Wednesday, January 28, 2009

Kembara di Australia

Peluang yang diberikan oleh pihak KPT kepada Alumni MPP Sesi 07/08 untuk mengadakan program pengantarabangsaan saya manfaatkan sepenuhnya. Bukan mudah mendapat peluang keemasan seumpama ini sekalipun timbul kontroversi di kalangan mereka yang (mungkin) dengki dan iri hati atau tidak mengerti. Saya mengambil keputusan yang bercanggah dengan prinsip saya selama ini. Pada hemat saya, keputusan organisasi lebih utama berbanding kepuasan diri sendiri. Takdir Allah menentukan segala-galanya. Tangal 13 Januari 2009 saya bersama 23 Alumni MPP yang lain diiringi tiga pegawai pengiring dan seorang ejen pelancong daripada Tabung Haji Travel & Service berangkat ke Melbourne, Australia. Penerbangan yang memakan masa lapan jam itu amat memenatkan. Pengalaman pertama kali solat dalam kapal terbang dan bercasa harmoni. Mujurlah telatah Chua Yong Wei yang berlagak seperti pramugara (bukan pramulagho) sepanjang penerbangan banyak menceriakan suasana.
Sebaik mendarat di Lapangan Terbang Melbourne kami mengaktifkan waktu masing-masing mengikut waktu tempatan. Waktu di telefon bimbit saya setkan awal tiga jam daripada waktu Malaysia mengikut waktu tempatan di Melbourne manakala jam tangan silver (hadiah Anugerah Kepimpinan Kolej sempena Malam Penghargaan HEP) saya kekalkan mengikut waktu di Malaysia. Perasaan gusar mencengkam tatkala melihat betapa rigidnya pemeriksaan dan kawalan keselamatan oleh pihak Kastam di sana. “Bukan apa bang, diaorang buat macam ni tanda diaorang sayang rakyat dan negara.” Hilal melontarkan idea sewaktu saya mengomel perihal pemeriksaan yang menyusahkan itu. Ada benarnya juga. Patutlah Australia jarang menghadapi wabak atau virus yang membahayakan haiwan ternakan, tumbuhan hatta rakyatnya juga. Manakan tidak, kasut yang berlumpur akan dibuka atau ditanggalkan saja! Ketibaan kami disambut mesra oleh ejen di sana dan seorang pemandu bas yang sangat peramah orangnya, Uncle Micheal (saya memanggilnya Pak Mikail). Pak Mikail ini suka berseloroh.
Setibanya di lobi hotel, Haminuddin memberi penerangan ringkas tentang Program Delegasi Mahasiswa ke Australia. Kami dijadualkan akan ziarah di empat tempat iaitu Melbourne, Canberra, Sydney, dan Brisbane. Setiap tempat yang kami kunjungi itu akan disertai dengan lawatan ke universiti-universiti dengan objektif percambahan idea untuk dibentangkan kepada pihak pentadbiran UMS guna menaiktarafkan sistem dan kemudahan yang kita miliki kini untuk manfaat 10, 000 pelajar yang lain. Pembentangan tersebut dijadualkan pada 24 Februari 2009 di Bilik Mesyuarat Canselori, Aras 6 jam 9.00 pagi. Justeru, saya menjemput sahabat-sahabat mahasiswa yang ingin mendengar atau berkongsi pengalaman kami di Australia untuk hadir ke pembentangan tersebut. Jemputan ini khusus kepada mereka yang antigonis terhadap program lawatan tersebut sehingga sanggup melontarkan fitnah dan melakukan pembohongan. Pada sesi pembentangan tersebut kami dijadualkan akan membentangkan hasil lawatan ke universiti-universiti tersebut dalam aspek perkhidmatan pelajar, sistem akademik, pengurusan aktiviti pelajar, dan yang sama waktu dengannya. Idea-idea tersebut akan berkembang dalam bentuk yang sungguh luar biasa dan berbeza daripada yang asal. Sekalipun lapan hari bergelar Australia Man, hakikatnya kami masih boleh kekal komited sebagai mahasiswa Muslim walau pun hidup di bumi asing. Indahnya alam ciptaan Tuhan.

Monday, January 26, 2009

Semester Akhirku

Tanpa disedari, pejam celik, saya sudah pun berada di tahun akhir pengajian. Masih ada tujuh subjek yang perlu dihabiskan dengan durasi 19 jam kredit untuk semester kelapan ini. Semuanya menarik belaka. Lazimnya pelajar tahun akhir bagi pelajar pendidikan (SPPS) akan menduduki maksimum empat atau lima kursus, saya pula sebaliknya. Amanah yang saya pikul sewaktu menjadi pimpinan pelajar (YDP Kolej AB sewaktu tahun dua, Setiausaha Agung MPP sewaktu tahun tiga) menyebabkan saya kurang mengambil subjek mengikut yang dijadualkan oleh SPPS. Natijahnya, saya terpaksa menghabiskan kesemua kursus tersebut pada akhir semester ini. Debaran pembukaan semester bermula apabila kami dikhabarkan kursus Sejarah Politik Malaysia: 1957 – 2000 tidak ditawarkan untuk semester ini. Alhamdulillah dengan diskusi yang diadakan bersama pihak SPPS, Dekan membenarkan kami mendaftar kursus tersebut. Kursus Sejarah Uthmaniyyah merupakan kursus yang sangat saya minati kerana Sejarah Turki amat dekat di hati saya berikutan keruntuhan Khilafah Islamiyyah dek kerakusan Mustaffa Kamal laknatullah; menarik hati saya untuk lebih mendalami suka dan duka perjuangan Islam di sana. Saya akan pastikan untuk skor cemerlang dalam subjek ini. Lima subjek yang lain merupakan subjek wajib sekolah iaitu Kemahiran Berbahasa Malaysia dalam Pendidikan, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Pengurusan dan Pentadbiran Pendidikan, Penilaian dalam Pendidikan, Komputer dan Multimedia dalam Pendidikan. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada saya untuk menyelami dan memanfaatkan setiap subjek semester ini. Fokus saya semakin cerah hatta hati saya semakin gundah menanti kemunculan FKI. Doakan agar saya terus berkelapangan untuk berkongsi apa sahaja yang saya perolehi. Semoga Allah melorongkan saya untuk hasrat sekecil ini kerana saya bimbang keputusan bekalan untuk terus berkongsi ilmu Ilahi bersama para pembaca sekalian.

Sunday, January 25, 2009

Sahutlah Seruan Itu

“Bang, kenapa saya yang dipilih jadi ajk program tu?”. “Asif (maaf) syeikh, ana tak layak untuk jawatan itu”. “Kenapa asyik-asyik saya sahaja yang dilantik jadi Pengarah. Penat sudah ni!”. Peritnya hati ini tatkala mendengar keluahan sahabat-sahabat dalam gerak kerja platform. Apatah lagi saya merupakan individu yang bertanggungjawab menentukan posisi sahabat-sahabat dalam setiap program platform agar setiap ‘bebanan’ gerak kerja dapat diagihkan setulusnya. Pada masa yang sama, saya akui kedaifan ilmu dan kurang bijaksananya saya membaca suasana menyebabkan ada sahabat yang berasa terbeban dan terasa hati dengan tindakan saya yang dianggap mementingkan diri. Berasa terbeban kerana terlalu banyak kerja yang hendak dilunaskan dan terasa hati kerana tidak terplilih menjadi ajk. Kalaulah sahabat itu tahu mesti dia akan malu. Memang sukar untuk membantu jika yang bermasalah itu rasa dirinya tidak perlu dibantu. Namun tidak semua begitu. Lega rasa di hati apabila ada sahabat yang cuba memahami dan memudahkan gerak kerja. Sekurang-kurangnya, rasa rawan di hati tertawan dengan mulianya akhlak dan pekerti sahabat yang baik itu. Semoga Allah Ta’ala membalas kebaikanmu, sahabatku. Bagi yang tidak mengerti, saya doakan agar Allah Ta’ala memberikan kefahaman dan keikhlasan kepada hati-hati mereka agar memahami apa yang saya fahami. Peritnya tatkala disalahertikan. Bak kata Jaz’s, “beratnya suatu pertuduhan”. Insya Allah, akan saya palu gendang supaya kalian menari mengikut irama dan lagu wang merdu itu agar kita sehati berdansa menuju puncak redha Ilahi.

Saturday, January 24, 2009

Salju Kasih-Nya Di Bumi Australia

Di dalam jiwaku disirami salju kasih-Mu
Aku susuri jalan-Mu hatta ranjau berliku
Cinta-Mu abadi untukku perjuangankan
Di bumi asing yang baru aku tawan

Tatkala hati sarat merindu
Aku bertafakur di hadapan-Mu
Deraian air mata gugur dalam sujudku
Betapa agungnya cinta-Mu
Dihembus lembut bayu Australia milik-Mu

Gelora silam tak bisa terpadam
Namun harapan menggunung di hati
Gelora kasih tak mungkin terluput
Kerana hatiku merantau jauh
Ingin bertemu dengan-Mu

Rindu mencengkam jiwa yang rawan
Sebak di dada tiada tertahan
Hanya kepada-Mu Tuhan
Aku serahkan diri ini dengan ketulusan
Turunnya salju sewangi raihan
Tiada setanding hujan di bumi kelahiran

Friday, January 23, 2009

Kabinet Bayangan 2020 (Versi Pakatan Mahasiswa)

Perdana Menteri
Dato' Hasanal bin Hassan Alban

Timbalan Perdana Menteri
Dato' Mohd. Hafiz bin Ab Gani

Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Hal Ehwal Ekonomi – Datuk Hilal bin Azmi
Hal Ehwal Agama Islam – Datuk Muhd. Nadir Al-Nuri bin Kamaruzaman
Hal Ehwal Undang-Undang – Datuk Mohd. Farizul bin Sunarriyo
Hal Ehwal Parlimen – Dato' Sri Mohd. Afizul bin Mohammad
Hal Ehwal Masyarakat Sabah/Sarawak – Tan Sri Azrul bin Ibrahim

Menteri Dalam Negeri - Tan Sri Mursidi bin Amat
Menteri Kewangan I - Nur Nadia Amira binti Mohd. Nasir
Menteri Kewangan II - Goh Wei Li
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri - Datuk Shahirla Azmin binti Kadir
Menteri Pelajaran - Ir. Yan Chin Fei
Menteri Pertahanan - Datuk Mohd Inmran bin Sahul Hamid
Menteri Luar Negeri - Datuk Wong Jieh Jing
Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi - Lawrence Liau Keng Fung
Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan - Datuk Seri Panglima Mosimar bin Abu Bakar
Menteri Pengajian Tinggi - Dr. Suhaini binti Saung
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani - Prof. Datuk Mohmmad Noorhafiz bin Mohd. Nasir
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi - Datuk Mohd. Afiq bin Mahat
Menteri Pelancongan - Datuk Huzailah binti Abd. Lasani
Menteri Wilayah Persekutuan - Datuk Nur Nadiah binti Abdul Rashid
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar - Datuk Seri Dr. Chua Yong Wei
Menteri Pengangkutan - Tan Guang Ming
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat - Datuk Nor Isra Ayuni binti Ismail
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi - Abdul Jalil bin Salleh
Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi - Tan Sri Mohd Nashad bin Mainor
Menteri Kerja raya - Ir. Raja Kumar a/l Sundaram
Menteri Kesihatan - Dr. Mohd. Haminuddin bin Hassan
Menteri Penerangan - Said Ibrahim bin Mohd Ramakrishnan
Menteri Sumber Manusia - Datuk Alex Lau Lih Ping
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna - Tan Sri Tan Choon Fei
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah - Datuk Stephen Tiong Kai Kyet
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan - Datuk Choong Jian Ming
Menteri Belia dan Sukan - Datuk Mohd. Azri bin Salman

Thursday, January 22, 2009

Keroncong Australia (Alumni MPP)

Sinar suria memanggil pulang
Bulan purnama mengorak kaki
Ke Australia arah kunjungan direnung
Delegasi Mahasiswa Alumni MPP ingin kembali

Tenggelam jangan bahtera pusaka
Seni warisan Timur dipupuk jua
Ke Barat kiblat sewaktu lelah
Cahaya Timur tetap menyerlah

Tingginya tamadun orang di sana
Menjadi kebanggan insan yang polos
Budaya Timur terpahat di sanubari
Ditetak tak hancur dicincang tak putus

Usah Ditanya

Usah ditanya ke mana aku pergi
Usah ditanya mengapa aku pergi
Usah kau pinta aku menanti pasti
Usah disesali aku tak sabar menanti

Putuslah tali putuslah ikatan
Pecahlah piring hancur harapan
Tamatkan sahaja riwayat yang sedih
Selamat tinggal aku bermohon sembah

Andai dirimu mempermainkan lidah
Akan aku berjuang berbekalkan madah
Kubayar tunai dengan keringat dan darah
Kita berpisah rajuk tiada gundah

Monday, January 5, 2009

Untukmu Palestin

Sejak 1948, saat bumi Palestin digempur kuasa Barat, bermulalah episod gelap yang menyaksikan rakyatnya menjadi mangsa hidup sebagai pelarian. Namun begitu, dalam perkembangan terbaru, wujud usaha mendesak Malaysia agar dapat menyelesaikan masalah penempatan pelarian Palestin. Pada 9 November yang lalu, empat buah NGO Malaysia yang terdiri daripada Citizen International, PKPIM, SYURA, dan Muslim Care telah berangkat ke khamah pelarian Palestin yang bersempadan Iraq dan Syria. Lawatan di bawah seliaan United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR) di Damascus, Syria itu melibatkan NGO-NGO tujuh buah negara; Kanada, USA, Australia, Belgium, Netherlands, Sweden dan Chech Republic. Sebelum pencerobohan Amerika pada tahun 2003, kira-kira 34,000 pelarian Palestin tanpa warganegara tinggal di Iraq terutama di Baghdad iaitu di kawasan Baladiyat.Kebanyakannya datang ke Iraq sejak 1948 apabila mereka dihalau berikutan tertubuhnya Israel. Selain itu, ada kalangan mereka yang datang ke Iraq setelah dihalau dari Kuwait selepas berlakunya perang Teluk pada tahun 1991. Warga Palestin ini sejak itu, telah melalui kehidupan berpindah randah beberapa kali sehingga menjadi pelarian yang tidak mempunyai tempat tetap di samping kehilangan hak hidup yang terjamin. Justeru, delegasi tersebut menyeru Malaysia dan semua komuniti antarabangsa agar segera menempatkan semula pelarian warga Palestin yang tertekan dengan masalah kehidupan di sempadan Syria dan Iraq. Lebih malang lagi mereka terpaksa hidup di khemah-khemah di tengah padang pasir yang terdedah kepada penyakit dan keadaan-keadaan lain yang sangat memeritkan. Dalam pada itu, sistem pendidikan yang tidak sempurna yang diperolehi oleh anak-anak Palestin ketika berada di kem itu juga akan menggelapkan masa depan mereka untuk hidup sebagai generasi baru kelak. Syria dan PLO kini melihat kepada pilihan untuk menempatkan para pelarian ke negara pilihan mereka termasuk negara-negara dunia ketiga atas alasan kemanusiaan. Setakat ini Sweden, Iceland, Kanada dan Chile telah bertindak melaksanakan operasi kemanusiaan dan menerima penempatan semula pelarian dengan segera. Negara-negara lain seperti AS, Netherland, dan Australia telah digesa oleh pihak UNHCR untuk menerima penempatan semula dengan bilangan yang lebih besar. Sebagai negara OIC, Malaysia wajar menjuarai isu ini sebagaimana kita pernah berjuang menegakkan kewujudan negara Bosnia untuk membela saudara kita di sana. Apakah yang akan kita jawab apabila berhadapan dengan Yang Maha Khaliq tatkala kita ditanya tentang perjuangan di bumi ‘Anbiya itu? Sekurang-kurangnya, saya sudah pun menulis wacana ini untuk menyedarkan diri sendiri dan para pembaca hakikat amanah kita sebagai khalifah di dunia yang fana ini.

Friday, January 2, 2009

Tahniah Lft. Adnanku

Muhd. Azdnan Amat manis orangnya, Rambutnya berdiri seperti wira,
Bercita-cita menjadi sateria, Semoga menjadi Menteri Pertahanan Malaysia.
Demikianlah antara bait seloka yang pernah saya siarkan di blog Muslimin Agung ini guna menceritakan perihal keluarga saya yang tercinta. Rangkap pantun di atas saya nukilkan untuk adik saya, Muhd. Azdnan bin Amat yang lebih mesra dengan panggilan Lft. Adnan Amat. Anak keempat dalam keluarga kami ini agak ganjil orangnya. Walaupun berbadan besar (gemuk) namun dia sebenarnya agak cerewet bab makanan. Dia tidak akan menyentuh atau makan makanan yang berwarna merah contohnya makanan yang dimasak merah menggunakan sos tomato, cili (ayam masak merah) dan seumpamanya. Di rumah dia rajin membantu bapa membuat kerja-kerja pertukangan dan menjaga ayam kenit kesayangan bapa. Saya selalu memarahinya kerana agak jarang saya melihat dia belajar atau mengulang kaji pelajaran di rumah sehingga melahirkan kebimbangan di hati mak. Tambahan pula dia menduduki PMR tahun ini. Walaupun saya selalu memarahi satria kami ini, namun dalam diam rupa-rupanya dia memilih saya sebagai idola. Apalah sangat yang ada pada diri saya ini? Dia ini juga dikategorikan antara ahli keluarga kami yang samseng dan nakal. Syukurlah dia tidak merokok seperti kawan-kawannya yang lain. Siapa sangka, siapa menduga, adikku ini yang sering menduduki tangga tercorot di kelas (mujurlah dia di kelas pertama) membuat kejutan. Tadi pagi (31 Dis 2008) sebelum saya melangkah kaki ke kuliah seawal jam 11.00 pagi, mak menghubungi saya. Suara Azmi kedengaran di hujung talian, “Bang, ini keputusan PMR Azdnan, BM A, Math A, Sains A, Pendidikan Islam A, Sejarah A, Kemahiran Hidup A, Geografi A, BI B”. “Jadi dia dapat 7A, 1B”. “Iya bang”. Terharu. Ya Allah, syukur atas nikmat yang Engkau berikan. Sujud syukur tanda kehambaan. Terima kasih adikku kerana menambahkan lagi sinar kebahagian dan koleksi kejayaan keluarga kita. Semoga Allah SWT membimbingmu menempuhi ranjau dan duri titian keremajaan dengan kasih sayang-Nya. Abang sayang korang.