Friday, July 3, 2009

Apresiasi Tahniah


Salam Wasilah Ukhuwah Fillah

Janji Allah Yang Maha Kuasa itu pasti akan berlaku. Doa itu senjata orang mukmin "Dan Tuhan kamu berfirman:Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya akan Aku perkenankan doa permohonan kamu." (Surah Ghafir ayat 60). Saya yakin doa akan dimakbulkan. Usaha gigih dapat balasan setimpal. Tak kira siapa kita, pasti akan dapat balasan, jika usaha lebih. Bukan masalah otak. Sesuai dengan firman-Nya dalam Surah Ar-Ra'ad (ayat 11): "Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib suatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang merubah nasibnya." Apabila kita berusaha, berdoa dan bersabar, nescaya Allah perkenankan dan selamatkan kita. Percayalah. "Dan berikanlah berita gembira bagi orang yang bersabar. " (Surah al Baqarah ayat 155). Ini realitinya.

Saya pernah hampir tersungkur dan tewas kerana gagal ke matrikulasi. Saya cuba gagahinya. Suatu malam saya bingkas, lalu mengerjakan solat dua rakaat. Tewas, akhirnya air mata basah di hujung sejadah. Mulai hari itu, saya tidak menoleh lagi. Saya berusaha sedaya dan sekuat mungkin. Peluang yang Allah Ta’ala berikan untuk saya menuntut ilmu STPM, saya manfaatkan sepenuhnya. Amanah sebagai Ketua Pelajar, Pengerusi Surau, pemidato kebangsaan menjadi pembakar semangat untuk saya membuktikan sesuatu. Alhamdulillah gelaran ‘Best Student STPM’ yang saya impikan, berada dalam genggaman. Saya bersyukur. Betapa Allah SWT tidak pernah melupakan kita. Selangkahku kepada-MU, seribu langkah KAU kepadaku.

Perkongsian yang ala kadar ini bukan berniat memuji diri, sekadar nasihat saya tujukan ikhlas untuk adik-adik yang melanjutkan pelajaran di menara gading dan juga untuk insan-insan yang mulai rasa putus asa, agar sentiasa bersangka baik kepada Allah yang maha tahu beban, kepayahan dan ujian hamba-Nya. Saya sudah mula memetik hasilnya. Pengajian empat atau tiga tahun di universiti sangat berharga jika kita tahu menghargainya. Tahniah kepada semua sahabat yang akan bergraduasi. Kepada Anak Jass Azliezan dan Anak Afiq tahniah kerana bakal bergraduasi second class uper dan dapat melanjutkan pengajian master. Semoga kita semua berjaya mengejar segala impian. PASTI berjaya di Akademi Fisabillah.

Thursday, July 2, 2009

Perpisahan Hakiki

Gerimis ini

Bagai mengerti kelukaan hati

Ku cuba terus untuk berdiri dan berlari

Melawan arus kepalsuan dirimu yang pasti


Namun

Jiwaku masih diselubungi bayanganmu

Masih berlegar dalam rakaman kalbuku


Lupakan, lepaskan, bebaskan aku pergi

Biar hatiku merintih bukan kerana simpati


Kuharapkan sahabatku

Perpisahan ini membahagiakanmu

Kupohon agar kau tidak membenci diriku

Kerana aku pergi bukan atas kerelaanku

Untuk sebuah nilai kesetiaan yang telah kau

Perjudikan dalam kedukaan hatiku


Terima kasih atas kepura-puraanmu (Anonymous)…

Aku halalkan segalanya demi persahabatan itu


Selamat tinggal dunia realiti

Aku kini menuju akhirat yang abadi


Monday, June 29, 2009

Satu Permulaan

Salam Wasilah Ukhuwah Fillah

Bulan ini saya melalui perkara yang agak menyeronokkan sekalipun cukup memenatkan. Ia menyegarkan diri dengan keazaman dan rasa syukur yang diimpikan setiap muslim. Setiap kita menginginkan kekuatan yang diperbaharui demi menampal dan menutup segala kesalahan yang sentiasa tak lekang daripada diri yang lemah ini. Kita hanyalah seorang hamba abdi yang lemah walau apa pun kita. Pentarbiyahan daripada Yang Maha Berkuasa telah mengingatkan saya hakikat lemahnya insan tatkala berhadapan dengan mehnah dan tribulasi daripada-Nya.

Awal bulan Jun ini saya menyibukkan diri dengan aktiviti bersama pelajar sekolah menengah melalui program yang semakin mendapat tempat di hati khalayak, iaitu Kem Remaja Islam 2009 (KRIS ’09). Selain berKRIS di Lahad Datu Bumi Hijau, saya diberi keizinan oleh Allah Ta’ala untuk menabur bakti dan mengutip pengalaman bersama Murabbi Persatuan Siswazah Sabah (PSS), Abang Bunyamin di SMK Sri Lamag, Kota Kinabatangan. Satu pengalaman yang cukup berharga. Apatah lagi saya dapat menemui para du’at di sana terutama Adik Ilhaam Basri dan Adik Hasli Halida yang iltizam mereka membakar semangat saya untuk gerak kerja di LD.

Seusai KRIS saya dan sahabat-sahabiah PSS LD memerah pemikiran untuk merencanakan program susulan untuk adik-adik Alumni KRIS ’09. Tahun ini KRIS LD sudah pun memasuki edisi keempat. Kekhilafan dan kealpaan terhadap edisi-edisi yang lalu harus dijadikan ibrah demi kelangsungan dakwah dan tarbiyah di sini. Usrah dan qiamullail dijadikan wasilah. Edisi KRIS tahun ini menerima seramai 152 peserta (51 muslimin, 101 muslimat). Mereka kini telah menjadi ahli PERPPIS yang mengadakan usrah mingguan dan qiamullail bulanan. Setakat ini semua berjalan lancar dengan permulaan yang cukup positif melalui sokongan semua pihak termasuklah ibu bapa dan keluarga mereka.

Usrah mingguan PERPPIS dibahagikan kepada empat kumpulan muslimin, dan 10 kumpulan muslimat. Kumpulan muslimin diselia terus oleh saya manakala kumpulan muslimat pula akan dipantau oleh Muslimat LD. Agak meletihkan juga apabila dalam seminggu saya kena berulang-alik ke sekolah-sekolah terbabit yang jaraknya hampir tujuh hingga 10 kilometer. Sekarang baru saya sedar betapa pentingnya mahir memandu kereta atau sekurang-kurangnya menunggang motosikal. Huh... Mujurlah kadangkala ada yang sudi menjadi Pak Supir saya di sini. Qiamullail bulanan yang baru selesai kelmarin mendapat sambutan yang luar biasa. Alhamdulillah. Satu permulaan yang membahagiakan.

Friday, June 26, 2009

Genap Setahun (Siri 2)

Salam Wasilah Ukhuwah Fillah

Genap setahun saya berblog dengan tema ‘Berkongsi Ilmu Ilahi’. Selama hampir setahun perjalanan memberi dan menerima, saya semakin matang menilai kehidupan. Ada kalanya saya berasa lemah, bahkan kadang-kadang terasa ingin beruzlah. Realitinya, dunia penulisan blog sudah pun sebati dengan kehidupan saya sebagai salah satu wasilah dakwah. Selama setahun ini juga saya sudah pun berhadapan dengan kerenah pembaca blog yang pelbagai. Ada yang menyokong, ada juga yang membantah, bahkan tidak kurang juga yang seperti lalang. Saya cuba hadapi segala mehnah dan tribulasi ini demi sebuah ijtihad dakwah dengan pandangan seorang dai’e.

Setahun sebagai ‘blogger’ adalah cukup mencabar juga. Saya mula memberanikan diri memasuki dunia blog ini dengan ketakutan gagal untuk sentiasa up date blog ini. Keresahan ini sering kali menerjah saya tatkala gagal berkongsi sesuatu yang baru bersama pembaca. Keterlibatan saya dalam dunia blog bermula melalui Konvensyen Pemimpin Muda Islam anjuran BBMN. Selaku pemimpin muda kami digalakkan membuat blog untuk dijadikan medium dakwah pro mahasiswa. Dengan sedikit keberanian saya mulakan artikel ringkas bertajuk ‘Memilih untuk Tepilih’. Dua posting saya ‘meletop’ bertajuk Tanzim Bayangan 2016 (mendapat 15 komen pedas) dan Kabinet Bayangan 2020 versi Pakatan Mahasiswa (menerima 21 komen ugutan) telah menjadi hit sehingga mengundang perbalahan yang tidak berasas.

Di kesempatan ini, terima kasih saya apresiasikan kepada Saudara Asrar Qulub yang menjadi pemula utama saya bergelar blogger. Terima kasih juga kepada sahabat bloggers yang lain yang telah turut menyumbang kepada pengenalan blog saya di dunia maya ini. Saya tidak mampu menyebut nama-nama mereka semuanya di sini. Semoga anda semua diganjari Tuhan dengan sebaik-baik ganjaran. Doakan semoga saya diberi kekuatan untuk berdakwah dan berhubung dengan anda semua melalui medium dakwah terbaru ini. Selagi blog ini mampu menyumbang untuk Islam, mengapa perlu kita keluar daripadanya? Saya akan teruskan.

Thursday, June 25, 2009

Bersatulah JunduLlah

Salam Wasilah Ukhuwah Fillah

Hari ini saya akan sentuh mengenai kesatuan umat Islam. Sentuhan, bukan tamparan. Bukan tamparan, tetapi sentuhan yang mengubati seperti si ibu mengusai rambut si anak yang kepanasan demam, atau sentuhan yang meredakan seperti pak imam lebai mengusap kepala si budak yatim yang kematian sandaran hidupnya. Cumanya tak mudah sangatlah kali ini. Melayukan bangsa jenis mudah-mudah. Mudah berkira macam cerita Pulau Batu Putih. Kalah pun, kira win winlah. Mudah terima macam WPI. Tergadai tanah pun, terima sajalah demi pembangunan. Mudah lupa, macam-macam sudah yang Melayu telah lupa daripada sengsara dek kerakusan ahli politik mereka. Paling jelas, mudah meniru. Tidak hairanlah budaya barat yang songsang diimani orang Melayu.

Dalam kealpaan itu, ahli gerakan Islam pula mula sibuk berkelahi mendakwa kebenaran wasilah yang dipilih. ABIM kata dia betul, JIM kata dia tepat, Tabligh mendakwa mereka benar, Salafi berhujjah kononnya mereka pencinta Sunah, hanya PAS sahaja yang mendukung kesyumulan Islam. Senario ini melibatkan persoalan kesatuan dan perpecahan yang melanda umat Islam hari ini, termasuklah perpecahan yang melanda gerakan Islam yang diharapkan perpaduan berputik daripada mereka. Paling atas ialah persoalan ta’addud jemaah atau berbilang-bilang jemaah. Jika begitu, saya mengandaikan persoalan ini akan terus memanjang polemiknya ke masa depan yang tidak diketahui hujungnya sehinggalah Allah menyatukan kembali umat kesayangan-Nya ini.

Hari ini, anda sedang dihidangkan dengan aksi pelbagai daripada penyeru-penyeru kepada kesatuan umat Islam. Yang kekok dan pelat akidahnya, sering menyebutnya dengan nama kesatuan Melayu. Saya fikir, jika kita semua sudah sedar bahawa perpecahan adalah sebab utama kita dijauhi daripada mencium haruman kemenangan. Peluang gerakan Islam adalah terbuka. Di sisi mereka ada jawaban emas untuk umat. Jangan cemarinya dengan tetek-bengek perseteruan yang diwarisi daripada sejarah lampau. Tatangilah ubat mujarab ini sepenuh hati. Saya suka mengambil peluang bertemu dengan mereka untuk menyemaikan benih-benih kesedaran ke arah kesatuan umat yang lebih benar dan sunnah di sisi agama. Semoga saya berjaya menyempurnakan sebahagian kewajiban yang terbelenggu di pundak ini. Saya mendambakannya.

Tuesday, June 23, 2009

Syiah vs Sekularisme

Syiah bahaya sekali. Ia merosak dan memusnahkan akidah suci yang dibawa oleh nabi kita Muhammad sallallahu alaihi wasallam untuk umatnya yang sederhana dan sempurna. Sekalipun syiah agak lewat menyesatkan umat Melayu-Islam di Malaysia, namun bahayanya kian terserlah. Syiah ditolak pada mulanya kerana melibatkan akidah yang telah difahami lebih awal oleh para ulama dan tok-tok guru di negara kita. Ia sejarah lama. Maka bukan payah untuk mengenali Syiah dan ajarannya. Berlambak di dalam kitab-kitab turath yang lama.

Syiah tidak seperti fahaman-fahaman baru seperti sekularisme dan nasionalisme yang memang tidak dibincang panjang-panjang, malah kadang-kadang tak tersebut pun dalam kitab-kitab dahulu kala yang beratus-ratus tahun dulu. Justeru tidak hairanlah jika sekularisme dan suka-sakatnya mudah diterima masyarakat Melayu walaupun akidah sesatnya sama dengan Syiah. Sama-sama sesat dan salah. Semuanya jenis Ayah Pin juga.

Syiah payah masuk dan diterima sebab pertahanan telah lama dibina kitab-kitab dan para ulama. Sekularisme mudah masuk dan diterima sebab pertahanan baru dibina oleh kitab-kitab dan para ulama kita. Maka di negara kita, sesat kerana fahaman sekularisme jauh mendahului sesat kerana Syiah dan ajarannya. Bahayanya syiah kerana mazhab berdasarkan sentimen perasaan, pemujaan dan pentaqdisan. Mazhab yang pernah menjadikannya satu agama seperti Yahudi dan Nasrani. Tidakkah mereka mentaqdiskan Isa dan Musa. Sama dengan Syiah.

Lebih malang, sesetengah yang melawan Syiah di negara kita hari ini mendukung sekularisme pula atau bersekongkol dengannya pula. Sunnah lawan Syiah tu ya. Sunnah lawan sekularisme pun ya. Sekularis lawan Syafi’ie buat apa? Salafi pula terus sibuk mencari hujah mengkafirkan Ibnu Taimiyyah. Sesat lawan sesat bukan bawa hasil hidayah apa-apa pun. Justeru apabila lahir ajaran-ajaran yang menyesatkan daripada kalangan umat sendiri, ia segera dilenyapkan.

Itulah yang berlaku dalam sejarah. Ada yang datang sekejap dan ada yang lebih lama. Hari ini sekejapnya macam ajaran Ayah Pin. Lama sedikit macam ajaran al Arqam. Lama lagi macam ajaran sekularisme yang dipimpin kerajaan hari ini. Adakah sekularisme takkan hilang? Sekularisme pasti akan hilang dilipatan sejarah yang menunggu. Saudaranya, komunisme dah pun dimakamkan. Dalam banyak-banyak itu, ajaran Hadhari pula muncul, yang cukup liat dan sukar dilenyapkan untuk disembuhkan, malah mungkin membawa maut. Imam Besar Hadhari apa khabar? Sudah lama beliau tidak datang ke Parlimen.

Thursday, June 18, 2009

Demokrasi Islam

Salam Wasilah Ukhuwah Fillah

Saya tergelak kecil apabila mendengar pandangan seorang pemimpin pelajar yang mengiyakan perjuangan seorang MPP dalam program realiti berkonsep drama anjuran RTM. Alasannya, itu hak peribadi dan bukan atas nama PMUMS. Masya Allah. Cuba bayangkan, seorang pemimpin pelajar melakukan aktiviti kurang bermoral dan ditonton 25 juta rakyat Malaysia. Aib! Pelajar itu ada pilihan. Pilihan adalah ijtihad. Kita tidak memiliki keupayaan memilih yang setepatnya, jika hati kita hitam dan kotor. Bukankah Nabi Muhammad s.a.w telah berpesan jika hati kita baik, maka baiklah seluruh anggotanya. Jika betul, lumayanlah kesannya. Jika sebaliknya, anda fikirlah sendiri! Maka, pilihan raya kampus akan datang harus (baca:wajib) ada ijtihad.

Dalam aspek pemilihan ini, pada hemat saya calon-calon pro-M (pilihan jamaah Islam) dipenuhi keberkatan. Politik adalah kerja utama khilafah. Politik Islam memudahkan pembinaan diri manusia sebagai hamba Tuhan. Bukankah ramai manusia dihumban ke neraka kerana pemimpin? Manusia ditipu kerana mereka menipu diri mereka sendiri. Manusia dizalimi kerana mereka menzalimi diri mereka sendiri. Demokrasi tempang yang dipaksa kita melaluinya atau kita, jika enggan, usahlah bicara pasal politik dan pemerintahan! Atau jika degil, selamat datang ke Tribunal Tatatertib HEP atau Kem Kamunting! Tempangnya demokrasi kita.

Perjalanan mencari asy-Syafi’ie dan al-Ghazali terus sirna, mengendur dan menghilang dipancar sinar-XX al-Khairi an al-Hadhari yang disongsangkan oleh perjuangan ‘satu bangsa’. Beratus tahun umat Melayu ditanam akidah sekularisme oleh penjajah barat sebelum ‘mereka’ datang memugar dan menyuburkannya selepas kemerdekaan. ‘Mereka’ tak tahu pun sekular itu adalah isu akidah yang pasti akan membakar segala amalan baik dan soleh jika menyalahi Islam. Bagaimanalah agaknya mereka akan tahu walhal begitulah sistem pendidikan negara yang diterapkan sedari kecil dan begitulah berjalannya sistem pemerintahan negara.

Didikan sekular menyesatkan kita. Ada yang melihat mengundi hanyalah harus hukum agamanya dan sunat hukum sekularnya! Ada yang mengelak daripada dicemari politik dunia jahiliyah hari ini. Ada yang kerjanya menghimpun daill-dalil yang boleh dieksploitasi untuk menolak dan menyerang konsep Syiasah Syaariyah yang disepakati ulama. Justeru dunia hari ini wajib menerima sistem syura anjuran Islam bahawa hujah yang baik didengar dan diterima pakai melalui perantaraan mereka yang berilmu dan matang. Mereka menerapkannya dalam sistem demokrasi, sistem pemerintahan pilihan dunia hari ini, walaupun mereka melanggarnya.

Pada asasnya bahawa syura itu mesti berteduh di bawah lingkaran kekuasaan dan kebenaran Tuhan Pencipta. Politik adalah usaha memenangi persepsi pengundi. Kita sudah tentu tidak mahu terus-menerus melahirkan pemimpin mahasiswa yang sekular – menolak politik (demonstrasi) daripada kehidupan. Pastikan dalam PRK akan datang kita bijak membuat pilihan. Pilihan yang berijtihad melalui hati yang kudus. Sebelum itu, kita doakan agar kerusi TNC HEPA akan diisi oleh Dr. S atau Dr. K yang lebih profesional, berkredibiliti, dan bersahsiah tinggi berbanding Dr. AKSO yang pekat ‘darah merah-birunya’ itu. Islam pasti dijulang!