Tuesday, July 29, 2008

Biarkan Kami Bebas Bersuara


Pada pagi hari Isnin yang lalu, sewaktu saya dalam perjalanan balik ke UMS dari Lahad Datu, saya dikejutkan dengan satu mesej daripada seorang sahabat MPPUMS. Katanya melalui mesej tersebut, “Agung, hati-hati ya. Saya dengar cerita blog musliminmukhlisin sedang dipantau dan kemungkinan besar akan disekat”. Tergaman saya seketika. Apa salah blog tersebut? Terima kasih saya ucapkan atas keprihatinan sahabat baik saya dalam MPPUMS ini atas nasihat beliau. Pada ruang yang ada ini, suka saya menegaskan hakikat betapa saya dan sahabat-sahabat yang lain tidak pernah gentar dengan ancaman dayus seumpama ini yang lazimnya datang daripada juak-juak SB (siput babi) yang cuba melemahkan semangat perjuangan kami.

Saya titipkan pesanan untuk para SB ini sama ada yang terdiri daripada SB pelajar mahupun SB HEP; “Ketahuilah hakikat bahawa SB yang paling agung telah ALlah Ta’ala utuskan untuk mengekori dan mencatatkan setiap inci perbuatan, percakapan, dan pemikiran kita. Seharusnya kita berasa gentar dengan kehadiran SB yang bernama malaikat ini, berbanding anda SB yang sering dicucuk hidungnya seperti anda”. Saya dan sahabat-sahabat saya tidak akan sama sekali berhenti daripada meneruskan mata rantai perjuangan Rasulullah s.a.w kerana kami sudah memilih untuk terpilih menegakkan kalimah ALlah di bumi UMS khususnya.

Saya difahamkan beberapa laman blog yang memihak kepada Pakatan Rakyat Negeri Sembilan telah cuba disabotaj oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Antara blog yang telah cuba disabotaj ialah http://pasns.blogspot.com , http://amkns.blogspot.com dan http://rembau-hari-ini.blogspot.com. Pengendali-pengendali laman web tersebut telah menerima mesej berikut : “This blog has been locked due to possible Blogger Terms of Service violations. You may not publish new posts until your blog is reviewed and unlocked. This blog will be deleted within 20 days unless you request a review. Sementara itu, saya dimaklumkan oleh seorang sahabat pro mahasiswa di UM bahawa sumber media Pakatan Rakyat di Negeri Sembilan ini telah dipelbagaikan lagi dengan kewujudan http://pakatanrakyatn9.blogspot.com.

Saya termenung seketika. Adakah blog www.musliminmukhlisin.blogspot.com akan menerima nasib yang sama, disekat dan dianaktirikan hanya kerana kelantangan menyuarakan yang hak dan menyatakan yang batil? Pada masa yang sama, saya cukup terkilan dengan kedangkalan sesetengah pihak yang taksub membuta tuli terhadap konsep perjuangan memartabatkan hak mahasiswa. Hasutan demi hasutan diracun kepada pemikiran mahasiswa agar bangkit menunjukkan protes melalui demonstrasi jalanan, seperti bantahan terhadap penganjuran Konsert Anuar Zain baru-baru ini. Saya kenal siapa watak utama dalam drama tersebut – menghasut mahasiswa menunjukkan kedangkalan ilmu di jalanan. Sekali lagi saya peringatkan betapa MPPUMS menolak demonstrasi jalanan. Masa untuk berubah. Kami sudah lama berubah kerana suara kami sudah mula didengari walaupun tidak secara majoriti. - mcd -

Friday, July 25, 2008

PENDIRIAN MPP, PMUMS SESI 2007/2008 TERHADAP KEPUTUSAN PRU KE-12

(Artikel ini sudah pernah disiarkan dalam Wasilah Bil.07)
Salam Wasilah Ukhuwah Fillah. Sudah hampir lima bulan Pilihan Raya Umum ke-12 berlalu, dan pada masa yang sama juga kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri telahpun membentuk kabinet masing-masing. Istimewanya pada pilihan raya kali ini berlaku pelbagai keputusan di luar jangkaan apabila lima negeri (iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berjaya ditawan oleh Barisan Alternatif (BA) yang kini dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR). Manakala lapan negeri yang lain kekal di tangan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Para penganalisis politik berpendapat, pilihan raya umum yang lalu merupakan satu 'watershed' dalam sejarah politik Malaysia yang telah merubah landskap politik negara. Sekiranya pilihan raya dijalankan mengikut sistem perwakilan bernisbah (proportional representation), PR dalam konteks ini termasuklah DAP yang memenangi 51% undi popular (untuk Semenanjung Malaysia) telah pun mengambil alih pemerintahan negara. Mujur ada undi Parlimen dari Sabah dan Sarawak yang menyelamatkan BN daripada terus menangung aib.
Apa pun keputusan yang telah dibuat oleh rakyat, para pimpinan MPP, PMUMS lebih bersifat memihak kepada tuntutan majoriti berdasarkan asas perjuangan untuk kebajikan rakyat. Tidak kira sama ada kerajaan negeri yang telah dibentuk dikuasai oleh PR atau BN, kami tiada masalah untuk bekerjasama pada masa akan datang termasuklah dalam program K-Siswa (Khidmat Siswa) dan seumpamanya. Harapan kami semoga setiap parti yang menang dalam pilihan raya yang lalu dapat mengotakan janji menjadi satu realiti. Sama-samalah kita berdoa agar bumi Malaysia terus sejahtera di bawah nanungi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin. - mcd -

Thursday, July 24, 2008

TRANSISI KEMATANGAN MAHASISWA

Tidak terasa cepatnya waktu berlalu. Sekarang saya sudahpun memasuki tahun akhir (tahun empat) pengajian di UMS. Hari ini pula genap tiga minggu saya bergelar guru pelatih di SMK Sanzac, Kota Kinabalu. Macam-macam pengalaman yang ditempuh dengan perasaan yang berbaur gembira atau sebaliknya.

Umumnya, kita semakin dewasa dari hari ke hari yang bermula dari perhitungan saat, minit, jam hinggalah perubahan tahun. Kedewasaan itu merupakan proses kematangan. Dalam proses ini, sama ada kita sedar atau tidak, kita telah melakukan banyak kesilapan natijah kealpaan kita kepada Yang Maha Esa. Apa yang pasti dan diakui mengikut fitrah, seorang yang semakin dewasa tidak patut berkelakuan seperti kanak-kanak, sebaliknya ia harus lebih tua daripada umurnya sekarang.

Seorang yang berpandangan jauh merupakan pemimpin yang dikagumi oleh komuniti yang dipimpin olehnya. Maka dengan itu setiap pemimpin mahasiswa wajar menilai tahap dan kualiti kematangan mereka berfikir. Adakah idea yang dilontarkan mampu mencerminkan label sebagai mahasiswa? Masanya sudah tiba untuk memikirkan bagaimana untuk menjadi pemimpin Malaysia yang berkarismatik dan mampu mewujudkan suasana "Malaysia Baru" pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 yang dianggap sebagai 'tsunami politik' negara. Persoalannya kini, bersediakah mahasiswa memimpin negara? Saya bersedia!

Wednesday, July 23, 2008

KONSERT ANUAR ZAIN MENGUJI VISI DAN MISI MPPUMS SESI 2007/2008

Suatu hari sebelum memulakan mesyuarat mingguan MPP (sementara menanti ketibaan beberapa sahabat MPP yang selalu datang lewat ke mesyuarat), seorang sahabat MPP yang berlainan agama dengan saya bertanya satu soalan,

“Abang Agung (gelaran MPPUMS kepada saya termasuk segelintir sekretariat dan pimpinan PMUMS) kenapa kita selalu tidak sehaluan dalam mesyuarat?” tanya beliau

Saya ajukan semula soalan kepada beliau : “Apa yang selalu kita selisihkan?”

“Tentang sesuatu dasar yang sudah kita putuskan”

Jawapan saya mudah. Saya katakan kepada beliau betapa perselisihan itu perlu untuk kita mencari pendekatan yang terbaik dalam menyelesaikan sesuatu isu. Setelah hampir 10 minit berdiskusi, beliau akhirnya menyatakan maksud soalan beliau diajukan berikutan penganjuran Konsert Anuar Zain yang dijadualkan berlangsung hujung bulan Julai ini di dewan keramat dan terhormat, Dewan Canselor UMS. Beliau mula mempersoalkan tentang misi 5K (Kesahsiahan, Kesarjanaan, Kebajikan, Kokurikulum, dan Kesepaduan) yang menjadi kiblat perjuangan MPP, PMUMS khususnya ‘Kesahsiahan’ dengan sejauh mana relevannya pihak pengurusan meluluskan unsur hedonisme seumpama ini yang ‘mencabul’ kemuliaan Dewan Canselor sebagai simbol akademik – pengijazahan mahasiswa UMS.

Saya katakan kepada beliau, “Sedangkan kita semua berlembut tak bermakna bersetuju, mengalah tak bermakna salah, diam tak bermakna bersetuju, senyum tak bermaksud reda, bersama tak bermaksud bekerjasama…” Beliau mula faham dan perbincangan kami terhenti di situ kerana tempikan Saudara Chua menyedarkan kami mesyuarat akan bermula sebentar lagi.

Pada hari yang lain pula seorang sahabat mencadangkan agar MPP mengadakan demonstrasi untuk mendesak agar pihak pentadbiran UMS membatalkan konsert tersebut. Jawapan saya mudah, “Demo bukan pendekatan kami”. Maka beliau mula melabelkan saya sebagai pemimpin mahasiswa Islam yang bacul. Saya ulangi jawapan saya seperti di atas kepada beliau:

“Sedangkan kita semua berlembut tak bermakna bersetuju,
mengalah tak bermakna salah, diam tak bermakna bersetuju,
senyum tak bermaksud reda, bersama tak bermaksud bekerjasama…”

Tidakkah itu antara cara yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w. untuk menghadapi golongan kuffar. Kita berjuang bukan untuk puaskan hati sendiri atau nak berbanga-bangga tapi nak ‘puas’kan kehendak ALlah Ta’ala… Beribadah bukan nak puaskan hati sendiri tapi nak ‘puas’kan kehendak ALlah dengan mentaati perintah dan meninggalkan larangan-Nya… Beliau terdiam dan berlalu pergi. Subhanallah… Maha Suci ALlah yang memudahkan segala urusan.

Jadi, apakah pendirian MPP, PMUMS berkaitan isu ini? Saya syorkan anda membaca artikel berikut dan link kepada blog presidenums.blogspot.com

Tuesday, July 22, 2008

Tinta Perjuangan

Selangkah ke alam perjuangan bererti selamanya dalam kepahitan
Biarlah menangis, terluka, kecewa, dan ditinggalkan kerana ALlah
Daripada mati terkambus tanpa mujahadah

Kita tak sanggup selamanya terluka
Tapi ingatlah setiap darah daripada luka dan air mata
Itulah mahar kita ke Syurga

Andai ditanya
"...kenapa berjuang itu pahit?..."
Jawapannya
"...kerana Syurga itu manis..."

Semoga dirimu dan diriku
Sentiasa tabah dalam perjuangan di jalan-Nya

... Salam Mujahadah Nafs ...

Saturday, July 19, 2008

KE MANAKAH HILANGNYA PERMATA ITU?

Saya begitu teruja melihat bagaimana hebatnya pidato yang disampaikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sewaktu sesi perdebatan bersama seorang ahli kabinet Pak Lah yang sangat lemah itu. Namun dalam artikel ini saya tidak berminat mengulas lanjut tentang perjalanan perdebatan tersebut. Bagi yang ingin mengetahui persepsi seorang pimpinan pelajar tentang perdebatan tersebut, saya syorkan anda akses ke blog bendaharimppums.blogspot.com. Pada hemat saya, sahabat saya ini telah membuat ulasan yang sangat baik dan mantap. Terserah kepada pembaca budiman untuk menilai.

Kembali kepada mauduk perbincangan kita, “Ke manakah Hilangnya Permata Itu?” Sebenarnya, saya ingin menarik perhatian para pengunjung blog ini untuk berfikir berkaitan maruah, akauntabiliti dan integriti yang semakin terhakis dalam diri mahasiswa khususnya Pimpinan Tertinggi seperti MPPUMS. Jika suatu ketika dulu, suara mahasisawa mampu menggetarkan pentadbiran Canselori UM, tapi kini suara itu semakin lenyap ditelan zaman. Adakah mahasiswa yang memiliki kuasa tidak ada pengaruh? Jika begitu, bagaimana pula mereka boleh menduduki jawatan yang kita sedia maklum melalui proses Pilihan raya Kampus (PRK) – undi majoriti. Hal ini sudah pasti memerlukan pengaruh sebelum kuasa mampu dibentuk.

Saya berpendapat, beberapa keratan artikel yang pernah ditulis oleh Saudara Hasrizal Abdul Jamil dalam blog beliau saifulislam.com wajar kita renungi bersama untuk memastikan nilai permata yang dimiliki oleh pimpinan mahasiswa tidak terus hanyut dibawa arus. Saya perturunkan sebahagian daripada hasil tulisan beliau (dengan izin) agar kita dapat manfaat bersama, tidak kiralah kita ini pimpinan MPP pro mahasiswa atau pun aspirasi (yang semakin basi inspirasinya itu). Berikut intipati artikel tersebut:
SIRAH PENGARUH DAN KUASA. Kepimpinan yang paling lemah, adalah kepimpinan yang bergantung kepada kuasa dan jawatan. Kepimpinan yang bergantung kepada jawatan dan kedudukan ini, boleh melanda kepimpinan semuda kepimpinan di sekolah, sampailah kepada kepimpinan di peringkat universiti dan negara. Baginda S.A.W. adalah insan yang berpengaruh, sebelum baginda diberi Kenabian, sebelum beroleh kuasa dan kerajaan. Pengaruh baginda S.A.W. adalah pada kualiti dirinya. Kualiti Al-Amin, kualiti integriti dan kualiti kompetensi.
Lihat sahaja sirah Baginda SAW semasa di Mekah. Ketika kabilah-kabilah Arab berbalah tentang kelayakan untuk meletakkan kembali Hajar al-Aswad ke Kaabah, mereka akhirnya mencari seorang anak muda yang tidak berjawatan KETUA PEMUDA, tetapi PEMUDA yang berkualiti KETUA, iaitu Muhammad SAW. Biar pun tanpa jawatan dan kedudukan, pengaruh Baginda sudah sedia terserlah, dek kualiti yang ada pada dirinya. Malah Nabi Muhammad SAW yang tidak berjawatan itu, menggelisahkan seluruh pembesar Mekah yang ada jawatan dan kuasa. Kepimpinan dengan pengaruh hasil kualiti, mengancam seluruh jawatan dan kuasa yang cuba dipertahankan tanpa kualiti kepimpinan. Kerana itu, Madinah terus memacu kejayaan, apabila kepimpinan Rasulullah SAW yang berteraskan pengaruh itu, dilengkapkan dengan kuasa dan kedudukan!

“PENGARUH BUKANLAH SESUATU YANG DICARI.
APABILA KUALITI DIRI DIBANGUNKAN, PENGARUH DATANG SENDIRI”

TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT
Inilah watak yang juga saya kesan pada peribadi Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa saya pergi menziarahinya seawal tahun 1992. Ketika tiba di kediaman beliau, Tuan Guru baru sahaja turun dari bumbung rumah, membetulkan atap yang rosak. Ketika ditanya, bagaimanakah ayah beliau mendidiknya, Tuan Guru memberitahu bahawa mancis api sebatang pun, dibelah dua untuk mengajar anak berjimat cermat. Sungguh mengujakan saya. Tidak hairan, beliau disegani oleh kawan dan lawan. Anda boleh berbalas hujah dengan pendebat dan pemidato, tetapi tiada siapa yang mampu menewaskan akhlaq dan pengaruh. Mereka yang berpengaruh, mereka itulah yang menguasai. Mereka yang berkuasa, belum tentu berjaya mempengaruhi. Untuk memimpin dengan pengaruh, seseorang itu akan menumpukan perhatian kepada membangunkan kualiti dirinya sebagai aset terbesar dalam kepimpinannya. Dia akan terus menjadi pusat, sama ada dengan jawatan, atau tanpa jawatan. Jatuh naiknya kepimpinan beliau tidak bergantung pada kemenangan pertandingan dan kekuatan lobi orang lain untuk dirinya. Pengaruh bukanlah sesuatu yang dicari. Apabila kualiti diri dibangunkan, pengaruh datang sendiri. Jangan marah, jika artis lebih popular. Manusia dan kepimpinan …. adalah soal PENGARUH.

Ini pula komen daripada seorang pengunjung blog tersebut:

Kepimpinan model ada pengaruh yg besar. Seorang pemimpin negeri yg mengetuai setiap solat subuh dan turut serta dalam amal2 kemasyarakatan spt Tn Guru Nik Aziz sukar untuk dicari. Lagi sukar untuk mencari seorang yg begitu berpengaruh dengan jumlah pengunjung dan pendengar kuliah pagi jumaatnya yang tidak pernah berkurang. Betul spt cth-cth disebut oleh ust, jika sesiapa ke Kelantan atau mengikuti perkembangan negeri tersebut (tanpa menafikan ada kelemahan-kelemahan lain juga), kita akan dapat lihat prinsip asas kepimpinan Islam, ‘experiences’, serta ‘outcomes’ kpd masyarakat berlangsung dengan serentak.

Duhai Pimpinan Mahasiswa, khususnya MPPUMS : Di manakah kedudukan kita? Jangankan nak menjadi imam Solat Subuh, solat lima waktu pun belum tentu menjadi darah daging kita. Justeru, jangan merungut jika ‘rakyat naungan kita’ – mahasiswa UMS tidak menghormati atau mentaati kita akibat sikap kita sendiri yang tidak mentaati dan mengagungkan Yang Maha Khaliq.

“Bukan mencaci tapi memperingati, bukan membenci tapi mengasihi” – mcd