Thursday, December 4, 2008

Bahasa Kalbu Menyeru..."Jom Puasa Sunat"

Kau kekasih kulihat di sinar matamu
Zaman kekayaan batinku
Di dalam senyummu kudengar bahasa kalbu

Mengalun lembut menggetarkanku
Kini dirimu yang selalu bertakhta di benakku
Aku akan mengiringi bersama di setiap langkahmu

Percayalah
Hanya diriku paling mengerti
Kegelisahan jiwamu kasih dan erti kata kecewamu

Kasih yakinlah
Hanya aku yang paling memahami
Benar kata kejujuran diri yang tersemat disanubarimu

Wednesday, December 3, 2008

Pendirian Politik Muslimin Agung

Saya mulakan wacana kali ini dengan pencerahan bahawa saya bukan ahli politik. Ahli politik dalam erti kata berkempen politik, berceramah di pentas politik, atau mungkin juga bertanding sebagai wakil rakyat, menggantikan Datuk Nasrun yang sudah sekian lama mewakili orang kampung saya. Hakikat ini tidak bermakna saya buta siasah (politik), atau berkecuali dari berfikir tentang politik seperti saranan seorang pemimpin pelajar yang menyeru mahasiswa agar bersifat natural. Karut! Terngiang-ngiang di telinga saya pesanan Khomeini, “orang yang memisahkan politik dari agama, dia itu tidak faham apa itu agama, dan apa itu politik”. Bahkan mungkin dia jahil kedua-duanya. Hakikatnya, kita tetap merupakan sebahagian daripada entiti politik sama ada kita berperanan mencorakkan politik, atau kita sendiri menjadi mangsa percaturan politikus akibat buta politik atau sengaja memejamkan mata terhadapnya. Soal keterlibatan seseorang dengan perlakuan politik, itu soal kedua. Apatah lagi status saya sebagai seorang mahasiswa yang terikat dengan AUKU. Biar pun undang-undang negara telah mengazetkan saya layak mengundi, namun ada peraturan-peraturan universiti yang tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja. Tetapi tidak terlibat dengan politik, tidak bermakna saya tidak boleh belajar, mengambil tahu dan membuat pendirian mengenainya apatah lagi isu-isu yang mereka bawa (ahli politik) tetap tidak boleh kita pisahkan daripada kehidupan. Jika isu bahasa, kenaikan harga minyak, hedonisme, dan nepotisme - kita kaitkan dengan parti politik tertentu, dan parti politik itu mati sekali pun, isu-isu berkenaan tetap merupakan masalah massa. Parti politik adalah wasilah untuk memperkata dan memperjuangkan isu-isu tersebut, tetapi tanpa parti politik sekali pun, isu berkenaan tetap wujud di depan mata. Maka Islam mempersoalkan peranan kita terhadapnya seiring istilah amar makruf, nahi mungkar. Jika kita mengimbau sejarah, pernahkah Nabi Muhammad SAW sambil lewa terhadap apa yang berlaku kepada sahabat, juga komuniti non-Muslim di sekitarnya? Apakah ada orang yang tertindas, ditekan dan dizalimi? Jawapanna tidak pernah sama sekali. Soal Muslimin Agung memilih parti mana, itu perkara yang berasingan tetapi wacana saya di blog ini menyeru kepada kita semua agar cintakan kebenaran dan keadilan. Sebagaimana kita suka menyuburkan kebenaran maka kebatilan tidak boleh disembunyikan, harus diperangi hingga ke titisan darah yang terakhir. Pada masa yang sama, saya akan bersifat telus dan tidak berat sebelah sebagaimana yang dipesan oleh Timbalan Pendafar HEP kepada saya suatu ketika dulu sewaktu saya menjadi Setiausaha Agung MPPUMS. Ayuh, kita bersama-sama suburkan demokrasi kampus!

Tuesday, December 2, 2008

Merawat Penyakit Sosial


Ada beberapa cerita yang ingin dikongsi. Antaranya cerita tentang seorang gadis yang tak menutup aurat berasa tidak tenteram ketika dirinya kerap diusik oleh lelaki. Pada mulanya gadis itu menjatuhkan rambutnya yang direbondingkan dengan rawatan minyak panas guna mencairkan hati lelaki. Dia tidak menutup aurat dengan tujuan mahu mengajak lelaki tersebut berzina. Barah amalan berpeleseran ini akhirnya bertukar menjadi 'trend' seks bebas, saling bertukar-tukar pasangan, kemudian gadis yang telah diperkosa ini mengubah wataknya sebagai lelaki dengan niat menyelamatkan dirinya daripada terus-menerus menjadi korban mangsa nafsu liar lelaki. Dengan ini, wujud gejala baru lain pula; bersenggama sesama wanita. Sekian kisah salah satu fenomena masyarakat yang semakin tenat! Tidak cukup dengan itu, saban hari kita dikejutkan dengan laporan media tentang semakin parahnya masyarakat terlibat dengan sumbang mahram, gay, rasuah, bunuh diri, dan seumpamanya. Inilah antara virus yang dahulunya sekadar kudis dalam masyarakat tapi kini semakin bernanah kerana kealpaan kita. Kita mungkin boleh mengeluarkan fatwa, menjatuhkan hukum tetapi seperti yang disebut oleh pimpinan Ikhwan Muslimin, 'kita adalah pendakwah dan bukan penghukum'. Hendaklah kita ingat, bahawa masalah ini adalah warisan penyakit yang timbul natijah rohani yang tidak seimbang. Tiada masalahnya dengan fatwa dan hukum, tapi semolek-moleknya kita menyediakan juga ruang dan peluang untuk membimbing pesakit rohani dengan sesi kaunseling. Sedangkan kaum wanita itu lebih mudah diasuh berbanding kaum lelaki. Namun, kaum lelaki pula, kalau sudah terasuh nanti, dia pula akan lahir sebagai pembela agama. Sejarah membuktikan hal itu misalnya, Khalifah Umar Al-Khatab yang bengis pada zaman jahiliahnya bertukar watak sebagai pembela Islam bahkan menurunkan zuriat yang baik seperti Umar Abdul Aziz. Ini semua tidak mustahil terjadi kembali kerana sirah sifatnya berulang mengikut putaran masa dan kitaran waktu yang saling bersilang. Justeru, kita memerlukn lebih ramai ilmuan sufi yang menyampaikan bimbingan daripada ilmuan fikah yang melontarkan hukum. Jika ditanya apakah rahsia kegemilangan umat Islam zaman lampau? Jawapannya tidak lain kerana mereka berpegang teguh dengan prinsip amal Islami yang terakam kemas di dalam Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Saya optimis hipotesis ini akan menjadi realiti jika sistem pendidikan negara menitik-beratkan aspek praktikal dan amali yang terkandung dalam prinsip dan ajaran Islam. Besar harapan rakyat agar pendidikan kebangsaan mengangkat kembali subjek agama sebagai subjek utama dan bukannya mata pelajaran sampingan semata-mata. Melalui subjek agama, sistem pendidikan berteraskan rabbaniyah perlu diserapkan guna penyelesian terhadap masalah sosial di sekolah yang semakin kronik. Bersempena dengan sambutan Hari AIDS Sedunia (01 Disember 2008) ayuh kita derapkan langkah menuju negara Malaysia yang bebas daripada gejala sosial. Hidup mulia berperibadi ceria.

Friday, November 28, 2008

Seloka Keluarga Amat


Salam wasilah pembuka bicara
Seloka Keluarga Amat hiburan semata
Keluarga ceria sentiasa bahagia
Berkongsi cerita pedoman bersama

Terlebih dahulu maaf dipinta
Andainya ada yang akan terasa
Hasrat di hati bergurau senda
Menjadi lumrah adat seloka

Kampung Hyundai teratak keluarga
Tempat berteduh sepanjang masa
Solat bejemaah, makan bersama
Jadi amalan kami sekeluarga

Salam ta’aruf daripada ketua keluarga
Amat bin Kandalang bin Haji Mijan orangnya
Mendidik kami sepenuh jiwa
Agar berbakti kepada agama dan nusa

Sadayara Al-Pasain permaisuri keluarga
Menyayangi kami tak kira masa
Kawasan dapur katanya “mak yang berkuasa”
Inginkan menantu yang dekat LD sahaja

Puteri sulung Nurfiah namanya
Lulusan diploma perakuanan dari kolej swasta
Bersifat tegas tetapi baik hati orangnya
Abang Saiful jejaka pilihan hatinya

Anak kedua berlagak ketua
Muslimin Agung gelaran dirinya
Orangnya celupar manis berbicara
Menjadi rebutan si anak dara

Azmi Amat anak ketiga
Ada kemahiran memandu kereta
Ketua Pelajar amanah buatnya
Sentiasa digeruni di kalangan keluarga

Muhd. Azdnan Amat manis orangnya
Rambutnya berdiri seperti wira
Bercita-cita menjadi satria
Semoga menjadi Menteri Pertahanan Malaysia

Orangnya kemas gagah perkasa
Berbadan kurus kacak orangnya
Ingin menjadi Ketua Polis negara
Abdul Asri alias Asbi itulah gerangannya

Puteri bongsu Nurfarina namanya
Siti Nurhaliza artis kegemarannya
Kalau ke sekolah bertudung manis orangnya
Sudah ditempah anak saudara sebapa

Hafizam Amat comel orangnya
Matanya bulat macam bola
Dodot, Dadek, panggilan manja dirinya
Menjadi kesayangan kami sekeluarga

Hidup ini hanya sementara
Senda gurauan hiasan semata
Si Mickey penghibur kami sekeluarga
Sekalipun dia sekadar hamster semata-mata

Kepada ILahi kami panjatkan doa
Moga sentiasa dalam iman dan takwa
Terhindar daripada khianat manusia
Agar sejahtera, aman, sentosa

Sekian dulu seloka hamba
Tidak berniat menunjuk bangga
Sekadar berkongsi cerita keluarga
Buat santapan jiwa dan minda

Wednesday, November 26, 2008

Jihad Mata Pena

“Syabas Agung kerana berani menyatakan pendirian. Jangan takut diugut. Apa ditakut (dengan) gertakan manusia!”, demikian bunyi ayat SMS yang saya terima pagi tadi. “Kalau takut dengan ujian, jangan cakap soal perjuangan!”, komen pejuang reformasi pula. Bahkan ada juga yang berbunyi seperti ini “Sidi, slowkan sikit blog kamu tu”. Hmm...Entahlah, semenjak menulis dengan bahasa yang lebih telus, saya semakin kerap menerima saranan sedemikian rupa. Seolah-olah selama ini saya tidak telus kerana tidak tulus akibat saya takut atau pengecut. Mereka ini tersalah sifir. Saya membuat satu analisa yang kaku, mungkin dibaca daripada buku oleh pemikir yang lesu, bahawa ‘sesuatu yang bernama perjuangan akan berdepan dengan ujian’. Manakala ujian itu pula memang menakutkan. Berhadapan dengan pegawai, kena buang dari universiti, kehilangan kepentingan diri, malah syahid cita-cita yang dicari! Itulah hafalan skema tarbiyyah terhadap ujian perjuangan mahasiswa di kampus. Seolah-olah perjuangan hanya teruji dengan ujian satu warna. Persepsi ini tidaklah salah. Bahkan Allah SWT sendiri sudah mengingatkan: “Demi sesungguhnya! Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar”. [Al-Baqarah 2 : 155]. Segala musibah yang menguji adalah bukti kezaliman kaum durhaka yang dihadapi, dan mengangkat darjat pejuang yang diuji. Sebagai pelajar yang berjuang kita mungkin bimbang digantung biasiswa atau PTPTN, tetapi mungkin kita akan diuji dengan gagal dalam peperiksaan, atau diuji dengan keluarga yang memusuhi Islam. Saya mungkin terlupa bahawa dalam perjuangan bukan hanya berani yang menjadi bekal, malah cerdik dan bijaksana juga sebahagian daripada senjata. Berani membuta tuli, jangan disangka hero kerana di sisi Islam kita mungkin seorang yang dungu dan membinasakan perjuangan dengan keberanian yang semberono. Jika di era turunnya al-Quran jihad itu banyak manifestasinya sewaktu peperangan di medan pertempuran, hari ini musuh mungkin bersarang di dalam kepala dan muncul dalam bentuk yang halus tetapi tetap merbahaya. Maka berkewajipanlah bagi pejuang untuk menganalisa tabiat jalan dakwahnya, agar prinsip amar makruf dan nahi munkar terus berjalan seiringan dengan ujian yang ‘menghiasinya’. Tuntasnya, saya tidak akan berhenti daripada menyatakan kebenaran melalui mata pena (blog) ini kerana saya menyakini ini adalah salah satu marhalah dalam perjuangan yang akan mendapat keredaan-Nya, insya Allah. Pesanan buat diri dan sahabat-sahabat blog sekalian, teruskan membina keberanian. Setelah wujud keberanian, bijaksanalah dalam menekuninya. Maaf andai bahasanya pahit, tetapi dalam pahit itu selalu ada penawarnya. Selamat berkarya wahai para blogger muda!

Monday, November 24, 2008

Percayalah Apa Yang Kita Percaya (Siri 2)

6. Islam itu agama kejayaan dunia dan akhirat. Ramai Muslim telah diterapkan dengan kepercayaan, tinggalkanlah dunia (Sunnah Allah) untuk akhirat (syariat Allah). Ada yang menakutkan anak murid dengan kenyataan tidak mengikut kelasnya tidak akan dapat ke Syurga. Ini terjadi secara berleluasa. Dibacakannya nas-nas panjang berjela, bagi membuktikan kebenarannya. Apa nak fikir lagi, ini nasnya dah terang benderang. Memang mendatangkan ketenangan, tak perlu risau, tak payah nak berfikir lagi, Syurga milik mereka.
7. Keredhaan Allah yang akan memasukkan kita ke Syurga bukan yang lain, termasuk pahala. Berlalu Ramadhan mula berkira dengan Allah, tiada ganjaran, amalan berkurangan. Baca Al-Quran, berkira setiap huruf ada pahala, bukan nak dapat petunjuknya atau panduan yang terkandung di dalamnya. Asal baca dapatlah pahala. Keredhaan Allah di akhirat, boleh diukur dengan keizinan yang kita perolehi semasa di dunia. Yang mendapat keizinan di dunia adalah mereka yang lebih faham dengan carakerja-Nya, iaitu yang lebih hampir dengan-Nya. Begitulah Qadar ketentuan-Nya. Bukan pakai rasa ego hampir dengan-Nya.
8. Kemunduran Muslim adalah tanda kegagalan menghayati Islam sepenuhnya. Ramai yang mendamaikan hati dengan alasan kemunduran di dunia akan mendapat kejayaan di akhirat. Islam itu adalah kejayaan di dunia dan di akhirat. Tidak timbul kejayaan di akhirat tanpa kejayaan di dunia. Tetapi dalam alasan untuk tidak menggunakan akal, atau menyenangkan kerja menyampai, pendakwah mencari jalan singkat dengan menakutkan pendengarnya, yang menggunakan akal itu hanya berjaya di dunia, di akhirat nanti akan merana, yang menjadi pendengarnya pun taklid membuta.
9. Kalau kita tidak lebih dahulu memahami Dia, bagaimana kita mengharapkan Dia akan memahami kita, dan mengizinkan segala yang hendak kita lakukan di dunia. Apabila kita sudah memahami Dia akan mudahlah kita memahami mahluk-Nya, terutamanya manusia. Jadi tidak timbul kita harus memahami manusia dahulu, supaya mereka nanti akan memahami Dia. Memahami manusia dahulu akan menghanyutkan kita di arus perdana, walaupun kita seorang perenang yang berwibawa.
10. Bagaimana kita boleh “memulakan langkah memberanikan diri untuk berdiskusi” dan menggunakan “minda untuk berwacana, lebih dari jari untuk menyumbat telinga” akan menghasilkan sesuatu yang berbeza. Malangnya dengan Islam Popular, itu semua pekara kedua, apa yang penting, apa Pendakwah Popular berkata, kata mereka. Ketenangan atau kebenaran, pilih satu antara dua. Saya percaya ramai akan memilih Pendakwah Popular. Tapi saya akan memilih keredaan ILahi dengan manhaj yang saya anuti - P_S.

Saturday, November 22, 2008

Muhasabah Cinta (ILahi)

Wahai pemilik nyawaku betapa lemah diriku ini
Berat ujian daripada-Mu ku pasrahkan semua pada-Mu
Tuhan baruku sedar indahnya nikmat sihat itu
Tak pandai aku bersyukur kini ku harapkan cinta-Mu
Kata-kata Cinta terucap indah
Mengalir berzikir di kidung doaku
Sakit yang kurasa biar jadi penawar dosaku
Butir-butir cinta airmataku
Teringat semua yang kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya ILahi muhasabah cintaku
Tuhan kuatkan aku
Lindungi aku daripada putus asa
Jika aku harus mati pertemukan aku dengan-Mu