Saturday, July 19, 2008

KE MANAKAH HILANGNYA PERMATA ITU?

Saya begitu teruja melihat bagaimana hebatnya pidato yang disampaikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sewaktu sesi perdebatan bersama seorang ahli kabinet Pak Lah yang sangat lemah itu. Namun dalam artikel ini saya tidak berminat mengulas lanjut tentang perjalanan perdebatan tersebut. Bagi yang ingin mengetahui persepsi seorang pimpinan pelajar tentang perdebatan tersebut, saya syorkan anda akses ke blog bendaharimppums.blogspot.com. Pada hemat saya, sahabat saya ini telah membuat ulasan yang sangat baik dan mantap. Terserah kepada pembaca budiman untuk menilai.

Kembali kepada mauduk perbincangan kita, “Ke manakah Hilangnya Permata Itu?” Sebenarnya, saya ingin menarik perhatian para pengunjung blog ini untuk berfikir berkaitan maruah, akauntabiliti dan integriti yang semakin terhakis dalam diri mahasiswa khususnya Pimpinan Tertinggi seperti MPPUMS. Jika suatu ketika dulu, suara mahasisawa mampu menggetarkan pentadbiran Canselori UM, tapi kini suara itu semakin lenyap ditelan zaman. Adakah mahasiswa yang memiliki kuasa tidak ada pengaruh? Jika begitu, bagaimana pula mereka boleh menduduki jawatan yang kita sedia maklum melalui proses Pilihan raya Kampus (PRK) – undi majoriti. Hal ini sudah pasti memerlukan pengaruh sebelum kuasa mampu dibentuk.

Saya berpendapat, beberapa keratan artikel yang pernah ditulis oleh Saudara Hasrizal Abdul Jamil dalam blog beliau saifulislam.com wajar kita renungi bersama untuk memastikan nilai permata yang dimiliki oleh pimpinan mahasiswa tidak terus hanyut dibawa arus. Saya perturunkan sebahagian daripada hasil tulisan beliau (dengan izin) agar kita dapat manfaat bersama, tidak kiralah kita ini pimpinan MPP pro mahasiswa atau pun aspirasi (yang semakin basi inspirasinya itu). Berikut intipati artikel tersebut:
SIRAH PENGARUH DAN KUASA. Kepimpinan yang paling lemah, adalah kepimpinan yang bergantung kepada kuasa dan jawatan. Kepimpinan yang bergantung kepada jawatan dan kedudukan ini, boleh melanda kepimpinan semuda kepimpinan di sekolah, sampailah kepada kepimpinan di peringkat universiti dan negara. Baginda S.A.W. adalah insan yang berpengaruh, sebelum baginda diberi Kenabian, sebelum beroleh kuasa dan kerajaan. Pengaruh baginda S.A.W. adalah pada kualiti dirinya. Kualiti Al-Amin, kualiti integriti dan kualiti kompetensi.
Lihat sahaja sirah Baginda SAW semasa di Mekah. Ketika kabilah-kabilah Arab berbalah tentang kelayakan untuk meletakkan kembali Hajar al-Aswad ke Kaabah, mereka akhirnya mencari seorang anak muda yang tidak berjawatan KETUA PEMUDA, tetapi PEMUDA yang berkualiti KETUA, iaitu Muhammad SAW. Biar pun tanpa jawatan dan kedudukan, pengaruh Baginda sudah sedia terserlah, dek kualiti yang ada pada dirinya. Malah Nabi Muhammad SAW yang tidak berjawatan itu, menggelisahkan seluruh pembesar Mekah yang ada jawatan dan kuasa. Kepimpinan dengan pengaruh hasil kualiti, mengancam seluruh jawatan dan kuasa yang cuba dipertahankan tanpa kualiti kepimpinan. Kerana itu, Madinah terus memacu kejayaan, apabila kepimpinan Rasulullah SAW yang berteraskan pengaruh itu, dilengkapkan dengan kuasa dan kedudukan!

“PENGARUH BUKANLAH SESUATU YANG DICARI.
APABILA KUALITI DIRI DIBANGUNKAN, PENGARUH DATANG SENDIRI”

TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT
Inilah watak yang juga saya kesan pada peribadi Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa saya pergi menziarahinya seawal tahun 1992. Ketika tiba di kediaman beliau, Tuan Guru baru sahaja turun dari bumbung rumah, membetulkan atap yang rosak. Ketika ditanya, bagaimanakah ayah beliau mendidiknya, Tuan Guru memberitahu bahawa mancis api sebatang pun, dibelah dua untuk mengajar anak berjimat cermat. Sungguh mengujakan saya. Tidak hairan, beliau disegani oleh kawan dan lawan. Anda boleh berbalas hujah dengan pendebat dan pemidato, tetapi tiada siapa yang mampu menewaskan akhlaq dan pengaruh. Mereka yang berpengaruh, mereka itulah yang menguasai. Mereka yang berkuasa, belum tentu berjaya mempengaruhi. Untuk memimpin dengan pengaruh, seseorang itu akan menumpukan perhatian kepada membangunkan kualiti dirinya sebagai aset terbesar dalam kepimpinannya. Dia akan terus menjadi pusat, sama ada dengan jawatan, atau tanpa jawatan. Jatuh naiknya kepimpinan beliau tidak bergantung pada kemenangan pertandingan dan kekuatan lobi orang lain untuk dirinya. Pengaruh bukanlah sesuatu yang dicari. Apabila kualiti diri dibangunkan, pengaruh datang sendiri. Jangan marah, jika artis lebih popular. Manusia dan kepimpinan …. adalah soal PENGARUH.

Ini pula komen daripada seorang pengunjung blog tersebut:

Kepimpinan model ada pengaruh yg besar. Seorang pemimpin negeri yg mengetuai setiap solat subuh dan turut serta dalam amal2 kemasyarakatan spt Tn Guru Nik Aziz sukar untuk dicari. Lagi sukar untuk mencari seorang yg begitu berpengaruh dengan jumlah pengunjung dan pendengar kuliah pagi jumaatnya yang tidak pernah berkurang. Betul spt cth-cth disebut oleh ust, jika sesiapa ke Kelantan atau mengikuti perkembangan negeri tersebut (tanpa menafikan ada kelemahan-kelemahan lain juga), kita akan dapat lihat prinsip asas kepimpinan Islam, ‘experiences’, serta ‘outcomes’ kpd masyarakat berlangsung dengan serentak.

Duhai Pimpinan Mahasiswa, khususnya MPPUMS : Di manakah kedudukan kita? Jangankan nak menjadi imam Solat Subuh, solat lima waktu pun belum tentu menjadi darah daging kita. Justeru, jangan merungut jika ‘rakyat naungan kita’ – mahasiswa UMS tidak menghormati atau mentaati kita akibat sikap kita sendiri yang tidak mentaati dan mengagungkan Yang Maha Khaliq.

“Bukan mencaci tapi memperingati, bukan membenci tapi mengasihi” – mcd

2 comments:

lAl said...

Satu komen yang sangat menarik... Cadangan saya, harap entry x terlalu panjang.. Biar sharp dan memudahkan pemahaman. Mungkin ini cabaran yang kita berdua boleh ambil untuk memastikan entry utk blog ini jadi lebih mantap..

Permata itu tidak hilang sebenarnya, hanya jauhari yang kenal dengan manikam.Dah jumpa sbnrnya permata tue, just nk kena gilapkan saja.ok!

Muslimin Agung said...

Setuju 100%