Sunday, December 27, 2009

Mencakna Perjuangan

Salam wasilah ukhuwah fillah
Kita bukan pemula juga bukan pengakhir, hakikatnya kita adalah mata rantai kepada perjuangan ini. Ungkapan yang menjadi motivasi untuk saya melakar usaha-usaha dakwah di pekan kecil, Lahad Datu Bandar Palma. Tanpa jemu saya dan sahabat-sahabat dalam Persatuan Siswazah Sabah (PSS) Bahagian Lahad Datu terus melangkah untuk berkongsi ilmu dan pengalaman bersama kader-kader dakwah yang masih segar bugar dalam PERPPIS Bahagian Lahad Datu. Bermula daripada penganjuran Kem Remaja Islam 2009 (KRIS’09), disusuli dengan program usrah mingguan, liqo’ bulanan (qiamullail), ijtimak ‘eidulfitri, sehinggalah dengan izin Allah, buat julung kali PERPPISLD bermuktamar pada 26 Dis yang lalu di Hotel Royal Palms, Lahad Datu. Semoga ALlah menguatkan Saff Kepimpinan PERPPISLD 1431H untuk memimpin gerakan dan usaha dakwah yang konstruktif dan efektif di sini. Kita baru bermula melakar jalan yang ditempuh oleh para penghuni Syurga. Percayalah adik-adikku, jika kita ikhlas dan faham sunnahtullah dalam perjuangan ini, insya ALlah segala yang dirancang akan menjadi kenyataan dengan gemilang. Kejayaan pasti milik ISLAM. Tugas kita bukan menunggu. Tugas kita mendendangkan lagu. Lagu dakwah mengHJAUkan bumi ini. Selamat berjuang, adik-adikku ahli PERPPISLD 1431H.

Tuesday, December 22, 2009

Memori PUYUT

Salam wasilah ukhuwah fillah.
Kira-kira sudah sembilan tahun kami sekeluarga meninggalkannya. Mengenang kembali, di sinilah saya dilahirkan melihat dunia, belajar bertatih mengenal fana, mencipta sejarah untuk makrifat, sebagai bekalan menuju akhirat. Kampung kecil kami yang tertonjol ini memang banyak juga kisahnya. Kalau lama-lama direnungi alkisahnya, pasti banyak juga teras dan santannya yang teguh lagi enak. Mati dan hidup kami tak pernah diperingat orang lain kecuali anak buah sendiri. Itu pun hanya membuat kenduri arwah dan membaca doa, yang didakwa bid’ah oleh anak jati kampung kami sendiri. Wahabilah katakan! Sudah tentu alkisah-alkisah itu tidak dimuatkan dalam mana-mana kitab sejarah tanah air pun kerana watak-wataknya semua kerdil dan tidak membawa sebarang interpretasi yang meningkatkan prestasi.

Kalau direnungi lebih jauh lagi, ternyata watak-watak kerdil yang daif inilah sebenarnya yang memaknakan perjuangan dan kehidupan di pekan kami. Mereka benar-benar hidup dan benar-benar mati. Peluh yang terbit daripada belulang mereka itu benar-benar peluh perjuangan yang menempuh pelbagai cabaran. Mungkin bicara mereka lucu dan lucah, tapi kata-kata itulah yang mengajar kami alif, bah, tah. Mereka menangis kerana sedih mungkin juga kerana gembira. Mereka ketawa dalam kesakitan dan kemiskinan. Antara ketawa dan tangisan, terselit lagi rasa radang dan senang melihat alam mentribulasikan mereka untuk sabar dan redha menerima ketentuan-Nya. Dalam senario inilah, mereka menanamkan benih soleh dan solehah bagi menyambung zuriat, saham dalam kehidupan yang penuh hakikat.

Kampung daifku ini, tidak pernah khilaf meniti titi. Kampung inilah yang membijaksanakan kami melalui angin dan tanahnya, api dan airnya. Hatta kicauan burungnya bertingkah kokokan ayamnya, mengembek kambingnya disahut pula salakan anjingnya. Dia telah mendidik kami melalui hujannya yang lebat dan kemaraunya yang panjang. Saya menjadi saya kerana dialah, kerana sumbangannya yang memedih dan menderitakan kehidupan. Melalui kepedihan dan penderitaan itulah saya merasai nikmat hidup untuk berkongsi setiap anugerah yang Allah subhana wa ta’ala pinjamkan ini. Masa semakin pantas berlalu. Segala-galanya telah terhakis dan padam ditelan detik dan jirim. Yang tinggal hanya ketulan-ketulan pejal yang majal dan manusia-manusia yang sudah hilang kemanusiaannya. Saya merindukanmu dan ingin kembali kepadamu. Sebuah kampung terpencil yang semakin kerdil. Itulah dia, Kampung Puyutku

Tuesday, December 1, 2009

Jagalah HATI

Salam Wasilah Ukhuwah Fillah
Seruan mengajak manusia kepada mentaati Allah, menjauhkan manusia daripada taghut, adalah tanggungjawab yang besar di atas bahu manusia mukmin. Jalan itu menjanjikan bara api dan tempa yang memang menjadi Sunnatullah kerana hanya dengan ujian itu, terbit berlian yang indah dan bernilai tinggi. Kejayaan yang diraih itu sudah tentu dimiliki oleh sekeping hati yang suci. Ibarat pesanan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam yang bermaksud: “Ketahuilah bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah sekaliannya. Itulah yang dikatakan hati.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Hati yang mulia inilah yang dirintis oleh para anbiyak, golongan sahabat, angkatan hawariyun, sehinggalah zaman ulamak pada akhir zaman ini. Firman Allah Ta’ala yang bermaksud: “Dan di antara golongan yang mendokong (seruannya Nuh) itu adalah Ibrahim. Iaitu tatkala beliau mendatangi Tuhannya dengan membawa hati yang sejahtera” [37: 83-84]. Ayat ini dinyatakan oleh Allah SWT berkenaan dengan titik-tolak usaha Nabi Ibrahim alayhi as-Salaam mencari kebenaran, melukis garis pemisah dirinya dengan syirik bapa dan kaumnya, serta asas perjuangan baginda sebagai seorang Rasul. Menurut Ibnu Qatadah, inilah hati yang bebas merdeka daripada syirik dan nifaq.

Hati yang sejahtera tidak prejudis dengan ketentuan Allah, tidak malas beribadah. Hati yang sejahtera lebih bingkas bangun ketika mendengar seruan Allah. Ia bukan hati nifaq yang bangun mendirikan solat dengan penuh rasa malas dan riyak. Justeru, kita wajib menjaga kesucian hati yang DIA amanahkan agar kita sentiasa bersangka baik dengan segala ketentuan ILAHI. Kepentingan wehdatul qalbi terletak lebih atas berbanding wehdatul fikr untuk mencapai kesatuan dalam gerak kerja para da’ie. Pandangan akal selalu tersalah, pandangan nafsu selalu melulu, pandangan hati itu yg hakiki, kalau hati itu BERSIH. Allahumma ya muqallibal qulub,tsabit qulubana `ala diinik wa `ala ta`atik. Redha penawar mengajar erti sabar.