Friday, May 29, 2009

KEPIMPINAN ULAMA

Saya optimis ramai yang tidak tahu (atau pura-pura tak tahu) satu-satunya Parti Islam di bumi bertuah ini, Malaysia Tanah Airku, akan mengadakan Muktamarnya pada bulan Jun kelak. Menariknya pada tahun ini, muktamar tersebut akan mengadakan pemilihan peringkat Jawatankuasa Pusat termasuk Dewan Ulama. Istimewanya tentang kepimpinan parti ini adalah peranan Majlis Syura yang ditunjangi oleh golongan ulama sangat mendominasi pemikiran para ahli dan pimpinan. Hal ini bermakna keputusan yang diambil oleh Parti bukan idea Presiden semata-mata, bahkan melibatkan syura di kalangan mereka yang pakar, sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.

Kita maklum bahawa ulama itu pewaris para nabi. Nabi mewarisi ilmu langit. Kadar mana ilmu itu diwarisi ulama, kadar itulah darjat ulama menjadi tinggi. Oleh kerana nabi kita begitu diangkat ketinggiannya, maka para ulama pewaris pun turut mewarisi dan menerima tempias ketinggian itu. Ulama dijulang kerana nabi dijulang. Ulama dipalang pun kerana nabi dipalang jua. Itulah mujahadah namanya. Ulama mewarisi perjuangan para nabi. Bebanan ulama tidak sama dengan bebanan kita. Mereka mesti memelihara agama dan memulihara dakwah. Golongan ulama bertangggungjawab menarik kemaslahatan kepada ummah dan menolak kemudaratan. Allah Yang Maha Kuasa mengarahkan malaikat Jibril a.s memeliharanya sehingga terus diwahyukan dan diperoleh al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam. Kemudian baton penjagaan itu dipegang oleh Nabi Muhammad s.a.w sehinggalah kewafatan baginda sebelum diserahkan kepada para sahabat sebagai ulama dan pewaris pertama agama ini.

Justeru, apabila kedengaran desas-desus dan desakan agar kepimpinan ulama dipinggirkan sahaja, pada hemat saya perkembangan tersebut bakal mendatangkan implikasi negatif. Proses menukarkan kepimpinan ulama mula membuak selepas kemenangan dalam PRU12. Suatu kemenangan yang besar berbanding sebelum ini. Usaha ini sedang dilobi oleh pihak-pihak yang mempunyai kepentingan dalam kumpulan erdogan yang didominasi oleh golongan profesional. Cuba bayangkan jika golongan ulama yang kita yakini kredibiliti dan akauntabiliti mereka ini disingkirkan? Tidak mustahil kita akan mengulangi zaman gelap Parti sekitar tahun 60-an dan era Dr. Asri Muda.

Ironinya, tidak ramai ahli yang cuba memahami situasi ini. Mungkin mereka lupa kita ini berbeza dengan Parti Merah-Putih itu. Banyak bezanya. Kita ada ulama. Kita ada Tok Guru. Bahkan kita tidak kurang juga yang berkecimpung dalam bidang profesional. Kemenangan Presiden baru-baru ini suatu isyarat yang jelas betapa kita masih memerlukan mereka. Agenda tarbiyah perlu diisi dengan pengisian “bagaimana menyentuh hati” agar isu yang panas dapat ditangani dengan lembut dan menusuk hati. Bukan keras dan semakin menjauhkan. Saya menyokong kepimpinan ulama sekalipun saya mungkin golongan erdogan itu. Selamat bermuktamar.

1 comment:

Amermeftah said...

Tau! Ruginya tak dapat pegi walaupun masa buat dekat dgn rumah tak penah pegi pon.

Bersama kepimpinan ulama dulu, kini, selamanya