Monday, December 29, 2008

Mahasiswa Menggugat?

Sungguh tinggi nilai yang diberikan kepada kita yang menghuni menara gading sehingga menerima gelaran mahasiswa. Pernah timbul konflik antara golongan bahasa dan teologi tentang penggunaan frasa ‘maha’ itu yang selayaknya untuk Tuhan sahaja. Konflik tersebut akhirnya diam seribu bahasa apabila pihak eksekutif (Menteri Pendidikan) campur tangan. Bukan itu isunya. Saya ingin kita bertaakul tentang nilaian yang tersirat di sebalik gelaran mahasiswa yang kita terima. Layakkah kita mendukung idealisme masyarakat yang inginkan keadilan dan kesejahteraan melalui kerajaan yang bersih? Seharusnya kita mampu. Bagi golongan massa, mereka melihat mahasiswa sebagai entiti yang paling kuat dan paling ampuh bertenaga dalam menyampaikan saranan dan kritikan sehingga libasan maut bicara hikmat mahasiswa itu mampu melumpuhkan sendi kekuatan kerajaan yang korup. Harapan itu tinggal angan-angan yang menjadi khazanah lapuk di minda dangkal mahasiswa yang tidak berani menggugat. Roh reformasi mahasiswa 1970-an hingga lewat 1990-an sudah semakin malap. Badai gelora tsunami, garangan demi garangan akhirnya mulai surut ditelan zaman. Mungkin mahasiswa dan masyarakat awam yang lainnya patut membuat akad, waad sebagai Sri Tri Buana dan Demang Lebar Daun. Saya fikir pimpinan pelajar (sama ada MPP, GAMIS, PKPIM, dan lain-lain) dapat melakukan sesuatu yang luar biasa dan dapatlah beraksi nakal sedikit sebagai tabiat orang muda untuk menyedarkan orang tua di singgahsana Putrajaya. Masih ada lagi ruang rasional sebelum meletupnya kegilaan demi kegilaan mahasiswa yang semakin menggugat. Kita akan bergendang bersama menuju puncak.

Ya Allah Bantulah Aku

Telah aku lawan nafsuku setiap waktu. Aku cuba berkali-kali tapi aku gagal lagi. Aku tidak berputus asa, aku lawan lagi. Namun aku tidak mampu aku kalah jua. Tuhan, bantulah aku mudahkan aku melawan nafsu yang merosakkanku agar aku tidak terhalang untuk menuju-Mu. Tolonglah aku Tuhan, kasihanilah aku, jangan Kau biarkan aku. Tuhan, bantulah aku, kasihani aku, jangan biarkanku, bantulah aku selalu. Aku tidak beputus asa. Aku tetap berjuang dengan mengharap ihsan daripada-Mu. Kalaulah Engkau terus membiarkanku. Aku akan berterusan ke lembah dosa. Nafsu dan syaitan sering menganggu aku setiap hari ia memusuhiku ketika aku ingin mentaati-Mu. Jangan biarkan aku keseorangan menghadapi syaitan dan nafsuku.

Aku ingin mentaati-Mu, aku ingin redha-Mu. Kalau Engkau biarkan aku, aku akan kecewa nanti. Tuhan aku akan mencuba lagi melawan nafsu ldengan bantuan dan rahmat-Mu Tuhan. Di dalam solat ini, aku mengharapkan-Mu memberikanku cinta dan takut akan diri-Mu sebagai penawarku daripada nafsuku. Bukankah itu janji-Mu kepada hamba-Mu. Tuhan, bantulah aku menghayati solatku agar aku dapat merasakan kebesaran-Mu hingga aku tak membesarkan selain daripada-Mu dengan rasa itu aku harap moga aku dapat melawan syaitan dan tipu daya nafsuku. Tuhan, dalam solatku bersihkan jiwaku lemahkan nafsuku, selamatkanlah diriku, suburkan rasa kehambaan. Kekalkanlah rasa itu di dalam seluruh kehidupanku. Jangan biarkan aku keseorangan menghadapi syaitan dan nafsuku.
Ya Allah Engkau kenalkan dirimu melalui al-Quran. Aku amat gembira bahawa engkau Tuhanku. Aku rasa bahagia menyembah dan memuji-Mu, membesarkan dan mensucikan-Mu. Setiap hari, setiap waktu. Engkau adalah cinta agungku. Engkau sentiasa di dalam kenanganku. Hatiku sentiasa terhubung dengan-Mu. Itulah hiburanku, itulah ketenanganku. Kebesaran engkau kerana engkau memiliki sifat kesempurnaan. Tidak terhingga kesempurnaan itu. Engkau patut dicintai, engkau patut ditakuti tapi kasih sayang-Mu lebih menonjol lagi. Orang yang hatinya buta sahaja yang tidak dapat melihat kebesaran-Mu. Orang yang hatinya mati sahaja yang tidak nampak kasih sayang-Mu. Orang yang hatinya mati sahaja Engkau tidak ada di dalam hatinya. Tuhan aku berpuas hati, Engkau adalah Tuhanku

Sunday, December 28, 2008

Siapa Kita Sebenarnya?

Sempena permulaan tahun baru ini, mari kita renungkan bersama kerana setiap daripada kita ada melakukannya. KITA SEBENARNYA...

* Lebih gembira menyambut 1hb Januari daripada 1 Muharram
* Lebih tahu apa itu 14 Februari daripada 12 Rabiulawal
* Lebih membesarkan hari Sabtu, Ahad daripada hari Jumaat
* Lebih khusyuk mendengar lagu daripada mendengar Azan
* Lebih suka lepak, tidur tengok TV daripada sembahyang
* Lebih tahu tentang artis pujaan kita daripada nama nabi-nabi Allah
* Lebih suka menyebut hello!...hai! daripada Assalamualaikum
* Lebih suka pakai cap dan topi daripada tudung atau kopiah
* Lebih suka menyanyi dangdut daripada berwirid dan bertahmid
* Lebih suka memuji manusia daripada Tuhan kita sendiri
* Lebih suka membaca majalah hiburan daripada buku-buku agama
* Lebih suka ke konsert, karaoke daripada ceramah agama
* Lebih suka memaki, mengumpat orang daripada memuji mereka
* Lebih suka mencarut, @#%^&! daripada menyebut MasyaAllah
* Lebih suka kemungkaran daripada berbuat kebaikkan
* Lebih bangga dengan kejahilan kita daripada bersyukur dengan keimanan kita
* Lebih cintakan urusan dunia daripada urusan akhirat
Hairannya apabila orang tanya arah tujuan kita, kita pasti akan jawab, “Kita SEBENARNYA Lebih suka menuju ke Syurga daripada ke Neraka” Layakkah kita dengan Syurga milik Allah SWT? Apa yang Tuhan suruh itu sama-samalah kita buat, yang dilarang itu kita pakat tinggallah. Kalau Allah SWT dah syariatkan wajib laksanakan Hukum Hudud, maka kita kena patuh. Jangan beralasan lagi! Malu kita dengan Tuhan yang telah memberikan segala kenikmatan kepada hamba-Nya (termasuk menang Pilihan raya Umum daripada pengundi hantu) tetapi kita masih lupa kepada-Nya. Raikanlah tahun baru Islam seadanya berlandaskan syariat. Insya Allah, Tuhan akan mengampunkan dosa-dosa kita yang telah lampau sebagaimana dalil naqli dalam Sural Al-Mu’min, ayat 39-40, yang lebih kurang alih bahasanya: "Hai Kaumku, sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (sementara) dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal. Barang siapa mengerjakan perbuatan jahat, maka dia tidak akan dibalasi melainkan sebanding dengan kejahatan itu.Dan barangsiapa mengerjakan amalan yang soleh baik laki-laki maupun perempuan sedang ia dalam keadaan beriman, maka mereka akan masuk syurga, mereka diberi rezeki di dalamnya tanpa dihisab”. Benarlah firman Allah SWT. Selamat menyambut tahun baru 1430H. Wallahualam.

Friday, December 26, 2008

Seloka Keluarga Amat (versi ulang siar)

Salam wasilah pembuka bicara
Seloka Keluarga Amat hiburan semata
Keluarga ceria sentiasa bahagia
Berkongsi cerita pedoman bersama
Kampung Hyundai teratak keluarga
Tempat berteduh sepanjang masa
Solat bejemaah, makan bersama
Jadi amalan kami sekeluarga

Salam ta’aruf daripada ketua keluarga
Amat bin Kandalang bin Haji Mijan orangnya
Mendidik kami sepenuh jiwa
Agar berbakti kepada agama dan nusa

Sadayara Al-Pasain permaisuri keluarga
Menyayangi kami tak kira masa
Kawasan dapur katanya “mak yang berkuasa”
Inginkan menantu yang dekat LD sahaja

Puteri sulung Nurfiah namanya
Lulusan diploma perakuanan dari kolej swasta
Bersifat tegas tetapi baik hati orangnya
Abang Saiful jejaka pilihan hatinya

Anak kedua berlagak ketua
Muslimin Agung gelaran dirinya
Orangnya celupar manis berbicara
Menjadi rebutan si anak dara

Azmi Amat anak ketiga
Ada kemahiran memandu kereta
Ketua Pelajar amanah buatnya
Sentiasa digeruni di kalangan keluarga

Muhd. Azdnan Amat manis orangnya
Rambutnya berdiri seperti wira
Bercita-cita menjadi satria
Semoga menjadi Menteri Pertahanan Malaysia

Orangnya kemas gagah perkasa
Berbadan kurus kacak orangnya
Ingin menjadi Ketua Polis negara
Abdul Asri alias Asbi itulah gerangannya

Puteri bongsu Nurfarina namanya
Siti Nurhaliza artis kegemarannya
Kalau ke sekolah bertudung manis orangnya
Sudah ditempah anak saudara sebapa

Hafizam Amat comel orangnya
Matanya bulat macam bola
Dodot, Dadek, panggilan manja dirinya
Menjadi kesayangan kami sekeluarga

Hidup ini hanya sementara
Senda gurauan hiasan semata
Si Mickey penghibur kami sekeluarga
Sekalipun dia sekadar hamster semata-mata

Kepada ILahi kami panjatkan doa
Moga sentiasa dalam iman dan takwa
Terhindar daripada khianat manusia
Agar sejahtera, aman, sentosa

Sekian dulu seloka hamba
Tidak berniat menunjuk bangga
Sekadar berkongsi cerita keluarga
Buat santapan jiwa dan minda

Wednesday, December 24, 2008

PRK Zon Tengah

Sebentar tadi saya dihubungi oleh sahabat yang saya kenali melalui Konvensyen Pemimpin Muda anjuran Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN) pada pertengahan Jun tahun ini. Beliau melahirkan rasa kesal dengan tindakan berat sebelah pihak pentadbiran universiti yang sehingga kini masih merahsiakan tarikh sebenar pilihan raya kampus (PRK). Sejauh mana kebenaran hal tersebut, tidak dapat saya pastikan. Namun hati kecil saya bermonolog bahawa apa yang diluahkan oleh sahabat saya itu ada benarnya. Umum mengetahui, kampus kita (UMS) sudah pun selesai menjalani ujian getir itu. Namun ini tidak bermakna kita boleh bersikap tidak pedulisme terhadap apa yang akan berlaku di IPTA Semenanjung, apatah lagi bagi golongan mahasiswa yang terikat dengan ukhuwah fillah atas akidah Islamiyyah yang kudus.

Angin PRK Zon Tengah semakin kuat bertiup. Sepatutnya kita tidak perlu berspekulasi kerana PRK adalah milik kita dalam sebuah negara yang mentadbir dirinya dengan peraturan demokrasi. Saya hairan dengan saranan yang bergema dari Putrajaya yang menyuruh mahasiswa berhenti membuat spekulasi tentang tarikh PRK. Hakikatnya, semua pihak perlu tahu tentang tarikh penting itu atas pelbagai sebab yang terlalu mudah untuk difahami. Mahasiswa yang bertanding perlu menyusun strategi dan mengatur gerak kerja pilihan raya, malangnya hal tersebut terpaksa berlaku secara terawang-awang semata-mata tarikh PRK dieksklusifkan menjadi milik empunya titah pemilik kuasa. Pada masa yang sama menjadi tanggungjawab kita untuk melakukan ghazwatul fikr (serangan pemikiran) terhadap segolongan mahasiswa yang enggan terlibat dalam PRK sekalipun hanya menjadi pengundi. Mereka mungkin mempunyai persepsi seperti ini: “pro-Aspirasi yang memerintah semakin parah, pro-Mahasiswa yang mahu menjadi alternatif belum dapat dilihat kewibawaannya sebagai pengganti”. Hingga tiada apa yang perlu difikirkan oleh mereka kecuali lima rukun hidup iaitu makan, minum, kelas, rehat dan enjoy. Mereka ini dibahasakan oleh al-Quran sebagai “seperti binatang ternakan bahkan lebih sesat adanya”. Ada telinga enggan mendengar, ada mata enggan melihat, ada akal enggan berfikir. [Al-A’raaf 7: 179]. Jangan lupa golongan ini wujud di UMS.

Jika harimau, ada jugalah megahnya dia di rimba sebagai raja, tapi jadi binatang ternak seperti kambing yang tiada falsafah hanya menanti saat menjadi korban. Apa pun falsafah dan ideologi siasah yang kita imani, saya berharap kita mampu berpencak di medan yang sebenar. Sebagaimana seruan Tun Mahathir saat beliau melepaskan Putrajaya, ‘jangan gadai negara dengan jual beli undi anda’. Kita mungkin boleh terus menangis atas kekalahan demi kekalahan pada bilangan kerusi dan jatuh naik hitungan undi. Tetapi di sana ada 100 kejayaan demi kejayaan yang telah dicapai di sepanjang jalan dan pengalaman yang ada. Mata politik mungkin selalu kecewa, tetapi mata pendidikan sering menyinarkan harapan. Anggaplah medan PRK ini sebagai tarbiyah daripada Allah SWT. Sedarlah saudaraku!

Wednesday, December 17, 2008

Rebutlah Gelaran Ikhwan

Rebutlah gelaran ikhwan di akhir zaman, yang disabdakan dari lidah Rasul Junjungan, agar kita menjadi orang yang dimuliakan, golongan yang baginda rindukan. Jika para sahabat itu bertanya, "Siapakah yang diberi gelaran itu kepadanya?", amarah dan cemburu di hati mereka hingga menitiskan air mata. Lantas baginda menyebut lagi, "Ikhwan itu mengamalkan sunnahku bagai menggenggam bara api, mereka amat mencintaiku sekalipun tidak pernah bertemu". Ukhuwah mereka bagaikan susunan batu-bata, sering menguatkan di antara mereka, umpama satu ibu dan satu ayah, fikiran, keyakinan, dan keselarasan. Perjuangannya ibarat singa di siangnya, bagaikan abid pula di malam harinya, rahman fil ilailhi wa fusa innahar, gelaran yang baginda berikan. Namun Ikhwan bukan sebarang pilihan, mereka pilihan di atas pilihan, bilangannya sedikit tetapi besar di sisi Tuhan kerana dosa amat dihindarkan. Luar biasanya takwa ikhwan, kerana takwanya diberi pertolongan, kerana takwanya diberi rezeki dan di dunia diselamatkan Tuhan. Wahai para pencinta kebenaran yang menagih janji Tuhan, rebutlah gelaran ikhwan di akhir zaman. Ia tawaran yang tiada tandingan.

Tuesday, December 16, 2008

Alahai Dai'e

Golongan Islamist (izinkan saya menggunakan istilah ini) bercakaran sesama sendiri. Fenomena itu bukannya baru berlaku bahkan ada yang menyifatkan hal ini persis virus yang akan melumpuhkan penghidapnya. Suatu ketika dulu, ada seorang pengunjung blog Muslimin Agung yang mengelarkan dirinya sebagai ‘ambil berat’ yang mempersoalkan permasalahan ini. Beliau turut mempersoalkan kerelevanan ‘budak masjid’ menyertai PRK. Saya prejudis, dia ini muncul dari golongan anti-politik. Saya cukup kesal dan sedih, ketika golongan yang sedar dan celik politik itu kecil jumlahnya berbanding penganut golongan sedar ini pula tenggelam dalam diskusi yang entah di mana hujung pangkalnya. Apatah lagi wacana tentang hal ini dibahaskan dengan penuh emosi, dan meminjam teladan sejarah secara membuta tuli lagi tepu dengan elemen romanticism yang tidak rasional di blog para dai'e berdarah muda.

Kegagalan kita menyelesaikan isu ini akan sedikit sebanyak melengahkan kita daripada bertindak betul. Natijahnya, kita terus melayan siang dan malam dengan teori atas angin, tidak berpijak di bumi yang nyata. Selain persoalan ideologi siasah, muncul pula duri-duri dan miang buluh golongan ultra salafi yang melabelkan Muslim sesuka hati. Mereka ini berdalil menggunakan hadis-hadis yang dahulunya dipelajari secara sistematik dalam wacana Siasah Syariyyah, tiris menjadi lopak-lopak di forum internet, lalu dibincangkan tanpa hujung pangkal yang bernafsu tinggi kepada idea dan fikrah. Menurut Ustaz Hasrizal, hadis yang dibahaskan secara tidak harmoni dengan Usul Fiqh, mengkesampingkan Qawaid Fiqhiyyah apatah lagi untuk dikukuhkan dengan sosiologi agama, menjadikan tafsiran ultra salafi sangat literalis hingga lebih mementingkan tafsirannya terhadap teks, biar pun tafsiran itu gagal menghubungkan teks dengan konteks.

Natijahnya, apa yang berlaku, hanyalah kerugian masa, tenaga dan peranan golongan sedar yang sudah sedia sedikit itu. Golongan yang berminda faqih dan hakim akan mentafsirkan seorang yang dahulunya menghisap ganja 17gram tetapi kini berkurang kepada 10gram, tetap dianggap sebagai penagih dadah. Namun jika kita melihat pengurangan 17 kepada 10 dari perspektif seorang daie, seorang pendidik dan aktivis masyarakat, ia adalah suatu pencapaian yang positif. Malangnya tidak semua dai’e memiliki citra warna yang sama. Muslim yang tidak benar bicaranya ibarat seorang yang meninggalkan jemaah Islam, lalu memasuki kumpulan lain (atau mengasaskan yang baru), setelah itu dia mengutuk jemaah Islam yang ditinggalkannya. Ini bukan sikap seorang dai’e! Realitinya, kita masih lena di buai mimpi lunak di atas tilam empuk walaupun di bawah katil dilimpahi air banjir. Saya menepuk dahi (atau dagu), alahai dai’e!

Friday, December 12, 2008

Pantun Tanpa Tajuk

Jikalau gusar di Kolej Kediaman Eei
Mari berpindah ke Kolej AB
Hairan tercengang Doraemon berdiri
Melihat Nobita lari bersama MyBb

Seusai Solat Subuh jom ke pekan
Pergi bersama Firdaus dan isteri
Kalau nak tahu besarnya Labuan
Ambil pembaris ukurlah sendiri

Burhan dan Amsah dua sahabat
Sering bersama di mana berada
Bagaimana cara hendak mengubat
Hati Rashid yang merana

Sabak dan Fanshuri teman sebilik
Kedua-duanya pandai bergaya
Kalau tuan hamba ingin menjadi cerdik
Tangkaplah sang kancil, rebuslah otaknya

Jass dan Matinz membeli nasi
Menjadi santapan berbuka puasa
Mendengar kucing dan arnab menyanyi
Termenung hamster duduk bersendirian

Kalau takut dilanda badai
Di tepi pantai jangan berumah
Kalau takut tanah menimbusi
Di lereng bukit jangan berumah

Salam maaf tidakku mahu
Andainya ada yang terasa
Hasrat di hati sekadar bergurau
Menjadi lumrah adat seloka

Thursday, December 11, 2008

Bola oh Bola

Kecewa! Itulah rasanya ungkapan yang sesuai terhadap aksi pemain bola sepak kebangsaan dalam merebut Piala AFF di Thailand. Semalam, pasukan negara yang turun menentang pasukan tuan rumah tewas 3-0. Mungkin ada pembaca yang hairan kenapa saya tiba-tiba menghasilkan wacana berkaitan sukan apatah lagi memperihalkan tentang sukan bola sepak yang kurang saya gemari itu. Sebenarnya ada beberapa rasional yang boleh diguna pakai sehingga mengerakan hati saya untuk menarikan tangan di keyboard laptop guna berkongsi sedikit pandangan. Pertama, saya teruja melihat kesebelasan pemain utama negara yang terdiri daripada pemain muda daripada pelbagai latar belakang. Kedua, penerbangan mereka ke Thailand menaiki pesawat tentera khas mengujakan saya. Ketiga, saya ingin mengenali seorang pemain yang diminati oleh seorang junior, Faqrul Zaquan. Keempat, saya difahamkan skuad kebangsaan kali ini tidak menerima pakai penyertaan pemain dari negeri Sabah dan Sarawak. Apakah sebab musababnya? Saya juga kurang arif. Kelima, dikhabarkan mereka menerima jumlah elaun bermula September lalu sehingga kini bagi Piala AFF adalah antara RM6,000 hingga RM7,000. Jika jumlah itu dikalikan dengan 22 pemain skuad kebangsaan yang berada di Phuket ketika ini, bermakna Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dianggarkan membayar antara RM138,000 hingga RM154,000. Angka ini lebih dari cukup untuk mendirikan sebuah fakulti (sekolah) Pengajian Islam di UMS. Ternyata pelaburan itu sia-sia belaka apabila skuad kebangsaan tersingkir daripada meneruskan semangat ‘Malaysia Boleh’ di negara gajah putih itu. Saya semakin kecewa! Kekecewaan saya bertambah jika (mungkin) terdapat peminat bola sepak yang leka menonton perlawanan tersebut di Saluran 813 sehingga sanggup melewatkan (mengorbankan) Solat Maghrib (bagi penonton di Semenanjung) dan Solat Isyak (Sabah dan Sarawak) secara berjemaah di masjid hatta di rumah. Senario ini terjadi hanya kerana sebiji bola.

ISEUMS Untuk Semua

Sebelum wacana melangkah dengan lebih jauh molek kiranya saya perkenalkan terlebih dahulu ISEUMS kepada pembaca budiman. ‘ISEUMS’ merupakan akronim Ikatan Sahabat EKSAH Universiti Malaysia Sabah, manakala ‘EKSAH’ pula adalah Exco Kerohanian dan Sahsiah, Majlis Perwakilan Pelajar (MPPUMS). ISEUMS mula ditubuhkan pada era MPP Sesi 2007/2008. Sekalipun wujud kontroversi tentang kewujudannya kerana salah faham (atau buat-buat tak faham) oleh sesetengah individu berkepentingan, namun ISEUMS masih bernafas sesegar hijau dedaunan. Sewaktu saya menjadi Setiausaha Agung, MPPUMS Sesi 2007/2008, saya mencadangkan agar beberapa sekretariat yang bernaung di bawah MPP dijenamakan semula. Maka, lahirlah sekretariat Srikandi (di bawah Naib Presiden HELWA), ISEUMS (EKSAH), Media Team Wasilah (EPI), dan Protocol Team (Exco Projek dan Protokol).
Pada mulanya, semua ini berjalan lancar sehinggalah berlaku sedikit krisis dengan pentadbiran yang menyebabkan gerak kerja ISEUMS terhenti seketika. Alhamdulillah, dengan penerangan yang diberikan krisis itu berakhir begitu sahaja. Wacana ini saya titipkan istimewa kepada semua penggerak ISEUMS agar terus merencanakan dan bergerak kerja seiring dengan slogan ‘ISEUMS untuk Semua’. Kegagalan yang kami lakukan pada sesi yang lalu dijadikan ibrah guna memperbaiki dan melicinkan lagi perjuangan ISEUMS sebagai wasilah dakwah sama ada kepada pelajar Muslim atapun non-Muslim. Pada hemat saya, ISEUMS yang dipengerusikan oleh Saudara Nursyabri bin Mat Nor, semakin bangkit dan Insya Allah akan terus bangkit dan relevan untuk meneraju arus politik perjuangan mahasiswa.
Politik yang tidak lagi bergantung kepada kekuatan ataupun pengaruh kuasa dan kewangan, politik yang tidak bertenggek pada ektrimis bangsa yang membuta semata-mata. ISEUMS sedang meneraju politik Islam yang bersih, adil dan membela semua, yang mampu melahirkan kepimpinan yang diidamkan bukan hanya untuk mahasiswa Melayu-Islam, tetapi juga untuk mahasiswa UMS seluruhnya. Harus diingat, kita berkhidmat kerana Allah, maka jauhilah sebarang perbuatan syirik yang menyebabkan pertolongan-Nya terhijab daripada kita. Dalam khutbah Hujjatul Wida' ada disebutkan Rasulullah s.a.w, bahawa syaitan telah pun berputus asa dalam memperdayakan kita dalam hal-hal besar seperti syirik dan kita diminta berawas dalam hal-hal yang kecil sahaja (yang menyebabkan syirik). Selamat memburu redha ILahi.

Sunday, December 7, 2008

Terkorban Pada Bulan Korban

Hiba rasanya sambutan bulan Zulhijjah tahun ini yang di dalamnya terselit perayaan Hari Raya Aidil Adha. Mana mungkin kita lupakan tiga tragedi berturut-turut yang berlaku pada awal bulan ini melibatkan kejadian tanah runtuh. Bermula dengan runtuhan yang menghempap banglo jurutera di Ulu Yam, diikuti tanah runtuh berdekatan jalan utama di Jalan Semantan, dan terkini kejadian tanah runtuh yang melibatkan 3000-4000 penghuni di Bukit Antarabangsa. Ketiga-tiga tragedi ini telah memakan korban yang menyentap hati kita semua. Tatkala memikirkan apa yang berlaku ini, saya tersentap dengan kenyataan Ustaz Aagim, pendakwah bebas dari Indonesia, dalam program bual bicara beliau di Saluran Astro Prima. Bagi beliau, ujian itu adalah ‘kredit’ buat kita yang diuji sebagai tanda Allah SWT menyayangi kita di samping menaiktarafkan maqam kita di sisi-Nya. Bersyukurlah saudaraku, Allah Ta’ala sedang berbicara denganmu hakikat kehidupan di dunia yang sementara ini. Perhatikanlah satu demi satu perkara biasa-biasa yang sedang mengisi masa. Mungkin ada bicara Tuhan disebaliknya. Sahutlah bicara itu dengan jawapan yang akan membahagiakan dirimu. Pesanan saya, ujian jangan diminta namun ketika tiba pastikan kita bersedia menghadapinya. Hanya doa dan salam takziah mampu dititipkan kepada mereka yang terkorban dan keluarga yang terlibat. Sebagai penutupnya, sama-sama kita tekuni firman Allah SWT yang terakam kemas dalam Surah Al-Ankabut, ayat kedua yang lebih kurang alih bahasanya: “Apakah manusia mengira mereka akan dibiarkan hanya mengatakan, ‘Kami telah beriman,’ sedangkan mereka belum diuji.” Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha. Berkorban apa sahaja untuk Islam tercinta.

Selalu yang Terjadi

1) CINTA sebelum kahwin :
C = cubit kiri, kanan rasa
I = impian indah ibarat syurga
N = nikah impian utama
T = taat setia membawa bahagia
A = awal dan akhir bersama-sama.
CINTA selepas kahwin :
C = cuka yang dituang pada luka
I = iblis yang merosak minda
N = nafsu semata-mata
T = tuba yang dibalas semula
A = api dalam neraka.

2) KASIH sebelum kahwin :
K = kongsi semua suka duka
A = abang adik, ayang saja
S = sumpah janji di bibir sentiasa
I = istana bahagia dah dicipta
H = hatiku hatimu jua.
KASIH selepas kahwin : K = kaki tangan naik ke kepala, A = abuk pun tara, nak makan apa, S = simpati langsung tak ada, I = ironi membakar jiwa, H = hidup mati sama saja.

3) SAYANG sebelum kahwin : S = sikit-sikit SORRY, mengada! A = asal free mesti nak jumpa. Y = you lap me, I lap you! A = apa saja sanggup diduga. N = nak itu, nak ini... mesti dapat. G = gula-gula, teddy bear hadiah utama.
SAYANG selepas kahwin : S = salah sikit kiamat dunia. A = air tak sedap, basahlah mata. Y = yang betul dia saja. A = ada takde, bagi anak reti la. N = nak dilawan, digelar derhaka. G = gaduh sampai lebam.
4) HATI sebelum kahwin : H = hanya dikau yang daku cinta. A = air paip pun manis macam gula. T = tak jumpa sehari boleh jadi gila. I = igauan indah tak terkira.
HATI selepas kahwin : H = hantu jembalang lagi sempurna. A = air mata jadi teman setia. T = tempat mengadu dah tak ada. I = ikut hati mati, ikut rasa binasa... nak buat macam mana?

Dipetik dan diubahsuaikan daripada sumber yang tidak dikenal pasti.

Friday, December 5, 2008

Merakyatkan Mahasiswa

Berkongsi ilmu melalui blog Muslimin Agung ini telah memberikan saya suatu dimensi baru menghadapi realiti kehidupan di luar kampus kelak, misalnya satu kes yang merupakan pengalaman peribadi. Ada seorang pimpinan mahasiswa yang lantang bersuara menyuarakan pandangannya melalui blog berhubung sesuatu perkara. Tidak lama sesudah itu, beliau dipanggil ke Pejabat HEP. Pada telahan pembaca, apakah agaknya tindakan pelajar itu? Pertama, beliau mungkin memadamkan jejak penulisan di blognya. Kedua, beliau menggunakan nama sebenar, lalu ketika dihadapkan ke jawatankuasa siasatan, beliau menafikan tulisan itu miliknya. Ketiga, beliau mungkin menggunakan nama samaran, tapi akhirnya menafikan lalu menyatakan kemungkinan orang lain menggunakan nama samaran dan nama sebenar beliau. Senario ini pada hemat saya signifikan sekali dengan sindiran yang pernah dilontarkan tokoh akademik negara Prof. Diraja Ungku A. Aziz, "Belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin, biarlah mahasiswa mencabar asalkan sambil itu mereka belajar." Pak Ungku, barangkali dalam hal ini menyeru kita (mahasiswa) untuk menilai semula tahap iklim demokrasi, menyukat paras bahang ekonomi negara dan menimbang sukat amalan kebudayaan dan sikap beragama masyarakat pada ketika itu sama ada benar-benar mantap atau pun tidak. Semua ini adalah masalah ummah yang melalui proses uji kaji (bukan di makmal semata-mata) tetapi menyeru kita turun ke masyarakat, membuat tinjauan demi tinjauan, menggalas isu-isu ummah ke dalam kampus, menyusun seminar dan bengkel, menjemput tokoh-tokoh tertentu termasuk politikus bagi membincangkan permasalahan massa. Oleh kerana mencabar ini termasuk dalam sebahagian dari proses belajar, maka perbuatan ini adalah sesuatu yang mulia. Mungkinkah perjuangan mahasiswa hari ini seperti tidak mendapat perhatian rakyat kerana kita kurang membincangkan masalah masyarakat apatah lagi menjiwai masalah setempat? Hakikatnya, kemunduran ‘bangsa mahasiswa' hari ini bukan kerana kekuatan HEP yang bersenjatakan AUKU ironinya belum terlahir mahasiswa yang betul-betul berjiwa pemimpin yang mampu memimpin. Kita mungkin Presiden/YDP persatuan, boleh menulis di akhbar atau blog peribadi ketika masih bergelar pimpinan tetapi hilang dibuai putaran arus ganas tsunami zaman dan ghaib. Bahkan tidak kurang juga yang lemas ditelan dalam timbunan masa dan waktu. Akhirnya, semua retorik perjuangan disandarkan pada kenangan ibarat pungguk merindukan bulan. Kasihan kita......:(

Thursday, December 4, 2008

Bahasa Kalbu Menyeru..."Jom Puasa Sunat"

Kau kekasih kulihat di sinar matamu
Zaman kekayaan batinku
Di dalam senyummu kudengar bahasa kalbu

Mengalun lembut menggetarkanku
Kini dirimu yang selalu bertakhta di benakku
Aku akan mengiringi bersama di setiap langkahmu

Percayalah
Hanya diriku paling mengerti
Kegelisahan jiwamu kasih dan erti kata kecewamu

Kasih yakinlah
Hanya aku yang paling memahami
Benar kata kejujuran diri yang tersemat disanubarimu

Wednesday, December 3, 2008

Pendirian Politik Muslimin Agung

Saya mulakan wacana kali ini dengan pencerahan bahawa saya bukan ahli politik. Ahli politik dalam erti kata berkempen politik, berceramah di pentas politik, atau mungkin juga bertanding sebagai wakil rakyat, menggantikan Datuk Nasrun yang sudah sekian lama mewakili orang kampung saya. Hakikat ini tidak bermakna saya buta siasah (politik), atau berkecuali dari berfikir tentang politik seperti saranan seorang pemimpin pelajar yang menyeru mahasiswa agar bersifat natural. Karut! Terngiang-ngiang di telinga saya pesanan Khomeini, “orang yang memisahkan politik dari agama, dia itu tidak faham apa itu agama, dan apa itu politik”. Bahkan mungkin dia jahil kedua-duanya. Hakikatnya, kita tetap merupakan sebahagian daripada entiti politik sama ada kita berperanan mencorakkan politik, atau kita sendiri menjadi mangsa percaturan politikus akibat buta politik atau sengaja memejamkan mata terhadapnya. Soal keterlibatan seseorang dengan perlakuan politik, itu soal kedua. Apatah lagi status saya sebagai seorang mahasiswa yang terikat dengan AUKU. Biar pun undang-undang negara telah mengazetkan saya layak mengundi, namun ada peraturan-peraturan universiti yang tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja. Tetapi tidak terlibat dengan politik, tidak bermakna saya tidak boleh belajar, mengambil tahu dan membuat pendirian mengenainya apatah lagi isu-isu yang mereka bawa (ahli politik) tetap tidak boleh kita pisahkan daripada kehidupan. Jika isu bahasa, kenaikan harga minyak, hedonisme, dan nepotisme - kita kaitkan dengan parti politik tertentu, dan parti politik itu mati sekali pun, isu-isu berkenaan tetap merupakan masalah massa. Parti politik adalah wasilah untuk memperkata dan memperjuangkan isu-isu tersebut, tetapi tanpa parti politik sekali pun, isu berkenaan tetap wujud di depan mata. Maka Islam mempersoalkan peranan kita terhadapnya seiring istilah amar makruf, nahi mungkar. Jika kita mengimbau sejarah, pernahkah Nabi Muhammad SAW sambil lewa terhadap apa yang berlaku kepada sahabat, juga komuniti non-Muslim di sekitarnya? Apakah ada orang yang tertindas, ditekan dan dizalimi? Jawapanna tidak pernah sama sekali. Soal Muslimin Agung memilih parti mana, itu perkara yang berasingan tetapi wacana saya di blog ini menyeru kepada kita semua agar cintakan kebenaran dan keadilan. Sebagaimana kita suka menyuburkan kebenaran maka kebatilan tidak boleh disembunyikan, harus diperangi hingga ke titisan darah yang terakhir. Pada masa yang sama, saya akan bersifat telus dan tidak berat sebelah sebagaimana yang dipesan oleh Timbalan Pendafar HEP kepada saya suatu ketika dulu sewaktu saya menjadi Setiausaha Agung MPPUMS. Ayuh, kita bersama-sama suburkan demokrasi kampus!

Tuesday, December 2, 2008

Merawat Penyakit Sosial


Ada beberapa cerita yang ingin dikongsi. Antaranya cerita tentang seorang gadis yang tak menutup aurat berasa tidak tenteram ketika dirinya kerap diusik oleh lelaki. Pada mulanya gadis itu menjatuhkan rambutnya yang direbondingkan dengan rawatan minyak panas guna mencairkan hati lelaki. Dia tidak menutup aurat dengan tujuan mahu mengajak lelaki tersebut berzina. Barah amalan berpeleseran ini akhirnya bertukar menjadi 'trend' seks bebas, saling bertukar-tukar pasangan, kemudian gadis yang telah diperkosa ini mengubah wataknya sebagai lelaki dengan niat menyelamatkan dirinya daripada terus-menerus menjadi korban mangsa nafsu liar lelaki. Dengan ini, wujud gejala baru lain pula; bersenggama sesama wanita. Sekian kisah salah satu fenomena masyarakat yang semakin tenat! Tidak cukup dengan itu, saban hari kita dikejutkan dengan laporan media tentang semakin parahnya masyarakat terlibat dengan sumbang mahram, gay, rasuah, bunuh diri, dan seumpamanya. Inilah antara virus yang dahulunya sekadar kudis dalam masyarakat tapi kini semakin bernanah kerana kealpaan kita. Kita mungkin boleh mengeluarkan fatwa, menjatuhkan hukum tetapi seperti yang disebut oleh pimpinan Ikhwan Muslimin, 'kita adalah pendakwah dan bukan penghukum'. Hendaklah kita ingat, bahawa masalah ini adalah warisan penyakit yang timbul natijah rohani yang tidak seimbang. Tiada masalahnya dengan fatwa dan hukum, tapi semolek-moleknya kita menyediakan juga ruang dan peluang untuk membimbing pesakit rohani dengan sesi kaunseling. Sedangkan kaum wanita itu lebih mudah diasuh berbanding kaum lelaki. Namun, kaum lelaki pula, kalau sudah terasuh nanti, dia pula akan lahir sebagai pembela agama. Sejarah membuktikan hal itu misalnya, Khalifah Umar Al-Khatab yang bengis pada zaman jahiliahnya bertukar watak sebagai pembela Islam bahkan menurunkan zuriat yang baik seperti Umar Abdul Aziz. Ini semua tidak mustahil terjadi kembali kerana sirah sifatnya berulang mengikut putaran masa dan kitaran waktu yang saling bersilang. Justeru, kita memerlukn lebih ramai ilmuan sufi yang menyampaikan bimbingan daripada ilmuan fikah yang melontarkan hukum. Jika ditanya apakah rahsia kegemilangan umat Islam zaman lampau? Jawapannya tidak lain kerana mereka berpegang teguh dengan prinsip amal Islami yang terakam kemas di dalam Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Saya optimis hipotesis ini akan menjadi realiti jika sistem pendidikan negara menitik-beratkan aspek praktikal dan amali yang terkandung dalam prinsip dan ajaran Islam. Besar harapan rakyat agar pendidikan kebangsaan mengangkat kembali subjek agama sebagai subjek utama dan bukannya mata pelajaran sampingan semata-mata. Melalui subjek agama, sistem pendidikan berteraskan rabbaniyah perlu diserapkan guna penyelesian terhadap masalah sosial di sekolah yang semakin kronik. Bersempena dengan sambutan Hari AIDS Sedunia (01 Disember 2008) ayuh kita derapkan langkah menuju negara Malaysia yang bebas daripada gejala sosial. Hidup mulia berperibadi ceria.