Friday, July 31, 2009

KEGHAIRAHAN “A”

Pakar pemikiran kreatif, Jaafar Abdul Rahim pernah berkata, “Seperti halnya kedahagaan kepada air, kedahagaan ilmu juga menuntut usaha menghilangkan kedahagaan. Caranya adalah dengan ‘meminum ilmu.’ Kedahagaan kepada ilmu juga boleh ‘mengenyangkan’ minda, fikiran, intelektualisme dan kerohanian.” Malah menurut beliau, kedahagaan ilmu melibatkan proses pencarian ilmu yang tiada penghujungnya. Melihat realiti hari ini, kedahagaan ilmu seolah-olah tidak wujud. Masyarakat lebih mengagungkan budaya ‘A’ sehingga menimbulkan kesan negatif. Buktinya, Subashini A/P G. Sivakumar, dijumpai tergantung di jeriji tingkap bilik tidur dengan sehelai kain selimut, gara-gara tidak mendapat 4 A dalam UPSR seperti yang diharapkannya.

Dalam pada itu, Mayo Foundation for Medical Education and Research yang berpangkalan di Amerika mendapati kes bunuh diri dalam kalangan remaja berusia antara 15 hingga 24 tahun tidak terlalu menonjol pada awal 1990-an, tetapi berlaku peningkatan selepas tahun 2000 dengan jumlah 132,000 kes direkodkan di seluruh dunia. Antara puncanya termasuklah tekanan perasaan, kemurungan, trauma, pengasingan dan kekecewaan. Tidak dinafikan bahawa tekanan perasaan dan kekecewaan yang dialami pelajar setelah mengalami kegagalan dalam peperiksaan turut terangkum dalam punca-punca tersebut.

Ternyata, pembelajaran berorientasikan peperiksaan, iaitu sekadar mahu mengejar ‘A’ dalam peperiksaan mengundang gejala negatif dalam masyarakat. Justeru, sebagai ahli komuniti dalam masyarakat, perkara ini perlu segera diatasi dengan memikirkan langkah penyelesaiannya. Dalam hal ini, ibu bapa perlu bersikap terbuka, memahami keupayaan anak, jangan terlalu mendesak atau meletakkan sasaran yang tinggi. Namun yang paling penting ialah didikan agama yang secukupnya perlu, supaya anak-anak tahu konsep dosa dan pahala, sekaligus menghindarkan diri daripada perkara-perkara yang ditegah agama.

Kesimpulannya, sekiranya kita mahu melahirkan individu bersahsiah seimbang, bukanlah tertumpu kepada kecemerlangan akademik semata-mata, tetapi juga perlu cemerlang daripada segi sosial dan emosi. Keghairahan masyarakat terhadap budaya ‘A’ seharusnya mencakupi integrated knowledge, iaitu kesepaduan ilmu yang menyeluruh. Dengan demikian, kes bunuh diri dalam kalangan pelajar mungkin dapat dikurangkan kerana para pelajar menyedari peranan mereka masih belum berakhir sekalipun gagal dalam akademik. Salam Jihad Akademik

Tuesday, July 14, 2009

Perkahwinan Octarina

Salam Wasilah Ukhuwah Fillah
Kak Mia (Octarina binti Kahar) bertemu jodoh juga akhirnya dengan pilihan hatinya sendiri. Kelapangan waktu yang ada, saya manfaatkan untuk bertandang ke walimatul urus pihak lelaki yang diadakan di Kediaman JKR, Lahad Datu pada 12 Julai 2009 yang lalu. Manakala sehari sebelum itu pula telah diadakan akad nikah di kediaman keluarga Kak Mia, di Kinabatangan. Sang Putera yang kini sudah pun sah menjadi suami Kak Mia merupakan seorang guru di SMK Desa Kencana, tempat yang sama Kak Mia bertugas. Bak kata Kak Mia, “Cinta Cikgu”. Sudah menjadi kelaziman halnya begitu, guru kahwin dengan guru. Tak kisahlah. Apa yang penting pasangan saling memahami dan tahu hakikat hidup untuk sentiasa berKONGSI apa yang dimiliki. Teringat pula waktu sama-sama berjuang dengan Kak Mia di lapangan dakwah kampus UMS. Karektornya seperti seorang ibu yang tegas tetapi penyayang membuatkan ramai mad’u senang berteman dengannya. Sewaktu di kampus dulu, selain menjadi pimpinan informal, Kak Mia pernah menjadi Setiausaha JAKMAS Kolej AB Sesi 2005/2006 (setahun sebelum saya menjadi YDP Kolej AB). Performance Kak Mia sangat cemerlang dalam setiap gerak kerja yang dilakukan olehnya. Kak Mia banyak membentuk dan mempengaruhi budaya kerja saya. Terlalu banyak jasa Kak Mia untuk dikenang. Semoga Allah melimpahkan mawaddah wa rahmah dalam kehidupannya sebagai seorang isteri solehah dan ibu mithali di samping istiqamah dalam perjuangan yang tiada noktahnya ini. Saya amat mengaguminya.

Friday, July 10, 2009

MPP Lesu?

Salam wasilah ukhuwah fillah
1) Ada benarnya soalan ini jika para pimpinan pelajar (MPP) mahupun sesiapa sahaja yang 'meminati’ perjuangan MPP yang tidak boleh menerima hakikat MPP memperjuang politik nilai (independent group) bukan menjadi 'pak turut' atau 'rubber stamp' kepada perjuangan politik kekuasaan (partisan).
2) MPP akan lesu sekiranya ahlinya memahami fungsi MPP sebagai "jurubicara hal ehwal kampus" SAHAJA, bukan lagi "mahasiswa jurubicara ummah" secara keseluruhan, masalah kampus mahupun airmata rakyat.
3) MPP akan terus lesu sekiranya dianggap pressure group kepada HEP, bukannya pressure group kepada kerajaan. MPP akan bertambah lesu sekiranya perkataan "MAHA" dalam istilah ‘mahasiswa Islam’ semacam mahu dibuang akibat pemahaman segelintir pihak yang tidak nampak keperluan MPP mencipta gelombang dan kuasa yang tersendiri atas nama student power, atas sumpah menggalas amanah nubuwwah bahawa "agama itu nasihat" kepada sesiapapun.
4) MPP akan terus lesu sekiranya intelegen-intelegen siasah kampus terus berfikir untuk masa depan politik kampus masing-masing sahaja, tiada masa untuk memberi lantas memimpin idea agresif untuk mencorak gelombang politik di peringkat nasional.
5) MPP akan terus lesu sekiranya membaca bahan-bahan bacaan yang terlalu asas (classic) yang tidak sepatutnya di usia muda 22-23 tahun (baca : usia al-Fateh menawan Konstantinople) terus-menerus membincang buku-buku yang bersifat expired@out-of-date dalam situasi kebanjiran buku dan bloggers di Malaysia saat ini. Jangan lupa, kajian yang menunjukkan bahawa mahasiswa Malaysia hanya membaca 12 buah buku selama tiga tahun pengajian.
6) MPP akan terus lesu sekiranya aktivis-aktivisnya tidak terdedah dengan hikmah yang hilang walau dari mana dan siapa sekalipun, sama ada aspek pemikiran, pendekatan mahupun tajribah (pengalaman) yang telah ditempuh oleh gerakan mahasiswa serata dunia pada saat ini.
7) MPP akan terus lesu sekiranya pemikiran-pemikiran baru, dan pengalaman-pengalaman, kepakaran-kepakaran, kelebihan-kelebihan berharga milik bekas-bekas aktivis mahasiswa tidak dimobilasikan dalam satu ketumbukan alumni untuk tujuan memberikan idea-idea membina dengan paksi dan prinsipnya yang cukup jelas dan takkan berubah.
8) MPP terus lesu sekiranya kepimpinan itu mahu terus menjadikan "tumpuan dalaman" kampus masing-masing sebagai justifikasi untuk tidak memberikan komitmen sepadu mungkin kepada perjuangan gerakan mahasiswa di peringkat nasional tatkala hampir setiap isu dan pergolakan harian politik-sosial-ekonomi Malaysia, masyarakat akan meneropong dan tertanya-tanya "di mana mahasiswa?"...

Friday, July 3, 2009

Apresiasi Tahniah


Salam Wasilah Ukhuwah Fillah

Janji Allah Yang Maha Kuasa itu pasti akan berlaku. Doa itu senjata orang mukmin "Dan Tuhan kamu berfirman:Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya akan Aku perkenankan doa permohonan kamu." (Surah Ghafir ayat 60). Saya yakin doa akan dimakbulkan. Usaha gigih dapat balasan setimpal. Tak kira siapa kita, pasti akan dapat balasan, jika usaha lebih. Bukan masalah otak. Sesuai dengan firman-Nya dalam Surah Ar-Ra'ad (ayat 11): "Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib suatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang merubah nasibnya." Apabila kita berusaha, berdoa dan bersabar, nescaya Allah perkenankan dan selamatkan kita. Percayalah. "Dan berikanlah berita gembira bagi orang yang bersabar. " (Surah al Baqarah ayat 155). Ini realitinya.

Saya pernah hampir tersungkur dan tewas kerana gagal ke matrikulasi. Saya cuba gagahinya. Suatu malam saya bingkas, lalu mengerjakan solat dua rakaat. Tewas, akhirnya air mata basah di hujung sejadah. Mulai hari itu, saya tidak menoleh lagi. Saya berusaha sedaya dan sekuat mungkin. Peluang yang Allah Ta’ala berikan untuk saya menuntut ilmu STPM, saya manfaatkan sepenuhnya. Amanah sebagai Ketua Pelajar, Pengerusi Surau, pemidato kebangsaan menjadi pembakar semangat untuk saya membuktikan sesuatu. Alhamdulillah gelaran ‘Best Student STPM’ yang saya impikan, berada dalam genggaman. Saya bersyukur. Betapa Allah SWT tidak pernah melupakan kita. Selangkahku kepada-MU, seribu langkah KAU kepadaku.

Perkongsian yang ala kadar ini bukan berniat memuji diri, sekadar nasihat saya tujukan ikhlas untuk adik-adik yang melanjutkan pelajaran di menara gading dan juga untuk insan-insan yang mulai rasa putus asa, agar sentiasa bersangka baik kepada Allah yang maha tahu beban, kepayahan dan ujian hamba-Nya. Saya sudah mula memetik hasilnya. Pengajian empat atau tiga tahun di universiti sangat berharga jika kita tahu menghargainya. Tahniah kepada semua sahabat yang akan bergraduasi. Kepada Anak Jass Azliezan dan Anak Afiq tahniah kerana bakal bergraduasi second class uper dan dapat melanjutkan pengajian master. Semoga kita semua berjaya mengejar segala impian. PASTI berjaya di Akademi Fisabillah.

Thursday, July 2, 2009

Perpisahan Hakiki

Gerimis ini

Bagai mengerti kelukaan hati

Ku cuba terus untuk berdiri dan berlari

Melawan arus kepalsuan dirimu yang pasti


Namun

Jiwaku masih diselubungi bayanganmu

Masih berlegar dalam rakaman kalbuku


Lupakan, lepaskan, bebaskan aku pergi

Biar hatiku merintih bukan kerana simpati


Kuharapkan sahabatku

Perpisahan ini membahagiakanmu

Kupohon agar kau tidak membenci diriku

Kerana aku pergi bukan atas kerelaanku

Untuk sebuah nilai kesetiaan yang telah kau

Perjudikan dalam kedukaan hatiku


Terima kasih atas kepura-puraanmu (Anonymous)…

Aku halalkan segalanya demi persahabatan itu


Selamat tinggal dunia realiti

Aku kini menuju akhirat yang abadi