Thursday, July 17, 2008

APA KHABAR ‘MUET’?

Bulan Ogos merupakan antara bulan yang cukup padat dengan aktiviti di UMS. Selain meraikan Bulan Kemerdekaan, kita juga akan meraikan sahabat-sahabat senior kita yang bakal bergelar graduan sempena Majlis Konvokesyen kelak. Semakin hampir, tarikh tersebut maka semakin ramai yang berdebar-debar menunggu keputusan akhir senarai nama pelajar yang layak menaiki pentas menerima ‘scroll’ bergelar graduan dalam bidang masing-masing. Pada masa yang sama, Pejabat MPPUMS sering diasak dengan persoalan tentang penyetaraan kursus Bahasa Inggeris yang kononnya akan dijadikan prasyarat jika pelajar tidak melepasi syarat MUET Band Three.

Dalam kehangatan tersebut, ramai yang mula meramalkan Pesta Konvo tahun ini akan menyaksikan sebilangan besar pelajar (khususnya pelajar Melayu) tidak bergraduan disebabkan halangan MUET ini. Untuk makluman pelajar sekalian, sehingga tarikh artikel ini ditulis belum ada sebarang kata putus daripada Yang Berbahagia Prof. Datuk Dr. Kamaruzaman bin Ampon, Naib Canselor baru UMS, berhubung isu tersebut. Apa yang pasti keputusan MUET untuk bulan Mei sudah pun dikeluarkan. Anda boleh menyemak keputusan MUET masing-masing dengan menaip MUET (jarak) no.kad pengenalan dan hantar ke 39003. Semoga berjaya. Bagi yang tidak berjaya, yakinlah setiap kesusahan itu pasti akan diselitkan kesenangan oleh Yang Maha Pencipta.

Di akhir artikel ini, suka saya berkongsi mutiara kata yang dikirimkan oleh seorang sahabat baik saya yang juga merupakan seorang pimpinan pelajar yang saya kagumi kesabarannya. Begini madah pujangga beliau yang menaikkan semula iltizam saya:

“...dalam diari seorang pejuang, tiada masalah yang merumitkan, ujian yang melemahkan, bala yang menyusahkan, bahkan semua itu dijadikan batu loncatan untuk menjadikan kita lebih hebat dan tepu dengan masalah dan ujian. Cuma sesekali air mata merembes tanda kekerdilan kudrat hamba berhadapan dengan belaian Pencipta, sebagai tanda ingatan-Nya. Teruslah berjuang melawan nafsu dalam munajat dan doa seorang hamba...”

2 comments:

lAl said...

Xpa, ada hikmah di sebalik kejadian ciptaa ALLAH.... Munkin Allah nk kita usaha lebih... Tidak kurang juga kemungkinan Allah nk bagi kita misi yang penting pada masa depan.. fikir-fikirkanlah..

Muslimin Agung said...

Salam WUFI...

Setuju 100%