Sunday, March 22, 2009

Hampir Ke Situ

Aku sedar bukan mudah
Untuk mengejar mimpi indah
Pernah suatu ketika dulu ku punya harapan besar
Kini aku tak pasti dapatkah ku miliki

Sudah jauh kita tempuh
Kekalkanlah impian lalu
Mungkin ada hikmah yang akan menunggu di penghujung jalan
Biar nanti kecewa, setidak-tidaknya cuba

Jika halangan menduga perjalanan kita
Janganlah kau putus asa
Kerana aku ada di sisi setia menemani
Andai semangatmu gugur
Genggamlah tanganku kita hampir ke situ

Ada kala ku terasa
Ketabahan tak seteguh
Tetapi apalah gunanya berhenti separuh jalan
Percayalah kepadaku, aku yakin kita mampu

Biar orang katakan, “rapuhnya harapan”
Bukan mereka tentukan
Kau ada aku, aku ada kamu, rakan dan taulan
Akhirnya tetap bersama

Friday, March 20, 2009

A.N.A.K

A – Afiq dan Jass, dua nama yang terakam kemas. Sentiasa bersama persis belangkas. Kehadiran kalian berdua menukarkan hidupku lebih ceria yang daripada suramnya dunia pentas. Aku masih teringat saat perkenalan pertama kita yang berlalu pantas. Konsert Motivasi Bersama Nazrey Raihan menyatukan ukhuwah fillah secara tuntas. Indahnya persaudaraan yang Allah pinjamkan untuk kita jadikan pelengkap kehidupan yang berarus deras.
N – Namun kita terus gagahi langkah ibarat perwira. Melengkapkan ilmu di dada. Memantapkan kefahaman di hati. Mendalamkan iman dan takwa di sanubari. Sebagai bekalan menghadapi hari esok yang belum pasti. Milik kalian milik ku jua, milikku milik kalian jua. Tiada sempadan antara kita. Hatta bezanya usia dan bangsa. Tapi kita matang menghargai nilai sebuah persahabatan yang ikhlas untuk kehidupan di sana. Tabahnya hati kalian menghadapi tohmahan. Daripada insan yang tiada belas kasihan. Si hidung kembang kempis mengeksploitasi kalian. Untuk kepentingan peribadi yang tak berkesudahan.
A – Andainya dapatku putarkan waktu, akan ku pastikan manisnya bersama antara aku dan kamu. Tiada ungkapan memetaforakan hubungan yang tak tentu. Pasang surut ukhuwah kita dicemari oleh kotornya hati mentafsirkan sesuatu. Keraguan beraja di hati, kesangsian menghiasi diri. Egoku terlentur dek ikhlasnya hati yang kalian miliki. Mengeratkan lagi ukhuwah yang lama terbina. Bahagia dalam magfirahnya. Tidak sempurna iman jika bernama insan. Jika ada kekusutan janganlah dibiarkan berterusan. Leburkan syak hulurkan kemaafan. Semoga kita sentosa dalam keredaan-Nya.
K – Kita bagaikan pelangi selepas gerimisnya hujan di lautan. Indah berseri mewarnai alam. Beburung berterbangan riang berkicauan. Tiada lagi mendung semalam. Damainya di hati tatkala terpandang wajah kalian berdua. Manis senyuman menghulurkan salam. Lembut tutur bicara tersusun bahasa. Terhapus sudah titis air mata. Kenangan suka dan duka yang dilalui bersama. Indahnya kenangan yang pernah tercipta. Hindarkan persengkataan, jernihkan kekeruhan. Bara amarahmu jangan dinyalakan. Hiasi ukhuwah ini bersulamkan ketakwaan.

Tuesday, March 17, 2009

Kita Bersaudara

1400 tahun dahulu, Nabi Muhammad SAW telah berwasiat yang bermaksud: Perumpamaan orang yang beriman di dalam berkasih-kasihan sesama mereka, rahmat-merahmati dan sayang menyayangi, adalah seumpama satu jasad. Apabila satu anggota mengeluh, ia memberi kesan kepada seluruh jasad sehingga berjaga dan demam. Kung Fu Tze di dalam Lun Yu Buku ke 4 Bab Yuen Yuen ada menukilkan "si hai zhi nie jie xiong di” yang membawa maksud empat lautan terbentang luas, semua manusia bersaudara. Khalifah Ali Abi Talib apabila ditanya tentang apakah jenis persaudaraan antara orang Islam dengan bukan Islam. Beliau jawab ‘Akhukum fil Insaniah’ – mereka yang bukan Islam, adalah saudara kamu dalam kemanusiaan. Kenyataan ini jelas menggambarkan prinsip persaudaraan tanpa mengambil kira dispariti agama. Ungkapan Khalifah Ali ini adalah senada dan seirama dengan peribahasa Tamil, ‘Ontre Kulam Oruvane Thevan’ (Satu Jiwa Kerana Kemanusiaan). Jika demikian halnya, kenapa kita harus bersengketa hanya kerana perbezaan yang saya nyatakan tadi? Adakah semua ini hanya retorik semata? Lebih menyedihkan apabila saudara seagama sendiri sentiasa curiga-mencurigai dan bermusuhan antara satu sama lain. Lupakah kita dengan janji Allah SWT yang lebih kurang alih bahasanya: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka hendaklah kamu memperelokkan di antara dua saudaramu (Al-Hujurat 49:10). Memutuskan silaturahim dan meninggalkan tuntutan ukhuwah menjadi kekejian yang besar dalam Islam. Sabda Nabi SAW: “Dan janganlah kamu memutuskan (silaturahim), janganlah merancang kejahatan sesama kamu, janganlah benci-membenci dan jangan saling berhasad. Jadilah kamu wahai hamba-hamba Allah bersaudara. Tidak halal bagi seorang muslim meninggalkan saudaranya lebih dari tiga (hari).” Bukan sahaja dalam perhubungan sosial, bahkan ibadah yang zahirnya bersifat peribadi, kita turut dianjurkan melaksanakannya secara berjemaah. Kewajipan mengeluarkan zakat sebagai imbangan ekonomi, solat pengukuh ukhwah, dan banyak lagi cabang ibadah menggambarkan betapa Islam sangat menekankan agar kita hidup bermasyarakat. Dalam keseronokan kita beramal Islami, tanpa disedari mungkin ada yang terasa hati. Justeru, pada kesempatan ini, jari disusun simbolik memohon maaf secara terbuka andai terdapat perbuatan yang menyakitkan hati, bicara mulut yang terlanjur tanpa henti, hatta buah fikiran yang tidak disenangi. Sedarilah, ukhuwahfillah wasilah dakwah dan siasah.

Ketuanan Rakyat

Setelah lima dekad merdeka, terdapat hujahan dangkal di kalangan penguasa yang tamak dengan meniupkan slogan ketuanan kaum. Persepsi negatif ini harus kita depani dengan memberikan nafas baru kepada semangat Perlembagaan yang melakarkan dengan cermat kuasa rakyat. Ketuanan rakyat yang kita maksudkan adalah demokrasi yang matang di bawah naungan raja berperlembagaan, rakyatnya perkasa, jiwanya merdeka, akalnya pintar, tindakannya dipandu oleh prinsip moral dan idealisme. Demokrasi inilah yang kita perjuangkan. Pohon demokrasi ini akan kita suburkan dengan mengajak masyarakat kembali kepada al-Quran dan Sunah. Tidak ada rakyat Malaysia yang sebegitu rendah akal budinya yang mahukan keluhuran perlembagaan dinodai dan kedaulatan undang-undang dicabul oleh gerombolan perasuah dan perompak harta rakyat sehingga sanggup menggunakan bom C4 untuk meletupkan gadis Mongolia. Seharusnya kita memperjuangkan Ketuanan Rakyat yang ditunjangi oleh Islam sebagai agama rasmi. Inilah nada pejuang bangsa tulen, berbeza dengan nasionalis baru yang melalak isu bangsa secara sempit di samping mempertahankan kezaliman dan mengaut keuntungan. Dalam konteks Malaysia, ketuanan rakyat perlu tegak di atas prinsip persaudaraan sesama manusia, tanpa mengira warna kulit, keturunan, agama dan kepercayaan. Malaysia merupakan sebuah negara yang sangat kaya dengan kebudayaan daripada masyarakat berbilang kaum. Mereka yang tidak mengenali sejarah akan terperangkap dalam seribu perbezaan sedangkan Al-Quran menganjurkan konsep li ta’arafu; agar kamu saling kenal-mengenal untuk meraikan persamaan. Kini tibalah masanya kita merebut kembali erti perjuangan kemerdekaan; perjuangan yang bertunjangkan Ketuanan Rakyat. Kita perlu melakukan anjakan paradigma bagi mewujudkan suasana yang kondusif untuk rakyat memacu ekonomi, bersiasah, dan bersosial berlandaskan syariat ‘Islam untuk semua’. Yakinlah, kemenangan Allah SWT semakin hampir menjadi milik kita. Bersedialah menghadapinya.

Sunday, March 15, 2009

Sabah Tanah Airku

Senario politik Sabah sangat menarik untuk dikaji. Bermula dengan permainan politik USNO, diteruskan oleh era BERJAYA (yang kemudiannya bertukar kulit menjadi BERSEKUTU), beralih tangan ke Parti Bersatu Sabah (PBS), diikuti sepak terajang orang Semenanjung melalui UMNO/BN hinggalah ke hari ini, Sabah masih jauh ketinggalan daripada segala segi berbanding negeri-negeri lain hatta jiran terdekat Borneo, Sarawak Bumi Kenyalang. Bapa saya, Amat Kandalang pernah berkata “Kalau nak kejar Mercedes, jangan kejar dengan Morris Minor atau pick-up Datsun, tapi kejarlah dengan Jaguar, Ferrari atau sekurang-kurangnya dengan Mercedes juga supaya tidak terlalu jauh ketinggalan”. Demikian juga halnya dengan perkembangan sosiopolitik dan sosioekonomi Negeri di Bawah Bayu ini. Sebagai rakyat jati Sabah, jika kita ingin setanding dengan tahap pembangunan negeri-negeri lain, kita mesti bersedia menyediakan barisan kepimpinan yang boleh merangka dasar-dasar praktikal yang lebih efektif. Bukan sekadar menjadi follow the followers dengan mengekalkan dasar dan kepimpinan lama yang sudah tidak relevan lagi. Saya tidak menafikan ada juga yang baik dasar-dasar yang lama itu, namun sejauh mana dasar-dasar tersebut terus signifikan dengan tuntutan rakyat Sabah keseluruhannya. Sistem penggiliran Ketua Menteri, penjualan Labuan, penguasaan orang Semenanjung, isu Yayasan Sabah, hasil kayu balak, Perkara 20 dan pelbagai lagi isu harus ditangani oleh pemimpin Sabah dengan sebaiknya melalui pendekatan ibarat “menarik rambut dalam tepung, rambut tidak terputus, tepung tidak berselerak”. Segala 1001 permasalahan yang wujud harus ditangani dengan segera melalui suatu anjakan paradigma sekalipun kita terpaksa menukar kerajaan pada PRU13 yang akan datang. Tatkala saat itu tiba, semoga Pakatan Rakyat bersedia memenuhi aspirasi rakyat berbilang kaum dan agama di bumi bertuah ini. Semoga impian ini menjadi realiti yang pasti. Ayuh, sama-sama kita berdoa.

Friday, March 13, 2009

Kedamaian

Ku rindukan cahaya si kunang-kunang
Pelita rimba hiasan gelap yang malang
Bintang yang bersinar bergemerlapan
Sang Rembulan penerang alam keceriaan

Ku rindukan mandian air di bukit
Kedinginannya menyentuh hati rawan
Burung berkicauan berlagu perit
Di sinilah ku miliki kedamaian

Rindu cahaya Sang Rembulan
Dingin angin rimba menusuk kalbu
Rindu hembusan Sang Kebayuan
Buah-buahan meranup pepohon menghijau

Merdu suara kicau burung dinginnya air terjun
Ku kembali menikmati semula
Keindahan

Ku rindu saat-saat bahagia
Tak akan mungkin pudar segar di dalam ingatanku
Biarku di sini jauh di desa bahagia telah bersemi selamanya

Genap Setahun

Genap setahun sudah penubuhan jawatankuasa penaja Ikatan Sahabat EKSAH (ISEUMS). Saya masih teringat detik manis ini bermula melalui perbincangan informal saya bersama Yang Berbahagia TNC (HEPA) setahun yang lalu. Secara lisan, beliau tiada halangan bahkan menyokong sepenuhnya penubuhan ISEUMS sebagai badan dakwah mahasiswa di kampus Negeri Bawah Bayu ini. Visi dirangka, misi dicakna, objektf dikota, wawasan bukan lagi maya, semuanya diadun menjadi satu, menjadi hala tuju perjuangan ISEUMS yang bukan lesu. Lantas, Pengerusi ISEUMS pada waktu itu, Saudara Muhd. Nadir merangka satu kertas kerja yang telah pun dipersembahkan dan mendapat kelulusan TNC (HEPA). Malangnya, tidak sampai sepenggal ISEUMS bergerak kerja, arahan keramat menyebabkan ISEUMS ‘dipenggal’ seketika. Tatkala itu, impian berkecai ibarat kaca terhempas ke lantai. Sedihnya. Namun demikian kegigihan penggerak jihad ISEUMS merencana gerak kerja sama sekali tidak membantukan usaha dakwah hatta ISEUMS ‘diharamkan’ seketika.

Lantaran itu bersempena ulang tahun pertama kemenangan yang didokongi penggerak jihad ISEUMS, maka sewajarnyalah suatu penilaian dibuat bagi mengukur sejauh manakah kesan perlaksanaan kita terhadap kemenangan yang Allah Ta’ala pinjamkan ini? Sejauh manakah pula tanggungjawab dan amanah ini telah berjaya kita galas dan laksanakan? Hujan atau panas kelangsungan perjuangan kita diukur daripada keupayaan kekal istiqamah di atas landasan yang hakiki. Selain itu apabila beroleh kuasa, apakah kita mampu melebarkan misi perjuangan sehingga menjadi sendi ke atas kehidupan mahasiswa di kampus khususnya, dan masyarakat luar amnya? Berapa ramaikah hati-hati yang telah berjaya kita sentuh untuk kembali beramal dengan kesyumulan Islam? Atau sebaliknya, semakin ramai yang menjauhkan diri dek pendekatan kita yang rigid dalam berdakwah? Nau’zubillah. Pasang atau surut kesetiaan dan sokongan mahasiswa terhadap ISEUMS terletak terhadap metodologi dakwah dan konsep program yang kita rencanakan.

Justeru, kita tidak seharusnya jemu menterjemahkan perjuangan sehingga melahirkan ahli dan pimpinan yang berkualiti, dihormati dan disegani masyarakat. Kualiti ini bukan lahir dari jelmaan peribadi tetapi penghayatan perjuangan di kalangan penggerak jihad ISEUMS. Lantas pengukuran prestasi dalam setahun ini penting bagi memastikan keupayaan kita untuk menguasai medan yang lebih luas pada masa akan datang, ‘yang positif dijadikan teladan, yang negatif dijadikan sempadan’, guna memperbaiki diri yang akrab dengan kedaifan. Saya optimis, mahasiswa UMS meletakkan harapan yang tinggi ke atas kita. Sekalipun kita enggan mengukur pencapaian kita itu, pengukuran dan perhitungan berterusan para malaikat-Nya terus sampai ke singgahsana Allah SWT siang dan malam. Marilah kita insafi bersama tugas dan tanggugjawab kita ini. Realitinya, ISEUMS perlu terus komited berdiri tegak dan kukuh dalam persada siasah kampus atas landasan perjuangannya yang keramat itu. Kita harus kuat dan berani. Ironinya, jika kita longgar dan longlai, segala-gala yang di dalam tangan tidak mustahil akan luluh dan berderai. Perjuangan yang diasaskan oleh mereka yang telah pergi medahului kita ini perlu terus relevan, dan panji-panji Islam ini perlu terus tegak berkibar di dalam gengaman tangan-tangan muttaqun yang jujur dan ikhlas. Selamat bermuhasabah.