Tuesday, August 26, 2008

Pupus

Pertemuan yang ku idamkan masih belum bersua
Perpisahan yang ku takutkan hadir sudah tiada ku pinta
Harapan pudar mati untuk mencari lagi
Bagai lilin yang menerangi lalu padam jua

Apalah yang mampu ku beri
Agar rasa ingin berkasih hadir dalam diri
Tak mampu ku mendusta hati ini lagi

Cinta yang tersuram tulus ku rasakan pupus
Hingga ada terluka pada setiap bicaraku
Kasih yang mengukir mesra hilang dalam tawa
Namun inginku semula merasai nikmat-Nya

Mampukah rayuanku ini membuatkan ia kembali
Setiap kemanisan cinta yang tulus dan suci
Hadirlah sekali lagi cuma agar bernyawa cinta semula
Maafkan aku andai keterlaluan pintaku ini

Wednesday, August 13, 2008

Singapura Semakin Lupa Diri

Umum mengetahui bulan Ogos merupakan bulan kemerdekaan Malaysia. Suatu ketika dulu, Malaysia terdiri daripada Tanah Melayu, Singapura, Sabah, dan Sarawak. Kini, Singapura sudah pun menjadi republik yang lebih maju daripada Malaysia. Pada masa yang sama tidak habis-habis nampaknya negara jiran itu membuat karenah dan mengkhianati kepercayaan yang negara kita hulurkan. Setelah berjaya membuat Malaysia berputih mata dalam kes perebutan Pulau Batu Putih secara undang-undang sebelum ini, kini republik itu dikatakan berhajat menakluki Pulau Pisang pula.

Kedaulatan negara kita bagaikan dicabar apabila jeti yang digunakan pihak berkuasa Singapura untuk ke rumah api tersebut ditandakan sebagai jeti persendirian. Bahkan terdapat papan tanda dilarang masuk oleh pihak berkuasa Singapura. Bagaimanapun, mengambil kira tuntutan khianat republik berkenaan dalam kes Pulau Batu Putih sebelum ini, ada munasabahnya jika kerajaan kita lebih mencurigai tindakan Singapura itu. Sebetulnya, pendekatan diambil Singapura dalam beberapa isu bilateral dengan negara kita sebelum ini sangat meyerupai sikap dan tindakan kaum Yahudi Laknatullah ke arah membentuk negara haram Israel dulu. Yahudi menakluki tanah milik penduduk Arab Palestin dulu secara seinci demi seinci.

Promosi menjual bumi Malaysia bukan setakat dilakukan individu malah dipromosi oleh kerajaan menerusi Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI). Projek WPI ini telah dipertikaikan banyak pihak kerana dibimbangi akan dimonopoli syarikat-syarikat asing. Hartanah kawasan berkenaan juga dikatakan cenderung dimiliki warga Singapura. Akuilah bahawa selama ini kita terlalu berlembut dengan Singpura yang hipokrit itu. Kalau pemimpin kita tidak bertindak segera, saya optimis nasib malang yang menimpa Palestin akibat perancangan jahat Israel, tidak mustahil terpalit ke negara Malaysia bumi bertuah ini. Pada waktu itu, adakah kita masih ‘selamat, aman, dan makmur’? Apa yang pasti, sekarang adalah masa untuk berubah.

Tuesday, August 12, 2008

KONSEP HIBURAN YANG MENGELIRUKAN

Hingga ke detik ini, isu hiburan melampau yang bercorak hedonisme yang berlangsung di UMS masih menjadi mauduk utama perbincangan warga kampus yang prihatin dan cintakan ilmu. Pokoknya di sini, jika pihak berwajib seperti MPP mahupun Jabatan HEP dan pihak pentadbiran gagal untuk menyedia dan merancang program-program ilmiah, maka tidak hairan jika budaya hedonisme terus masuk ke dalam kampus. Kalau benar pihak tertentu mahu melahirkan golongan mahasiswa kelas pertama, maka mereka sepatutnya membatalkan segera segala program berbentuk hiburan keterlaluan. Jadi tidak ada lagi selepas ini konsert melalaikan yang mencemarkan kemuliaan Dewan Canselor, UMS Idol yang menghalalkan percampuran lelaki dan perempuan, band yang membingitkan telinga di kafe, Tamu Gadang yang menjemput artis tidak bermoral, dan macam-macam lagi.

Sekarang timbul pula program realiti 'Akademi Nasyid'. Banyak pihak keliru dengan konsep, pendekatan dan penampilan peserta yang bertanding, apa yang dapat umum simpulkan, nasyid akan membawa lagu-lagu berkonsepkan kesedaran, sama ada berpaksikan tauhid ketuhanan, peranan serta tugas para Anbiya, berkorban untuk agama, mengajak umum untuk beribadat, bersatu-padu dan sebagainya. Tetapi ada yang tidak kena dengan program realiti berkenaan, penampilan peserta perempuannya pula 'bertabarruj' atau bersolek sama seperti artis pop wanita lain. Persoalannya di sini, apakah kewujudan program itu adalah untuk mengimbangi 'Akademi Fantasia' yang sudah masuk musim keenam 'jahanam', atau ada perkara yang tersirat.

Kembali kepada persoalan hiburan melampau yang mencemarkan kampus UMS ketika ini, pada hemat saya suatu mekanisme perlu dipersetujui tentang konsep hiburan yang relevan dengan mahasiswa dan bukannya bersifat komersial semata-mata. Saya tidak anti hiburan. Bahkan saya menyokong penganjuran program hiburan jika memberi manfaat terhadap kesarjanaan akademik mahasiswa. Misalnya, persembahan tarian yang pernah dipersembahkan oleh pelajar SPS sewaktu Perhimpunan Agung PMUMS iaitu hanya pelajar lelaki sahaja yang kita benarkan menari di khalayak, manakala pelajar perempuan bermain alat muzik 'kulintangan'. Jadi, sudah tiba masanya kita selamatkan mahasiswa UMS daripada terus disogok dengan hiburan melampau.

Janji Manismu

Di dunia ini penuh kepalsuan
Mungkinkah tiada keikhlasan
Apakah ini suatu pembalasan
Ku sedar kebesaran-Mu Tuhan
Aku bagai seorang kembara jalanan
Terumbang-ambing di lautan gelora
Mencari kebahagian jalan untuk menumpang kasih
Mungkinkah suratan hidup akan selalu keseorangan
Hati membeku mengingkatkan kata janji manismu
Ku dilambung angan-angan belaian kasih sayang suci darimu
Kejamnya.....
Lidah tidak bertulang ungkapan kata menghiris kalbu
Ku akan pergi membawa diri luka di hati terkubur lagi
Tidakku fahami mengapa terjadi
Peristiwa pahit mengguris hati
Jalanan hidup ini sudah tertulis
Kutempuhi dengan kesabaran
Ku sedar kebesaran-Mu
Tuhan

CARILAH SAHABAT

Salam Wasilah Ukhuwaah Fillah
Hidup tidak selalunya indah
Langit tak selalu cerah
Suram malam tak berbintang
Itulah lukisan alam
Begitu aturan Tuhan...

Lirik lagu yang dinyanyikan oleh Kumpulan Hijjaz ini mengiringi perjalanan malam saya semalam. Motor dipandu semakin pecut. Setiba di bilik badan terus direbahkan ke atas tilam yang empuk. Lega rasanya. Setelah sehari penat mengajar dan waktu maghrib pula saya diamanahkan untuk memberi kuliah maghrib di SMK Sanzac, KK – tempat saya menjalani latihan mengajar. Seusai solat Isyak, saya perlu menghadiri satu mesyuarat penting untuk kelangsungan gerak kerja Islam di kampus. Hanya pada ALlah Ta’ala sahaja saya adukan segala-galanya. Peritnya dirasa apabila sahabat tidak cuba memahami diri ini. Mungkin wasiat Al-Qamah kepada anaknya wajar kita renungi bersama sebagai bekalan di jalan dakwah yang penuh dengan mehnah dan tribulasi ini.

Lima cara pilih sahabat yang boleh diikuti dalam membina persahabatan adalah sebagaimana pesanan al-Qamah (seorang sahabat Rasulullah saw) kepada anaknya:

Pertama, pilihlah sahabat yang suka melindungi sahabatnya, dia adalah hiasan diri kita dan jika kita dalam kekurangan nafkah, dia suka mencukupi keperluan.

Kedua, pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan rasa terharu, jikalau ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, dia suka menghitung-hitungkan (menyebutnya).Ketiga, pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu dan dianggap sangat berguna, dan jika ia mengetahui mengenai keburukan dirimu ia suka menutupinya.

Keempat, pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi, jikalau engkau diam, dia mula menyapamu dulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, dia suka membantu dan meringankanmu serta menghiburkanmu.

Kelima, pilihlah sahabat yang jikalau engkau berkata, ia suka membenarkan ucapan dan bukan selalu mempercayainya saja. Jikalau engkau mengemukakan sesuatu persoalan yang berat dia suka mengusahakannya dan jika engkau berselisih dengannya, dia suka mengalah untuk kepentinganmu.

Pesanan kepada para JunduLlah, dalam memilih sahabat kita hendaklah memilih sahabat yang baik agar segala matlamat dan hasrat untuk memperjuangkan Islam dapat dilaksanakan bersama-sama sahabat yang mulia. Saya akui sukar mencari teman sejati, namun yakinlah jika kita inginkan teman yang sejati seharusnya kita bersedia menjadi ‘teman yang sejati’. Mulakan dari sekarang.

Friday, August 8, 2008

SEMARAKAN DEMOKRASI

Tunjuk perasaan adalah satu mauduk yang sangat berkaitan dengan fitrah manusia. Kanak-kanak boleh merajuk. Isteri kadang-kadang boleh menangis. Anak lelaki atau perempuan kita juga biasa menunjukkan pernyataan sikap mereka sama ada suka atau duka melalui perlakuan dan tutur kata. Semua ini adalah manifestasi perasaan. Apa yang ditunjukkan dinamakan tunjuk perasaan. Sebagaimana kita dibolehkan berdemontrasi untuk perkara-perkara maaruf, begitulah juga kita dituntut untuk menunjukkan perasaan protes dan penentangan kita terhadap apa juga kezaliman, jika berlaku kezaliman.

Dalam konteks demontrasi di Malaysia, bagi yang sudah-sudah atau yang akan diatur, saya melihat tidak bercanggah dengan perintah kebebasan bersuara. Perhimpunan aman sekadar menyatakan sikap melalui corong-corong pembesar suara semata-mata untuk menjelaskan asas dan hujah adalah sesuatu yang tidak bercanggah dengan apa jua acuan demokrasi atau Islam. Kita bukan kerajaan junta. Myanmar dilanda perarakan aman sami-sami Buddha lebih 100,000 orang di Dataran Yangon adalah manifestasi perasaan rakyat yang telah lama terpendam. Bagaikan tabie air, rakyat pun begitu. Sebarang usaha menyekat dan membenteng air yang turun dari gunung akan menunggu bencana pada masa depan, di satu masa dan ketika nanti. Inilah juga apa yang selalu disebut-sebut sebagai semangat permuafakatan.

Dalam prinsip dakwah, kita ada tiga saluran iaitu Bilhikmah yakni segala hikmah, nasihat dan tegur-menegur atau membangkang secara beradab dan ketiganya bermujadalah yakni bersemuka untuk menyatakan pandangan. Kita mulakan mulai sekarang, kita perlu membuka agenda baru dengan memulihkan demokrasi dan kembalikan hak rakyat seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 10 dalam Perlembagaan yang saya sebutkan. Ini hak setiap rakyat dalam Perlembagaan Persekutuan. Adakah sekadar mahu memberikan peringatan kepada masyarakat pun tidak boleh. Ringkasnya, beri layanan yang adil kepada semua rakyat. Pokoknya aman tanpa provokasi. Sebagai mahasiswa adakah kita bersedia dengan revolusi ini? Gelombang kuning sudah pun menjadi “Revolusi Kuning”.

Wednesday, August 6, 2008

AUKU : 2R ‘RETORIK ATAU REALITI’

Menteri Pengajian Tinggi telah mengumumkan akan membuat pindaan baru terhadap Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971 berhubung dengan jemputan wakil pemimpin parti politik dan juga perkara mengenai penglibatan mahasiswa di dalam organisasi luar yang tidak terlibat dengan politik. Pada hemat saya, pindaan ini merupakan tindakan berhati-hati kerajaan pusat agar pihak mereka tidak menjadi mangsa AUKU sepertimana mereka menjadikan mahasiswa yang dilabel pembangkang sebagai mangsa AUKU sekarang ini, sekiranya Pakatan Rakyat (PR) benar-benar dapat mengambil-alih kerajaan Malaysia menjelang 16 September kelak.
Berdasarkan senario tersebut, saya dapat merasakan kerajaan sekarang sudah bersedia untuk menjadi pembangkang. Mereka cukup risau sekiranya AUKU tidak sempat dipinda sebelum PR merampas takhta pemerintahan kerajaan sekarang, kerana AUKU mungkin akan dimanipulasi oleh kerajaan PR pula untuk menyekat gerakan politik ke dalam kampus suatu hari nanti. Tambahan pula mahasiswa pro-aspirasi yang mereka kaderkan tidak mampu menjadi front-liner untuk berdepan dengan akta-akta yang mereka reka sendiri berbanding mahasiswa yang tidak sehaluan dengan mereka seperti pro-mahasiswa yang lebih kritis pemikiran mereka. Lihat sahaja performance MPP/MPM yang dipimpin oleh golongan aspirasi, sangat mengecewakan. Hiburan didaulatkan kebajikan ditalkinkan.
Apatah lagi semasa AUKU di tangan mereka pun, ramai kader-kader mereka gagal mempertahankan diri apabila berhadapan dengan mahasiswa yang tidak sealiran idealisme dengan mereka, walaupun mereka rasakan AUKU dapat menolong mereka melenyapkan mahasiswa kononnya pembangkang. Saya sangat berharap agar suara mahasiswa diberi ruang sepenuhnya, bukannya disekat dengan mewujudkan berbagai-bagai akta yang tidak masuk akal. Tindakan ini sudah pasti akan menyusahkan pembangunan nilai mahasiswa. Sama ada pindaan ini suatu sandiwara politik atau realisme politik yang bakal menjadi realiti atau retorik sahaja, saya optimis mahasiswa sudah pun bersedia dengan revolusi yang bakal berlaku. Pedihnya hati tatkala dipermainkan sebegini. Selamat datang Malaysia Baru!

Sunday, August 3, 2008

SECANGKIR MADU, BERINTIKAN HEMPEDU

Memang susah merubah seorang musuh menjadi kawan, kemudian merubah kawan menjadi sahabat, memadamkan kemarahan hati dan merubah muka marah dengan senyuman, memberi maaf kesalahan sehingga udara yang tadinya mendung menjadi terang benderang. Saya akui memang susah melakukan semua itu. Namun saya optimis, nilai murni hanya dimiliki oleh mereka yang berhati waja, berjiwa besar, dan bercita-cita mulia. Sebagai memenuhi hak sesama Islam, apabila dia meminta nasihat, hendaklah kita beri nasihat.
Pada masa yang sama nasihat yang diberikan haruslah memberikan iltizam dan semangat untuk sahabat kita memperbaiki diri. Islam telah mengajar kita menggunakan kaedah hikmah dalam berbicara. Kadang-kadang di sebalik nasihat manis ibarat madu yang kita berikan terselit kata-kata pahit ibarat hempedu yang melukakan. Dalam konteks ini, takwa kepada Allah adalah yang paling asas. Fikirkan betapa besarnya implikasi andai kita tersilap langkah dan bicara.
Pesanan saya pada diri ini, sebagai mahasiswa yang mendukung gerakan Islam apatah lagi amanah yang terpikul sebagai seorang pemimpin, diri ini perlu sentiasa berjaga-jaga dalam berkata-kata. Mungkin sahaja nawaitu (niat) di hati berskala positif namun jika salah pendekatan, natijahnya akan bertukar menjadi skala negatif. Justeru, mari kita sama-sama amalkan doa sahabat Rasulullah SAW, Mua’dz R.A sebelum kematiaannya:
“Aku mencintai hidup hanya untuk tiga perkara iaitu untuk berpuasa di siang hari,
untuk qiammullail pada malam hari, dan untuk berkumpul dengan para ulama’
di majlis zikir”
Apapun, sama-sama kita berdoa untuk kesejahteraan muslimin dan muslimat diakhiran doa kita di hujung solat khususnya kepada masyarakat Islam yang mengaku Islam tapi tidak Islam dalam kehidupan. Maaf andai bahasanya pahit, tetapi dalam pahit itu selalu ada penawarnya. Ibarat rasa ubat yang pahit akan menjadi penyembuh terhadap kesakitan yang ditanggung. Moga kita dikuatkan kaki untuk terus melangkah melakar kejayaan demi pembangunan Islam sebagaimana yang diimaginasikan oleh Saudara Faisal Tehrani dalam novelnya ‘1511 (Kombat)’. Amin...

BETAPA AGUNGNYA CINTAMU RABIAH

Rabi’ah binti Ismail al-Adawiyah tergolong wanita sufi yang terkenal dalam sejarah Islam. Dia dilahirkan sekitar awal kurun kedua Hijrah berhampiran kota Basrah di Iraq. Dia lahir dalam sebuah keluarga yang miskin dari segi kebendaan namun kaya dengan peribadatan kepada Allah Ta’ala. Ayahnya pula hanya bekerja mengangkut penumpang menyeberangi Sungai Dijlah dengan menggunakan sampan. Pada akhir kurun pertama Hijrah, keadaan hidup masyarakat Islam dalam pemerintahan Bani Umaiyah yang sebelumnya terkenal dengan ketakwaan telah mulai berubah. Pergaulan semakin bebas dan orang ramai berlumba-lumba mencari kekayaan. Justeru, kejahatan dan maksiat tersebar luas. Pekerjaan menyanyi, menari dan berhibur semakin diagung-agungkan (seperti yang berlakau di kampus sekarang). Maka ketajaman iman mulai tumpul, zaman hidup warak dan zuhud hampir lenyap sama sekali.
Sejak kecil lagi Rabi’ah sememangnya berjiwa halus, mempunyai keyakinan yang tinggi serta keimanan yang mendalam. Menjelang kedewasaannya, kehidupannya menjadi serba sempit. Keadaan itu semakin buruk setelah beliau ditinggalkan ayah dan ibunya. Rabi’ah juga tidak terkecuali daripada ujian yang bertujuan membuktikan keteguhan iman. Babak-babak taubat inilah yang mungkin dapat menyedar serta mendorong hati kita merasai cara yang sepatutnya seorang hamba bergantung harap kepada belas ihsan Tuhannya. Marilah kita teliti ucapan Rabi’ah sewaktu kesunyian di ketenangan malam ketika bermunajat kepada Allah:

“Ya Allah, ya Tuhanku. Aku berlindung diri kepada Engkau daripada segala yang ada yang boleh memesongkan diri daripada-Mu, daripada segala pendinding yang boleh mendinding antara aku dengan Engkau! Tuhanku, bintang-bintang telah menjelma indah, mata telah tidur nyenyak, semua pemilik telah menutup pintunya dan inilah dudukku di hadapan-Mu. Tuhanku, tiada kudengar suara binatang yang mengaum, tiada desiran pohon yang bergeser, tiada desiran air yang mengalir, tiada siulan burung yang menyanyi, tiada nikmatnya teduhan yang melindungi, tiada tiupan angin yang nyaman, tiada dentuman guruh yang menakutkan melainkan aku dapati semua itu menjadi bukti keEsaan-Mu dan menunjukkan tiada sesuatu yang menyamai-Mu. Sekalian manusia telah tidur dan semua orang telah lalai dengan asyik maksyuknya. Yang tinggal hanya Rabi’ah yang banyak kesalahan di hadapan-Mu. Maka moga-moga Engkau berikan suatu pandangan kepadanya yang akan menahannya daripada tidur supaya dia dapat berkhidmat kepada-Mu.”

Rabi’ah juga pernah meraung memohon belas ihsan Allah SWT:
“Tuhanku, Engkau akan mendekatkan orang yang dekat di dalam kesunyian kepada keagungan-Mu. Semua ikan di laut bertasbih di dalam lautan yang mendalam dan kerana kebesaran kesucian-Mu, ombak di laut bertepukan. Engkaulah Tuhan yang sujud kepada-Nya malam yang gelap, siang yang terang, falak yang bulat, bulan yang menerangi, bintang yang berkerdipan dan setiap sesuatu di sisi-Mu dengan takdir sebab Engkaulah Tuhan Yang Maha Tinggi lagi Maha Perkasa.”
Setiap malam begitulah keadaan Rabi’ah. Apabila fajar menyinsing, Rabi’ah terus juga bermunajat dengan ungkapan seperti:
“Wahai Tuhanku, malam yang akan pergi dan siang pula akan mengganti. Wahai malangnya diri! Apakah Engkau akan menerima malamku ini supaya aku berasa bahagia ataupun Engkau akan menolaknya maka aku diberikan takziah? Demi kemuliaan-Mu, jadikanlah caraku ini kekal selama Engkau menghidupkan aku dan bantulah aku di atasnya. Demi kemuliaan-Mu, jika Engkau menghalauku daripada pintu-Mu itu, nescaya aku akan tetap tidak bergerak juga dari situ disebabkan hatiku sangat cinta kepada-Mu.”

Seperkara menarik tentang diri Rabi’ah, dia menolak lamaran untuk berkahwin dengan alasan:
“Perkahwinan itu memang perlu bagi sesiapa yang mempunyai pilihan. Adapun aku tiada mempunyai pilihan untuk diriku. Aku adalah milik Tuhanku dan di bawah perintah-Nya. Aku tidak mempunyai apa-apa pun.”

Rabi’ah seolah-olah tidak mengenali yang lain daripada Allah. Oleh itu dia terus-menerus mencintai Allah semata-mata. Dia tidak mempunyai tujuan lain kecuali untuk mencapai keredaan Allah. Rabi’ah telah mempertalikan akalnya, pemikirannya dan perasaannya hanya kepada akhirat semata-mata. Dia sentiasa meletakkan kain kapannya di hadapannya dan sentiasa membelek-beleknya setiap hari. Kita pula bagaimana? Hidup kita dipenuhi hedonisme.

Antara syairnya yang masyhur berbunyi:
“Kekasihku tiada menyamai kekasih lain biar bagaimanapun. Tiada selain Dia di dalam hatiku mempunyai tempat manapun, Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun, akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun.”

Rabi’ah telah membentuk satu cara yang luar biasa di dalam mencintai Allah. Dia menjadikan kecintaan pada Ilahi itu sebagai satu cara untuk membersihkan hati dan jiwa. Dia memulakan fahaman sufinya dengan menanamkan rasa takut kepada kemurkaan Allah seperti yang pernah diluahkannya. Kecintaan Rabi’ah kepada Allah berjaya melewati pengharapan untuk beroleh syurga Allah semata-mata:
“Jika aku menyembah-Mu kerana takut daripada api neraka-Mu maka bakarlah aku di dalamnya! Dan jika aku menyembah-Mu kerana tamak kepada syurga-Mu maka haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku menyembah-Mu kerana kecintaanku kepada-Mu maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu.”

Sekarang mari kita tinjau diri sendiri pula. Adakah kita menyedari satu hakikat yang disebut oleh Allah di dalam Surah Ali Imran, ayat 142 yang bermaksud:
“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum nyata bagi Allah orang yang berjihad di antaramu dan belum nyata orang yang sabar.”
Bagaimana perasaan kita apabila insan yang kita kasihi menyinggung perasaan kita? Adakah kita terus berkecil hati dan meletakkan kesalahan kepada insan berkenaan? Tidak terlintaskah untuk merasakan di dalam hati seumpama ini:
“Ya Allah, ampunilah aku. Sesungguhnya hanya Engkau yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hanya kasih-Mu yang abadi dan hanya hidup di sisi-Mu sahaja yang berkekalan. Selamatkanlah aku daripada tipu daya yang mengasyikkan.”
Sesungguhnya apa juga lintasan hati dan luahan rasa yang tercetus daripada kita bergantung kepada cara hati kita berhubung dengan Allah. Semakin kita kenali keluhuran cinta kepada Allah, maka bertambah erat pergantungan hati kita kepada Allah serta melahirkan keyakinan cinta dan kasih yang sentiasa subur.
Lanjutan itu jiwa kita tidak mudah berasa kecewa dengan gelagat sesama insan yang pelbagai ragam. Keadaan begini sebenarnya terlebih dahulu perlu dipupuk dengan melihat serta merenungi alam yang terbentang luas ini sebagai anugerah besar daripada Allah untuk maslahat kehidupan manusia. Kemudian cubalah hitung betapa banyaknya nikmat Allah kepada kita. Dengan itu kita akan sedar bahawa kita sebenarnya hanya bergantung kepada Allah. Bermula dari sini kita akan mampu membina perasaan cinta terhadap Allah yang kemudian mesti diperkukuhkan dengan mencintai titah perintah Allah. Mudah-mudahan nanti kita juga akan menjadi perindu cinta Allah yang kekal abadi.