Sunday, September 14, 2008

Medan JIHAD Mahasiswa Kini Bermula

Gendang pilihan raya kampus (PRK) bagi kawasan Kolej-kolej Kediaman di Universiti Malaysia Sabah sudah pun dipalu. Perkembangan ini sama ada kita sedar atau tidak, pada 15 September Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Sesi 2007/2008 di setiap Kolej Kediaman akan dibubarkan secara rasmi. Pada tarikh yang sama, borang penamaan calon untuk JAKMAS Sesi 2008/2009 akan diedarkan secara percuma di setiap Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) Kolej Kediaman. Dapatkan segera sementara stok masa ada! Suatu pembaharuan yang dilakukan pada tahun ini apabila PRK peringkat MPP dan JAKMAS diasingkan. Pada hemat pentadbiran, kaedah ini relevan untuk memastikan proses PRK berjalan dengan lebih lancar dan telus. Hal ini tidaklah bermaksud bahawa PRK sebelum ini tidak telus sebaliknya kaedah ini diaplikasi untuk menjadikan pengurusan PRK menjadi lebih baik. Hari penamaan calon akan diadakan pada 17 September 2008 di Anjung Siswa. Sementara itu, hari pengundian jatuh pada 19 September 2008 yang akan diadakan di Dewan Kolej Kediaman (bagi Kolej AB dan CD), Kafeteria Kolej E, Pejabat Kolej IP, dan lobi Perpustakaan (bagi Kolej NR). Pada kesempatan ini, saya menyeru sahabat-sahabat mahasiswa agar menunaikan tanggungjawab kita sebagai pengundi dan pemilih. Pangkahlah calon yang berkredibiliti untuk mendaulatkan suara dan perjuangan mahasiswa di peringkat pentadbiran, kebangsaan, dan global. Kepada yang bakal menjadi ‘YB JAKMAS’, saya berpesan agar berjuanglah secara adil dan bersih. Tanpa mengira fikrah perjuangan kita sama ada Aspirasi atau Pro-Mahasiswa, apa yang penting kiblat perjuangan kita adalah ke arah memperjuangkan isu-isu kebajikan mahasiswa yang semakin hari seolah-olah diperkotak-katikkan oleh ‘golongan besar’ yang hakikatnya tidak berjiwa besar sebaliknya hanya ‘berbadan besar’.

Wednesday, September 3, 2008

Hayati Ramadhan Dengan Jiwa Merdeka

Bulan Ramadhan tahun1429H disambut ketibaannya serentak dengan kita meraikan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-51. Senario ini seharusnya membangkitkan kesedaran dan keinsafan kepada kita semua tentang betapa pentingnya hubungan antara kemerdekaan dan kedaulatan yang kita kecapi itu. Kini kita telah pun menghirup udara kemerdekaan genap 51 tahun walau pun hakikatnya udara tersebut tidaklah sesegar erti kemerdekaan yang hakiki. Pada masa yang sama, mahasiswa yang mendukung perjuangan Islam terus kekal malah relevan dalam perjuangan politik negara, terus-menerus memikul cita-cita perjuangan yang sama iaitu berjuang untuk melaksanakan Islam di samping tidak mengabaikan tugas dan tanggungjawab sebagai pencinta ilmu dan aktivis masyarakat. Ramadhan terus memperingatkan kita tentang betapa penting dan perlunya perjuangan mendaulatkan Islam ini.

Lantas Ramadhan seharusnya menjadi bulan penyuntik semangat, bulan peringatan bahawa apa yang kita perjuangkan selama ini adalah benar dan hak selagi kita terus berada di atas landasan yang benar hatta wujud kuasa manusia yang cuba memadamkan perjuangan mahasiswa. Muhasabah Ramadan sepatutnya menginsafkan kita jangan sekali-kali terpesona sehingga menyimpang atau lari dari tujuan asal perjuangan kita, kerana bahananya kita akan terlepas dari lindungan dan rahmat Allah SWT. Almarhum Dr Burhanuddin al-Helmi, ketika menghuraikan pernah menyebut: "Politik Islam mengikut al-Quran dan Sunnah. Politik Islam tidak boleh bercerai tanggal dengan Quran dan Sunah sama ada perkara yang telah tetap hukumnya dan perkara-perkara baru timbul atau ditimbulkan. Semuanya hendaklah mengikut dan berpandu Quran dan Sunnah. Sebarang hukum atau ketetapan yang berlawanan dengan Quran dan Sunnah dengan sendirinya terbatal. Idea mesti berpandu kepada al-Quran. Al-Quran tidak boleh berpandukan idea."

Semoga ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-51 ini dan Madrasah Ramadhan yang sedang kita tempuhi dengan penuh ikhlas, reda dan rela ini mengukuhkan lagi kefahaman dan kesedaran kita semua akan tugas dan tanggungjawab yang terbentang di hadapan kita. Peranan ini digalas silih berganti sejak dari zaman pejuang-pejuang yang terdahulu, ada yang gugur syahid, dan ada yang bersedia menunggu giliran. Jangan kita persiakan prinsip dan tujuan asal kita itu, yang terpelihara sekian lama sehingga ke hari ini. Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke-51 dan Ramadan Kareem daripada saya, Mursidi bin Amat dan keluarga tercinta.

Tuesday, August 26, 2008

Pupus

Pertemuan yang ku idamkan masih belum bersua
Perpisahan yang ku takutkan hadir sudah tiada ku pinta
Harapan pudar mati untuk mencari lagi
Bagai lilin yang menerangi lalu padam jua

Apalah yang mampu ku beri
Agar rasa ingin berkasih hadir dalam diri
Tak mampu ku mendusta hati ini lagi

Cinta yang tersuram tulus ku rasakan pupus
Hingga ada terluka pada setiap bicaraku
Kasih yang mengukir mesra hilang dalam tawa
Namun inginku semula merasai nikmat-Nya

Mampukah rayuanku ini membuatkan ia kembali
Setiap kemanisan cinta yang tulus dan suci
Hadirlah sekali lagi cuma agar bernyawa cinta semula
Maafkan aku andai keterlaluan pintaku ini

Wednesday, August 13, 2008

Singapura Semakin Lupa Diri

Umum mengetahui bulan Ogos merupakan bulan kemerdekaan Malaysia. Suatu ketika dulu, Malaysia terdiri daripada Tanah Melayu, Singapura, Sabah, dan Sarawak. Kini, Singapura sudah pun menjadi republik yang lebih maju daripada Malaysia. Pada masa yang sama tidak habis-habis nampaknya negara jiran itu membuat karenah dan mengkhianati kepercayaan yang negara kita hulurkan. Setelah berjaya membuat Malaysia berputih mata dalam kes perebutan Pulau Batu Putih secara undang-undang sebelum ini, kini republik itu dikatakan berhajat menakluki Pulau Pisang pula.

Kedaulatan negara kita bagaikan dicabar apabila jeti yang digunakan pihak berkuasa Singapura untuk ke rumah api tersebut ditandakan sebagai jeti persendirian. Bahkan terdapat papan tanda dilarang masuk oleh pihak berkuasa Singapura. Bagaimanapun, mengambil kira tuntutan khianat republik berkenaan dalam kes Pulau Batu Putih sebelum ini, ada munasabahnya jika kerajaan kita lebih mencurigai tindakan Singapura itu. Sebetulnya, pendekatan diambil Singapura dalam beberapa isu bilateral dengan negara kita sebelum ini sangat meyerupai sikap dan tindakan kaum Yahudi Laknatullah ke arah membentuk negara haram Israel dulu. Yahudi menakluki tanah milik penduduk Arab Palestin dulu secara seinci demi seinci.

Promosi menjual bumi Malaysia bukan setakat dilakukan individu malah dipromosi oleh kerajaan menerusi Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI). Projek WPI ini telah dipertikaikan banyak pihak kerana dibimbangi akan dimonopoli syarikat-syarikat asing. Hartanah kawasan berkenaan juga dikatakan cenderung dimiliki warga Singapura. Akuilah bahawa selama ini kita terlalu berlembut dengan Singpura yang hipokrit itu. Kalau pemimpin kita tidak bertindak segera, saya optimis nasib malang yang menimpa Palestin akibat perancangan jahat Israel, tidak mustahil terpalit ke negara Malaysia bumi bertuah ini. Pada waktu itu, adakah kita masih ‘selamat, aman, dan makmur’? Apa yang pasti, sekarang adalah masa untuk berubah.

Tuesday, August 12, 2008

KONSEP HIBURAN YANG MENGELIRUKAN

Hingga ke detik ini, isu hiburan melampau yang bercorak hedonisme yang berlangsung di UMS masih menjadi mauduk utama perbincangan warga kampus yang prihatin dan cintakan ilmu. Pokoknya di sini, jika pihak berwajib seperti MPP mahupun Jabatan HEP dan pihak pentadbiran gagal untuk menyedia dan merancang program-program ilmiah, maka tidak hairan jika budaya hedonisme terus masuk ke dalam kampus. Kalau benar pihak tertentu mahu melahirkan golongan mahasiswa kelas pertama, maka mereka sepatutnya membatalkan segera segala program berbentuk hiburan keterlaluan. Jadi tidak ada lagi selepas ini konsert melalaikan yang mencemarkan kemuliaan Dewan Canselor, UMS Idol yang menghalalkan percampuran lelaki dan perempuan, band yang membingitkan telinga di kafe, Tamu Gadang yang menjemput artis tidak bermoral, dan macam-macam lagi.

Sekarang timbul pula program realiti 'Akademi Nasyid'. Banyak pihak keliru dengan konsep, pendekatan dan penampilan peserta yang bertanding, apa yang dapat umum simpulkan, nasyid akan membawa lagu-lagu berkonsepkan kesedaran, sama ada berpaksikan tauhid ketuhanan, peranan serta tugas para Anbiya, berkorban untuk agama, mengajak umum untuk beribadat, bersatu-padu dan sebagainya. Tetapi ada yang tidak kena dengan program realiti berkenaan, penampilan peserta perempuannya pula 'bertabarruj' atau bersolek sama seperti artis pop wanita lain. Persoalannya di sini, apakah kewujudan program itu adalah untuk mengimbangi 'Akademi Fantasia' yang sudah masuk musim keenam 'jahanam', atau ada perkara yang tersirat.

Kembali kepada persoalan hiburan melampau yang mencemarkan kampus UMS ketika ini, pada hemat saya suatu mekanisme perlu dipersetujui tentang konsep hiburan yang relevan dengan mahasiswa dan bukannya bersifat komersial semata-mata. Saya tidak anti hiburan. Bahkan saya menyokong penganjuran program hiburan jika memberi manfaat terhadap kesarjanaan akademik mahasiswa. Misalnya, persembahan tarian yang pernah dipersembahkan oleh pelajar SPS sewaktu Perhimpunan Agung PMUMS iaitu hanya pelajar lelaki sahaja yang kita benarkan menari di khalayak, manakala pelajar perempuan bermain alat muzik 'kulintangan'. Jadi, sudah tiba masanya kita selamatkan mahasiswa UMS daripada terus disogok dengan hiburan melampau.

Janji Manismu

Di dunia ini penuh kepalsuan
Mungkinkah tiada keikhlasan
Apakah ini suatu pembalasan
Ku sedar kebesaran-Mu Tuhan
Aku bagai seorang kembara jalanan
Terumbang-ambing di lautan gelora
Mencari kebahagian jalan untuk menumpang kasih
Mungkinkah suratan hidup akan selalu keseorangan
Hati membeku mengingkatkan kata janji manismu
Ku dilambung angan-angan belaian kasih sayang suci darimu
Kejamnya.....
Lidah tidak bertulang ungkapan kata menghiris kalbu
Ku akan pergi membawa diri luka di hati terkubur lagi
Tidakku fahami mengapa terjadi
Peristiwa pahit mengguris hati
Jalanan hidup ini sudah tertulis
Kutempuhi dengan kesabaran
Ku sedar kebesaran-Mu
Tuhan

CARILAH SAHABAT

Salam Wasilah Ukhuwaah Fillah
Hidup tidak selalunya indah
Langit tak selalu cerah
Suram malam tak berbintang
Itulah lukisan alam
Begitu aturan Tuhan...

Lirik lagu yang dinyanyikan oleh Kumpulan Hijjaz ini mengiringi perjalanan malam saya semalam. Motor dipandu semakin pecut. Setiba di bilik badan terus direbahkan ke atas tilam yang empuk. Lega rasanya. Setelah sehari penat mengajar dan waktu maghrib pula saya diamanahkan untuk memberi kuliah maghrib di SMK Sanzac, KK – tempat saya menjalani latihan mengajar. Seusai solat Isyak, saya perlu menghadiri satu mesyuarat penting untuk kelangsungan gerak kerja Islam di kampus. Hanya pada ALlah Ta’ala sahaja saya adukan segala-galanya. Peritnya dirasa apabila sahabat tidak cuba memahami diri ini. Mungkin wasiat Al-Qamah kepada anaknya wajar kita renungi bersama sebagai bekalan di jalan dakwah yang penuh dengan mehnah dan tribulasi ini.

Lima cara pilih sahabat yang boleh diikuti dalam membina persahabatan adalah sebagaimana pesanan al-Qamah (seorang sahabat Rasulullah saw) kepada anaknya:

Pertama, pilihlah sahabat yang suka melindungi sahabatnya, dia adalah hiasan diri kita dan jika kita dalam kekurangan nafkah, dia suka mencukupi keperluan.

Kedua, pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan rasa terharu, jikalau ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, dia suka menghitung-hitungkan (menyebutnya).Ketiga, pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu dan dianggap sangat berguna, dan jika ia mengetahui mengenai keburukan dirimu ia suka menutupinya.

Keempat, pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi, jikalau engkau diam, dia mula menyapamu dulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, dia suka membantu dan meringankanmu serta menghiburkanmu.

Kelima, pilihlah sahabat yang jikalau engkau berkata, ia suka membenarkan ucapan dan bukan selalu mempercayainya saja. Jikalau engkau mengemukakan sesuatu persoalan yang berat dia suka mengusahakannya dan jika engkau berselisih dengannya, dia suka mengalah untuk kepentinganmu.

Pesanan kepada para JunduLlah, dalam memilih sahabat kita hendaklah memilih sahabat yang baik agar segala matlamat dan hasrat untuk memperjuangkan Islam dapat dilaksanakan bersama-sama sahabat yang mulia. Saya akui sukar mencari teman sejati, namun yakinlah jika kita inginkan teman yang sejati seharusnya kita bersedia menjadi ‘teman yang sejati’. Mulakan dari sekarang.