Tuesday, December 22, 2009

Memori PUYUT

Salam wasilah ukhuwah fillah.
Kira-kira sudah sembilan tahun kami sekeluarga meninggalkannya. Mengenang kembali, di sinilah saya dilahirkan melihat dunia, belajar bertatih mengenal fana, mencipta sejarah untuk makrifat, sebagai bekalan menuju akhirat. Kampung kecil kami yang tertonjol ini memang banyak juga kisahnya. Kalau lama-lama direnungi alkisahnya, pasti banyak juga teras dan santannya yang teguh lagi enak. Mati dan hidup kami tak pernah diperingat orang lain kecuali anak buah sendiri. Itu pun hanya membuat kenduri arwah dan membaca doa, yang didakwa bid’ah oleh anak jati kampung kami sendiri. Wahabilah katakan! Sudah tentu alkisah-alkisah itu tidak dimuatkan dalam mana-mana kitab sejarah tanah air pun kerana watak-wataknya semua kerdil dan tidak membawa sebarang interpretasi yang meningkatkan prestasi.

Kalau direnungi lebih jauh lagi, ternyata watak-watak kerdil yang daif inilah sebenarnya yang memaknakan perjuangan dan kehidupan di pekan kami. Mereka benar-benar hidup dan benar-benar mati. Peluh yang terbit daripada belulang mereka itu benar-benar peluh perjuangan yang menempuh pelbagai cabaran. Mungkin bicara mereka lucu dan lucah, tapi kata-kata itulah yang mengajar kami alif, bah, tah. Mereka menangis kerana sedih mungkin juga kerana gembira. Mereka ketawa dalam kesakitan dan kemiskinan. Antara ketawa dan tangisan, terselit lagi rasa radang dan senang melihat alam mentribulasikan mereka untuk sabar dan redha menerima ketentuan-Nya. Dalam senario inilah, mereka menanamkan benih soleh dan solehah bagi menyambung zuriat, saham dalam kehidupan yang penuh hakikat.

Kampung daifku ini, tidak pernah khilaf meniti titi. Kampung inilah yang membijaksanakan kami melalui angin dan tanahnya, api dan airnya. Hatta kicauan burungnya bertingkah kokokan ayamnya, mengembek kambingnya disahut pula salakan anjingnya. Dia telah mendidik kami melalui hujannya yang lebat dan kemaraunya yang panjang. Saya menjadi saya kerana dialah, kerana sumbangannya yang memedih dan menderitakan kehidupan. Melalui kepedihan dan penderitaan itulah saya merasai nikmat hidup untuk berkongsi setiap anugerah yang Allah subhana wa ta’ala pinjamkan ini. Masa semakin pantas berlalu. Segala-galanya telah terhakis dan padam ditelan detik dan jirim. Yang tinggal hanya ketulan-ketulan pejal yang majal dan manusia-manusia yang sudah hilang kemanusiaannya. Saya merindukanmu dan ingin kembali kepadamu. Sebuah kampung terpencil yang semakin kerdil. Itulah dia, Kampung Puyutku

2 comments:

Hilal Azmi said...

Alangkah permainya kampungmu abang..HUhu.

FaiQ said...

ohhh puyut,,,,
sdih rasanya kalo d kenang kmbali masa silam kat kg puyut...
(jika masa dpt d kembalikn)
hmmmm!!!!!!!!!!!!!