Friday, May 29, 2009

KEPIMPINAN ULAMA

Saya optimis ramai yang tidak tahu (atau pura-pura tak tahu) satu-satunya Parti Islam di bumi bertuah ini, Malaysia Tanah Airku, akan mengadakan Muktamarnya pada bulan Jun kelak. Menariknya pada tahun ini, muktamar tersebut akan mengadakan pemilihan peringkat Jawatankuasa Pusat termasuk Dewan Ulama. Istimewanya tentang kepimpinan parti ini adalah peranan Majlis Syura yang ditunjangi oleh golongan ulama sangat mendominasi pemikiran para ahli dan pimpinan. Hal ini bermakna keputusan yang diambil oleh Parti bukan idea Presiden semata-mata, bahkan melibatkan syura di kalangan mereka yang pakar, sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.

Kita maklum bahawa ulama itu pewaris para nabi. Nabi mewarisi ilmu langit. Kadar mana ilmu itu diwarisi ulama, kadar itulah darjat ulama menjadi tinggi. Oleh kerana nabi kita begitu diangkat ketinggiannya, maka para ulama pewaris pun turut mewarisi dan menerima tempias ketinggian itu. Ulama dijulang kerana nabi dijulang. Ulama dipalang pun kerana nabi dipalang jua. Itulah mujahadah namanya. Ulama mewarisi perjuangan para nabi. Bebanan ulama tidak sama dengan bebanan kita. Mereka mesti memelihara agama dan memulihara dakwah. Golongan ulama bertangggungjawab menarik kemaslahatan kepada ummah dan menolak kemudaratan. Allah Yang Maha Kuasa mengarahkan malaikat Jibril a.s memeliharanya sehingga terus diwahyukan dan diperoleh al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam. Kemudian baton penjagaan itu dipegang oleh Nabi Muhammad s.a.w sehinggalah kewafatan baginda sebelum diserahkan kepada para sahabat sebagai ulama dan pewaris pertama agama ini.

Justeru, apabila kedengaran desas-desus dan desakan agar kepimpinan ulama dipinggirkan sahaja, pada hemat saya perkembangan tersebut bakal mendatangkan implikasi negatif. Proses menukarkan kepimpinan ulama mula membuak selepas kemenangan dalam PRU12. Suatu kemenangan yang besar berbanding sebelum ini. Usaha ini sedang dilobi oleh pihak-pihak yang mempunyai kepentingan dalam kumpulan erdogan yang didominasi oleh golongan profesional. Cuba bayangkan jika golongan ulama yang kita yakini kredibiliti dan akauntabiliti mereka ini disingkirkan? Tidak mustahil kita akan mengulangi zaman gelap Parti sekitar tahun 60-an dan era Dr. Asri Muda.

Ironinya, tidak ramai ahli yang cuba memahami situasi ini. Mungkin mereka lupa kita ini berbeza dengan Parti Merah-Putih itu. Banyak bezanya. Kita ada ulama. Kita ada Tok Guru. Bahkan kita tidak kurang juga yang berkecimpung dalam bidang profesional. Kemenangan Presiden baru-baru ini suatu isyarat yang jelas betapa kita masih memerlukan mereka. Agenda tarbiyah perlu diisi dengan pengisian “bagaimana menyentuh hati” agar isu yang panas dapat ditangani dengan lembut dan menusuk hati. Bukan keras dan semakin menjauhkan. Saya menyokong kepimpinan ulama sekalipun saya mungkin golongan erdogan itu. Selamat bermuktamar.

Friday, May 22, 2009

Tasbih Perjuangan

Salam Wasilah Ukhuwah Fillah.
Baru semalam saya berpeluang membuka hadiah-hadiah yang diberikan oleh sahabat-sahabat sebagai tanda perpisahan mahupun ulang tahun kelahiran saya yang ke-24 tahun (baca 12 tahun) yang lalu. Salah satu yang menarik perhatian saya adalah hadiah tasbih yang diberikan sewaktu Rehlah Keluarga ISEUMS di Taman Teluk Likas. Cantik. Saya ingin hidup saya berakhir seperti tasbih. Awal dan akhir berada di tempat yang sama. Sekalipun kalimah zikir dialunkan berulang kali. Demikian halnya tentang kehidupan kita. Kita bermula daripada Allah SWT dan kelak kita juga akan kembali kepada-Nya.

Sebuah tasbih manifestasi sebuah kehidupan. Itu hipotesis saya. Bukan tasbih namanya jika ia terdiri dari titik yang sama. Bukan kehidupan namanya jika berada dalam satu dimensi sahaja. Kehidupan akan signifikan dan kamil sekiranya melewati fasa-fasa untaian rasa seperti suka, duka, gembira, pahit, tawar dan sebagainya. Untuk melewati semua itu kita memerlukan azimat kesabaran, tangkal kekuatan, kecapi ketabahan, dan benang keberanian. Perjuangan untuk terus mendaki, meniti, dan berlari persis tasbih yang melingkar tetapi masih dalam lingkarannya atau dengan erti kata lain dalam lingkaran takdir Ilahi.

Mungkin dengan sebab itu, si pemberi hadiah tasbih ini cuba memberi peringatan agar saya sentiasa menggenggam tasbih sebagai personafikasi cara mengingati Maha Pencipta dan berzikir sebanyaknya sehingga tiada pengakhiran terhadap puji-pujian kepada-Nya. Ternyata analogi tasbih akrab dengan kehidupan kita. Begitu juga dengan CINTA yang merupakan fasa dalam kehidupan yang tidak boleh dipisahkan. Keutuhan tasbih diikat pada sebuah simpul. Hal ini kerana ikatan yang kukuh dapat menyatukan butir-butir kecil agar tidak terputus dan saling berkoheran (keutuhan) antara satu sama lain.

Cinta kita terhadap perjuangan suci ini akan menjadi indah jika diterima sebagai satu keutuhan. Keutuhan yang berpaksikan ukhuwah fillah demi mengejar jihad fisabillah untuk menjadi Hamzah Asadullah. Saya mendambakannya. Mencintai perjuangan memerlukan emosi, spiritual, dan fizikal (ESQ) yang kuat dan sepadu seperti utuhnya ikatan tasbih yang hakiki. Bagi memastikan cinta itu menjadi abadi dan kuat, maka tali yang mengikat perlulah kuat dan kukuh. Ironisnya, cinta akan terburai menjadi butir-butir keegoan, keangkuhan dan kesombongan jika ikatan itu rapuh dan songsang. Natijahnya perpisahan terasing akan berlaku.

Kita jauhkan musibah ini dengan kembali kepada memahami hakikat perjalanan sebuah tasbih yang meniti perjuangan demi meraih sekalung cinta hakiki. Tasbih cinta perjuangan adalah sebuah kebahagiaan. Tidak perlu air mata. Tidak perlu janji manis bersulam dusta. Tidak perlu ‘dating’ sehingga membuatkan diri kita ‘sinting’. Fahamilah, cinta adalah tasbih perjuangan yang melingkari kehidupan para dai’e. Maka perpisahan adalah senyuman yang tertunda sebagai mehnah dan tribulasi perjuangan. Sekalipun kita terpisah di dunia, yakinlah melalui wasilah perjuangan yang kita pilih ini pasti akan menemukan kita di Syurga kelak. Itu janji-Nya. Tasbih, jadilah saksi perjuangan CINTAku dan sahabat-sahabatku. Saya merindui kalian.

Tuesday, May 19, 2009

Sabah Tanah Airku (Siri 2)

Salam Wasilah Ukhuwah Fillah.
Negeri Sabah dalam sejarahnya sungguh hebat. Kesultanan Sulu yang gagah perkasa dalam sejarah penentangannya terhadap penjajah Sepanyol di Kepulauan Filipina yang tak pernah berjaya menjajah Sabah pernah juga menjamah dan menguasai bumi bertuah ini. Jika sejarah kebangkitan Islam di Sabah digarap dengan sempurna dan sebaiknya pasti mampu menjadi pencetus kebangkitan Islam di Sabah. Dengan warna-warni suku kaum yang melebihi 30 suku utama, saya optimis, Islamlah yang akan memeriahkan kesatuan rakyat Sabah (bukan Perikatan atau UMNO/BN yang mula mencemar duli awal tahun 1990-an). Saya optimis!

Salah satu lambang semangat perjuangan anak jati Sabah adalah keteguhan Gunung Kinabalu tersergam gagah sekali di ufuk barat. Ia seperti menanti-nanti, bahkan mendayu-dayukan lagu dan seruan suci kebangkitan Dunia Islam. Saya kepingin sekali mendakimu buat membina kekuatan diri. Sampai masanya, insya Allah akanku tawan dirimu guna memberi semangat keperwiraan yang semakin luntur dek kezaliman tajaan mereka yang menyalahgunakan kuasa! Sabah negeri yang rancak sekali gerakan kristianisasinya. Tsunami Kristianisasi ini berentetan sejarahnya semenjak zaman penjajahan lagi. Himpitan kemiskinan dan selaput kejahilan yang tebal memudahkan proses dakyah tersebut. Saya dan sesiapa saja antara kita pasti merasa sedih dan bersalah sekali untuk meremehkan suasana yang menyayatkan itu.

Sabah bertuah kerana memiliki pemimpin Islamik di awal kemerdekaannya yang memilih bercantum dengan Malaysia, bukan negara kristian – Filipina. Ketokohan Tun Haji Fuad Stephen (Donald Stephen), Tun Mustapha Dato’ Harun, dan yang seangkatan dengan mereka telah membuat pilihan yang tepat apabila memujuk rakyat Sabah agar memilih Malaysia melalui Suruhanjaya Cobbold itu. Cuba bayangkan jika hari ini kita ‘tumpang merdeka’ melalui Filipina? Mungkin nasib kita akan seteruk saudara-saudara kita di Selatan Filipina yang terus dipinggirkan dan dinafikan hak sebagai warganegara, walaupun saya tidak menafikan pada masa yang sama melalui Islamisasi USNO dan BERJAYA yang hanya bersifat retorik dan mempermainkan undi rakyat menjelang pilihan raya; lebih menyakitkan hati!

Duhai para daie, dengarkanlah panggilan kami! Bacakan Islam dan iman di sini. Sucikan jiwa kami daripada sirna durjana. Kristian hanya mengenyangkan di perut, sedang Islam mampu mengenyangkan perut, hati dan jantung sekali. Islam lebih berhak untuk seluruh rayat Sabah. Saya yakin jika kita lebih menumpukan kepada usaha dakwah dan kebajikan, itulah yang terbaik berbanding isu-isu politik yang tidak signifikan. Islam akan lebih manis dan diterima. Kehadiran ramai pendidik dan penuntut ilmu dari Semenanjung di sini akan berterusan dan memberi nafas segar yang menguatkan. Namun akhirnya, anak-anak Sabahlah yang berhak untuk mengepalai dakwah Islamiyyah di negeri sendiri. Kita doakan. Ayuh, bangkitlah anak-anak Sabah. Allah memberkati perjuangan kita menegakkan kalimah-Nya di bumi sejuk yang cukup indah ini. Saya mendambakan saat itu tiba.

Wednesday, May 13, 2009

Cuti-cuti Islami

Saat ini sudah ramai sahabat-sahabat yang berada di kampung halaman menikmati percutian semester yang baru saja bermula. Ada yang pulang ke kampung untuk mengubat kerinduan terhadap keluarga tercinta, ada juga yang berhajat meraikan keberangkatan keluarga menunaikan umrah. Bahkan tidak kurang juga yang mungkin akan mendirikan ‘masjid’ sama ada sebagai satu tanda (bertunang) atau terus mengikat janji terpatri di sanubari. Tidak mustahil juga mungkin ada segelintir daripada kita yang tidak ada sebarang perancangan untuk mengisi tempoh percutian ini. Bagi golongan seumpama ini, cukuplah sabda Rasulullah s.a.w menjadi peringatan, yang bermaksud “...jagalah waktu lapangmu, sebelum datang waktu sibukmu...”. Justeru, saya menggesa agar sama-sama kita isi percutian kali ini dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah. Rancang dengan apa yang di tangan, bukan yang kita angan-angankan. Libatkan diri secara aktif dengan aktiviti kemasyarakatan, akrabkan diri dengan usrah, mesrakan diri dengan Pencipta. Manfaatkan waktu cuti ini dengan meningkatkan kualiti kita sebagai seorang da’ie (pendakwah). Cukuplah dengan memulakan langkah memberanikan diri untuk berdiskusi. Gunakan minda untuk berwacana, lebih daripada jari untuk menyumbat telinga. Ketika musuh yang bersaing dengan Islam begitu aktif mengukuhkan kefahaman mereka terhadap apa yang mereka percaya, gerakan Islam akan hilang siginifikasinya jika didukung oleh da’ie yang fikrahnya seperti istana kaca! Bagi diri saya pula, cuti ini adalah cuti terakhir saya bergelar mahasiswa. Alhamdulillah, pencarian ilmu selama empat tahun di Kota Jesselton yang penuh rencam dan karenah ini telah mentransformasikan saya daripada pelbagai aspek. Saya mengharapkan agar ilmu yang dikutip akan menjadi titipan yang berharga untuk mendidik anak bangsa kelak. Semoga percutian kali ini akan menemukan kita dengan pencarian yang abadi. Selamat berKRIS dan bercuti. Sampai bertemu lagi.

Tuesday, May 5, 2009

3 dalam 1

Nikmat usia yang Allah Ta’ala berikan adalah nikmat yang tak terperi. Ia bagai kehidupan itu sendiri. Kita tidak akan menikmati kehidupan tanpa nikmat umur yang baik. Allah Ta’ala mempelbagaikan ibadah dan cara melutut dan bersujud di hadapan-Nya agar kita seronok, gembira dan tidak jemu-jemu dengan variasi ibadah. Jika hanya solat, bayangkan kesempitan dan kejemuan yang pasti kita akan rasai. Justeru, nikmat usia harus disyukuri dengan memvariasikan ibadah kepada-Nya. Sehari yang lalu, usia saya genap 24 tahun. Menariknya tahun ini, ulang tahun kelahiran saya diraikan dalam tiga senario yang berbeza.

1) Sahabat-sahabiah seperjuangan daripada Kolej Kediaman AB telah mengadakan majlis Jalinan Ikatan Kasih yang turut menyelitkan majlis memperingati hari ulang tahun kelahiran saya yang ke-24 tahun. Susah payah Akmal, Julkifflye dan sahabat-sahabat menyentuh hati saya. Apatah lagi malam itu kek krim ditaja oleh Nadir.
2) Tepat jam 12 malam pula, Jass Azliezan (Annak!) and The Geng (Syafiq, Ashraf, Adam, dan Faridzul juga Sabahrullah) membuat kejutan di bilik saya dengan pendekatan gimik yang tidak seberapa kena. Kek coklat yang terhias cantik mengalami ‘kemalangan’ dek kekalutan kami malam itu. Kasihan kek itu. Tapi sedap rugi tak makan.
3) Saya menerima banyak hadiah dan ucapan SMS daripada kenalan saya. Mutiara kata berharga dan doa-doa yang dipanjatkan (terutama doa agar saya cepat kahwin, he..he..) amat saya hargai. Sekalipun jumlah ucapan hari lahir yang saya terima pada tahun ini menurun bilangannya (tahun lalu sampai dapat 250 SMS), namun doa-doa dan harapanm kalian menjadi mangkin untuk saya terus menggagahi kehidupan ini.

Saya telah belajar banyak perkara. Daripada mengasuh, mengasah, mengasak dan mengasih diri dengan sifat-sifat terpuji apabila diberi seberkas kuasa sehinggalah saya mengenal dan mendepani gelagat lapisan manusia yang rencam ragamnya, saya seperti disapa untuk diseret kuat ke dunia politik secara praktikal. Saya bagai dipaksa mengenal musuh sebaik mengenal kawan. Benar sekali nasihat Insan Agung Utusan Langit, “Sayangi temanmu seadanya, kelak mungkin akan jadi musuhmu. Benci musuhmu seadanya, kelak mungkin akan jadi temanmu.” Saya apresiasikan sejuta penghargaan buat musuh, kawan, rakan, teman, dan sahabat sekalian atas kesudian kalian hadir menghiasi dan melengkapi perjalanan hidup insan kerdil bernama Mursidi bin Amat bin Kandalang bin Haji Mizan ini. Hatta kita berpisah di dunia yang fana ini, semoga kita bertemu di Syurga dengan senyuman dan laungan takbir kemenangan. Terima kasih juga buat ayahanda, bonda dan keluarga tercinta. Jasa kalian tidak ternilai. Saya teringat bicara Rimbawan Sejati, “Semoga usia ke-24 tahun abang ini mengingatkan kita pernah bekerja 24 jam untuk agama Allah”. Benarkah itu? Saya mula menghitung apakah amalan dan iman sudah mampu menjamin untuk saya bertemu dengan Yang Maha Pencipta? Doakan saya terus mengecapi nikmat Islam dan Iman. Terima kasih semua. Bahagianya tatkala dihargai.

Saturday, May 2, 2009

Ratu Hatiku

Besarnya pengorbanan seorang muslimah bergelar ibu. Menyedari hakikat itu, Islam telah meletakkan prioriti amal kepada kaum hawa ini. Daripada Mu'awiyah bin Jahimah As-Salami, Jahimah datang kepada Rasulullah s.a.w, lalu berkata:“Wahai Rasulullah, aku ingin pergi berperang dan aku sekarang datang minta nasihat kepada tuan.” Baginda bertanya:“Apakah kamu masih mempunyai ibu?”. Pemuda itu menjawab:“Masih.” Baginda bersabda lagi: “Uruslah dia, kerana syurga di bawah kedua kakinya.” (Hadis riwayat Nasa'i, Ahmad dan Ibnu Majah). Rasulullah memahami keinginan Jahimah untuk pergi berperang dan pada masa sama mengetahui ibu Jahimah sakit dan perlukan penjagaan. Namun, Baginda memerintahkannya mengurus ibunya kerana dengan mengurus ibunya, dia akan mendapatkan balasan syurga. Menerusi hadis itu, Baginda dengan tegas menerangkan keistimewaan yang Allah berikan kepada ibu, pemegang kunci syurga anak-anaknya. Jika anak mereka berbakti kepada ibunya sesuai dengan tuntutan Islam, Allah akan memudahkan mereka masuk ke syurga. Sebaliknya, jika anak itu derhaka kepada ibunya, pintu syurga menjadi sukar untuk mereka lalui.

Kehormatan tinggi seperti ini hanya menjadi hak seorang ibu yang membuktikan Islam benar-benar mengangkat martabat kaum wanita; memperlakukannya begitu terhormat sehingga dijadikan penentu bagi anak-anaknya untuk memasuki syurga. Sesungguhnya, memuliakan ibu bukan hanya setakat merayakan sebuah hari yang dinamakan Hari Ibu. Menyanjung ibu bukan sekadar memperingatinya setahun sekali dengan pelbagai upacara atau memberinya hadiah dan pengisytiharan luaran bersifat material. Memang benar, sambutan Hari Ibu ada agenda baik di dalamnya, iaitu menjana perhubungan erat antara anak dan ibu bapa. Namun begitu, di dalam Islam, terdapat pengajaran mengenai amalan dan konsep berbakti kepada ibu bapa yang mencerminkan keikhlasan berbanding sambutan Hari Ibu yang seolah-olah menampakkan kepura-puraan dan bersifat materialistik. Apatah lagi terdapat mitos yang mengaitkan sambutan Hari Ibu seperti merayakan hari "Ibu Pada Tuhan" yang menjadi amalan orang Greece terdahulu. Ini semua sumber dari Kristian.

Ibu dan bapa adalah syarat kita mendapat redha dan memasuki Syurga Tuhan. Ia akan menyentap nikmat perjuangan dan kehidupan jika dialpakan dan dipinggiri kepentingannya. Ayah dan ibu bukan untuk dipohon ampun dan dipeluk cium hanya di pagi hari raya, bahkan setiap pagi adalah hari raya untuk mereka daripada kita anak-anak. Kita perlu membahagiakan mereka di hadapan dan di belakang mereka. Biar kita menjadi syurga mereka di dunia ini sebelum mereka menjadi syurga kita di Sana. Ibu bapa mana yang tidak gembira melihat kita tergagap-gagap rentak di hadapannya semata-mata kerana ingin menghormati, beradab dan menjaga tata santun kita di depannya. Biar mereka menikmati kita hari ini sebagaimana mereka menikmati kita semasa mereka mendidik kita semasa kecil dahulu. Biarlah sifat keanakan itu masih menjadi pakaian rasmi kita di hadapan mereka, sekalipun nama kita gah bergemerlapan di sisi masyarakat di luar sana.

Selagi hayat mereka dikandung badan ambillah kesempatan untuk berbakti kepada mereka. Sekalipun mereka sudah pergi meninggalkan kita titipkanlah doa sebagai saham mereka di alam Sana. Mulianya insan bergelar ibu tiada tandingannya. Mengandungkan, melahirkan dan mendidik kita dengan penuh kasih sayang. Istimewa buat muslimah berwajah ayu (tiada wanita lain yang mampu menandingi kecantikanmu) seorang ibu bernama Sadayara Al-Pasain, ketahuilah betapa kami, lima wira dan dua srikandimu sangat menyayangi dan mencintaimu seumur hidup kami. Terima kasih atas segala-galanya. Semoga dari tanganmu akan lahir khalifah yang mampu mengoncang dunia. Raikanlah ibu dan bapa kita setiap hari melalui doa yang kita titipkan. Apa pun gelaran yang diberikan kepadamu - ibu, ummi, mak, ma, ammak, innak, dan yang sama waktu dengannya; tiada apa yang mampu mengubah hakikat betapa engkaulah ratu hati anak-anakmu.


Seorang wanita bermahkota ibu. Menggenggam jari-jari kecil. Ikatan ini tidak kan terurai. Kerana tautan ini, tautan darah dan akidah rahmat daripada Allah.

Kini ibu peganglah tanganku ini. Biarku bawa ibu menjelajah. Hasil titik peluhmu. Biarku bawa ke alamku hasil ukiranmu selama ini.

Dodoianmu ibu membina benteng pemisah antara yang hak dan yang batil.

Membakar semangat perjuangan mengait kasih pada Junjungan Tercinta.

Tersujud lemah mengabdi diri kepada Yang Maha Esa

Jika belum pernah kau dengar ucapan terima kasihku, ketahuilah doaku ini:

“Moga Tuhan menyayangimu sepertimana kau mengasihiku dari dulu hingga kini untuk selama-lamanya.”

Friday, May 1, 2009

Babi (Khinzir) Lagi (Gila)

Sekali lagi kisah haiwan yang diharamkan oleh Islam ini menghantui kita. Sejak 1000 tahun yang lalu, ALlah Ta’ala telah pun mengharamkan haiwan merah jambu ini berserta keturunannya seperti yang banyak dirakamkan dalam Surah Al-An’am. Tiba-tiba babi jadi glamour dan sana sini orang asyik cakap pasal babi. Kalau menyumpah tersebut babi pun orang tak hairan. Maklumlah hari-hari disajikan dengan pelbagai cerita pasal babi. Dalam kesibukan dunia mengekang wabak ini, ada saintis yang mahukan nama selsema babi ditukar. Alasannya, virus selsema babi ini (H1N1) terbentuk dari hasil gabungan mutasi genetik babi, manusia dan unggas. Jadi bukan babi seekor sahaja yang terlibat dalam hal ini. Itu cerita lain. Pokok pangkalnya, babi itu! Wabak ini merebak cepat melalui sentuhan, bersin dan batuk yang datang daripada manusia. Lebih menyedihkan sudah ada nyawa yang melayang. Apa yang istimewa sangat pasal babi pun saya kurang arif. Nanti kita tanyakan dengan seorang siswi dari UPM yang gemar bergambar dengan haiwan ini suatu ketika dulu. Katanya dia pakar benar tentang babi ini. Nampak gayanya permintaan untuk daging babi akan berkurangan dan tauke bah kut teh atau cha siu pau pun rasanya terkena penangannya. Lepas ini, orang yang paling sibuk tentunya Jabatan Veterinar; hendak melawat dan menyuntik dos vaksin kepada para babi bukan kerja mudah. Kilang babi di Malaysia ini pun (kononnya Negara Islam) bersepah-sepah. Ada seorang sahabat menyebut selsema khinzir. Mungkin lebih sopan. Tapi kalau cakap pasal babi rasanya boleh buang saja etika kesopanan. Babi tetap babi! Tak ada babi yang halal. Teringat kisah seorang senior yang ditugaskan untuk mengaudit sebuah kilang peternakan babi di sebuah kilang besar yang penuh dengan babi-babi montel tajaan Kerajaan Khir Toyo dulu. Loya anak tekak. Baunya saja memang tak payah nak cakap; berbatu-batu pun masih boleh cium bau dia. Keadaan kandang dan sistem saliran yang kotor memang sesuai untuk pembiakan virus-virus penyakit berjangkit. Tambahan pula, majoriti kandangnya sangat gelap. Gelap itu macam-macam. Redup, suram, kelam, malap, hitam. Parti itu biru gelap. Tatkala tenggelamnya hadhari, munculnya ‘One Malaysia’, Parti jadi biru gelap pekat. Kufur itu yang hitam terus tanpa tanda putih. Mungkinkah sebahagian ahli Parti jenis ini, hanya Allah yang tahu, atau Dia sudah pun memberitahu kita. Kita sahaja yang gelap hati enggan mengakui. Cerah pun macam-macamkan? Kalaulah cerah kita seputih bulan mengambang, itulah iman yang hebat daripada kurniaan-Nya. Berusahalah untuk memilikinya.