Thursday, October 15, 2009

Sensasi Graduasi

Salam wasilah ukhuwah fillah.
Empat tahun saya bergelar mahasiswa UMS. Masa yang cukup singkat untuk membina jati diri. Terlalu banyak kenangan yang tercatat dalam setiap lembaran perjuangan yang saya lalui. Terkadang pahit sehingga memeritkan. Ada ketikanya manis yang menyerikan senyuman. Saya syukuri setiap detik yang berlalu sepanjang saya bergelar penagih ilmu di bumi Kinabalu. "Maka nikmat Tuhan yang manakah yang kamu dustakan?" [Surah ar-Rahman: 36]. Terjemahan ayat al-Quran ini menyebabkan air mata mengalir apabila membacanya seusai Majlis Konvokesyen UMS Kali ke-11 pada 12 Oktober 2009 yang lalu. Ayat yang menyentuh hati dan perasaan. Subhanallah.

Tahun pertama iftitah perjuangan. Perasaan bersyukur kepada Allah SWT yang Maha Penyayang menusuk kalbu tatkala diberi taufik dan hidayah untuk menyertai perjuangan mahasiswa Islam di kampus. Jemaah! Wasilah inilah yang mengubah seluruh penghidupan. Bermulalah episod yang signifikan dalam variasi kehidupan saya. Mula belajar, khatam al-Quran dan terjemahan, qiamullail, terbuka hati berpuasa sunat, rasa berukhwah fillah, al-Mathurat, usrah, tamrin, muqayyam, sehinggalah saya memahami erti sebuah perjuangan menegakkan Khilafah Islamiyyah. Sangat indah kehidupan ini tatkala jiwa diruntun hidayah. Hati ini mulai mengingati soal mati sambil melunaskan amanah sebagai Rais.

Tahun kedua menjadi YDP. Langkah pertama saya atur sebaik mungkin dengan mengekalkan prestasi akademik pada kelas kedua atas (3.24) sekalipun sibuk dengan amanah sebagai pimpinan formal (YDP Kolej AB) dan pimpinan tidak formal. Peluang memimpin saya manfaatkan untuk mengutip pengalaman sebanyak mungkin. Saya akui, kadang kala diri ini tersungkur, terduduk, hatta terlena seketika (uzlah) tatkala mehnah dan tribulasi daripada-Nya datang menerjah. Mujurlah tarbiyah ruhiyyah dan sokongan sahabat-sahabat bersama keluarga banyak membantu agar istiqamah dalam perjuangan ini. Manisnya menjalin kasih sayang kerana Allah. Segala cabaran dihadapi penuh hikmah. Tiada sengketa yang merosakkan mahabbah. Demi sebuah perjuangan yang tiada lelah.

Tahun ketiga membina stamina. Permulaan yang baik, bukanlah suatu jaminan, semua itu hanya suatu permulaan. Realiti ini saya jadikan sandaran untuk memastikan perjalanan sebagai mahasiswa Islam berada pada landasan kebenaran. Amanah sebagai Setiausaha Agung MPP dan pemimpin No.3 dalam jemaah saya seimbangkan dengan tugasan akademik. 3 dalam 1! Dengan kudrat yang Allah Ta'ala pinjamkan, saya cuba mengoptimumkan gerak kerja. Bagi memastikan keikhlasan itu dapat dirasa, datanglah segala musibah daripada luar dan dalam untuk berbicara, dalam bentuk yang di luar jangkaan. Manusia sebagai hamba. Status yang menjadikan kita sentiasa layak untuk diuji apa sahaja oleh Pemilik kita dengan selautan hikmah. Masakan kita boleh terlupa bahawa sujudnya kita adalah kerana kita hamba, milik Dia? Lulus ujian itu, meningkatlah darjat kita. Mujurlah saya menyedarinya untuk membina kekuatan.

Tahun keempat mencari berkat. Revolusi berlaku dalam kehidupan saya sebagai mahasiswa Islam. Tiada lagi mesyuarat sampai pukul 3.00 pagi. Tidak lagi memikirkan segala macam program dan aktiviti. Ironinya, saya lebih fokus memikirkan masa hadapan yang bakal dilalui. Mungkin kesongsangan hidup yang berlaku ketika itu ialah menyekat diri daripada 'menyibuk' dengan urusan kepimpinan. Tiba masanya saya berehat untuk memberi laluan kepada generasi ghuraba' yang lebih segar idea mereka untuk melakukan momentum bagi memastikan segala visi dan misi menjadi realiti. Jika diminta pandangan, saya akan lontarkan berdasarkan pengalaman. Hati ini mula berbisik, tiba masanya untuk mencari teman istimewa. Saya beranikan diri memulakan langkah. Alhamdulillah. Pantun dijual sudah pun dibeli.

Tempoh menunggu hari konvokesyen. Ada kalanya, dalam kesibukan masing-masing kita dengan mudah menyebut, no news is a good news. Kalau kemalangan, atau sakit, atau mati, adalah berita yang kedengaran, tapi kalau tiada sebarang khabar berita, tentu sahaja semuanya seperti biasa. Hakikatnya tidak, bahkan saya jadi paranoid pula apabila ada kenalan yang tiba-tiba senyap. Menyepikan diri. Lama tidak kedengaran sebarang berita, tiba-tiba apa yang sampai ke telinga tidak enak pula. Nauzubillah. Jika ada sahabat-sahabiah yang mula berasa longgar dengan perjuangan, ingatilah semula 'janji setia' yang kita pateri bersama. Kelapangan waktu yang ada saya manfaatkan untuk bertugas menabur bakti di sebuah sekolah swasta di LD sambil berprogram bersama adik-adik usrah dalam PERPPISLD. Pengalaman dikutip sebaik mungkin untuk bekalan kelak pada hari kemudian. Doakan saya istiqamah setelah bergelar graduan. Sebuah perjalanan baru bermula.

2 comments:

Frodo Baggins said...

tahniah dan selamat menempuh alam baru!!!

Vita Meglio said...

salam

ala bang..mulut manusia ni memang tak dapat nak tutup semua..biasalah tu..

apa kita leh buat, maafkan je la mereka..manusia ni tak lepas dari buat silap..

ramai terlupa bahawa hilang di dunia ni bukan selamanya..baru hilang di dunia dah jadi isu, belum lagi kalau hilang selamanya, isu di dalam kubur, lagi komplex nak setelkan..

ape2 pun, selamat grad..maafla sy pun 'hilang' sejak habis praktikal ni...hehe

biorla orang buat ape buruk kat kita, jangan kita buat buruk kat orang lain dahla..Allah knows

wassalam ^^