Friday, November 28, 2008

Seloka Keluarga Amat


Salam wasilah pembuka bicara
Seloka Keluarga Amat hiburan semata
Keluarga ceria sentiasa bahagia
Berkongsi cerita pedoman bersama

Terlebih dahulu maaf dipinta
Andainya ada yang akan terasa
Hasrat di hati bergurau senda
Menjadi lumrah adat seloka

Kampung Hyundai teratak keluarga
Tempat berteduh sepanjang masa
Solat bejemaah, makan bersama
Jadi amalan kami sekeluarga

Salam ta’aruf daripada ketua keluarga
Amat bin Kandalang bin Haji Mijan orangnya
Mendidik kami sepenuh jiwa
Agar berbakti kepada agama dan nusa

Sadayara Al-Pasain permaisuri keluarga
Menyayangi kami tak kira masa
Kawasan dapur katanya “mak yang berkuasa”
Inginkan menantu yang dekat LD sahaja

Puteri sulung Nurfiah namanya
Lulusan diploma perakuanan dari kolej swasta
Bersifat tegas tetapi baik hati orangnya
Abang Saiful jejaka pilihan hatinya

Anak kedua berlagak ketua
Muslimin Agung gelaran dirinya
Orangnya celupar manis berbicara
Menjadi rebutan si anak dara

Azmi Amat anak ketiga
Ada kemahiran memandu kereta
Ketua Pelajar amanah buatnya
Sentiasa digeruni di kalangan keluarga

Muhd. Azdnan Amat manis orangnya
Rambutnya berdiri seperti wira
Bercita-cita menjadi satria
Semoga menjadi Menteri Pertahanan Malaysia

Orangnya kemas gagah perkasa
Berbadan kurus kacak orangnya
Ingin menjadi Ketua Polis negara
Abdul Asri alias Asbi itulah gerangannya

Puteri bongsu Nurfarina namanya
Siti Nurhaliza artis kegemarannya
Kalau ke sekolah bertudung manis orangnya
Sudah ditempah anak saudara sebapa

Hafizam Amat comel orangnya
Matanya bulat macam bola
Dodot, Dadek, panggilan manja dirinya
Menjadi kesayangan kami sekeluarga

Hidup ini hanya sementara
Senda gurauan hiasan semata
Si Mickey penghibur kami sekeluarga
Sekalipun dia sekadar hamster semata-mata

Kepada ILahi kami panjatkan doa
Moga sentiasa dalam iman dan takwa
Terhindar daripada khianat manusia
Agar sejahtera, aman, sentosa

Sekian dulu seloka hamba
Tidak berniat menunjuk bangga
Sekadar berkongsi cerita keluarga
Buat santapan jiwa dan minda

Wednesday, November 26, 2008

Jihad Mata Pena

“Syabas Agung kerana berani menyatakan pendirian. Jangan takut diugut. Apa ditakut (dengan) gertakan manusia!”, demikian bunyi ayat SMS yang saya terima pagi tadi. “Kalau takut dengan ujian, jangan cakap soal perjuangan!”, komen pejuang reformasi pula. Bahkan ada juga yang berbunyi seperti ini “Sidi, slowkan sikit blog kamu tu”. Hmm...Entahlah, semenjak menulis dengan bahasa yang lebih telus, saya semakin kerap menerima saranan sedemikian rupa. Seolah-olah selama ini saya tidak telus kerana tidak tulus akibat saya takut atau pengecut. Mereka ini tersalah sifir. Saya membuat satu analisa yang kaku, mungkin dibaca daripada buku oleh pemikir yang lesu, bahawa ‘sesuatu yang bernama perjuangan akan berdepan dengan ujian’. Manakala ujian itu pula memang menakutkan. Berhadapan dengan pegawai, kena buang dari universiti, kehilangan kepentingan diri, malah syahid cita-cita yang dicari! Itulah hafalan skema tarbiyyah terhadap ujian perjuangan mahasiswa di kampus. Seolah-olah perjuangan hanya teruji dengan ujian satu warna. Persepsi ini tidaklah salah. Bahkan Allah SWT sendiri sudah mengingatkan: “Demi sesungguhnya! Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar”. [Al-Baqarah 2 : 155]. Segala musibah yang menguji adalah bukti kezaliman kaum durhaka yang dihadapi, dan mengangkat darjat pejuang yang diuji. Sebagai pelajar yang berjuang kita mungkin bimbang digantung biasiswa atau PTPTN, tetapi mungkin kita akan diuji dengan gagal dalam peperiksaan, atau diuji dengan keluarga yang memusuhi Islam. Saya mungkin terlupa bahawa dalam perjuangan bukan hanya berani yang menjadi bekal, malah cerdik dan bijaksana juga sebahagian daripada senjata. Berani membuta tuli, jangan disangka hero kerana di sisi Islam kita mungkin seorang yang dungu dan membinasakan perjuangan dengan keberanian yang semberono. Jika di era turunnya al-Quran jihad itu banyak manifestasinya sewaktu peperangan di medan pertempuran, hari ini musuh mungkin bersarang di dalam kepala dan muncul dalam bentuk yang halus tetapi tetap merbahaya. Maka berkewajipanlah bagi pejuang untuk menganalisa tabiat jalan dakwahnya, agar prinsip amar makruf dan nahi munkar terus berjalan seiringan dengan ujian yang ‘menghiasinya’. Tuntasnya, saya tidak akan berhenti daripada menyatakan kebenaran melalui mata pena (blog) ini kerana saya menyakini ini adalah salah satu marhalah dalam perjuangan yang akan mendapat keredaan-Nya, insya Allah. Pesanan buat diri dan sahabat-sahabat blog sekalian, teruskan membina keberanian. Setelah wujud keberanian, bijaksanalah dalam menekuninya. Maaf andai bahasanya pahit, tetapi dalam pahit itu selalu ada penawarnya. Selamat berkarya wahai para blogger muda!

Monday, November 24, 2008

Percayalah Apa Yang Kita Percaya (Siri 2)

6. Islam itu agama kejayaan dunia dan akhirat. Ramai Muslim telah diterapkan dengan kepercayaan, tinggalkanlah dunia (Sunnah Allah) untuk akhirat (syariat Allah). Ada yang menakutkan anak murid dengan kenyataan tidak mengikut kelasnya tidak akan dapat ke Syurga. Ini terjadi secara berleluasa. Dibacakannya nas-nas panjang berjela, bagi membuktikan kebenarannya. Apa nak fikir lagi, ini nasnya dah terang benderang. Memang mendatangkan ketenangan, tak perlu risau, tak payah nak berfikir lagi, Syurga milik mereka.
7. Keredhaan Allah yang akan memasukkan kita ke Syurga bukan yang lain, termasuk pahala. Berlalu Ramadhan mula berkira dengan Allah, tiada ganjaran, amalan berkurangan. Baca Al-Quran, berkira setiap huruf ada pahala, bukan nak dapat petunjuknya atau panduan yang terkandung di dalamnya. Asal baca dapatlah pahala. Keredhaan Allah di akhirat, boleh diukur dengan keizinan yang kita perolehi semasa di dunia. Yang mendapat keizinan di dunia adalah mereka yang lebih faham dengan carakerja-Nya, iaitu yang lebih hampir dengan-Nya. Begitulah Qadar ketentuan-Nya. Bukan pakai rasa ego hampir dengan-Nya.
8. Kemunduran Muslim adalah tanda kegagalan menghayati Islam sepenuhnya. Ramai yang mendamaikan hati dengan alasan kemunduran di dunia akan mendapat kejayaan di akhirat. Islam itu adalah kejayaan di dunia dan di akhirat. Tidak timbul kejayaan di akhirat tanpa kejayaan di dunia. Tetapi dalam alasan untuk tidak menggunakan akal, atau menyenangkan kerja menyampai, pendakwah mencari jalan singkat dengan menakutkan pendengarnya, yang menggunakan akal itu hanya berjaya di dunia, di akhirat nanti akan merana, yang menjadi pendengarnya pun taklid membuta.
9. Kalau kita tidak lebih dahulu memahami Dia, bagaimana kita mengharapkan Dia akan memahami kita, dan mengizinkan segala yang hendak kita lakukan di dunia. Apabila kita sudah memahami Dia akan mudahlah kita memahami mahluk-Nya, terutamanya manusia. Jadi tidak timbul kita harus memahami manusia dahulu, supaya mereka nanti akan memahami Dia. Memahami manusia dahulu akan menghanyutkan kita di arus perdana, walaupun kita seorang perenang yang berwibawa.
10. Bagaimana kita boleh “memulakan langkah memberanikan diri untuk berdiskusi” dan menggunakan “minda untuk berwacana, lebih dari jari untuk menyumbat telinga” akan menghasilkan sesuatu yang berbeza. Malangnya dengan Islam Popular, itu semua pekara kedua, apa yang penting, apa Pendakwah Popular berkata, kata mereka. Ketenangan atau kebenaran, pilih satu antara dua. Saya percaya ramai akan memilih Pendakwah Popular. Tapi saya akan memilih keredaan ILahi dengan manhaj yang saya anuti - P_S.

Saturday, November 22, 2008

Muhasabah Cinta (ILahi)

Wahai pemilik nyawaku betapa lemah diriku ini
Berat ujian daripada-Mu ku pasrahkan semua pada-Mu
Tuhan baruku sedar indahnya nikmat sihat itu
Tak pandai aku bersyukur kini ku harapkan cinta-Mu
Kata-kata Cinta terucap indah
Mengalir berzikir di kidung doaku
Sakit yang kurasa biar jadi penawar dosaku
Butir-butir cinta airmataku
Teringat semua yang kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya ILahi muhasabah cintaku
Tuhan kuatkan aku
Lindungi aku daripada putus asa
Jika aku harus mati pertemukan aku dengan-Mu

Friday, November 21, 2008

Percayalah Apa Yang Kita Percaya

1. Saya percaya “kita tidak pernah mempersoalkan apa yang kita percaya”. Saya percaya “Ia hanya taklid dalam perjuangan” yang menghasilkan Muslim yang taklid pada hari ini. Saya percaya Muslim telah berqodo’ (memilih) Qadar yang telah membuat Allah memberikan hasil yang melambangkan kemunduran Muslim hari ini. Saya percaya banyak ketentuan Allah telah disalah tafsir oleh pendakwah yang menyebabkan hasil yang tidak sesuai dengan apa yang dirancang. Saya percaya ramai Muslim tidak setuju dengan kenyataan ini.
2. Saya percaya Islam Popular itu sukar ditukar dengan yang tak popular. Dengan tidak mahu mempersoalkan apa yang kita percaya, akan menjadikan kita tidak tahu apa yang kita percaya. Malangnya itulah yang popular dalam perjuangan - ikut, ikut dan ikut. Selagi kita tidak mempositifkan ingin menambah nilai pengetahuan, selagi itu kita tidak akan dapat memperbaiki keadaan sekarang. Lagi ramai yang mahu bertindak mengikut hati emosi, maka akan menjadi popularlah pilihan cara begitu, dari penyampai kepada apa yang disampai dan akhirnya kepada seiapa yang disampai.
3. Golongan yang fikir, ikut, fikir akan menjadi lone ranger. Ditakutkan kemudiannya dengan kenyataan kambing yang bersendirian adalah menu utama serigala. Bagi yang taklid ni selalunya kerana tidak mahu menggunakan akal, disebabkan penggunakan akal itu adalah sesuatu yang susah. Jauh lebih senang mengikut nafsu atau kemahuan diri, ditambah lagi dengan persekitaran yang memang telah membena arus perdana mengikut nafsu atau emosi. Maka kuasa pasaran mahu, akan menghanyutkan yang ingin tahu, walau sekuat mana tahu boleh berenang melawan arus.
4. Saya percaya ramai Muslim mengingkari ayat-ayat Syariat Allah (Kitab Al-Quran), tetapi saya lebih percaya, lebih ramai Muslim mengingkari ayat-ayat Sunnah Allah (Kitab Alam). Saya percaya tidak ramai Muslim percaya adanya dua jenis ayat-ayat berbeza ini. Selagi tiada kesedaran kepada Muslim tentang ini, selagi itu Allah tidak akan memberikan hasil yang lebih baik kepada perancangan Muslim. Allah tidak pernah berlaku tidak adil, dengan membuat ketentuan bahawa orang bukan Muslim lebih maju dari orang Muslim, tetapi Muslim yang rasa ego dengan mengatakan Allah hanya bersama mereka.
5. Muslim diberitahu bahawa bila Al-Quran mengatakan bahawa Allah bersama-sama dengan Sobirin (yang sabar), Solehin (yang soleh), Mukminin (yang percaya), Muslimin (yang menyelamatkan diri) dan sebagainya, seakan-akan Allah tidak langsung tidak bersama-sama dengan yang sebaliknya. Muslim lupa tiada sesuatu berlaku dan tiada kekuatan untuk melakukan sesuatu (oleh sesiapa pun) melainkan dengan ada kehadiran-Nya. Muslim terlalu yakin bertaklid mempercayai, seluruh kuasa dan kehendak Allah adalah untuk mereka, lantas ego berserta sombong dengannya. Maka tidak mahu mempersoalkan apa yang dipercayainya, kerana mereka terasa Syurga sudah menjadi milik mereka secara automatik.

Thursday, November 20, 2008

Hakikat Sebuah Percutian

Saat ini sudah ramai sahabat-sahabat yang berada di kampung halaman menikmati percutian semester yang baru saja bermula. Ada yang pulang ke kampung untuk mengubat kerinduan terhadap keluarga tercinta, ada juga yang berhajat meraikan keberangkatan keluarga menyahut panggilan haji. Bahkan tidak kurang juga yang mungkin akan mendirikan ‘masjid’ sama ada sebagai satu tanda (bertunang) atau terus mengikat janji terpatri di sanubari. Tidak mustahil juga mungkin ada segelintir daripada kita yang tidak ada sebarang perancangan untuk mengisi tempoh percutian ini. Bagi golongan seumpama ini, cukuplah sabda Rasulullah s.a.w menjadi peringatan, yang bermaksud “...jagalah waktu lapangmu, sebelum datang waktu sibukmu...”. Justeru, saya menggesa agar sama-sama kita isi percutian kali ini dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah. Rancang dengan apa yang di tangan, bukan yang kita angan-angankan. Libatkan diri secara aktif dengan aktiviti kemasyarakatan, akrabkan diri dengan usrah, mesrakan diri dengan Pencipta. Manfaatkanlah waktu cuti ini dengan meningkatkan kualiti kita sebagai seorang da’ie (pendakwah). Cukuplah dengan memulakan langkah memberanikan diri untuk berdiskusi. Gunakan minda untuk berwacana, lebih dari jari untuk menyumbat telinga. Ketika musuh yang bersaing dengan Islam begitu aktif mengukuhkan kefahaman mereka terhadap apa yang mereka percaya, gerakan Islam akan hilang siginifikasinya jika didukung oleh da’ie yang fikrahnya seperti istana kaca! Tak salah rasanya memasak menggunakan perencah segera kalau perencah yang sedia ada itu sudah cukup bagus, lagipun kalau nak buat perencah sendiri kena betul-betul pakar memasak. Masakan itu untuk orang ramai, bimbang perencah buatan sendiri tak sedap dek selera tetamu yang berbeza-beza. Lagipun kalau nak masak untuk orang Melayu, kenalah guna perencah Melayu, bukan semua orang Melayu boleh makan mayonnaise. Kalau nak masukkan jugak kenalah masukkan sikit-sikit sebab nanti si pemakan-pemakan tu dah tak datang makan apabila tahu si pemasak ni guna perencah yang mereka tak boleh makan. Siapa yang nak habiskan makanan tu nanti? Bukankah membazir namanya tu? Saya harap anda faham analogi ini. Semoga percutian kali ini akan menemukan kita dengan pencarian hakiki. Selamat bercuti. Sampai bertemu lagi.

Wednesday, November 19, 2008

Takdir Cinta ILahi


Aku tutup mataku dari semua pandanganku
Bila melihat matamu aku yakin ada cinta
Ketulusan hati yang mengalir lembut
Penguasa alam tolonglah pegangi aku
Biar aku tak jatuh pada sumur dosa
Yang terkutuk dan menyesatkan cintaku
Andai akan aku bisa lebih adil
Pada cinta engkau dan dia
Aku bukan nabi yang bisa sempurna
Aku tak luput daripada dosa
Biarlah aku hidup seperti ini
Takdir cinta harus begini
Agar kau dan dia bukan aku yang mahu
Ya ALlah tuntunlah hatiku