Rumahku, Syurgaku
Amat bin Kandalang dan isteri tercintanya, Sadayara binti Al-Pasain, dua insan yang begitu istimewa dalam kalangan kami anak-anak mereka. Pasangan persis merpati dua sejoli ini menatang kami ibarat minyak yang penuh agar tidak tumpah. Sanggup berjaga malam, memastikan makan dan minum kami tujuh orang adik-beradik, mencari ikhtiar untuk membiayai persekolahan, dan segala macam bentuk pengorbanan yang tidak mampu kami bayar dengan wang ringgit hatta harta segunung emas. Didikan mereka berdua menjadi bekalan asas untuk kami menjadi insan yang kamil. Sekalipun kami hidup serba sederhana, tetapi kami bahagia bersama. Tawa dan riang menjadi ceria. Tangis dan duka diselit bicara. Mendidik kami dengan penuh sabar dan hikmah sehingga Kakak berjaya memegang Diploma Perakaunan, saya mendapat Ijazah Pendidikan, Azmi bakal menduduki STPM (semoga berjaya), Azdnan bergelar antara pelajar terbaik PMR (7A 1B), Asri maintain dengan ‘kenakalannya’, sementara itu Farina dan Dodot terus mewarisi genetik yang Allah Ta’ala amanahkan kepada kami sekeluarga. Kami sayang mak dan bapak. Terima kasih atas segala-galanya.
Sang Murabbi
“Jika hari ini seorang raja menaiki takhta..., sejarahnya bermula daripada seorang guru biasa. Dengan lembut dan sabarnya mengajar tulis, baca”. Bait-bait puisi nukilan SN Dato’ Usman Awang ini sangat tepat. Bermula daripada seorang murid dungu yang tidak tahu apa, sehinggalah ilmu menjadi darah, daging yang membalut diri. Segala ilmu diterapkan oleh guru-guru, ustaz atau ustazah, dan para pensyarah yang saya gelar mereka sebagai Murabbi. Disiplinnya banyak, murabbi terapkan dalam diri. Ilmu datang dan pergi, jangan sekadar pasang telinga, tanpa usaha memasang tali. Binatang liar diikat dengan simpulan, ilmu ditambat dengan catatan. Itu peringatan Cikgu Denny yang saya kenali sewaktu di Tingkatan Enam. Poket saya sentiasa terisi untuk bersedia mencari ilmu, seperti sentiasa bersedia memberi ilmu. Itulah siang, itulah juga malam, yang mengiringi kehidupan saya selama bergelar penuntut ilmu. Pelajaran diusahakan cemerlang, dengan semangat Islam yang disemai murabbi. Manual ini diterapkan Cikgu Ghazali yang berjaya menjadikan saya antara pemidato kebangsaan. Murabbi mendidik saya agar tua sebelum usia, kerana matang itu perlu, bekal perjuangan yang penuh liku. Kebudak-budakan dalam gurau sendaan, namun bersungguh dalam pertarungan. Pesan ini dititipkan oleh Prof. Dr. Zulkifflye. Dialah pensyarah bergelar pendidik. Tarbiyah baginya, seni membentuk manusia. Setulus ingatan buat kalian Sang Murabbi.
Sahabat Sefikrah
Ketika seorang sahabat bertanya Rasulullah s.a.w, “Siapakah yang menjadi sahabat yang paling baik untuk kami?”. Jawab baginda, “Seseorang yang apabila kamu memandangnya, kamu teringat akan Allah SWT. Apabila kamu dengari percakapannya, pengetahuan kamu tentang Islam bertambah. Apabila kamu melihat kelakuannya, kamu teringat akan kehidupan akhirat”. Tepat sekali! Saya berasa cukup bertuah kerana dianugerahi sahabat-sahabiah sefikrah perjuangan yang sangat banyak membantu dalam pertatihan saya mencari keredaan ILahi. Tatkala saya nyaris-nyaris lemas dengan arus duniawi, mereka menghulurkan pelampung ukhwah menasihati dengan penuh hikmah. Manisnya bicara tiada terkata. Kami saling memberi dan menerima. Tanpa ada syak wasangka. Sebaliknya cinta dan mahabbah menjadi azimat perjuangan. Syukran jazilan buat sahabat-sahabiah yang saya cintai kerana Allah. Saya lampirkan sekadar beberapa nama yang terlintas di fikiran ketika ini. Burhanuddin, Firdaus, Rashid, Hasnur, Zafran, Hamsah, Hafiz Jumat, Kasman, Azizul Abdullah, Ahmad Azri, Fahmi, Abe Lan, Abg KY, Abg Salman, Abg KA, Abg Din, Kak Jannah, Kak Hajiyah, Kak Mia Octarina, Kak Salmiah, Kak Suhaida, Nadiah, Akma, Azinni, Asiah, Ilani, Hafizah, Aslin, Zaizura, Aminatul, Sajidah, Zulasiyah, Karmila, Rosnani, Noraini, Azlina dan sahabat-sahabiah yang sama waktu dengannya.
Teman Teristimewa
“Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya antara kamu.” [Al-Hujurat 49:13]. Perjalanan saya sebagai seorang penuntut ilmu di UMS turut diserikan dengan kehadiran teman-teman istimewa yang banyak membantu terutamanya dalam urusan akademik dan gerak kerja platform. Mereka telah mengorbankan banyak masa, tenaga, dan wang ringgit dalam sebuah persahabatan yang tiada tolok bandingannya. Saya tidak mempunyai ramai kenalan yang bukan ahli sefikrah, namun demikian atas kapasiti sebagai pemimpin pelajar dan sifat ramah yang dimiliki, menjadikan saya urut berkawan dengan mereka ini. Apresiasi ini saya nukilkan khas buat mereka yang menjadi teman teristimewa. Mendahului senarai; Jass Azliezan (Anak), Hilal Azmi, Mat Nor, Abdul Ghafar, Chua Yong Wei, Bibiana, Ayuni, Shuhada, Suria Tahi Lalat, Amal Harun, Misa Hartini, dan sesiapa sahaja yang berkenaan. Terima kasih kerana sudi menjadi teman istimewa saya.
Pewaris Perjuangan
Setiap yang patah akan tumbuh, yang hilang pasti berganti. Jalan perjuangan ini mesti diwariskan kepada para junior dan sahabat-sahabiah yang berada di kampus. Time frame saya sudah berakhir. Senario ini tidaklah bermaksud saya akan lepas tangan terhadap perjuangan di kampus sebaliknya saya akan terus berkongsi ilmu dan pengalaman selagi diperlukan. Memberi nasihat bak menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak. Saya percaya, setiap generasi memiliki kekuatan yang harus digembeleng secara berjemaah demi sebuah keberkatan. Inilah yang dinamakan, ‘wehdatul fikh, wehdatul amal’. Antumlah mata rantai perjuangan Rasulullah s.a.w ini. Saya sudah merasai dan melaluinya. Kini tiba giliran antum. Cermatilah ia sebaik mungkin agar kita betemu redha-Nya. Kami wariskan ‘puzzle’ perjuangan ini untuk penama berikut; Khairul Azmi, Badrul Mukminin, Qayyum, Iskandar Dzulhisham, Salman Al-Farisi, Ahmad Salahuddin, Muhammad Al-Fateh, FZ, Iskandar Dzulkarnain dan para pimpinan muslimat. Tidak lupa juga sahabat-sahabat yang masih meneruskan pencarian ilmu seperti Farhan, Abdul Kadir, Affan, Mujadid, Fatih, Lukman, QZ, Nasih Ulwan, Kak Yong, Khairunnisa’, – jadilah senior yang menjadi suri teladan kepada junior. Istimewa sekali kepada para rais yang bertanggungjawab terhadap ‘adik-beradik’ dalam generasi masing-masing seperi Hamzah Fansuri 10, Ahmad Salahuddin 11, dan Abdullah Al-Qarni 12. Semoga Allah Ta’ala memberi kekuatan kepada kalian untuk memastikan kita terus menuju ke hadapan sesuai dengan syariat-Nya.
No comments:
Post a Comment