Showing posts with label Global. Show all posts
Showing posts with label Global. Show all posts

Thursday, April 23, 2009

Thailand Bergolak Lagi

Bulan Mac terus hangat dengan pergolakan politik di selatan Thailand. Begini ceritanya. Dalam pilihan raya umum yang lalu, kumpulan pro-Thaksin menang. Kalau mengikut undang-undang, mereka berhak menubuhkan kerajaan dan memerintah. Tetapi masalahnya Thasin ditolak di bandar-bandar dan oleh golongan kelas menengah. Ada banyak isu terhadap Thaksin, misalnya kes pengelakan cukai di luar negara dan isu politik wang yang menjejaskan kebersihan Thaksin. Natijahnya, tunjuk perasaan golongan berbaju kuning yang anti-Thaksin membawa kepada rampasan kuasa di Bangkok oleh tentera yang disokong oleh istana. Setelah beberapa lama di bawah tentera, pilihan raya umum diadakan tetapi golongan Thaksin menang semula. Sudah tentu senario ini menimbulkan rasa tidak puas hati oleh penentangnya. Dalam keadaan ini, penentang Thaksin berbaju kuning mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran bagi memaksa pengunduran perdana menteri yang dipilih. Maka akhirnya kerajaan itu tumbang. Setelah berkira-kira sekian lama maka yang muncul di Parlimen ialah seorang perdana menteri di kalangan penentang Thaksin. Giliran Thaksin tidak berpuas hati, maka tunjuk perasaan berlaku secara besar-besaran. Suasana tidak stabil akan terus berlaku.

Justeru, sistem demokrasi mesti dihormati dengan prinsip-prinsipnya dipatuhi. Jika tidak, sebahagian rakyat tidak akan dapat menerimanya yang akan membawa kepada tunjuk perasaan dan suasana tidak stabil seperti yang berlaku di Thailand. Tidak mustahil berlaku di Malaysia. Sememangnya setiap negara mempunyai ciri-ciri tersendiri, memiliki undang-undang yang berbeza berhubung perlembagaan yang akan menurut tradisi dan keadaan masyarakat masing-masing. Namun begitu, prinsip asas demokrasi adalah sama di semua tempat, rakyat diutamakan; seperti slogan retorik PM keenam. Demokrasi adalah pemerintahan rakyat. Sistem monarki diamalkan juga di sebahagian daripada negara-negara demokratik termasuk negara Ibu Segala Parlimen iaitu Britain. Harus diakui sistem Raja Berperlembagaan meletakkan Ketua Kerajaan yang dipilih rakyat sebagai yang memiliki kuasa. Kuasa itu pula datang sebagai mandat daripada kepercayaan majoriti anggota dewan perundangan. Sememangnya ahli-ahli dewan pula memperoleh mandat daripada pengundi. Rakyat pula menyokong seseorang calon atas tiga sebab. Pertama, perwatakannya, mindanya dan latar belakangnya sebagai individu. Kedua, parti yang diwakilinya. Ketiga, gabungan yang disertai oleh partinya.

Jika seseorang wakil rakyat keluar daripada partinya, dari segi prinsip demokrasi, dia patut meletak jawatan dan bertanding semula bagi mendapatkan mandat baru. Hal ini kerana pengundi memilih calon bersama parti dan gabungannya. Begitu juga jika dia dipecat, dia patut meletak jawatan. Jika partinya keluar gabungan, maka wakil rakyat berkenaan patut meletak jawatan juga. Hal ini kerana kita maklum para pengundinya memilih atas gabungan berkenaan. Jika prinsip-prinsip ini tidak diikuti, maka pasti sebahagian rakyat tidak puas hati dan jika keadaan perasaan tidak dapat dikawal, maka mereka akan tunjukkan perasaan mereka melalui perhimpunan-perhimpunan. Hanya keadilan dan mematuhi prinsip demokrasi akan membawa kepada kestabilan. Tunjuk perasaan golongan baju merah yang pro-Thaksin di Thailand menjejaskan bukan saja negara itu tetapi juga ASEAN. Tragedi hitam ini wajar menjadi pengajara untuk rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi hubungannya dengan soal pergolakan politik di Perak. Sudahkah YB Zambry dan Y.A.B Dato’ Nizar Jamaluddin mengambil ibrah daripada pergolakan ini? Saya khuatir dengan krisis politik di negeri yang pernah merakamkan kematian J.W.W Birch itu. Sejarah mungkin berulang.

Tuesday, March 24, 2009

Pemilu Indonesia

Pada penghujung bulan April ini, Indonesia yang demokrasinya lebih segar daripada Malaysia bakal mengadakan pilihan raya yang dikenali sebagai pemilihan umum (Pemilu). Diramalkan terdapat 44 buah parti politik yang akan berpencak di medan demokrasi sebenar. Pertandingan jawatan Presiden turut dimeriahkan dengan cabaran daripada Yusuf Kalla (Naib Presiden), Megawati Sukarnoputri dan tokoh-tokoh lain di samping SBY bakal mempertahankan jawatan yang disandangnya kini. Kemeriahan Pemilu tahun ini mendeskripsikan lagi betapa demokrasi di Indonesia semakin bernafas segar apabila pemerintah sedia ada bersikap terbuka terhadap perjalanan kempen. Misalnya, media penyiaran seperti RCTI dan Metro TV menyiarkan wawancara, iklan, dan membuat liputan khas berkaitan parti-parti politik yang bertanding. Pada masa yang sama diadakan diskusi seperti Forum Perdana untuk mengkritik Presiden dan para menteri secara terbuka dan menjawab secara telus tanpa perlu berselindung mengeksploitasi keadaan seperti yang berlaku di Malaysia. Selain itu, para pegawai kerajaan dan jentera milik kerajaan seperti polis (POLRI) dan tentera (TNI) tidak diperkudakan untuk meraih undi paksa sebaliknya mereka bebas dan berkecuali. Bahkan sewaktu Pemilu diadakan terdapat kain rentang yang tertera “POLRI dan TNI berkecuali dalam Pemilu”. Maka saya terfikir betapa Indonesia yang dikatakan sebagai negara yang miskin ini tetapi memiliki rakyat yang kaya jiwa, terbuka, matang dan tidak dieksploitasikan untuk diperas undi dengan nilai RM50 supaya memangkah neraca timbangan yang tidak adil itu. Alangkah bahagianya mereka.

Saturday, November 15, 2008

Hitam + Putih = ???


Tahniah kepada bakal Presiden Amerika Syarikat, Bararck Husein Obama yang akan menjadi peneraju ke-44 kuasa ‘polis dunia’ itu. Setelah hampir 200 tahun, akhirnya negara ‘Uncle Sam’ optimis menobatkan seorang lelaki kulit hitam untuk menerajui White House – Rumah Putih yang merupakan entiti utama Amerika Syarikat dalam penentuan segala dasar negara mereka bahkan tidak keterlaluan jika saya katakan di White House juga segala dasar berkaitan global akan direncanakan. Sekalipun dasar AS dikuasai oleh Kongres yang didominasi pelobi Yahudi, namun pada hemat saya Obama lebih demokratik dalam hubungan berkenaan dasar luarnya dan bertoleransi dengan dunia Islam berbanding Bush. Hal ini kerana latar belakang Obama yang pernah menerima pendidikan awal di Indonesia dan susur galur keturunan beliau yang amat akrab dengan masyarakat Muslim. Apatah lagi beliau telah berjanji akan mengeluarkan tenteranya dari bumi Iraq secara berperingkat-peringkat. Hakikatnya, AS telah mula menolak politik perkauman dengan menjadikan Obama sebagai empirikal. Natijahnya, kemenangan Obama ini akan menjadi katalis kepada penduduk dunia untuk menjadi lebih liberal. Kita mendoakan agar AS akan mengulangi sejarah Parsi, kuasa besar dunia yang pernah memusuhi Islam tetapi akhirnya menjadi penaja utama Islam kini. Semoga ada cahaya di penghujung terowong sekalipun ramai meramalkan gabungan hitam (Obama) dan putih (White House) akan menghasilkan ton warna kelabu (senario global) yang pasti akan menyeramkan setiap jiwa yang memandang.

Wednesday, August 13, 2008

Singapura Semakin Lupa Diri

Umum mengetahui bulan Ogos merupakan bulan kemerdekaan Malaysia. Suatu ketika dulu, Malaysia terdiri daripada Tanah Melayu, Singapura, Sabah, dan Sarawak. Kini, Singapura sudah pun menjadi republik yang lebih maju daripada Malaysia. Pada masa yang sama tidak habis-habis nampaknya negara jiran itu membuat karenah dan mengkhianati kepercayaan yang negara kita hulurkan. Setelah berjaya membuat Malaysia berputih mata dalam kes perebutan Pulau Batu Putih secara undang-undang sebelum ini, kini republik itu dikatakan berhajat menakluki Pulau Pisang pula.

Kedaulatan negara kita bagaikan dicabar apabila jeti yang digunakan pihak berkuasa Singapura untuk ke rumah api tersebut ditandakan sebagai jeti persendirian. Bahkan terdapat papan tanda dilarang masuk oleh pihak berkuasa Singapura. Bagaimanapun, mengambil kira tuntutan khianat republik berkenaan dalam kes Pulau Batu Putih sebelum ini, ada munasabahnya jika kerajaan kita lebih mencurigai tindakan Singapura itu. Sebetulnya, pendekatan diambil Singapura dalam beberapa isu bilateral dengan negara kita sebelum ini sangat meyerupai sikap dan tindakan kaum Yahudi Laknatullah ke arah membentuk negara haram Israel dulu. Yahudi menakluki tanah milik penduduk Arab Palestin dulu secara seinci demi seinci.

Promosi menjual bumi Malaysia bukan setakat dilakukan individu malah dipromosi oleh kerajaan menerusi Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI). Projek WPI ini telah dipertikaikan banyak pihak kerana dibimbangi akan dimonopoli syarikat-syarikat asing. Hartanah kawasan berkenaan juga dikatakan cenderung dimiliki warga Singapura. Akuilah bahawa selama ini kita terlalu berlembut dengan Singpura yang hipokrit itu. Kalau pemimpin kita tidak bertindak segera, saya optimis nasib malang yang menimpa Palestin akibat perancangan jahat Israel, tidak mustahil terpalit ke negara Malaysia bumi bertuah ini. Pada waktu itu, adakah kita masih ‘selamat, aman, dan makmur’? Apa yang pasti, sekarang adalah masa untuk berubah.