Tuesday, July 29, 2008

Biarkan Kami Bebas Bersuara


Pada pagi hari Isnin yang lalu, sewaktu saya dalam perjalanan balik ke UMS dari Lahad Datu, saya dikejutkan dengan satu mesej daripada seorang sahabat MPPUMS. Katanya melalui mesej tersebut, “Agung, hati-hati ya. Saya dengar cerita blog musliminmukhlisin sedang dipantau dan kemungkinan besar akan disekat”. Tergaman saya seketika. Apa salah blog tersebut? Terima kasih saya ucapkan atas keprihatinan sahabat baik saya dalam MPPUMS ini atas nasihat beliau. Pada ruang yang ada ini, suka saya menegaskan hakikat betapa saya dan sahabat-sahabat yang lain tidak pernah gentar dengan ancaman dayus seumpama ini yang lazimnya datang daripada juak-juak SB (siput babi) yang cuba melemahkan semangat perjuangan kami.

Saya titipkan pesanan untuk para SB ini sama ada yang terdiri daripada SB pelajar mahupun SB HEP; “Ketahuilah hakikat bahawa SB yang paling agung telah ALlah Ta’ala utuskan untuk mengekori dan mencatatkan setiap inci perbuatan, percakapan, dan pemikiran kita. Seharusnya kita berasa gentar dengan kehadiran SB yang bernama malaikat ini, berbanding anda SB yang sering dicucuk hidungnya seperti anda”. Saya dan sahabat-sahabat saya tidak akan sama sekali berhenti daripada meneruskan mata rantai perjuangan Rasulullah s.a.w kerana kami sudah memilih untuk terpilih menegakkan kalimah ALlah di bumi UMS khususnya.

Saya difahamkan beberapa laman blog yang memihak kepada Pakatan Rakyat Negeri Sembilan telah cuba disabotaj oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Antara blog yang telah cuba disabotaj ialah http://pasns.blogspot.com , http://amkns.blogspot.com dan http://rembau-hari-ini.blogspot.com. Pengendali-pengendali laman web tersebut telah menerima mesej berikut : “This blog has been locked due to possible Blogger Terms of Service violations. You may not publish new posts until your blog is reviewed and unlocked. This blog will be deleted within 20 days unless you request a review. Sementara itu, saya dimaklumkan oleh seorang sahabat pro mahasiswa di UM bahawa sumber media Pakatan Rakyat di Negeri Sembilan ini telah dipelbagaikan lagi dengan kewujudan http://pakatanrakyatn9.blogspot.com.

Saya termenung seketika. Adakah blog www.musliminmukhlisin.blogspot.com akan menerima nasib yang sama, disekat dan dianaktirikan hanya kerana kelantangan menyuarakan yang hak dan menyatakan yang batil? Pada masa yang sama, saya cukup terkilan dengan kedangkalan sesetengah pihak yang taksub membuta tuli terhadap konsep perjuangan memartabatkan hak mahasiswa. Hasutan demi hasutan diracun kepada pemikiran mahasiswa agar bangkit menunjukkan protes melalui demonstrasi jalanan, seperti bantahan terhadap penganjuran Konsert Anuar Zain baru-baru ini. Saya kenal siapa watak utama dalam drama tersebut – menghasut mahasiswa menunjukkan kedangkalan ilmu di jalanan. Sekali lagi saya peringatkan betapa MPPUMS menolak demonstrasi jalanan. Masa untuk berubah. Kami sudah lama berubah kerana suara kami sudah mula didengari walaupun tidak secara majoriti. - mcd -

Friday, July 25, 2008

PENDIRIAN MPP, PMUMS SESI 2007/2008 TERHADAP KEPUTUSAN PRU KE-12

(Artikel ini sudah pernah disiarkan dalam Wasilah Bil.07)
Salam Wasilah Ukhuwah Fillah. Sudah hampir lima bulan Pilihan Raya Umum ke-12 berlalu, dan pada masa yang sama juga kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri telahpun membentuk kabinet masing-masing. Istimewanya pada pilihan raya kali ini berlaku pelbagai keputusan di luar jangkaan apabila lima negeri (iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berjaya ditawan oleh Barisan Alternatif (BA) yang kini dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR). Manakala lapan negeri yang lain kekal di tangan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Para penganalisis politik berpendapat, pilihan raya umum yang lalu merupakan satu 'watershed' dalam sejarah politik Malaysia yang telah merubah landskap politik negara. Sekiranya pilihan raya dijalankan mengikut sistem perwakilan bernisbah (proportional representation), PR dalam konteks ini termasuklah DAP yang memenangi 51% undi popular (untuk Semenanjung Malaysia) telah pun mengambil alih pemerintahan negara. Mujur ada undi Parlimen dari Sabah dan Sarawak yang menyelamatkan BN daripada terus menangung aib.
Apa pun keputusan yang telah dibuat oleh rakyat, para pimpinan MPP, PMUMS lebih bersifat memihak kepada tuntutan majoriti berdasarkan asas perjuangan untuk kebajikan rakyat. Tidak kira sama ada kerajaan negeri yang telah dibentuk dikuasai oleh PR atau BN, kami tiada masalah untuk bekerjasama pada masa akan datang termasuklah dalam program K-Siswa (Khidmat Siswa) dan seumpamanya. Harapan kami semoga setiap parti yang menang dalam pilihan raya yang lalu dapat mengotakan janji menjadi satu realiti. Sama-samalah kita berdoa agar bumi Malaysia terus sejahtera di bawah nanungi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin. - mcd -

Thursday, July 24, 2008

TRANSISI KEMATANGAN MAHASISWA

Tidak terasa cepatnya waktu berlalu. Sekarang saya sudahpun memasuki tahun akhir (tahun empat) pengajian di UMS. Hari ini pula genap tiga minggu saya bergelar guru pelatih di SMK Sanzac, Kota Kinabalu. Macam-macam pengalaman yang ditempuh dengan perasaan yang berbaur gembira atau sebaliknya.

Umumnya, kita semakin dewasa dari hari ke hari yang bermula dari perhitungan saat, minit, jam hinggalah perubahan tahun. Kedewasaan itu merupakan proses kematangan. Dalam proses ini, sama ada kita sedar atau tidak, kita telah melakukan banyak kesilapan natijah kealpaan kita kepada Yang Maha Esa. Apa yang pasti dan diakui mengikut fitrah, seorang yang semakin dewasa tidak patut berkelakuan seperti kanak-kanak, sebaliknya ia harus lebih tua daripada umurnya sekarang.

Seorang yang berpandangan jauh merupakan pemimpin yang dikagumi oleh komuniti yang dipimpin olehnya. Maka dengan itu setiap pemimpin mahasiswa wajar menilai tahap dan kualiti kematangan mereka berfikir. Adakah idea yang dilontarkan mampu mencerminkan label sebagai mahasiswa? Masanya sudah tiba untuk memikirkan bagaimana untuk menjadi pemimpin Malaysia yang berkarismatik dan mampu mewujudkan suasana "Malaysia Baru" pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 yang dianggap sebagai 'tsunami politik' negara. Persoalannya kini, bersediakah mahasiswa memimpin negara? Saya bersedia!

Wednesday, July 23, 2008

KONSERT ANUAR ZAIN MENGUJI VISI DAN MISI MPPUMS SESI 2007/2008

Suatu hari sebelum memulakan mesyuarat mingguan MPP (sementara menanti ketibaan beberapa sahabat MPP yang selalu datang lewat ke mesyuarat), seorang sahabat MPP yang berlainan agama dengan saya bertanya satu soalan,

“Abang Agung (gelaran MPPUMS kepada saya termasuk segelintir sekretariat dan pimpinan PMUMS) kenapa kita selalu tidak sehaluan dalam mesyuarat?” tanya beliau

Saya ajukan semula soalan kepada beliau : “Apa yang selalu kita selisihkan?”

“Tentang sesuatu dasar yang sudah kita putuskan”

Jawapan saya mudah. Saya katakan kepada beliau betapa perselisihan itu perlu untuk kita mencari pendekatan yang terbaik dalam menyelesaikan sesuatu isu. Setelah hampir 10 minit berdiskusi, beliau akhirnya menyatakan maksud soalan beliau diajukan berikutan penganjuran Konsert Anuar Zain yang dijadualkan berlangsung hujung bulan Julai ini di dewan keramat dan terhormat, Dewan Canselor UMS. Beliau mula mempersoalkan tentang misi 5K (Kesahsiahan, Kesarjanaan, Kebajikan, Kokurikulum, dan Kesepaduan) yang menjadi kiblat perjuangan MPP, PMUMS khususnya ‘Kesahsiahan’ dengan sejauh mana relevannya pihak pengurusan meluluskan unsur hedonisme seumpama ini yang ‘mencabul’ kemuliaan Dewan Canselor sebagai simbol akademik – pengijazahan mahasiswa UMS.

Saya katakan kepada beliau, “Sedangkan kita semua berlembut tak bermakna bersetuju, mengalah tak bermakna salah, diam tak bermakna bersetuju, senyum tak bermaksud reda, bersama tak bermaksud bekerjasama…” Beliau mula faham dan perbincangan kami terhenti di situ kerana tempikan Saudara Chua menyedarkan kami mesyuarat akan bermula sebentar lagi.

Pada hari yang lain pula seorang sahabat mencadangkan agar MPP mengadakan demonstrasi untuk mendesak agar pihak pentadbiran UMS membatalkan konsert tersebut. Jawapan saya mudah, “Demo bukan pendekatan kami”. Maka beliau mula melabelkan saya sebagai pemimpin mahasiswa Islam yang bacul. Saya ulangi jawapan saya seperti di atas kepada beliau:

“Sedangkan kita semua berlembut tak bermakna bersetuju,
mengalah tak bermakna salah, diam tak bermakna bersetuju,
senyum tak bermaksud reda, bersama tak bermaksud bekerjasama…”

Tidakkah itu antara cara yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w. untuk menghadapi golongan kuffar. Kita berjuang bukan untuk puaskan hati sendiri atau nak berbanga-bangga tapi nak ‘puas’kan kehendak ALlah Ta’ala… Beribadah bukan nak puaskan hati sendiri tapi nak ‘puas’kan kehendak ALlah dengan mentaati perintah dan meninggalkan larangan-Nya… Beliau terdiam dan berlalu pergi. Subhanallah… Maha Suci ALlah yang memudahkan segala urusan.

Jadi, apakah pendirian MPP, PMUMS berkaitan isu ini? Saya syorkan anda membaca artikel berikut dan link kepada blog presidenums.blogspot.com

Tuesday, July 22, 2008

Tinta Perjuangan

Selangkah ke alam perjuangan bererti selamanya dalam kepahitan
Biarlah menangis, terluka, kecewa, dan ditinggalkan kerana ALlah
Daripada mati terkambus tanpa mujahadah

Kita tak sanggup selamanya terluka
Tapi ingatlah setiap darah daripada luka dan air mata
Itulah mahar kita ke Syurga

Andai ditanya
"...kenapa berjuang itu pahit?..."
Jawapannya
"...kerana Syurga itu manis..."

Semoga dirimu dan diriku
Sentiasa tabah dalam perjuangan di jalan-Nya

... Salam Mujahadah Nafs ...

Saturday, July 19, 2008

KE MANAKAH HILANGNYA PERMATA ITU?

Saya begitu teruja melihat bagaimana hebatnya pidato yang disampaikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sewaktu sesi perdebatan bersama seorang ahli kabinet Pak Lah yang sangat lemah itu. Namun dalam artikel ini saya tidak berminat mengulas lanjut tentang perjalanan perdebatan tersebut. Bagi yang ingin mengetahui persepsi seorang pimpinan pelajar tentang perdebatan tersebut, saya syorkan anda akses ke blog bendaharimppums.blogspot.com. Pada hemat saya, sahabat saya ini telah membuat ulasan yang sangat baik dan mantap. Terserah kepada pembaca budiman untuk menilai.

Kembali kepada mauduk perbincangan kita, “Ke manakah Hilangnya Permata Itu?” Sebenarnya, saya ingin menarik perhatian para pengunjung blog ini untuk berfikir berkaitan maruah, akauntabiliti dan integriti yang semakin terhakis dalam diri mahasiswa khususnya Pimpinan Tertinggi seperti MPPUMS. Jika suatu ketika dulu, suara mahasisawa mampu menggetarkan pentadbiran Canselori UM, tapi kini suara itu semakin lenyap ditelan zaman. Adakah mahasiswa yang memiliki kuasa tidak ada pengaruh? Jika begitu, bagaimana pula mereka boleh menduduki jawatan yang kita sedia maklum melalui proses Pilihan raya Kampus (PRK) – undi majoriti. Hal ini sudah pasti memerlukan pengaruh sebelum kuasa mampu dibentuk.

Saya berpendapat, beberapa keratan artikel yang pernah ditulis oleh Saudara Hasrizal Abdul Jamil dalam blog beliau saifulislam.com wajar kita renungi bersama untuk memastikan nilai permata yang dimiliki oleh pimpinan mahasiswa tidak terus hanyut dibawa arus. Saya perturunkan sebahagian daripada hasil tulisan beliau (dengan izin) agar kita dapat manfaat bersama, tidak kiralah kita ini pimpinan MPP pro mahasiswa atau pun aspirasi (yang semakin basi inspirasinya itu). Berikut intipati artikel tersebut:
SIRAH PENGARUH DAN KUASA. Kepimpinan yang paling lemah, adalah kepimpinan yang bergantung kepada kuasa dan jawatan. Kepimpinan yang bergantung kepada jawatan dan kedudukan ini, boleh melanda kepimpinan semuda kepimpinan di sekolah, sampailah kepada kepimpinan di peringkat universiti dan negara. Baginda S.A.W. adalah insan yang berpengaruh, sebelum baginda diberi Kenabian, sebelum beroleh kuasa dan kerajaan. Pengaruh baginda S.A.W. adalah pada kualiti dirinya. Kualiti Al-Amin, kualiti integriti dan kualiti kompetensi.
Lihat sahaja sirah Baginda SAW semasa di Mekah. Ketika kabilah-kabilah Arab berbalah tentang kelayakan untuk meletakkan kembali Hajar al-Aswad ke Kaabah, mereka akhirnya mencari seorang anak muda yang tidak berjawatan KETUA PEMUDA, tetapi PEMUDA yang berkualiti KETUA, iaitu Muhammad SAW. Biar pun tanpa jawatan dan kedudukan, pengaruh Baginda sudah sedia terserlah, dek kualiti yang ada pada dirinya. Malah Nabi Muhammad SAW yang tidak berjawatan itu, menggelisahkan seluruh pembesar Mekah yang ada jawatan dan kuasa. Kepimpinan dengan pengaruh hasil kualiti, mengancam seluruh jawatan dan kuasa yang cuba dipertahankan tanpa kualiti kepimpinan. Kerana itu, Madinah terus memacu kejayaan, apabila kepimpinan Rasulullah SAW yang berteraskan pengaruh itu, dilengkapkan dengan kuasa dan kedudukan!

“PENGARUH BUKANLAH SESUATU YANG DICARI.
APABILA KUALITI DIRI DIBANGUNKAN, PENGARUH DATANG SENDIRI”

TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT
Inilah watak yang juga saya kesan pada peribadi Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa saya pergi menziarahinya seawal tahun 1992. Ketika tiba di kediaman beliau, Tuan Guru baru sahaja turun dari bumbung rumah, membetulkan atap yang rosak. Ketika ditanya, bagaimanakah ayah beliau mendidiknya, Tuan Guru memberitahu bahawa mancis api sebatang pun, dibelah dua untuk mengajar anak berjimat cermat. Sungguh mengujakan saya. Tidak hairan, beliau disegani oleh kawan dan lawan. Anda boleh berbalas hujah dengan pendebat dan pemidato, tetapi tiada siapa yang mampu menewaskan akhlaq dan pengaruh. Mereka yang berpengaruh, mereka itulah yang menguasai. Mereka yang berkuasa, belum tentu berjaya mempengaruhi. Untuk memimpin dengan pengaruh, seseorang itu akan menumpukan perhatian kepada membangunkan kualiti dirinya sebagai aset terbesar dalam kepimpinannya. Dia akan terus menjadi pusat, sama ada dengan jawatan, atau tanpa jawatan. Jatuh naiknya kepimpinan beliau tidak bergantung pada kemenangan pertandingan dan kekuatan lobi orang lain untuk dirinya. Pengaruh bukanlah sesuatu yang dicari. Apabila kualiti diri dibangunkan, pengaruh datang sendiri. Jangan marah, jika artis lebih popular. Manusia dan kepimpinan …. adalah soal PENGARUH.

Ini pula komen daripada seorang pengunjung blog tersebut:

Kepimpinan model ada pengaruh yg besar. Seorang pemimpin negeri yg mengetuai setiap solat subuh dan turut serta dalam amal2 kemasyarakatan spt Tn Guru Nik Aziz sukar untuk dicari. Lagi sukar untuk mencari seorang yg begitu berpengaruh dengan jumlah pengunjung dan pendengar kuliah pagi jumaatnya yang tidak pernah berkurang. Betul spt cth-cth disebut oleh ust, jika sesiapa ke Kelantan atau mengikuti perkembangan negeri tersebut (tanpa menafikan ada kelemahan-kelemahan lain juga), kita akan dapat lihat prinsip asas kepimpinan Islam, ‘experiences’, serta ‘outcomes’ kpd masyarakat berlangsung dengan serentak.

Duhai Pimpinan Mahasiswa, khususnya MPPUMS : Di manakah kedudukan kita? Jangankan nak menjadi imam Solat Subuh, solat lima waktu pun belum tentu menjadi darah daging kita. Justeru, jangan merungut jika ‘rakyat naungan kita’ – mahasiswa UMS tidak menghormati atau mentaati kita akibat sikap kita sendiri yang tidak mentaati dan mengagungkan Yang Maha Khaliq.

“Bukan mencaci tapi memperingati, bukan membenci tapi mengasihi” – mcd

Thursday, July 17, 2008

APA KHABAR ‘MUET’?

Bulan Ogos merupakan antara bulan yang cukup padat dengan aktiviti di UMS. Selain meraikan Bulan Kemerdekaan, kita juga akan meraikan sahabat-sahabat senior kita yang bakal bergelar graduan sempena Majlis Konvokesyen kelak. Semakin hampir, tarikh tersebut maka semakin ramai yang berdebar-debar menunggu keputusan akhir senarai nama pelajar yang layak menaiki pentas menerima ‘scroll’ bergelar graduan dalam bidang masing-masing. Pada masa yang sama, Pejabat MPPUMS sering diasak dengan persoalan tentang penyetaraan kursus Bahasa Inggeris yang kononnya akan dijadikan prasyarat jika pelajar tidak melepasi syarat MUET Band Three.

Dalam kehangatan tersebut, ramai yang mula meramalkan Pesta Konvo tahun ini akan menyaksikan sebilangan besar pelajar (khususnya pelajar Melayu) tidak bergraduan disebabkan halangan MUET ini. Untuk makluman pelajar sekalian, sehingga tarikh artikel ini ditulis belum ada sebarang kata putus daripada Yang Berbahagia Prof. Datuk Dr. Kamaruzaman bin Ampon, Naib Canselor baru UMS, berhubung isu tersebut. Apa yang pasti keputusan MUET untuk bulan Mei sudah pun dikeluarkan. Anda boleh menyemak keputusan MUET masing-masing dengan menaip MUET (jarak) no.kad pengenalan dan hantar ke 39003. Semoga berjaya. Bagi yang tidak berjaya, yakinlah setiap kesusahan itu pasti akan diselitkan kesenangan oleh Yang Maha Pencipta.

Di akhir artikel ini, suka saya berkongsi mutiara kata yang dikirimkan oleh seorang sahabat baik saya yang juga merupakan seorang pimpinan pelajar yang saya kagumi kesabarannya. Begini madah pujangga beliau yang menaikkan semula iltizam saya:

“...dalam diari seorang pejuang, tiada masalah yang merumitkan, ujian yang melemahkan, bala yang menyusahkan, bahkan semua itu dijadikan batu loncatan untuk menjadikan kita lebih hebat dan tepu dengan masalah dan ujian. Cuma sesekali air mata merembes tanda kekerdilan kudrat hamba berhadapan dengan belaian Pencipta, sebagai tanda ingatan-Nya. Teruslah berjuang melawan nafsu dalam munajat dan doa seorang hamba...”

IMEJ PIMPINAN PELAJAR : ANTARA BATIK DAN BAJU KORPORAT

Saya masih tidak jelas kenapa agaknya isu ini menjadi perkara utama. Sukar rasanya hendak saya memberikan pendefinisian yang jelas tentang objektif pemakaian sama ada baju batik atau baju korporat pada hari Khamis. Namun demikian saya akan cuba menilai daripada perspektif sebagai pimpinan pelajar. Pakai baju batik tidak salah, demikian juga pakai baju korporat (istilah korporat ini hampir-hampir menyamai perkataan ‘keparat’), juga tiada salahnya. Cuma kita perlu jelas apa tujuan pemakaian tersebut. Jika matlamat hendak menonjolkan kita ini pimpinan pelajar yang menduduki hierarki tertinggi PMUMS maka secara peribadi, baju batik adalah pilihan yang tepat. Hal ini kerana kita sedia maklum dasar tersebut sesuai dengan pelaksanaan dasar kerajaan pusat yang ingin mengkomersialkan batik sebagai warisan budaya kita.

Saya agak terkilan dan terkesima seketika apabila ramai rupanya pimpinan pelajar yang merasa janggal dan jengkel dengan pemakaian batik, atas alasan aib. Gelaran batik sebagai warisan budaya, rupanya kita merasa malu memakainya. Wahai pemimpin pelajar, anda adalah cerminan pemimpin akan datang jika pemikiran anda dangkal seumpama ini tidak mustahil masa depan negara kita tidak secerah hari ini. Saya mengesyorkan agar kita melihat bagaimana pendirian Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS), berhubung isu ini yang menyarankan agar para ahli pro mahasiswa di seluruh IPT memakai batik setiap hari Khamis, bukan sebagai manifestasi menyokong kerajaan sebaliknya mengangkat nilai dan budaya bangsa Malaysia. Bagaimana pula kita sikap kita yang kononnya sentiasa memperjuangkan kewujudan dasawarsa citra Malaysia?

Apabila keputusan lebih memihak untuk kita memakai baju korporat / keparat ini menjadi pilihan ramai, maka saya ada satu pendefinisian yang mungkin boleh ‘menyentapkan’ siapa sahaja yang terasa. Seusai keputusan dibuat, saya pun beredar dan balik ke bilik peribadi. Saya keluarkan baju korporat / keparat ini, saya bermonolog sendiri, “kenapa sahabat-sahabat pimpinan saya yang lain lebih gemar memilih baju korporat / keparat berbanding baju batik?” Setelah hampir 30 minit bertafakur, baru saya perasan baju korporat / keparat itu tertera nama dan jawatan kita, di samping logo PMUMS yang jelas kelihatan. Elemen ini tidak terdapat pun dalam baju batik hijau yang kita miliki. Sahabat-sahabat sekalian, ada apa pada nama andai ‘performance’ kita dalam memperjuangkan 5K (Kebajikan, Kesarjanaan, Kesahsiahan, Kokurikulum, dan Kesepaduan) tidak ‘all out’, sebaliknya hanya bersifat seperti mencurah air ke daun keladi? Fikirkan bersama.

LAYAKKAH AKU MENJADI GURU BERJIWA MURABBI?

Kami Guru Malaysia
Berikrar dan Berjanji
Mendidik dan Memimpin
Putera-Puteri Negara Kita

Pada Seri Paduka
Kami Tumpahkan Setia
Rukun Negara Kita
Panduan Hidup Kita Semua

Di Bidang Pembangunan
Kami Tetap Bersama
Membangun, Membina
Negara yang Tercinta

Amanah yang Diberi
Kami Tak Persiakan
Apa yang Kami Janji
Tunai Tetap Kami Tunaikan

Demikianlah antara bait-bait lirik Lagu Guru Malaysia yang sering dinyanyikan oleh para guru di seluruh Malaysia setiap kali menjelang tarikh keramat 16 Mei yang meraikan dan memperingati pengorbanan dan jasa insan bergelar guru, cikgu, ‘sir’, ‘teacher’, ustaz/ustazah, dan seumpamanya. Tugas dan peranan guru dalam mendidik anak bangsa amat besar implikasinya. Benarlah kata-kata Sasterawan Agung Negara, Dr. Usman Awang, “...siapa saja pada hari ini menjadi dewasa, sejarahnya bermula daripada seorang guru biasa, dengan sabarnya mengajar tulis, baca”.

Artikel ini saya zahirkan untuk berkongsi rasa bersama pembaca budiman betapa tugas dan peranan insan bergelar guru ini sangat penting. Untuk makluman, saya baru sahaja bergelar guru pelatih bermula 7 Julai yang lalu, ditugaskan di SMK Sanzac, KK untuk mendidik dan mengajar pelajar Tingkatan Satu mata pelajaran Sejarah dan Geografi. Saat pertama kali mengajar di hadapan 46 murid debaran memang dirasakan hangat. Namun ALhamdulillah dengan ilmu pedagogi yang ALlah Ta’ala ilhamkan, semua berjalan lancar. Mohon kepada pembaca budiman, doakan saya agar bergelar guru berjiwa murabbi kelak. Amin.....

JAUHI FITNAH YANG MEMFITNAH UMAT AKHIR ZAMAN

Fitnah adalah cubaan dan ujian. Dosa syirik disebut fitnah dan kekufuran juga disebut fitnah. ALlah SWT berfirman dalam kitab-Nya:
“Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi.” (Al-Baqarah: 193)
Dalam ayat lain pula ALlah SWT berfirman:
“Kalau (Yatsrib) diserang dari segala penjuru, kemudian diminta kepada mereka supaya murtad, niscaya mereka mengerjakannya.” (Al-Ahzab: 14)
Apakah pengertian fitnah yang sebenar? Istilah fitnah lebih banyak diucapkan untuk sesuatu berupa bala dan cubaan yang kerap kali memperdaya dan menyimpangkan ramai orang dari jalan yang lurus. Sementara mereka tidak mampu mengatasinya, akhirnya mereka larut bersama bala dan cubaan tersebut. Itulah cubaan dan bala yang menyesatkan yang sangat dikhuwatirkan Rasulullah s.a.w. akan berlaku ke atas umatnya. Dalam sebuah hadits shahih Baginda Rasul bersabda:

"Menjelang hari Kiamat nanti akan terjadi fitnah-fitnah seperti potongan malam kelam. Pada saat itu seseorang beriman pada pagi hari dan menjadi kafir pada malam harinya, beriman pada malam hari dan menjadi kafir pada pagi harinya. Ia menjual agamanya dengan material dunia." (HR. Abu Dawud dan Ibnu Majah)

Maknanya apabila fitnah tersebut telah menimpa seseorang, ia akan terpedaya dan selanjutnya sesat serta menyimpang dari kebenaran dan petunjuk, ia menjual agamanya dengan material dunia! Fitnah-fitnah seperti ini telah banyak kita saksikan pada hari ini. Oleh kerana itu yang dapat bertahan dan sabar dalam menghadapinya hanyalah orang-orang yang diteguhkan ALlah dan diberi-Nya kurnia ilmu dan pengetahuan.

Daripada manifestasi ini, maka saya tertanya-tanya adakah kerana wang (bantuan biasiswa dan sebagainya) daripada seseorang (terutama pemimpin negara), seorang manusia (yang pernah bergelar pimpinan pelajar) sanggup menabur fitnah kepada individu (‘A’ bukan nama sebenar) yang pernah membantunya suatu ketika dahulu. Lebih menjijikkan apabila mantan pimpinan pelajar ini membuat tuduhan yang memualkan terhadap individu ‘A’ ini. Begitu dangkal ilmu beliau, seolah-oleh empat tahun pengajian di IPT tidak mempu menjadikan mantan pimpinan pelajar itu sebagai modal insan yang cemerlang, gemilang, dan terbilang sebaliknya menjadi ‘temberang’.