Tuesday, March 10, 2009

Masa untuk Berubah

Modul demokrasi ala-Malaysia sering dikritik oleh pendokong fahaman sains politik Barat seperti Croach (1971), James C. Scott (1972), David Truman dan sebagainya. Menurut mereka, Malaysia bukanlah sebuah negara demokrasi berikutan banyak dasar yang menunjangi prinsip kenegaraan tidak dipraktikkan di negara kita secara bebas. Misalnya, kewujudan undang-undang rimba (ISA dan AUKU), penguasaan media arus perdana oleh kerajaan, badan kehakiman yang tidak bebas, larangan berdemonstrasi dan seumpamanya (banyak lagi, tapi rasa nak ‘muntah’ nyatakan satu persatu kekejaman itu). Sekalipun kita sedia maklum kesemua itu terjamin ‘halal’ sepenuhnya dalam Perlembagaan Malaysia yang kita junjung selama ini.
Meskipun begitu, seharusnya para pemimpin Melayu yang kita cintai sedar hakikat sesebuah masyarakat perlu bertransformasi mengikut situasi dan masa. Saya yakin kita mampu beradaptasi dengan situasi. Jika dulu, ISA digazetkan untuk melumpuhkan gerakan komunis sekitar tahun 1970-an, kini ramai yang beranggapan ISA tidak relevan lagi. Takkanlah akta itu pula kini sesuai ditalakan kepada para pemimpin pembangkang (dan koncu-koncunya) yang mengkritik dasar negara? Apalah salahnya jika ISA (hatta AUKU) dimansuhkan selaras dengan citra rakyat Malaysia yang semakin matang berpolitik dan bernegara. Jika tidak, kita jangan megah bercakap di arena global kononnya Malaysia sebuah negara demokrasi.
Demikian juga halnya dalam kempen pilihan raya. Sejak tragedi hitam 13 Mei 1969 meninggalkan kita hampir 40 tahun, masanya sudah tiba kita membuka ruang seluasnya kepada ahli politik yang bertanding (khususnya di negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung Malaysia) untuk berkempen secara terbuka. Saya percaya, kalau selama ini dunia Barat mengkritik kita sebagai tidak demokratik kerana menyekat kebebasan berkempen, maka adalah wajar dibuka semula kempen terbuka sewaktu pilihan raya untuk menutup pandangan bias mereka terhadap kita. Tentunya saya optimis, rakyat Malaysia tidak akan bersikap seperti zaman tahun 1960-an dahulu yang mudah bercakap isu sensitif. Jika rakyat membantah PPSMI, maka kembalikanlah kedudukan bahasa Melayu. Kita perlu berubah dan sentiasa sedia untuk berubah!
Begitu juga aspek-aspek yang menjadi bahan kritikan utama dunia terhadap Malaysia seperti media massa dan bidang penyiaran yang dimonopoli oleh kerajaan. Selaras dengan aspirasi rakyat Malaysia yang berbilang kaum, yang semakin matang dan dan hormat-menghormati, maka apa salahnya jika pihak kerajaan melonggarkan sedikit cengkaman diktator terhadap media massa tempatan supaya bersifat lebih bebas. Hal ini penting untuk menampakkan Malaysia lebih demokratik kalau tidak pun benar-benar demokratik. Kalau kita boleh menerima internet dan siaran dari seluruh dunia (hedonisme melampau) hatta PTI yang berjuta jumlahnya (mungkin menjadi pengundi hantu), maka apalah salahnya kalau kita bukakan dasar penyiaran negara supaya tidak dituduh hanya memihak kepada pemerintah sahaja. Jika kita bersedia dengan perubahan ini sudah pasti banyak caranya. Bak kata pepatah “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”. Selamat datang Malaysia Baru.


5 comments:

irshadian said...

alang2 nak perkasakan bahasa inggeris, apa kata pengajaran sejarah dalam bahasa inggeris pula (sinis)

lalala said...

say no to corruption, say no to UMNO and BN...barulah sesuai dengan tajuk 'masa untuk berubah'

Muslimin Agung said...

Salam Wasilah Ukhuwah Fillah

Majoriti orang Melayu dan rakyat Malaysia masih perlukan UMNO/BN. Buktinya, UMNO/BN masih mampu mendapat kepercayaan majoriti rakyat dalam PRU12 yang lalu. Cuma, yang menjadi harapan agar idealisme perjuangan UMNO/BN hendaklah merakar, merimbun, dan akhirnya merakyat demi kelangsungan parti merah puitih ini. Jangan sampai sebelum PRU13, UMNO/BN pula yang berputih mata. Kesian...

Anonymous said...

Salam Ziarah..

Welcome 2 new Malaysia..
Ops, selamat..selamat..selamat datang..sekali lagi selamat datang..
Selamat datang Malaysia baru,huhu..

info said...

:)..!!!!