Saturday, November 28, 2009

PERSOALAN TAKDIR

Salam Wasilah Ukhuwah Fillah

Terlalu banyak ayat al-Quran yang merakamkan perihal kaitan antara kepercayaan kepada takdir (Qodak dan Qadar) dengan darjat keimanan seseorang hamba-Nya kepada Yang Maha Khaliq. Malangnya, peringatan demi peringatan yang kita dengari sekadar alunan tiada erti persis masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Maka tidak hairanlah jika kita sering terdengar dialog seumpama ini.

“Takdir terletak di hujung usaha.” Petikan dialog novel Ayat-ayat Cinta.

“Mengapalah Tuhan mendatangkan musibah dan malapetaka kepada aku. Apa dosaku?”

“Kalau Tuhan dah tulis saya jadi jahat, apa saya boleh buat. Buat apa pun tak akan jadi baik”.

Kefahaman kepada Qodak dan Qadar sangat lemah dalam kalangan masyarakat, yang kemudian melahirkan generasi yang berani mengeluarkan kata-kata bersulam nista begini. Asas sangat rapuh, pedoman hilang tanpa suluh.

Tidak dinafikan masyarakat mengatakan bahawa ketentuan Tuhan itu adalah pada individu, sedangkan sepatutnya kepada ciri-ciri. Memang Allah menentukan segalanya, tetapi kadar sesuatu itu yang ditentukannya bukan pada individu. Terpulang pada individu memilih kadar mana kejahatan atau keburukan yang akan dipraktikkannya! Literalnya, takdir adalah perkatan Melayu yang datang dari perkataan Arab. Qa Da Ra ialah kata asasnya yang membawa makna telah “mengkadarkan atau telah menetapkan piawaian atau ciri-ciri sesuatu berlaku”. Penambahan ta pada perkataan Arab menandakan dari perbuatan yang telah lepas menjadi kepada perbuatan yang sedang berlaku. Bermakna Allah sentiasa menguatkuasakan kadar-kadar yang telah ditetapkan sejak Azali.

Mengatakan bahawa segala yang berlaku hanya bergantung sepenuhnya kepada usaha kita, kalau silap ditafsir mungkin menjadikan kita Kaum Qadariah, iaitu yang mengatakan bahawa segalanya bergantung kepada usaha dan kudrat kita. Macam Pendeta Za’ba! Sebaliknya orang yang memulangkan segalanya kepada nasib, akan tergolong di dalam Kaum Jabariah. Maka bagaimanakah untuk berada dalam golongan pertengahan? Salafi? Wahabi? ABIM? Tarekat? JIM? Arqam? Ayah Pin? Rasul Melayu? – bukan jawapannya. Kita tunggu jawapan daripada ustaz-ustaz yang bertauliah, kerana sekarang ini tanpa tauliah bertulis susah juga nak komen. Silap hari bulan jadi macam Dr. Asri!

Thursday, November 26, 2009

Wednesday, November 25, 2009

Krisis Kepimpinan

Salam Wasailah Ukhuwah Fillah
Dalam sesebuah organisasi tidak sempurna rasanya jika tidak berdepan dengan isu ini. Krisis antara pemimpin dan yang dipimpin! Dewasa ini di peringkat global kita disajikan dengan isu kepimpinan dalam badan dunia seperti PBB dan OIC. Di peringkat serantau pula, isu kepimpinan di Thailand dan Myanmar masih belum menemui cahaya di hujung lorong. Jika kita kecilkan skop latar tempat maka kita akan sibuk berpolemik tentang masalah dalaman yang menghantui parti terbesar kaum Tionghua, MCA. Hampir setiap malam, Buletin Utama TV3 (atau jolokannya TV tiga suku - kerana kerap melaporkan berita fitnah) dan setiap hari Utusan MeLOYAkan dan Berita HAIRAN cuba menutup keaiban ini untuk membela BN. Hakikatnya, rakyat semakin bijak untuk menilai, siapa benar, siapa salah, siapa menang, siapa kalah?

Amat menyedihkan dan mengguris perasaan jika bahana ini turut menyerang parti Islam tunggal di Malaysia, PAS yang cukup terkenal dengan sistem tabiyah dan siasah Islamnya. Sekilas pandang PAS kini berdepan masalah besar. Secara teori parti itu sudah memang kalah untuk meyakinkan rakyat tapi secara ilmiahnya PAS sudah mencapai kemenangan untuk menunjukkan keterbukaannya mendepani masalah ini. Sekurang-kurangnya label ‘parti rigid’ sedikit sebanyak akan terhakis dan terlucut daripada imej PAS yang melaungkan slogan “PAS for All”. Di kala tekanan dan masalah dalaman melanda PAS, pada masa yang sama gerakan Islam di kampus-kampus seolah-olah terpalit dengan senario yang sama. Gendang yang dipalu oleh erdogan di luar, turut mengundang para jundullah kampus untuk berdansa songsang!

Secara peribadi, saya sedikit kecewa dengan perkembangan ini. Seolah-olah hal yang berlaku itu tidak membabitkan maruah gerakan Islam secara integralnya. Sewaktu ‘meninggalkan’ perjuangan di kampus, saya mengharapkan biah yang lebih baik akan diwujudkan. Mungkin impian itu suatu uthopia! Jangan disangka semua yang diingini tiada sebab untuk tidak dimiliki. Adakah ini petanda kekalahan kita mendepani thaghut di kampus? Tapi perjuangan ISLAM tidak pernah kalah malahan kekalahan itu ada hikmahnya. Mungkin kita ada kelemahan dari beberapa sudut, sedikit alpa sehingga jika kita terus dibuai kesenangan berterusan kita akan lalai dan leka dari kehendak tuan Alam dan amanah sebagai khalifah Allah. Maka, DIA datangkan mehnah dan tribulasi ini. Saya tersepit, sama ada untuk cuba mencampuri ‘urusan ini’ atau terus mendiamkan diri menjadi pendengar tegar? Semoga Allah Ta’ala menjadikan saya ‘wira’ yang tidak perlu memilih antara dua. Saya kebingungan.