Tuesday, March 17, 2009

Kita Bersaudara

1400 tahun dahulu, Nabi Muhammad SAW telah berwasiat yang bermaksud: Perumpamaan orang yang beriman di dalam berkasih-kasihan sesama mereka, rahmat-merahmati dan sayang menyayangi, adalah seumpama satu jasad. Apabila satu anggota mengeluh, ia memberi kesan kepada seluruh jasad sehingga berjaga dan demam. Kung Fu Tze di dalam Lun Yu Buku ke 4 Bab Yuen Yuen ada menukilkan "si hai zhi nie jie xiong di” yang membawa maksud empat lautan terbentang luas, semua manusia bersaudara. Khalifah Ali Abi Talib apabila ditanya tentang apakah jenis persaudaraan antara orang Islam dengan bukan Islam. Beliau jawab ‘Akhukum fil Insaniah’ – mereka yang bukan Islam, adalah saudara kamu dalam kemanusiaan. Kenyataan ini jelas menggambarkan prinsip persaudaraan tanpa mengambil kira dispariti agama. Ungkapan Khalifah Ali ini adalah senada dan seirama dengan peribahasa Tamil, ‘Ontre Kulam Oruvane Thevan’ (Satu Jiwa Kerana Kemanusiaan). Jika demikian halnya, kenapa kita harus bersengketa hanya kerana perbezaan yang saya nyatakan tadi? Adakah semua ini hanya retorik semata? Lebih menyedihkan apabila saudara seagama sendiri sentiasa curiga-mencurigai dan bermusuhan antara satu sama lain. Lupakah kita dengan janji Allah SWT yang lebih kurang alih bahasanya: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka hendaklah kamu memperelokkan di antara dua saudaramu (Al-Hujurat 49:10). Memutuskan silaturahim dan meninggalkan tuntutan ukhuwah menjadi kekejian yang besar dalam Islam. Sabda Nabi SAW: “Dan janganlah kamu memutuskan (silaturahim), janganlah merancang kejahatan sesama kamu, janganlah benci-membenci dan jangan saling berhasad. Jadilah kamu wahai hamba-hamba Allah bersaudara. Tidak halal bagi seorang muslim meninggalkan saudaranya lebih dari tiga (hari).” Bukan sahaja dalam perhubungan sosial, bahkan ibadah yang zahirnya bersifat peribadi, kita turut dianjurkan melaksanakannya secara berjemaah. Kewajipan mengeluarkan zakat sebagai imbangan ekonomi, solat pengukuh ukhwah, dan banyak lagi cabang ibadah menggambarkan betapa Islam sangat menekankan agar kita hidup bermasyarakat. Dalam keseronokan kita beramal Islami, tanpa disedari mungkin ada yang terasa hati. Justeru, pada kesempatan ini, jari disusun simbolik memohon maaf secara terbuka andai terdapat perbuatan yang menyakitkan hati, bicara mulut yang terlanjur tanpa henti, hatta buah fikiran yang tidak disenangi. Sedarilah, ukhuwahfillah wasilah dakwah dan siasah.

3 comments:

NIVYANFAZZA said...

salam ukhwah fillah,

Post kali ini saya sangat bersetuju dengan pendapat abang, kita adalah bersaudara, saudara sesama islam, dan juga saudara dengan bukan islam. Ini adalah perlu.

Tapi saya tidak kisah dengan apa nama yang diberikan "ketuanan rakyat" ke "ketuanan melayu" ke, apa yg penting titik persoalan itu harus dijanakan dengan baik.

seperti biasa, nama untuk "keadaan" itu boleh diberikan dengan pelbagai nama. Seperti juga sistem-sistem yang lain.

Muslimin Agung said...

Salam WUFI...

Hidup tidak selalunya indah
Langit tak selalu cerah
Suram malam tak berbintang
Itulah lukisan alam yang malang

Hilal Azmi said...

Jaga-jaga dalam bersaudara sesama agama... Kerana dakyah PLURALISME sedang menjalar menganggu akidah umat...Penting untuk kita ambil perhatian...