadili seadilnya. Ingat peristiwa Memali yang menyaksikan pembunuhan ala Masjid Merah itu. Pernahkah PAS memfatwakan pembalasan dengan pembunuhan juga. Tidak! Kita pencinta kedamaian. Yakinlah, Allah pasti memelihara hizbuLlah yang berjuang untuk-Nya daripada fitnah yang melata di bumi muslimin hari ini.

Monday, August 24, 2009

Puasa Ramadhan

Salam Ramadhan El-Mubarak.
Hikmat itu berbunyi, ini bulan Ramadhan, bukan bulan puasa. Masyarakat kita memanggilnya bulan puasa yang mengakibatkan kurangnya penghayatan terhadap bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan bukan sekadar bulan puasa, bahkan bulan ini adalah bulan yang penuh kelebihan yang sungguh gilang-gemilang. Jadi, serulah bulan ini dengan nama bulan Ramadan, bukan bulan puasa. Bulan Ramadhan dipilih untuk umat Nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam secara khusus. Sebelumnya, umat terdahulu mengenal kelebihan hanyalah milik bulan-bulan yang haram iaitu Zulqaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rajab (lihat at Taubah: 6). Tiada bulan Ramadhan yang dikenali kebesarannya sehinggalah perutusan junjungan besar Rasul Agung kita.

Taqwa itu sukar. Tiada jalan pintas menuju taqwa melainkan istiqamah dan sabar untuk memperolehinya. Sukar, tetapi Allah tidak menghendaki kesukaran buat hamba-Nya. Allah menghendaki kemudahan untuk hamba-Nya. Taqwa itu sukar, tetapi Allah telah mempermudahkannya. Berpuasalah. Anda akan menikmati rasa taqwa di dada (Lihat al- Baqarah: 183). Berpuasalah sepanjang bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharap redha daripada-Nya. Kecapilah rasa taqwa. Tiba-tiba al-Quran mendatangi anda. Dia mencintai anda dan anda mencintainya. Ramadhan adalah bulan al-Quran, Ramadhan mahal kerana al-Quran, bukan kerana puasa. Puasa hanyalah kenderaan menuju taqwa yang didamba al-Quran.

Insan berharga kerana unsur rohnya. Dengannya kita terbang meninggi ke langit meninggalkan segala mahluk di bumi. Ia mencari kebahagiaan abadi di sisi Tuhannya. Itulah keadaan mereka yang memahami. Kadang-kala manusia melupai rohnya. Lantas manusia menjadi seperti babi menyondol bumi mencari kekenyangan perut dan nafsu. Natijahnya, manusia terpenjara di dalam bekas yang membaluti roh samawinya. Justeru bagaimanakah kita menyedarkan diri dengan perlakuan kebinatangan ini? Kekanglah nafsumu dengan berpuasa. Nafsumu akan menjadi lemah dan longlai dalam ikatan memenjara dirimu. Saat itu roh menjadi gagah untuk mendongak keluar membawamu ke alam tinggi melepasi lumpur duniawi. Selamat menghayati bulan Ramadhan yang penuh keberkatan. Ramadhan Karim.

Tuesday, August 18, 2009

Ketibaan Ramadhan

Salam Wasilah Ukhuwah Fillah
Sejak bertugas sebagai guru di sebuah sekolah swasta 'bertaraf mewah' di Lahad Datu ini saya mulai sibuk memikirkan agenda pendidikan nasional sehinggakan lupa medan dakwah maya yang saya miliki ini. Mohon maaf kepada pengunjung sama ada kawan atau lawan (seperti YB UMNO Silam) kerana lama tidak bersua. Secara peribadi, saya amat menghargai setiap pengunjung yang hadir ke blog ini apatah lagi sudi menitipkan kritikan atau komen secara hikmah. Teruskan hasil kreativiti anda bagi menampung perjalanan blog Muslimin Agung ini. Bersempena dengan ketibaan bulan pesta ibadah, Ramadhan Al-Mubarak, saya dan keluarga mengucapkan selamat menikmati ganjaran ibadah yang cukup 'ranum buahnya' untuk kita petik di akhirat kelak. Peliharalah amalan kita agar istiqamah di jalan dakwah. Kepada para Jundullah PAS yang akan berjuang di medan jihad Parlimen Permatang Pauh, teruskan komitmen anda sebagaimana usaha kita mencari redha Ilahi. Buktikan Ramadhan ini, anda produktif, dinamik, aktif bekerja, dan tidak terjejas untuk melakukan apa sahaja, termasuk mungkin turun berkempen di Dun Permatang Pasir! Hancurkan kuffar UMNO! Umat Islam pasti cemerlang.

Wednesday, August 5, 2009

Tombo Hati (Penawar Hati)

Ubat hati ada lima perkaranya
Yang pertama baca Al-Quran dan maknanya
Yang kedua solat malam dirikanlah
Yang ketiga berkumpullah dengan orang soleh
Yang keempat berbanyaklah berpuasa
Yang kelima zikir malam berpanjanglah
Salah satunya siapa bisa menjalani
Moga-moga Allah Ta’ala mencukupi

Tuesday, August 4, 2009

Istidraj Kekayaan

Saya pasti ramai yang mengimpikan untuk menjadi kaya hatta bergelar jutawan suatu hari nanti. Bagi golongan yang beriman sudah pasti mengharapkan harta kekayaan yang penuh keberkatan dan bukannya malapetaka berbentuk istidraj yang akhirnya memakan tuan. Istidraj bererti suatu pemberian daripada Allah yang tidak direstui-Nya atau ibarat umpan yang diletakkan di dalam perangkap. Jika perangkap itu perangkap tikus, maka tujuannya adalah untuk memerangkap haiwan perosak itu. Tikus yang terpedaya dengan umpan akhirnya terperangkap ketika sedang asyik menikmati makanan yang tidak disedari berupa umpan itu. Malang sungguh nasib tikus itu.

Sebagai manusia yang dikurniakan akal kita sudah pasti boleh mengelakkan diri daripada senasib malang seperti Si Tikus itu. Oleh yang demikian jika seseorang itu dikurniakan kesenangan harta, pangkat atau kekuasaan, sewajarnyalah sering kali timbul pertanyaan di dalam hatinya, “adakah harta, pangkat atau kekuasaan yang dianugerahkan Allah itu sebagai suatu kurnia yang memberikan kebajikan untuk dirinya di dunia mahupun di akhirat atau semua itu suatu istidraj yang memerangkapnya di akhirat kelak?” Jika seseorang sentiasa berada di tahap itu nescaya dia tidak akan lalai sebaliknya akan mensyukuri nikmat tersebut dengan memanfaatkan pemberian Ilahi untuk tujuan kebaikan semata-mata.

Para ulama berpendapat nikmat kurniaan Allah SWT wajar diperlihatkan. Dalam hal ini terdapat perbezaan tindakan antara orang zahid dan tidak zahid bagi mensyukuri nikmat Ilahi. Lazimnya orang yang tidak zahid akan memperlihatkan kekayaan dalam bentuk kemegahan seperti membina rumah mewah, membeli kereta besar, memiliki harta hasil riba dan sebagainya seperti mana yang biasa diamalkan oleh para YB BN khususnya YB UMNO yang menyebarkan virus politik H1N1. Ironinya bagi orang yang zahid pula mereka memperlihatkan tanda-tanda nikmat Tuhan dengan melakukan kebajikan seperti menubuhkan yayasan untuk membela nasib anak-anak yatim dan golongan miskin. Sekalipun mereka memiliki rumah besar atau kereta mewah, nikmat itu digunakan bukan untuk kepentingan diri semata-mata sebaliknya untuk kepentingan perjuangan seperti mengadakan kuliah agama, usrah, dan sebagainya seperti mana yang diamalkan oleh para YB Pakatan Rakyat khususnya YB PAS. Hijau semakin cerah.