Sebentar tadi saya dihubungi oleh sahabat yang saya kenali melalui Konvensyen Pemimpin Muda anjuran Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN) pada pertengahan Jun tahun ini. Beliau melahirkan rasa kesal dengan tindakan berat sebelah pihak pentadbiran universiti yang sehingga kini masih merahsiakan tarikh sebenar pilihan raya kampus (PRK). Sejauh mana kebenaran hal tersebut, tidak dapat saya pastikan. Namun hati kecil saya bermonolog bahawa apa yang diluahkan oleh sahabat saya itu ada benarnya. Umum mengetahui, kampus kita (UMS) sudah pun selesai menjalani ujian getir itu. Namun ini tidak bermakna kita boleh bersikap tidak pedulisme terhadap apa yang akan berlaku di IPTA Semenanjung, apatah lagi bagi golongan mahasiswa yang terikat dengan ukhuwah fillah atas akidah Islamiyyah yang kudus.
Angin PRK Zon Tengah semakin kuat bertiup. Sepatutnya kita tidak perlu berspekulasi kerana PRK adalah milik kita dalam sebuah negara yang mentadbir dirinya dengan peraturan demokrasi. Saya hairan dengan saranan yang bergema dari Putrajaya yang menyuruh mahasiswa berhenti membuat spekulasi tentang tarikh PRK. Hakikatnya, semua pihak perlu tahu tentang tarikh penting itu atas pelbagai sebab yang terlalu mudah untuk difahami. Mahasiswa yang bertanding perlu menyusun strategi dan mengatur gerak kerja pilihan raya, malangnya hal tersebut terpaksa berlaku secara terawang-awang semata-mata tarikh PRK dieksklusifkan menjadi milik empunya titah pemilik kuasa. Pada masa yang sama menjadi tanggungjawab kita untuk melakukan ghazwatul fikr (serangan pemikiran) terhadap segolongan mahasiswa yang enggan terlibat dalam PRK sekalipun hanya menjadi pengundi. Mereka mungkin mempunyai persepsi seperti ini: “pro-Aspirasi yang memerintah semakin parah, pro-Mahasiswa yang mahu menjadi alternatif belum dapat dilihat kewibawaannya sebagai pengganti”. Hingga tiada apa yang perlu difikirkan oleh mereka kecuali lima rukun hidup iaitu makan, minum, kelas, rehat dan enjoy. Mereka ini dibahasakan oleh al-Quran sebagai “seperti binatang ternakan bahkan lebih sesat adanya”. Ada telinga enggan mendengar, ada mata enggan melihat, ada akal enggan berfikir. [Al-A’raaf 7: 179]. Jangan lupa golongan ini wujud di UMS.
Jika harimau, ada jugalah megahnya dia di rimba sebagai raja, tapi jadi binatang ternak seperti kambing yang tiada falsafah hanya menanti saat menjadi korban. Apa pun falsafah dan ideologi siasah yang kita imani, saya berharap kita mampu berpencak di medan yang sebenar. Sebagaimana seruan Tun Mahathir saat beliau melepaskan Putrajaya, ‘jangan gadai negara dengan jual beli undi anda’. Kita mungkin boleh terus menangis atas kekalahan demi kekalahan pada bilangan kerusi dan jatuh naik hitungan undi. Tetapi di sana ada 100 kejayaan demi kejayaan yang telah dicapai di sepanjang jalan dan pengalaman yang ada. Mata politik mungkin selalu kecewa, tetapi mata pendidikan sering menyinarkan harapan. Anggaplah medan PRK ini sebagai tarbiyah daripada Allah SWT. Sedarlah saudaraku!
1 comment:
Slmt berjuang. Takbir!!!
Post a Comment