Saturday, June 21, 2008

BERAKIT-RAKIT KE KAMPUNG BATU RAKIT

Pada 12 hingga 16 Jun yang lalu, saya diberi kesempatan mengikuti satu Bakti Siswa di Kuala Terengganu. Program anjuran Majlis Perwakilan Pelajar, Persatuan Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (PMUMS) Sesi 2007/2008 mendapat kerjasama daripada Yayasan Terengganu. Lokasi yang menjadi pilihan adalah daerah Kampung Batu Rakit. Dalam kawasan tersebut Yayasan Terengganu mencadangkan agar kami menjalankan program di Kampung Terap Pecah Rotan dan Kampung Pecah Rotan. Kesepakatan telah dicapai maka organisasi kami nekad memilih kedua-dua kampung yang terletak bersebelahan sahaja ini menjadi lokasi program.

Untuk makluman pembaca, program ini diselia oleh Saudari Nur Nadia Amira Binti Mohd. Nasir (Kak Nadia), Exco Keusahawanan dan Kepenggunaan MPPUMS Sesi 2007/2008 merangkap penasihat program. Seramai 23 ahli jawatankuasa (ajk) yang terdiri daripada latar belakang agama, negeri dan kaum yang berbeza telah bergabung tenaga atas nama Bakti Siswa. Daripada 23 orang mahasiswa yang terlibat, seramai enam orang wakil MPP (termasuk Kak Nadia) turun padang. Saya terlibat dalam program ini selaku wakil kepada Presiden MPP, Saudara Hasanal Bin Hassan Alban yang tidak dapat turut serta atas komitmen beliau sebagai Presiden.

Selama hampir lima hari empat malam kami berkampung telah menjadi suatu detik manis dalam hidup kami. Setiap keluarga angkat sangat prihatin, baik hati dan komited terhadap program ini. Setibanya kami di tapak program pada 12 Jun 2008 kami bersama-sama penduduk kampung membuat persiapan untuk Majlis Perasmian yang akan diadakan pada jam 3.00 petang. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB ADUN Batu Rakit. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni UMS.
Seusai perasmian, kami diagih-agihkan kepada keluarga angkat masing-masing. Seramai 16 keluarga angkat yang terlibat. Ada yang memperoleh seorang, atau dua orang bahkan terdapat juga yang sudi menerima tiga orang anak angkat. Saya mendapat keluarga Encik Mat Rani (Ayah Mat) yang sangat baik hati. Terima kasih Ayah dan Ma (panggilan untuk ayah dan ibu angkat) atas layanan yang sangat berharga. Rindu hendak makan gulai Ma. Buat Along, syukran dik sudi bawa abang mengenali dan mendalami sejarah Batu Rakit. Tergamam seketika saya tatkala Along menunjukkan sebuah batu timbul di tengah pantai yang seolah-olah replika sebuah rakit. Kononnya kawasan tersebut mendapat nama daripada replika batu tersebut. Saya bertambah teruja tatkala melihat benda hijau putih berkibar megah di atas batu tersebut. Takbir!

1 comment:

lAl said...

Satu program yang menarik!!! semoga program nie dapat mengutatkan lagi ukhuwah sesama Muslim.