Monday, January 5, 2009

Untukmu Palestin

Sejak 1948, saat bumi Palestin digempur kuasa Barat, bermulalah episod gelap yang menyaksikan rakyatnya menjadi mangsa hidup sebagai pelarian. Namun begitu, dalam perkembangan terbaru, wujud usaha mendesak Malaysia agar dapat menyelesaikan masalah penempatan pelarian Palestin. Pada 9 November yang lalu, empat buah NGO Malaysia yang terdiri daripada Citizen International, PKPIM, SYURA, dan Muslim Care telah berangkat ke khamah pelarian Palestin yang bersempadan Iraq dan Syria. Lawatan di bawah seliaan United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR) di Damascus, Syria itu melibatkan NGO-NGO tujuh buah negara; Kanada, USA, Australia, Belgium, Netherlands, Sweden dan Chech Republic. Sebelum pencerobohan Amerika pada tahun 2003, kira-kira 34,000 pelarian Palestin tanpa warganegara tinggal di Iraq terutama di Baghdad iaitu di kawasan Baladiyat.Kebanyakannya datang ke Iraq sejak 1948 apabila mereka dihalau berikutan tertubuhnya Israel. Selain itu, ada kalangan mereka yang datang ke Iraq setelah dihalau dari Kuwait selepas berlakunya perang Teluk pada tahun 1991. Warga Palestin ini sejak itu, telah melalui kehidupan berpindah randah beberapa kali sehingga menjadi pelarian yang tidak mempunyai tempat tetap di samping kehilangan hak hidup yang terjamin. Justeru, delegasi tersebut menyeru Malaysia dan semua komuniti antarabangsa agar segera menempatkan semula pelarian warga Palestin yang tertekan dengan masalah kehidupan di sempadan Syria dan Iraq. Lebih malang lagi mereka terpaksa hidup di khemah-khemah di tengah padang pasir yang terdedah kepada penyakit dan keadaan-keadaan lain yang sangat memeritkan. Dalam pada itu, sistem pendidikan yang tidak sempurna yang diperolehi oleh anak-anak Palestin ketika berada di kem itu juga akan menggelapkan masa depan mereka untuk hidup sebagai generasi baru kelak. Syria dan PLO kini melihat kepada pilihan untuk menempatkan para pelarian ke negara pilihan mereka termasuk negara-negara dunia ketiga atas alasan kemanusiaan. Setakat ini Sweden, Iceland, Kanada dan Chile telah bertindak melaksanakan operasi kemanusiaan dan menerima penempatan semula pelarian dengan segera. Negara-negara lain seperti AS, Netherland, dan Australia telah digesa oleh pihak UNHCR untuk menerima penempatan semula dengan bilangan yang lebih besar. Sebagai negara OIC, Malaysia wajar menjuarai isu ini sebagaimana kita pernah berjuang menegakkan kewujudan negara Bosnia untuk membela saudara kita di sana. Apakah yang akan kita jawab apabila berhadapan dengan Yang Maha Khaliq tatkala kita ditanya tentang perjuangan di bumi ‘Anbiya itu? Sekurang-kurangnya, saya sudah pun menulis wacana ini untuk menyedarkan diri sendiri dan para pembaca hakikat amanah kita sebagai khalifah di dunia yang fana ini.

1 comment:

Adry said...

Salam ziarah...

huhu... doaku sentiasa untuk Palestin insyaAllah...

Adry @ http://www.adrysabry.com