Sunday, December 7, 2008

Terkorban Pada Bulan Korban

Hiba rasanya sambutan bulan Zulhijjah tahun ini yang di dalamnya terselit perayaan Hari Raya Aidil Adha. Mana mungkin kita lupakan tiga tragedi berturut-turut yang berlaku pada awal bulan ini melibatkan kejadian tanah runtuh. Bermula dengan runtuhan yang menghempap banglo jurutera di Ulu Yam, diikuti tanah runtuh berdekatan jalan utama di Jalan Semantan, dan terkini kejadian tanah runtuh yang melibatkan 3000-4000 penghuni di Bukit Antarabangsa. Ketiga-tiga tragedi ini telah memakan korban yang menyentap hati kita semua. Tatkala memikirkan apa yang berlaku ini, saya tersentap dengan kenyataan Ustaz Aagim, pendakwah bebas dari Indonesia, dalam program bual bicara beliau di Saluran Astro Prima. Bagi beliau, ujian itu adalah ‘kredit’ buat kita yang diuji sebagai tanda Allah SWT menyayangi kita di samping menaiktarafkan maqam kita di sisi-Nya. Bersyukurlah saudaraku, Allah Ta’ala sedang berbicara denganmu hakikat kehidupan di dunia yang sementara ini. Perhatikanlah satu demi satu perkara biasa-biasa yang sedang mengisi masa. Mungkin ada bicara Tuhan disebaliknya. Sahutlah bicara itu dengan jawapan yang akan membahagiakan dirimu. Pesanan saya, ujian jangan diminta namun ketika tiba pastikan kita bersedia menghadapinya. Hanya doa dan salam takziah mampu dititipkan kepada mereka yang terkorban dan keluarga yang terlibat. Sebagai penutupnya, sama-sama kita tekuni firman Allah SWT yang terakam kemas dalam Surah Al-Ankabut, ayat kedua yang lebih kurang alih bahasanya: “Apakah manusia mengira mereka akan dibiarkan hanya mengatakan, ‘Kami telah beriman,’ sedangkan mereka belum diuji.” Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha. Berkorban apa sahaja untuk Islam tercinta.

1 comment:

Muslimin Agung said...

Terbru kes kemlngn yg mengorbnkn sepuluh orng