Friday, February 26, 2010

Sekadar Jawapan (Siri 2)

8) Sami Budha vegetarian bertanya, “Kenapa Islam suruh bunuh binatang untuk dimakan? Bukankah zalim namanya itu kerana bunuh hidupan bernyawa?” Sains telah buktikan, sayur dan pokok turut ada nyawa. Malah, apabila kita basuh tangan pun, ada banyak nyawa kuman yang kita bunuh. Itu tidak kejam? Bila kita bunuh (sembelih sebenarnya) satu ekor lembu, sebenarnya kita telah selamatkan banyak nyawa manusia.

9) Sami Budha menjawab, "Bunuh sayur dosa kecil sebab sayur kurang deria, bunuh binatang dosa besar" Kita jawab seperti ini, “Habis tu, kita cuma berdosa kecil sahajalah jika bunuh orang yang pekak, buta, bisu hanya kerana dia tidak ada deria?” Jangan membunuh sembarangan!

10) Sami Budha menjawab lagi "Jika kita bunuh sayur, sayur akan tumbuh balik"
Kita jawab lagi "Habis tu, awak makanlah ekor cicak kerana ekor cicak akan tumbuh semula selepas putus" Jangan cuba di rumah! Menjengkelkan!

11) Sami Budha berkata lagi, "Makan binatang akan dapat banyak penyakit"
Kita jawab, "Penyakit datang kerana kita makan banyak. Bukan kerana makan binatang. Allah suruh makan secara sederhana. Lagipun, Allah dah beri gigi taring dan gigi kacip untuk manusia makan binatang dan sayuran. Alah, tembakau dan dadah pun dari tumbuhan jugakan? Lagi besar penyakitnyakan? Lembu yang ragut rumput hari-hari pun boleh jadi lembu gila. Sebenarnya, tak kisah pun kalau kita tak nak makan daging, tapi janganlah cakap haram apa yang telah Allah halalkan untuk kita.

12) Bukankah khinzir itu ciptaan Allah, kenapa orang Islam tak makan babi? Jawapannya mudah, “Sebab bukan semua ciptaan Allah adalah untuk dimakan.”

13) Islam cakap Hindu sembah berhala tetapi Islam hari-hari sembah Ka’abah. Islam bukan sembah Ka’abah, tapi Ka’abah itu adalah Kiblat untuk satukan umat. Dalam Islam dah sebut, siapa sembah Ka’abah akan masuk neraka kerana Islam Sembah Allah. Ka’abah cuma kiblat. Perlu tahu bezakan. Bukti, orang yang sembah berhala tidak akan pijak berhala, tapi orang Islam pijak Kaabah untuk melaungkan azan. Orang Hindi tak akan pijak gambar berhala tapi orang Islam hari-hari pijak gambar Ka’abah (sejadah). Jika ada gambar Ka’abah diletak di KLCC, orang Islam tetap solat menghadap Ka’abah di Mekah kerana itu kiblat kita untuk sembah Allah. Bukan sembah Kaabah!

14) Kenapa perlu ikut Nabi Muhammad saw kerana nabi dan rasul sebelum baginda kan betul juga? Nabi sebelum Nabi Muhammad saw diutus untuk kaum dan zaman tertentu sahaja. Sedangkan Nabi Muhammad saw diutus untuk semua kaum dan sepanjang zaman.

Segala persoalan yang nyatakan di atas, sebenarnya memang benar-benar ditanya oleh orang bukan Islam secara spontan kepada orang Islam. Mereka bertanya bukan kerana hendak tahu, tapi kerana hendak membuatkan orang Islam yang ilmu hanya ala kadar berasa was-was dengan Islam dan akhirnya orang Islam akan berasa was-was dengan agama yang dianutinya. Hadapi serangan kuffar tanpa sebarang rasa gentar!

Saturday, February 20, 2010

Untukmu IBU

Ibu bergenang airmataku

Terbayang wajahmu yang redup sayup

Kudusnya kasih yang engkau hamparkan

Bagaikan laut yang bertepian

Biarpun kepahitan telah engkau rasakan

Tidak pun kau merasa jemu

Mengasuh dan mendidik kami; semua anakmu

Dari kecil hingga dewasa

Hidupmu kau korbankan

Biarpun dirimu yang telah terkorban

Tak dapat ku balasi akan semua ini

Semoga Tuhan memberkati kehidupanmu ibu

Ibu kau ampunilah dosaku

Andainya pernah menghiris hatimu

Restumu yang amat aku harapkan

Kerana di situ letak syurgaku

Tabahnya melayani kenakalan anakmu

Mengajarku erti kesabaran

Kau bagai pelita di kala aku kegelapan

Menyuluh jalan kehidupan

Kasih sayangmu sungguh bernilai

Itulah harta yang kau berikan

Ibu dengarlah rintih hatiku

Untukmu ibu...

Kasihanilah Tuhan

Ibu yang telah mengasihi diriku

Bagaikan kasih ibu sewaktu kecilku

Moga bahagia ibu di dunia dan di akhirat sana

(Al-Fatihah untuk Allahyarhamah Maslianah binti Kamis,
Ibu Angkat Cd yang telah kembali ke rahmatuLlah pada 17 Feb 2010)




Monday, February 15, 2010

Demonstrasi UMNO

Salam wasilah ukhuwah fillah
Sehari dua ni cukup 'meriah' Umno mengadakan demonstrasi sana sini. Pantang terjentik dan tercuit sikit tentang 'semangat keMelayuan',Umno terus berdemonstrasi. Nampaknya Umno sudah mula faham apa makna demokrasi. Sebelum ini, jika Pakatan Rakyat mengadakan demonstrasi maka selepas itu akan muncul komen daripada pemimpin dan media milik Umno. "berlaku huru-hara, peniaga mengalami kerugian, pelabur lari, pembangkang sabotaj ekonomi negara." Jadi hari ini ekonomi negara dalam keadaan gawat, pelabur tak datang dan suasana politik gawat semuanya berpunca dari Umno yang akhir-akhir ini kerap berdemonstrasi. Umno kena bertanggungjawab!

Khairy Jamaludin mungkin senyum seorang diri apabila melihat ramai 'beruk' dalam Umno. Istilah yang diberi kepada peserta demonstrasi 'BERSIH' Pakatan Rakyat sebelum ini. Mungkin selepas ini Umno Pulau Pinang akan turun berdemonstrasi sekali lagi kerana 'termakan' dengan laporan Utusan Malaysia bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng nak membatalkan perarakan Maulidur Rasul. Mungkin kali ini Ibrahim Ali akan berganding bahu dengan seorang lagi wakil rakyat 'bebas' Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim untuk memimpin demonstrasi berkenaan.

Cuma jangan jadi seperti Abu Jahal dan Abu Lahab dah le, memukul canang dan berarak mengelilingi Kota Mekah serta membuat kenduri besar-besaran sembelih kambing dan unta menyambut kelahiran Nabi SAW tetapi kemudiannya menjadi orang yang paling kuat menentang dakwah dibawa oleh Nabi SAW. Umno kini memang cukup bersemangat untuk berdemontsrasi. Saya yakin lepas ni banyak lagi demonstrasi akan diadakan oleh Umno dan mereka yang sewaktu dengannya. Justeru itu memang layaklah Umno mendapat anugerah 'Malaysia Book Of Records' atau mungkin 'Guinness Book Of Records' sebagai parti dalam dunia yang paling banyak mengadakan demonstrasi. Syabas Umno!

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada laman web http://harakahdaily.net)

Sunday, February 14, 2010

Sekadar Jawapan (Siri 1)

Salam wasilah ukhuwah fillah.
Golongan kafir selalu mempersoalkan hakikat kebenaran Islam. Walhal kelompangan agama mereka terdedah melalui kedangkalan ilmu para penganutnya. Sewaktu Nabi Muhammad saw wafat, telah disempurnakan agamamu (Islam). Semua persoalan akan ada jawapannya, hanya ilmu di dada penentu jawapan apa yang perlu diberi.

1) Nama Nabi Isa as disebut 25 kali dalam Al-Quran, tetapi berapa kali nama Nabi Muhammad saw disebut dalam Al-Quran? Nama Nabi Muhammad saw hanya disebut lima kali sahaja di dalam Al-Quran. Mengapa? Hal ini kerana Al-Quran diwahyukan pada Nabi Muhammad saw, sebab itu nama Nabi Muhammad saw jarang disebut. Al-Quran diturunkan bukan semata-mata untuk memapaparkan kisah Nabi Muhammad saw tapi adalah sebagai panduan perjalanan hidup umat Islam.

2) Nama Nabi Isa disebut lagi banyak dari nama Nabi Muhammad saw dalam Al-Quran, tentu sahaja Nabi Isa lebih hebatkan? Soalan sebaliknya, dalam Bible, nama syaitan lebih banyak dari nama Nabi Isa, jadi siapa lagi hebat? Syaitan @ Nabi Isa? Sebenarnya Allah tidak bezakan tentang kehebatan para nabi dan rasul-Nya. Walau bagaimanapun, Allah Maha mengetahuinya.

3) Islam percaya Nabi Isa as diangkat ke langit, sedangkan Nabi Muhammad saw wafat. Jadi, bila Nabi Isa as dibawa ke langit, tentu sahaja nabi Isa itu Tuhan kan? Di dunia yang fana ini, hanya Nasrani (Kristian) sahaja yang telah salah anggap tentang nabi yang diutuskan kepadanya sebagai Tuhan (Nabi Isa). Sedangkan, dalam Bible juga yang ada menyatakan bahawa Jesus (Nabi Isa) berkata "siapa yang taat pada Allah akan masuk Syurga, siapa yang menganggap Jesus sebagai tuhan akan masuk neraka.

4) Dalam Islam, Nabi Muhammad saw adalah Nabi terakhir. Tapi, pada akhir zaman nanti Nabi Isa as akan turun. Kenapa tidak dikatakan Nabi Isa as yang terakhir? Nabi Muhammad saw adalah nabi terakhir berdasarkan tahun kelahirannya. Analogi mudah, jika anak bongsu meninggal dunia, sedangkan anak sulong masih hidup, hakikat yang tidak akan berubah ialah anak sulong tetap sulong.

5) Nabi Isa as disembah sebagai anak Tuhan kerana dianggap mulia sebab lahir tanpa bapa.
Kita jawab seperti ini, “antara ibu dan anak, mana yang lagi mulia? Tentu ibu kan? Jadi, kenapa orang Kristian tidak sembah Mariam saja? Bukankah Mariam ibu, tentu lagi mulia. Nabi Adam juga lahir tanpa bapa, malah tanpa ibu juga merupakan manusia pertama, kenapa tidak disembah Adam sahaja?” Jawapan lengkap ada dalam Surah Imran : 59.

6) Jika baca tafsir, Allah berfirman sekejap guna 'Aku', sekejap guna 'Kami' Kenapa?
'Kami' kan lambang 'Tuhan + Mariam + Anak Tuhan (Isa)'? Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab, 'aku' kata jamaknya 'kami' yang menggambarkan tentang 'Allah dan keagungan-Nya' . Tengok sahaja Queen Elizebeth ketika bertitah, beliau guna 'We' bukan 'I'.

7) Orang Sikh Punjabi bertanya, “Kenapa Islam perlu potong rambut? Bukankah rambut itu anugerah Tuhan yang perlu disimpan? Kita jawab dengan soalan ini, “Kuku juga anugerah Tuhan, kenapa orang Sikh Punjabi potong kuku?”

Friday, February 12, 2010

Kebejatan E-Voting

Salam Wasilah Ukhuwah Fillah

Tirai 2010 bermula dengan hambar bagi Malaysia khususnya mahasiswa yang mendukung ‘aspirasi kemahasiswaan’ di kampus-kampus kini. Pilihanraya kampus pada tahun ini telah menggemparkan negara. Sebelum bermulanya pilihanraya kampus tersebut, mahasiswa-mahasiswa dari IPTA yang bergabung dalam persatuan mahasiswa seperti Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami), Gabungan Mahasiswa Bantah E-Voting (Bantah), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) dan Pro Mahasiswa (Pro-M) telah menganjurkan demonstrasi untuk membantah penggunaan E-Voting dalam pilihanraya kampus. Demonstrasi-demonstrasi telah berakhir dengan tangkapan yang dilakukan oleh pihak polis.

Penangkapan yang dilakukan oleh pihak polis tidak melemahkan anak-anak mahasiswa ini daripada terus berjuang untuk membantah perlaksanaan E-Voting. Sedih dan sungguh memalukan. Nampaknya AUKU tidak lagi menjadi “momok” untuk menakut-nakutkan mahasiswa untuk aktif dalam dunia aktivisme. Saya percaya, tidak lama lagi, gerakan untuk memansuhkannya akan menjadi lebih kuat dan tidak mustahil untuk mencapai kemenangan oleh kerana semakin ramai mahasiswa telah sedar bahawa AUKU tidak relevan untuk mereka dan undang-undang tersebut bermaksud untuk menjadikan mereka seperti “robot” yang boleh dikawal. Apalah yang boleh dikatakan lagi dengan demokrasi kampus kita? Memang serius.

HEP jangan jadi bodoh setelah membodohkan mahasiswa. Cukuplah kebodohan itu datang dari mereka sahaja. E-voting jelas membuka ruang lebih tercemarnya demokrasi kampus. Kerahsiaan dan jaminan tiada. Setakat cakap bolehlah kerana benda belum terjadi lagi. Siapa boleh jamin sistem tidak diceroboh oleh orang lain? Mahasiswa jangan takut dengan tekanan. Universiti milik anda. Anda ada hak. Anda ada suara.Yakin dengan kuasa yang ada supaya tidak mudah diperbodohkan. Jangan jadi pak turut kepada pihak yang berkepentingan. Jika tidak, tiada makna universiti pada mahasiswa.

Saturday, February 6, 2010

Dua Dunia

Apa yang ada jarang disyukuri
Apa yang tiada sering dirisaukan

Nikmat yang dikecap
Barukan terasa bila hilang

Apa yang diburu timbul rasa jemu
Bila sudah di dalam genggaman

Dunia ibarat air laut
Diminum hanya menambah haus
Nafsu bagaikan fatamorgana di Padang Pasir

Panas yang membahang disangka air
Dunia dan nafsu bagai bayang-bayang
Dilihat ada, ditangkap hilang

Tuhan leraikanlah dunia
Yang diam di dalam hatiku
Kerana di situ tidak ku mampu
Mengumpul dua cinta

Hanya cinta-Mu ku harap tumbuh
Dibajai bangkai dunia yang ku bunuh

Friday, February 5, 2010

Kita Sebenarnya

Sempena permulaan tahun baru ini, mari kita renungkan bersama kerana setiap daripada kita ada melakukannya. KITA SEBENARNYA...

* Lebih gembira menyambut 1hb Januari daripada 1 Muharram

* Lebih tahu apa itu 14 Februari daripada 12 Rabiulawal

* Lebih membesarkan hari Sabtu, Ahad daripada hari Jumaat

* Lebih khusyuk mendengar lagu daripada mendengar Azan

* Lebih suka lepak, tidur tengok TV daripada sembahyang

* Lebih tahu tentang artis pujaan kita daripada nama nabi-nabi Allah

* Lebih suka menyebut hello!...hai! daripada Assalamualaikum

* Lebih suka pakai cap dan topi daripada tudung atau kopiah

* Lebih suka menyanyi dangdut daripada berwirid dan bertahmid

* Lebih suka memuji manusia daripada Tuhan kita sendiri

* Lebih suka membaca majalah hiburan daripada buku-buku agama

* Lebih suka ke konsert, karaoke daripada ceramah agama

* Lebih suka memaki, mengumpat orang daripada memuji mereka

* Lebih suka mencarut, @#%^&! daripada menyebut MasyaAllah

* Lebih suka kemungkaran daripada berbuat kebaikkan

* Lebih bangga dengan kejahilan kita daripada bersyukur dengan keimanan kita

* Lebih cintakan urusan dunia daripada urusan akhirat

Hairannya apabila orang tanya arah tujuan kita, kita pasti akan jawab, “Kita SEBENARNYA Lebih suka menuju ke Syurga daripada ke Neraka” Layakkah kita dengan Syurga milik Allah SWT? Apa yang Tuhan suruh itu sama-samalah kita buat, yang dilarang itu kita pakat tinggallah. Kalau Allah SWT dah syariatkan wajib laksanakan Hukum Hudud, maka kita kena patuh. Jangan beralasan lagi! Malu kita dengan Tuhan yang telah memberikan segala kenikmatan kepada hamba-Nya (termasuk menang Pilihan raya Umum daripada pengundi hantu) tetapi kita masih lupa kepada-Nya. Insya Allah, Tuhan akan mengampunkan dosa-dosa kita yang telah lampau sebagaimana dalil naqli dalam Sural Al-Mu’min, ayat 39-40, yang lebih kurang alih bahasanya: "Hai Kaumku, sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (sementara) dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal. Barang siapa mengerjakan perbuatan jahat, maka dia tidak akan dibalasi melainkan sebanding dengan kejahatan itu.Dan barangsiapa mengerjakan amalan yang soleh baik laki-laki maupun perempuan sedang ia dalam keadaan beriman, maka mereka akan masuk syurga , mereka diberi rezeki di dalamnya tanpa dihisab”. Benarlah firman Allah SWT. Wallahualam.