Saturday, October 24, 2009

Apresiasi Graduasi

  1. Rumahku, Syurgaku

Amat bin Kandalang dan isteri tercintanya, Sadayara binti Al-Pasain, dua insan yang begitu istimewa dalam kalangan kami anak-anak mereka. Pasangan persis merpati dua sejoli ini menatang kami ibarat minyak yang penuh agar tidak tumpah. Sanggup berjaga malam, memastikan makan dan minum kami tujuh orang adik-beradik, mencari ikhtiar untuk membiayai persekolahan, dan segala macam bentuk pengorbanan yang tidak mampu kami bayar dengan wang ringgit hatta harta segunung emas. Didikan mereka berdua menjadi bekalan asas untuk kami menjadi insan yang kamil. Sekalipun kami hidup serba sederhana, tetapi kami bahagia bersama. Tawa dan riang menjadi ceria. Tangis dan duka diselit bicara. Mendidik kami dengan penuh sabar dan hikmah sehingga Kakak berjaya memegang Diploma Perakaunan, saya mendapat Ijazah Pendidikan, Azmi bakal menduduki STPM (semoga berjaya), Azdnan bergelar antara pelajar terbaik PMR (7A 1B), Asri maintain dengan ‘kenakalannya’, sementara itu Farina dan Dodot terus mewarisi genetik yang Allah Ta’ala amanahkan kepada kami sekeluarga. Kami sayang mak dan bapak. Terima kasih atas segala-galanya.


  1. Sang Murabbi

Jika hari ini seorang raja menaiki takhta..., sejarahnya bermula daripada seorang guru biasa. Dengan lembut dan sabarnya mengajar tulis, baca”. Bait-bait puisi nukilan SN Dato’ Usman Awang ini sangat tepat. Bermula daripada seorang murid dungu yang tidak tahu apa, sehinggalah ilmu menjadi darah, daging yang membalut diri. Segala ilmu diterapkan oleh guru-guru, ustaz atau ustazah, dan para pensyarah yang saya gelar mereka sebagai Murabbi. Disiplinnya banyak, murabbi terapkan dalam diri. Ilmu datang dan pergi, jangan sekadar pasang telinga, tanpa usaha memasang tali. Binatang liar diikat dengan simpulan, ilmu ditambat dengan catatan. Itu peringatan Cikgu Denny yang saya kenali sewaktu di Tingkatan Enam. Poket saya sentiasa terisi untuk bersedia mencari ilmu, seperti sentiasa bersedia memberi ilmu. Itulah siang, itulah juga malam, yang mengiringi kehidupan saya selama bergelar penuntut ilmu. Pelajaran diusahakan cemerlang, dengan semangat Islam yang disemai murabbi. Manual ini diterapkan Cikgu Ghazali yang berjaya menjadikan saya antara pemidato kebangsaan. Murabbi mendidik saya agar tua sebelum usia, kerana matang itu perlu, bekal perjuangan yang penuh liku. Kebudak-budakan dalam gurau sendaan, namun bersungguh dalam pertarungan. Pesan ini dititipkan oleh Prof. Dr. Zulkifflye. Dialah pensyarah bergelar pendidik. Tarbiyah baginya, seni membentuk manusia. Setulus ingatan buat kalian Sang Murabbi.


  1. Sahabat Sefikrah

Ketika seorang sahabat bertanya Rasulullah s.a.w, “Siapakah yang menjadi sahabat yang paling baik untuk kami?”. Jawab baginda, “Seseorang yang apabila kamu memandangnya, kamu teringat akan Allah SWT. Apabila kamu dengari percakapannya, pengetahuan kamu tentang Islam bertambah. Apabila kamu melihat kelakuannya, kamu teringat akan kehidupan akhirat”. Tepat sekali! Saya berasa cukup bertuah kerana dianugerahi sahabat-sahabiah sefikrah perjuangan yang sangat banyak membantu dalam pertatihan saya mencari keredaan ILahi. Tatkala saya nyaris-nyaris lemas dengan arus duniawi, mereka menghulurkan pelampung ukhwah menasihati dengan penuh hikmah. Manisnya bicara tiada terkata. Kami saling memberi dan menerima. Tanpa ada syak wasangka. Sebaliknya cinta dan mahabbah menjadi azimat perjuangan. Syukran jazilan buat sahabat-sahabiah yang saya cintai kerana Allah. Saya lampirkan sekadar beberapa nama yang terlintas di fikiran ketika ini. Burhanuddin, Firdaus, Rashid, Hasnur, Zafran, Hamsah, Hafiz Jumat, Kasman, Azizul Abdullah, Ahmad Azri, Fahmi, Abe Lan, Abg KY, Abg Salman, Abg KA, Abg Din, Kak Jannah, Kak Hajiyah, Kak Mia Octarina, Kak Salmiah, Kak Suhaida, Nadiah, Akma, Azinni, Asiah, Ilani, Hafizah, Aslin, Zaizura, Aminatul, Sajidah, Zulasiyah, Karmila, Rosnani, Noraini, Azlina dan sahabat-sahabiah yang sama waktu dengannya.


  1. Teman Teristimewa

Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya antara kamu.” [Al-Hujurat 49:13]. Perjalanan saya sebagai seorang penuntut ilmu di UMS turut diserikan dengan kehadiran teman-teman istimewa yang banyak membantu terutamanya dalam urusan akademik dan gerak kerja platform. Mereka telah mengorbankan banyak masa, tenaga, dan wang ringgit dalam sebuah persahabatan yang tiada tolok bandingannya. Saya tidak mempunyai ramai kenalan yang bukan ahli sefikrah, namun demikian atas kapasiti sebagai pemimpin pelajar dan sifat ramah yang dimiliki, menjadikan saya urut berkawan dengan mereka ini. Apresiasi ini saya nukilkan khas buat mereka yang menjadi teman teristimewa. Mendahului senarai; Jass Azliezan (Anak), Hilal Azmi, Mat Nor, Abdul Ghafar, Chua Yong Wei, Bibiana, Ayuni, Shuhada, Suria Tahi Lalat, Amal Harun, Misa Hartini, dan sesiapa sahaja yang berkenaan. Terima kasih kerana sudi menjadi teman istimewa saya.


  1. Pewaris Perjuangan

Setiap yang patah akan tumbuh, yang hilang pasti berganti. Jalan perjuangan ini mesti diwariskan kepada para junior dan sahabat-sahabiah yang berada di kampus. Time frame saya sudah berakhir. Senario ini tidaklah bermaksud saya akan lepas tangan terhadap perjuangan di kampus sebaliknya saya akan terus berkongsi ilmu dan pengalaman selagi diperlukan. Memberi nasihat bak menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak. Saya percaya, setiap generasi memiliki kekuatan yang harus digembeleng secara berjemaah demi sebuah keberkatan. Inilah yang dinamakan, ‘wehdatul fikh, wehdatul amal’. Antumlah mata rantai perjuangan Rasulullah s.a.w ini. Saya sudah merasai dan melaluinya. Kini tiba giliran antum. Cermatilah ia sebaik mungkin agar kita betemu redha-Nya. Kami wariskan ‘puzzle’ perjuangan ini untuk penama berikut; Khairul Azmi, Badrul Mukminin, Qayyum, Iskandar Dzulhisham, Salman Al-Farisi, Ahmad Salahuddin, Muhammad Al-Fateh, FZ, Iskandar Dzulkarnain dan para pimpinan muslimat. Tidak lupa juga sahabat-sahabat yang masih meneruskan pencarian ilmu seperti Farhan, Abdul Kadir, Affan, Mujadid, Fatih, Lukman, QZ, Nasih Ulwan, Kak Yong, Khairunnisa’, – jadilah senior yang menjadi suri teladan kepada junior. Istimewa sekali kepada para rais yang bertanggungjawab terhadap ‘adik-beradik’ dalam generasi masing-masing seperi Hamzah Fansuri 10, Ahmad Salahuddin 11, dan Abdullah Al-Qarni 12. Semoga Allah Ta’ala memberi kekuatan kepada kalian untuk memastikan kita terus menuju ke hadapan sesuai dengan syariat-Nya.

Tuesday, October 20, 2009

Program MIMBAR

Konsert Malam Imbauan Memori Bersama Rasulullah s.a.w

Tarikh : 24 Oktober 2009 (Sabtu)
Tempat : Dewan Sri Perdana, Lahad Datu

Tiket ;
1) Kanak-kanak - RM5
2) Dewasa - RM10

Sunday, October 18, 2009

Manifesto Kempen

Salam wasilah ukhuwah fillah
Sewaktu berkunjung ke UMS sempena Majlis Konvokesyen, saya dimaklumkan oleh seorang sahabat kampus bahawa PRK peringkat JAKMAS (Jawatankuasa Kolej) akan berlangsung hujung bulan Oktober ini. Nampaknya panggilan JIHAD PRK bakal dilaungkan kurang seminggu lagi. Kalaulah benar bagai dikata, saya berpesan kepada yang bakal bertakhta, “Perjuangankan ISLAM!”. Pasti kejayaan bukan sahaja milik anda, bahkan juga milik keluarga, hatta sesiapa sahaja yang berjuang bagi memastikan kemenangan calon-calon pro-Islam atau digelar ‘budak masjid’ di lapangan JIHAD PRK.

Dalam tempoh awal ini, saya optimis para bakal calon PRK JAKMAS sudah bersedia untuk berjihad membawa manifesto masing-masing. Saya masih teringat sewaktu saya berkempen untuk jawatan YDP Kolej AB Sesi 2006/2007, saya mengangkat perjuangan “Dari Mahasiswa, Untuk Mahasiswa, Kepada Mahasiswa” dengan manifesto 4K - Keilmuan, Ko-kurikulum, Kesahsiahan, dan Kebajikan (manifesto ini turut saya gunakan untuk PRK MPP setahun kemudian). Alhamdulillah. Allah Ta’ala memilih untuk saya dan sahabat-sahabat ‘mengISLAMkan’ Kolej AB yang sebelum itu terkenal dengan jolokan ‘kolej hiburan’.

Tempoh singkat yang ada ini memang cukup kritikal untuk kita meraih segenap potensi bagi dimanfaatkan menghadapi cabaran dan gugatan yang lebih sengit dan sofistikated. Usah biarkan keputusan PRK yang lalu melalaikan kita daripada membuat persiapan dan penambahbaikan yang lebih real. Semasa kita berdiri gagah menakluki dua kolej, jangan lupa memugar kekuatan di wilayah lain. Sewaktu hebat berdegar-degar berbicara soal kesyumulan Islam, jangan abaikan derita mahasiswa. Tatkala petah berhujah tentang nepotisme, jangan pandang enteng tuntutan kebajikan mahasiswa. Sehari sebelum saya berangkat pulang ke LD, seorang junior berbisik “Bang, kongsilah pengalaman abang dalam PRK di blog Muslimin Agung tu”. Ini baru permulaaan adik-adikku. Selamat berjuang.

Thursday, October 15, 2009

Sensasi Graduasi

Salam wasilah ukhuwah fillah.
Empat tahun saya bergelar mahasiswa UMS. Masa yang cukup singkat untuk membina jati diri. Terlalu banyak kenangan yang tercatat dalam setiap lembaran perjuangan yang saya lalui. Terkadang pahit sehingga memeritkan. Ada ketikanya manis yang menyerikan senyuman. Saya syukuri setiap detik yang berlalu sepanjang saya bergelar penagih ilmu di bumi Kinabalu. "Maka nikmat Tuhan yang manakah yang kamu dustakan?" [Surah ar-Rahman: 36]. Terjemahan ayat al-Quran ini menyebabkan air mata mengalir apabila membacanya seusai Majlis Konvokesyen UMS Kali ke-11 pada 12 Oktober 2009 yang lalu. Ayat yang menyentuh hati dan perasaan. Subhanallah.

Tahun pertama iftitah perjuangan. Perasaan bersyukur kepada Allah SWT yang Maha Penyayang menusuk kalbu tatkala diberi taufik dan hidayah untuk menyertai perjuangan mahasiswa Islam di kampus. Jemaah! Wasilah inilah yang mengubah seluruh penghidupan. Bermulalah episod yang signifikan dalam variasi kehidupan saya. Mula belajar, khatam al-Quran dan terjemahan, qiamullail, terbuka hati berpuasa sunat, rasa berukhwah fillah, al-Mathurat, usrah, tamrin, muqayyam, sehinggalah saya memahami erti sebuah perjuangan menegakkan Khilafah Islamiyyah. Sangat indah kehidupan ini tatkala jiwa diruntun hidayah. Hati ini mulai mengingati soal mati sambil melunaskan amanah sebagai Rais.

Tahun kedua menjadi YDP. Langkah pertama saya atur sebaik mungkin dengan mengekalkan prestasi akademik pada kelas kedua atas (3.24) sekalipun sibuk dengan amanah sebagai pimpinan formal (YDP Kolej AB) dan pimpinan tidak formal. Peluang memimpin saya manfaatkan untuk mengutip pengalaman sebanyak mungkin. Saya akui, kadang kala diri ini tersungkur, terduduk, hatta terlena seketika (uzlah) tatkala mehnah dan tribulasi daripada-Nya datang menerjah. Mujurlah tarbiyah ruhiyyah dan sokongan sahabat-sahabat bersama keluarga banyak membantu agar istiqamah dalam perjuangan ini. Manisnya menjalin kasih sayang kerana Allah. Segala cabaran dihadapi penuh hikmah. Tiada sengketa yang merosakkan mahabbah. Demi sebuah perjuangan yang tiada lelah.

Tahun ketiga membina stamina. Permulaan yang baik, bukanlah suatu jaminan, semua itu hanya suatu permulaan. Realiti ini saya jadikan sandaran untuk memastikan perjalanan sebagai mahasiswa Islam berada pada landasan kebenaran. Amanah sebagai Setiausaha Agung MPP dan pemimpin No.3 dalam jemaah saya seimbangkan dengan tugasan akademik. 3 dalam 1! Dengan kudrat yang Allah Ta'ala pinjamkan, saya cuba mengoptimumkan gerak kerja. Bagi memastikan keikhlasan itu dapat dirasa, datanglah segala musibah daripada luar dan dalam untuk berbicara, dalam bentuk yang di luar jangkaan. Manusia sebagai hamba. Status yang menjadikan kita sentiasa layak untuk diuji apa sahaja oleh Pemilik kita dengan selautan hikmah. Masakan kita boleh terlupa bahawa sujudnya kita adalah kerana kita hamba, milik Dia? Lulus ujian itu, meningkatlah darjat kita. Mujurlah saya menyedarinya untuk membina kekuatan.

Tahun keempat mencari berkat. Revolusi berlaku dalam kehidupan saya sebagai mahasiswa Islam. Tiada lagi mesyuarat sampai pukul 3.00 pagi. Tidak lagi memikirkan segala macam program dan aktiviti. Ironinya, saya lebih fokus memikirkan masa hadapan yang bakal dilalui. Mungkin kesongsangan hidup yang berlaku ketika itu ialah menyekat diri daripada 'menyibuk' dengan urusan kepimpinan. Tiba masanya saya berehat untuk memberi laluan kepada generasi ghuraba' yang lebih segar idea mereka untuk melakukan momentum bagi memastikan segala visi dan misi menjadi realiti. Jika diminta pandangan, saya akan lontarkan berdasarkan pengalaman. Hati ini mula berbisik, tiba masanya untuk mencari teman istimewa. Saya beranikan diri memulakan langkah. Alhamdulillah. Pantun dijual sudah pun dibeli.

Tempoh menunggu hari konvokesyen. Ada kalanya, dalam kesibukan masing-masing kita dengan mudah menyebut, no news is a good news. Kalau kemalangan, atau sakit, atau mati, adalah berita yang kedengaran, tapi kalau tiada sebarang khabar berita, tentu sahaja semuanya seperti biasa. Hakikatnya tidak, bahkan saya jadi paranoid pula apabila ada kenalan yang tiba-tiba senyap. Menyepikan diri. Lama tidak kedengaran sebarang berita, tiba-tiba apa yang sampai ke telinga tidak enak pula. Nauzubillah. Jika ada sahabat-sahabiah yang mula berasa longgar dengan perjuangan, ingatilah semula 'janji setia' yang kita pateri bersama. Kelapangan waktu yang ada saya manfaatkan untuk bertugas menabur bakti di sebuah sekolah swasta di LD sambil berprogram bersama adik-adik usrah dalam PERPPISLD. Pengalaman dikutip sebaik mungkin untuk bekalan kelak pada hari kemudian. Doakan saya istiqamah setelah bergelar graduan. Sebuah perjalanan baru bermula.

Wednesday, October 14, 2009

Ku Percaya

Mereka meragui
wujudnya cinta yang sejati
Tetapi tidak bagi hati kecil ini

Semenjak dari mula ku yakin ada cinta
Cintalah yang memungkinkan segala

Ku rela
Biar betapa pun perit tertusuk duri
Andai laluan perjalanan berliku tiada bertepi

Ku percaya tidak sia-sia aku diuji
Demi cinta tersembunyi hikmahnya pasti

Tiap satu yang terjadi
Tidak mungkin tersendiri
Cuba cari jawapannya andai meragui