Telah aku lawan nafsuku setiap waktu. Aku cuba berkali-kali tapi aku gagal lagi. Aku tidak berputus asa, aku lawan lagi. Namun aku tidak mampu aku kalah jua. Tuhan, bantulah aku mudahkan aku melawan nafsu yang merosakkanku agar aku tidak terhalang untuk menuju-Mu. Tolonglah aku Tuhan, kasihanilah aku, jangan Kau biarkan aku. Tuhan, bantulah aku, kasihani aku, jangan biarkanku, bantulah aku selalu. Aku tidak beputus asa. Aku tetap berjuang dengan mengharap ihsan daripada-Mu. Kalaulah Engkau terus membiarkanku. Aku akan berterusan ke lembah dosa. Nafsu dan syaitan sering menganggu aku setiap hari ia memusuhiku ketika aku ingin mentaati-Mu. Jangan biarkan aku keseorangan menghadapi syaitan dan nafsuku.
Aku ingin mentaati-Mu, aku ingin redha-Mu. Kalau Engkau biarkan aku, aku akan kecewa nanti. Tuhan aku akan mencuba lagi melawan nafsu ldengan bantuan dan rahmat-Mu Tuhan. Di dalam solat ini, aku mengharapkan-Mu memberikanku cinta dan takut akan diri-Mu sebagai penawarku daripada nafsuku. Bukankah itu janji-Mu kepada hamba-Mu. Tuhan, bantulah aku menghayati solatku agar aku dapat merasakan kebesaran-Mu hingga aku tak membesarkan selain daripada-Mu dengan rasa itu aku harap moga aku dapat melawan syaitan dan tipu daya nafsuku. Tuhan, dalam solatku bersihkan jiwaku lemahkan nafsuku, selamatkanlah diriku, suburkan rasa kehambaan. Kekalkanlah rasa itu di dalam seluruh kehidupanku. Jangan biarkan aku keseorangan menghadapi syaitan dan nafsuku.
Ya Allah Engkau kenalkan dirimu melalui al-Quran. Aku amat gembira bahawa engkau Tuhanku. Aku rasa bahagia menyembah dan memuji-Mu, membesarkan dan mensucikan-Mu. Setiap hari, setiap waktu. Engkau adalah cinta agungku. Engkau sentiasa di dalam kenanganku. Hatiku sentiasa terhubung dengan-Mu. Itulah hiburanku, itulah ketenanganku. Kebesaran engkau kerana engkau memiliki sifat kesempurnaan. Tidak terhingga kesempurnaan itu. Engkau patut dicintai, engkau patut ditakuti tapi kasih sayang-Mu lebih menonjol lagi. Orang yang hatinya buta sahaja yang tidak dapat melihat kebesaran-Mu. Orang yang hatinya mati sahaja yang tidak nampak kasih sayang-Mu. Orang yang hatinya mati sahaja Engkau tidak ada di dalam hatinya. Tuhan aku berpuas hati, Engkau adalah Tuhanku
No comments:
Post a Comment