Sunday, August 3, 2008

SECANGKIR MADU, BERINTIKAN HEMPEDU

Memang susah merubah seorang musuh menjadi kawan, kemudian merubah kawan menjadi sahabat, memadamkan kemarahan hati dan merubah muka marah dengan senyuman, memberi maaf kesalahan sehingga udara yang tadinya mendung menjadi terang benderang. Saya akui memang susah melakukan semua itu. Namun saya optimis, nilai murni hanya dimiliki oleh mereka yang berhati waja, berjiwa besar, dan bercita-cita mulia. Sebagai memenuhi hak sesama Islam, apabila dia meminta nasihat, hendaklah kita beri nasihat.
Pada masa yang sama nasihat yang diberikan haruslah memberikan iltizam dan semangat untuk sahabat kita memperbaiki diri. Islam telah mengajar kita menggunakan kaedah hikmah dalam berbicara. Kadang-kadang di sebalik nasihat manis ibarat madu yang kita berikan terselit kata-kata pahit ibarat hempedu yang melukakan. Dalam konteks ini, takwa kepada Allah adalah yang paling asas. Fikirkan betapa besarnya implikasi andai kita tersilap langkah dan bicara.
Pesanan saya pada diri ini, sebagai mahasiswa yang mendukung gerakan Islam apatah lagi amanah yang terpikul sebagai seorang pemimpin, diri ini perlu sentiasa berjaga-jaga dalam berkata-kata. Mungkin sahaja nawaitu (niat) di hati berskala positif namun jika salah pendekatan, natijahnya akan bertukar menjadi skala negatif. Justeru, mari kita sama-sama amalkan doa sahabat Rasulullah SAW, Mua’dz R.A sebelum kematiaannya:
“Aku mencintai hidup hanya untuk tiga perkara iaitu untuk berpuasa di siang hari,
untuk qiammullail pada malam hari, dan untuk berkumpul dengan para ulama’
di majlis zikir”
Apapun, sama-sama kita berdoa untuk kesejahteraan muslimin dan muslimat diakhiran doa kita di hujung solat khususnya kepada masyarakat Islam yang mengaku Islam tapi tidak Islam dalam kehidupan. Maaf andai bahasanya pahit, tetapi dalam pahit itu selalu ada penawarnya. Ibarat rasa ubat yang pahit akan menjadi penyembuh terhadap kesakitan yang ditanggung. Moga kita dikuatkan kaki untuk terus melangkah melakar kejayaan demi pembangunan Islam sebagaimana yang diimaginasikan oleh Saudara Faisal Tehrani dalam novelnya ‘1511 (Kombat)’. Amin...

No comments: