Salam wasilah ukhuwah fillah.
Kem Remaja Islam 2010 (KRIS ‘10) merupakan sebuah kem percutian yang diadakan khusus pada musim cuti sekolah. Program ini dibentuk mengisi keperluan remaja untuk berdepan dengan pelbagai cabaran dan pancaroba kehidupan. Kecelaruan membabitkan pelbagai persoalan seperti pandangan hidup (worldview), agama, nilai, emosi, cinta, akademik dan kerjaya masa depan. Kepercayaan bahawa remaja perlu difahami sebelum mengharapkan mereka memahami, menjadi asas kepada lahirnya KRIS 2010.
“Kamu adalah apa yang kamu percaya” merupakan kaedah yang menjelaskan tentang peri pentingnya PARADIGMA atau cara melihat sesuatu. Inilah fungsi penting Aqidah iaitu mengubah cara manusia memandang; melihat kehidupan dari perspektif Pencipta kehidupan. Justeru KRIS 2010 kali ini menekankan kepada usaha untuk melakukan anjakan paradigma yang holistik. Huraian Hadith Jibril a.s. tentang Iman, Islam dan Ihsan dalam konteks Input, Proses dan Output. Merawat kesilapan TUJUH buta meraba gajah agar al-Deen tidak difahami secara serpihan. Cabaran keluarga dan pembangunan ekstrim juga terbit dari hadith yang sama merupakan salah satu pengisian KRIS 2010.
Proses pembelajaran dilakukan secara interaktif dengan bantuan alat audio dan visual, sinergi kerja dalam kumpulan (LDK), aktiviti indoor dan outdoor, segmen bicara hati ke hati, serta fasilitator yang setia berada sepanjang masa untuk akses yang optimum. KRIS 2010 adalah sebuah program bersifat residential, yang menggabungkan segala unsur pembelajaran untuk kami menyelami isi hati, berusaha memahami dan seterusnya berkongsi pandangan secara eksklusif kepada para peserta. Idea Tasawwur Islam yang segar, dinamik, kontemporari dan praktikal akan disampaikan kepada remaja dengan bahasa remaja. Kami juga menawarkan ruang untuk peserta-peserta berdialog dengan fasilitator jemputan yang berlatarkan pelbagai bidang pengajian yang syariatik juga saintifik daripada IPTA seluruh negara untuk sumbangsaran perancangan pelajaran dan kerjaya mereka nanti.
MAKLUMAT ASAS PROGRAM
1) PENGANJUR
PERSATUAN PENDIDIKAN ISLAM & BAHASA ARAB (PIBA)
PERSATUAN SISWAZAH SABAH (PSS) LAHAD DATU
PERSATUAN PUTERA-PUTERI ISLAM (PERPPIS) LAHAD DATU
2) TEMPAT & TARIKH
SMK AGASEH LAHAD DATU
05 ~ 08 JUN 2010 / 22 ~ 25 JAMADIL AWAL 1431 HIJRAH (SABTU, AHAD, ISNIN, SELASA)
3) YURAN PENYERTAAN : RM 15.00
4) SASARAN PESERTA : PELAJAR TINGKATAN TIGA HINGGA ENAM SAHAJA DARI SEKOLAH
i) SMK Agaseh
ii) SMK Sepagaya
iii) SMK Segama
iv) SMK Desa Kencana
Kepada para pelajar yang ingin berkampung dan berwacana bersama kami, jangan berlengah untuk mendaftar segera. Kami pasti memberikan sepenuh komitmen kepada program ini dengan harapan PERCAYA untuk BERJAYA. 4 hari 3 malam adalah umur remaja anda yang menjadi amanah kepada kami untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman sebagai detik perubahan penuh makna dan semangat untuk berjuang dengan cemerlang