Thursday, April 23, 2009

Thailand Bergolak Lagi

Bulan Mac terus hangat dengan pergolakan politik di selatan Thailand. Begini ceritanya. Dalam pilihan raya umum yang lalu, kumpulan pro-Thaksin menang. Kalau mengikut undang-undang, mereka berhak menubuhkan kerajaan dan memerintah. Tetapi masalahnya Thasin ditolak di bandar-bandar dan oleh golongan kelas menengah. Ada banyak isu terhadap Thaksin, misalnya kes pengelakan cukai di luar negara dan isu politik wang yang menjejaskan kebersihan Thaksin. Natijahnya, tunjuk perasaan golongan berbaju kuning yang anti-Thaksin membawa kepada rampasan kuasa di Bangkok oleh tentera yang disokong oleh istana. Setelah beberapa lama di bawah tentera, pilihan raya umum diadakan tetapi golongan Thaksin menang semula. Sudah tentu senario ini menimbulkan rasa tidak puas hati oleh penentangnya. Dalam keadaan ini, penentang Thaksin berbaju kuning mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran bagi memaksa pengunduran perdana menteri yang dipilih. Maka akhirnya kerajaan itu tumbang. Setelah berkira-kira sekian lama maka yang muncul di Parlimen ialah seorang perdana menteri di kalangan penentang Thaksin. Giliran Thaksin tidak berpuas hati, maka tunjuk perasaan berlaku secara besar-besaran. Suasana tidak stabil akan terus berlaku.

Justeru, sistem demokrasi mesti dihormati dengan prinsip-prinsipnya dipatuhi. Jika tidak, sebahagian rakyat tidak akan dapat menerimanya yang akan membawa kepada tunjuk perasaan dan suasana tidak stabil seperti yang berlaku di Thailand. Tidak mustahil berlaku di Malaysia. Sememangnya setiap negara mempunyai ciri-ciri tersendiri, memiliki undang-undang yang berbeza berhubung perlembagaan yang akan menurut tradisi dan keadaan masyarakat masing-masing. Namun begitu, prinsip asas demokrasi adalah sama di semua tempat, rakyat diutamakan; seperti slogan retorik PM keenam. Demokrasi adalah pemerintahan rakyat. Sistem monarki diamalkan juga di sebahagian daripada negara-negara demokratik termasuk negara Ibu Segala Parlimen iaitu Britain. Harus diakui sistem Raja Berperlembagaan meletakkan Ketua Kerajaan yang dipilih rakyat sebagai yang memiliki kuasa. Kuasa itu pula datang sebagai mandat daripada kepercayaan majoriti anggota dewan perundangan. Sememangnya ahli-ahli dewan pula memperoleh mandat daripada pengundi. Rakyat pula menyokong seseorang calon atas tiga sebab. Pertama, perwatakannya, mindanya dan latar belakangnya sebagai individu. Kedua, parti yang diwakilinya. Ketiga, gabungan yang disertai oleh partinya.

Jika seseorang wakil rakyat keluar daripada partinya, dari segi prinsip demokrasi, dia patut meletak jawatan dan bertanding semula bagi mendapatkan mandat baru. Hal ini kerana pengundi memilih calon bersama parti dan gabungannya. Begitu juga jika dia dipecat, dia patut meletak jawatan. Jika partinya keluar gabungan, maka wakil rakyat berkenaan patut meletak jawatan juga. Hal ini kerana kita maklum para pengundinya memilih atas gabungan berkenaan. Jika prinsip-prinsip ini tidak diikuti, maka pasti sebahagian rakyat tidak puas hati dan jika keadaan perasaan tidak dapat dikawal, maka mereka akan tunjukkan perasaan mereka melalui perhimpunan-perhimpunan. Hanya keadilan dan mematuhi prinsip demokrasi akan membawa kepada kestabilan. Tunjuk perasaan golongan baju merah yang pro-Thaksin di Thailand menjejaskan bukan saja negara itu tetapi juga ASEAN. Tragedi hitam ini wajar menjadi pengajara untuk rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi hubungannya dengan soal pergolakan politik di Perak. Sudahkah YB Zambry dan Y.A.B Dato’ Nizar Jamaluddin mengambil ibrah daripada pergolakan ini? Saya khuatir dengan krisis politik di negeri yang pernah merakamkan kematian J.W.W Birch itu. Sejarah mungkin berulang.

No comments: