Saturday, May 2, 2009

Ratu Hatiku

Besarnya pengorbanan seorang muslimah bergelar ibu. Menyedari hakikat itu, Islam telah meletakkan prioriti amal kepada kaum hawa ini. Daripada Mu'awiyah bin Jahimah As-Salami, Jahimah datang kepada Rasulullah s.a.w, lalu berkata:“Wahai Rasulullah, aku ingin pergi berperang dan aku sekarang datang minta nasihat kepada tuan.” Baginda bertanya:“Apakah kamu masih mempunyai ibu?”. Pemuda itu menjawab:“Masih.” Baginda bersabda lagi: “Uruslah dia, kerana syurga di bawah kedua kakinya.” (Hadis riwayat Nasa'i, Ahmad dan Ibnu Majah). Rasulullah memahami keinginan Jahimah untuk pergi berperang dan pada masa sama mengetahui ibu Jahimah sakit dan perlukan penjagaan. Namun, Baginda memerintahkannya mengurus ibunya kerana dengan mengurus ibunya, dia akan mendapatkan balasan syurga. Menerusi hadis itu, Baginda dengan tegas menerangkan keistimewaan yang Allah berikan kepada ibu, pemegang kunci syurga anak-anaknya. Jika anak mereka berbakti kepada ibunya sesuai dengan tuntutan Islam, Allah akan memudahkan mereka masuk ke syurga. Sebaliknya, jika anak itu derhaka kepada ibunya, pintu syurga menjadi sukar untuk mereka lalui.

Kehormatan tinggi seperti ini hanya menjadi hak seorang ibu yang membuktikan Islam benar-benar mengangkat martabat kaum wanita; memperlakukannya begitu terhormat sehingga dijadikan penentu bagi anak-anaknya untuk memasuki syurga. Sesungguhnya, memuliakan ibu bukan hanya setakat merayakan sebuah hari yang dinamakan Hari Ibu. Menyanjung ibu bukan sekadar memperingatinya setahun sekali dengan pelbagai upacara atau memberinya hadiah dan pengisytiharan luaran bersifat material. Memang benar, sambutan Hari Ibu ada agenda baik di dalamnya, iaitu menjana perhubungan erat antara anak dan ibu bapa. Namun begitu, di dalam Islam, terdapat pengajaran mengenai amalan dan konsep berbakti kepada ibu bapa yang mencerminkan keikhlasan berbanding sambutan Hari Ibu yang seolah-olah menampakkan kepura-puraan dan bersifat materialistik. Apatah lagi terdapat mitos yang mengaitkan sambutan Hari Ibu seperti merayakan hari "Ibu Pada Tuhan" yang menjadi amalan orang Greece terdahulu. Ini semua sumber dari Kristian.

Ibu dan bapa adalah syarat kita mendapat redha dan memasuki Syurga Tuhan. Ia akan menyentap nikmat perjuangan dan kehidupan jika dialpakan dan dipinggiri kepentingannya. Ayah dan ibu bukan untuk dipohon ampun dan dipeluk cium hanya di pagi hari raya, bahkan setiap pagi adalah hari raya untuk mereka daripada kita anak-anak. Kita perlu membahagiakan mereka di hadapan dan di belakang mereka. Biar kita menjadi syurga mereka di dunia ini sebelum mereka menjadi syurga kita di Sana. Ibu bapa mana yang tidak gembira melihat kita tergagap-gagap rentak di hadapannya semata-mata kerana ingin menghormati, beradab dan menjaga tata santun kita di depannya. Biar mereka menikmati kita hari ini sebagaimana mereka menikmati kita semasa mereka mendidik kita semasa kecil dahulu. Biarlah sifat keanakan itu masih menjadi pakaian rasmi kita di hadapan mereka, sekalipun nama kita gah bergemerlapan di sisi masyarakat di luar sana.

Selagi hayat mereka dikandung badan ambillah kesempatan untuk berbakti kepada mereka. Sekalipun mereka sudah pergi meninggalkan kita titipkanlah doa sebagai saham mereka di alam Sana. Mulianya insan bergelar ibu tiada tandingannya. Mengandungkan, melahirkan dan mendidik kita dengan penuh kasih sayang. Istimewa buat muslimah berwajah ayu (tiada wanita lain yang mampu menandingi kecantikanmu) seorang ibu bernama Sadayara Al-Pasain, ketahuilah betapa kami, lima wira dan dua srikandimu sangat menyayangi dan mencintaimu seumur hidup kami. Terima kasih atas segala-galanya. Semoga dari tanganmu akan lahir khalifah yang mampu mengoncang dunia. Raikanlah ibu dan bapa kita setiap hari melalui doa yang kita titipkan. Apa pun gelaran yang diberikan kepadamu - ibu, ummi, mak, ma, ammak, innak, dan yang sama waktu dengannya; tiada apa yang mampu mengubah hakikat betapa engkaulah ratu hati anak-anakmu.


Seorang wanita bermahkota ibu. Menggenggam jari-jari kecil. Ikatan ini tidak kan terurai. Kerana tautan ini, tautan darah dan akidah rahmat daripada Allah.

Kini ibu peganglah tanganku ini. Biarku bawa ibu menjelajah. Hasil titik peluhmu. Biarku bawa ke alamku hasil ukiranmu selama ini.

Dodoianmu ibu membina benteng pemisah antara yang hak dan yang batil.

Membakar semangat perjuangan mengait kasih pada Junjungan Tercinta.

Tersujud lemah mengabdi diri kepada Yang Maha Esa

Jika belum pernah kau dengar ucapan terima kasihku, ketahuilah doaku ini:

“Moga Tuhan menyayangimu sepertimana kau mengasihiku dari dulu hingga kini untuk selama-lamanya.”

No comments: